Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hijrah lakukan penambahbaikan, bantu lebih ramai usahawan

SHAH ALAM, 26 NOV: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang ditubuhkan enam tahun lepas bagi membantu usahawan melakukan penambahbaikan bagi memberi manfaat kepada semua peserta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif melibatkan beberapa aspek antaranya pembiayaan, skim baharu, tawaran pinjaman serta pengurangan pinjaman.

Berikut merupakan penambahbaikan yang akan dilaksanakan:

i) Peruntukan RM120 juta bagi pembiayaan kepada usahawan.
ii) Skim pembiayaan baharu kepada usahawan berpotensi meningkatkan perniagaan ke tahap Industri Kecil Sederhana dengan tawaran pembiayaan sehingga RM100,000. Sasaran awal pembiayaan melibatkan RM10 juta.
iii)Mewujudkan skim pembiayaan i-AGRO yang memberi fokus kepada 2,000 usahawan tani dengan jumlah pembiayaan maksimum RM26,000. Sasaran pelaksanaan skim berjumlah RM52 juta.
(iv)Mewujudkan Dataran Hijrah yang menjadi pusat perniagaan berpusat untuk semua perkhidmatan
(v) Meningkatkan jumlah minimum pinjaman dari RM5,000 ke RM10,000 bagi program Zero-to-Hero
(vi)Mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM 30,000 ke bawah.
(vii) Membatalkan syarat wajib peminjam mempunyai 25 peratus dari jumlah pinjaman dalam akaun.

Sementara itu, Amirudin berkata program Unit Dana Usahawan India Selangor (I-SEED) yang berperanan membantu masyarakat India menerusi bantuan peralatan niaga bakal diteruskan dengan peruntukan RM1.146 juta.

“Tahun ini dengan jumlah yang sama program dapat membantu 254 individu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pelan pemulihan pembiayaan Hijrah tawar modal pusingan niaga

SHAH ALAM, 8 NOV: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan modal pusingan untuk memulakan perniagaan kepada usahawan yang memohon pelan pemulihan pembiayaan.

Pengurus Promosinya Mohd Ridhwan Asmara berkata inisiatif itu bagi menggalakkan lebih ramai usahawan negeri ini menyertai kempen pemulihan kredit yang diperkenal sejak awal Jun lalu.

“Sekiranya pembiayaan semasa usahawan berjumlah RM2,000, mereka boleh ditawarkan (pembiayaan) untuk modal pusingan perniagaan sehingga RM5,000.

“Ini bermakna di tangan mereka akan ada RM3,000 untuk memulakan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Sudah tentu ia suatu perkara menarik dan usahawan harus mengambil peluang ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kempen berkenaan juga membolehkan usahawan membuat penstrukturan bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan sehingga lima tahun selain memperbaharui insurans pembiayaan.

Skim penjadualan semula ditawarkan kepada peminjam Hijrah yang berdepan masalah untuk membayar balik pembiayaan bermula 1 Jun, dengan permohonan dibuka sepanjang masa.

Pendekatan itu bertujuan meringankan beban usahawan yang terjejas susulan dampak Covid-19.

Melalui inisiatif itu, pegawai kutipan di 20 cawangan Hijrah akan menyemak dahulu nama peminjam yang mempunyai baki pinjaman tertunggak sebelum menghubungi dan menawarkan inisiatif tersebut kepada usahawan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pelan biaya kewangan Hijrah bantu 334 peniaga terkesan pandemik

SHAH ALAM, 7 NOV: Seramai 334 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berjaya memohon pelan pemulihan pembiayaan bernilai RM3.18 juta setakat 31 Oktober.

Angka yang direkod sejak 1 Jun mendapat sambutan menggalakkan susulan banyak peniaga terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19, kata pengurus promosinya.

“Kebanyakan usahawan tidak mampu bayar pinjaman mengikut amaun sepatutnya, jadi pegawai kutipan di 20 cawangan Hijrah Selangor menawarkan pelan ini,” kata Mohd Ridhwan Asmara ketika dihubungi.

Beliau berkata kelulusan tertinggi direkodkan bulan lalu seramai 144 usahawan dan mengakui ada yang enggan mengambil peluang kerana bimbang tempoh pembiayaan lebih panjang.

