Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: ‘Go Green Race’ Selat Klang 5 Mac

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor disaran mewujudkan inisiatif dan program kesedaran hijau dalam mendidik masyarakat untuk menjaga kebersihan, kata Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali.

Beliau menyarankan, program berteras pendidikan wajar dilaksanakan sebagai menyokong usaha Kerajaan Negeri merealisasikan kempen pengharaman beg plastik dan polisterina di negeri itu.

“Isu terbesar di Selangor seperti kita maklum adalah kebersihan yang berkait pengurusan sampah dan sejauh mana usaha masyarakat untuk pastikan alam sekitar bersih.

HASRAT PAS (2)“Keperluan ini menuntut pejabat DUN tampil dengan konsep dan program mesra alam melalui pembabitan umum supaya budaya serta amalan kebersihan ini dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat.

“Namun, usaha ini mampu dijayakan sekiranya masyarakat peka dan prihatin serta mengambil tahu kesannya jika tidak sensitif terhadap isu kebersihan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, DUN Selat Klang konsisten menjayakan program hijau dalam usaha melestarikan persekitaran pembangunan mampan di kawasan itu.

“Pejabat DUN membuka peluang kepada masyarakat umum untuk menyertai program ‘Go Green Race’ bagi mendidik orang awam terhadap kepentingan isu kebersihan, pada 5 Mac ini.

“Ia terbuka kepada umum dan menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang selain mengangkat tema kebersihan iaitu ‘Menabur Budi Menghijaukan Bumi’,” katanya.

Untuk sebarang maklumat berkaitan program itu boleh menghubungi, Azraee Harun di talian 017-3127602.

-NFN-