Himpunan Anti-Lynas Untuk Selamatkan Semua Generasi

SHAH ALAM, 25 FEB : Pihak Berkuasa diseru untuk tidak menyekat rakyat negara demokrasi ini untuk menyertai Himpunan Hijau 2.0 pada esok hari khusus bagi membantah pembinaan kilang nadir bumi di Gebeng.

Pengerusi Hentikan Lynas Selamatkan Malaysia (SLSM), Tan Bun Teet memberitahu kekecewaan rakyat Kuantan sudah tidak dibendung lagi setelah pelbagai usaha untuk menyedarkan Kerajaan Pusat tentang bahaya projek radiasi seumpama itu langsung tidak diperdulikan.

“Rakyat telah berusaha keras untuk menghentikan Lynas dan beberapa lagi isu alam sekitar.

“Kerana ianya menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk menjamin negara dan ahli keluarga kita selamat di atas muka bumi ini,” ujar Tan sambil melahirkan rasa kecewanya dengan keputusan Kerajaan Pusat mengeluarkan lesen kendalian sementara (TOL) bagi projek kontroversi tersebut.

Sementara itu, Naib Pengerusi SLSM, Ismail Abu Bakar berkata projek tersebut bukan sekadar bakal memberi kesan kepada persekitaran tetapi juga membawa kesan negatif kepada rakyat dari segi ekonomi mahupun kesihatan.

“Ramai keluarga di kampung-kampung yang bergantung kepada hasil tanaman dan laut pasti menerima kesan apabila Lynas mula menyahkan sisanya ke Laut China Selatan.

“Bukan itu sahaja, malah pencemaran yang akan dihasilkan mampu merebak ke negara jiran kita melalui udara dan air laut,” jelas Ismail kecewa.

Projek Lynas adalah 10 kali lebih besar daripada projek di Bukit Merah suatu masa dahulu dan dijangka akan menyumbang lebih banyak pencemaran alam sekitar.

Esok perhimpunan besar-besaran membantah projek Lynas akan diadakan di Padang MPK 4, Kuantan selain empat lagi lokasi berbeza seluruh tanah air.