“Kita percaya inisiatif ini membantu usahawan yang terkesan akibat wabak, malah pegawai kutipan tetap memberi nasihat kepada mereka,” katanya menambah permohonan dibuka sepanjang masa.

Sebelum ini, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama enam minggu yang berakhir pada 31 Julai lalu.

Inisiatif menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mohon skim baharu Hijrah di cawangan, bakal diperluas dalam talian

SHAH ALAM, 5 NOV: Usahawan ingin memohon tiga skim baharu pembiayaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) boleh berbuat demikian menerusi cawangan agensi berkenaan mulai semalam.

Pengarah Eksekutifnya Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata permohonan secara dalam talian menerusi pautan http://167.172.13.68/ akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Hijrah menjemput usahawan yang ingin memulih dan memulakan semula perniagaan untuk memohon segera pembiayaan menerusi tiga skim baharu itu.

“Buat sementara waktu mereka boleh memohon menerusi cawangan Hijrah di setiap daerah, tidak lama secara dalam talian,” katanya semalam.

Pada 27 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan skim i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim di bawah Hijrah yang berkonsepkan islamik.

Skim berkenaan diperkenal bagi usahawan memulih dan memulakan semula perniagaan terjejas susulan Covid-19.

Amirudin menjelaskan jumlah pinjaman ditingkatkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 untuk mengembangkan perniagaan.

Berikut penerangan lanjut tiga skim tersebut:

1. Skim i-Lestari

Menawarkan modal tambahan lebih tinggi antara RM51,000 sehingga RM100,000
Ditawarkan kepada usahawan sedia ada yang mahu mengembangkan lagi perniagaan

2. Skim i-Agro

Ditawarkan kepada usahawan sektor pertanian (penyediaan hab bekalan makanan), penternakan dan akuakultur
Modal tambahan antara RM1,000 sehingga RM50,000

3. Skim i-Bermusim

Khusus buat usahawan yang memerlukan modal pusingan untuk perniagaan bermusim seperti bazar ramadan, bazar perayaan dan gerai buah-buahan bermusim
Membantu memulih dan mengembangkan cabang perniagaan sampingan sedia ada dalam tempoh singkat

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor peruntuk RM80 juta untuk tiga skim baharu Hijrah

SHAH ALAM, 29 OKT: Sejumlah RM80 juta diperuntukkan untuk tiga skim pembiayaan baharu diperkenal Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan terjejas susulan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu disasarkan untuk pelaksanaan tempoh tahun ini dan tahun depan.

Jelas beliau, tumpuan skim itu untuk usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan sedia ada, usahawan agro serta usahawan bazar Ramadan, bazar raya serta buah-buahan bermusim.

“Semua inisiatif ini dijangka mampu mengupayakan semula sektor ekonomi mikro supaya tiang-tiang asas perniagaan yang terganggu akibat pandemik dapat diperkukuhkan semula,”katanya menerusi Facebook.

Pada 27 Oktober, Selangor memperkenalkan skim i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang berkonsepkan islamik.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tiga skim baharu Hijrah bantu pulih perniagaan pascawabak

SHAH ALAM, 27 OKT: Tiga skim pembiayaan baharu diperkenal Kerajaan Negeri hari ini bagi membantu usahawan memulih dan memulakan semula perniagaan terjejas susulan Covid-19.

Tiga skim tersebut meliputi i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang berkonsepkan islamik, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Ini adalah produk terbaru pinjaman Hijrah yang meneliti perkembangan masa, mungkin ramai tertanya i itu apa, ia adalah islamik iaitu objektif kita memastikan Hijrah menepati kehendak syariah,” katanya.

Bercakap pada pelancaran skim berkenaan di bangunan pusat pentadbiran negeri, Amirudin menjelaskan jumlah pinjaman ditingkatkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 untuk mengembangkan perniagaan.

Berikut penerangan lanjut tiga skim tersebut:

1. Skim i-Lestari

  • Menawarkan modal tambahan lebih tinggi antara RM51,000 sehingga RM100,000
  • Ditawarkan kepada usahawan sedia ada yang mahu mengembangkan lagi perniagaan

2. Skim i-Agro

  • Ditawarkan kepada usahawan sektor pertanian (penyediaan hab bekalan makanan), penternakan dan akuakultur
  • Modal tambahan antara RM1,000 sehingga RM50,000

3. Skim i-Bermusim

  • Khusus buat usahawan yang memerlukan modal pusingan untuk perniagaan bermusim seperti bazar ramadan, bazar perayaan dan gerai buah-buahan bermusim
  • Membantu memulih dan mengembangkan cabang perniagaan sampingan sedia ada dalam tempoh singkat

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Bukan hanya pinjaman kewangan, Hijrah bantu usahawan promosi produk

SHAH ALAM, 22 SEPT: Individu yang baru berkecimpung dalam bidang perniagaan di negeri ini digalak merebut peluang membuat pinjaman menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Usahawan Hijrah, Mohd Shaiful Haniff berkata Hijrah bukan sekadar memberi bantuan kewangan malah turut membantu meningkatkan keupayaan peminjam menjadi lebih berjaya.

“Sebut mengenai pinjam ramai yang takut dari segi bayaran ada bezanya Hijrah dengan yang lain, Hijrah ini tidak zalim dan ada inisiatif lain yang diperkenal oleh Hijrah hingga menjadikan usahawannya berjaya.

“Bagi yang baru nak memulakan perniagaan dan tiada modal ada perlukan sesuatu yang boleh ‘push’ anda jadi pergilah ke Hijrah.. ia bukan sekadar bagi modal tetapi lebih dari itu kerana dari 2020 saya buat ‘loan’ RM10,000 dan kini saya memperoleh hasil hampir ke juta ringgit. Hijrah ini akan membantu anda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara Usahawan Hijrah: Bangkit depani Covid-19 yang disiarkan di Media Selangor, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Ar Rizqie Sdn Bhd ini juga memaklumkan antara bentuk bantuan yang diberikan Hijrah kepadanya termasuk mempromosikan produk iaitu makanan tambahan untuk kanak-kanak.

Pada 29 Mac, Dato’ Menteri Besar berkata Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berjaya melahirkan seramai 57,211 usahawan sejak ditubuhkan enam tahun lepas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka menerima manfaat Skim Pembiayaan Mikro Kredit, Skim Pembiayaan Zero to Hero, Skim Pembiayaan Go Digital dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) melibatkan dana sejumlah RM554,540,500.

Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri belanja lebih RM100 juta bantu peminjam Hijrah

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM105 juta bagi menjana pendapatan tambahan kepada peminjam Hijrah Selangor.

EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata jumlah peruntukan itu merangkumi Pakej Kita Selangor 1.0 dan Pakej Kita Selangor 2.0.

“Menerusi Pakej Kita Selangor 1.0, pelaksanaan Skim Go Digital dengan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi menjana pendapatan usahawan melalui jualan dalam talian.

“Juga Skim NaDI (Niaga Darul Ehsan) bagi mereka yang terjejas pendapatan dan ingin memulakan perniagaan sebagai sumber pendapatan baru dengan peruntukan sebanyak RM10 juta,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu dibangkitkan wakil rakyat Sementa, Dr Daroyah Alwi mengenai perancangan Kerajaan Negeri bagi menjana pendapatan tambahan kepada peminjam Hijrah.

Jelas Rodziah, Pakej Kita Selangor 2.0 pula peruntukan pinjaman sebanyak RM80 juta diberikan kepada ushawan Hijrah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Hijrah tanggung RM81 juta beri moratorium

SHAH ALAM, 27 OGOS : Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang melaksanakan dua kali moratorium perlu menanggung kesan kewangan sebanyak RM81 juta.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata moratorium dibuat bagi tempoh tiga bulan antara 23 Mac sehingga 14 Jun 2020 diikuti satu setengah bulan antara 15 Jun hingga 31 Julai 2021.

“Melalui kedua-dua tempoh moratorium ini, peminjam mendapat manfaat atau impak positif hasil inisiatif dilaksanakan Hijrah Selangor.

“Moratorium bertujuan meringankan beban peminjam ketika Perintah Kawalan Pergerakan disamping boleh menyusun semula kewangan bagi membayar balik selepas tamat tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Rodziah menjelaskan berdasarkan rekod, sebanyak 44.48 peratus jumlah peminjam Hijrah terus membuat pembayaran meskipun moratorium diberi secara automatik.

“Sekiranya moratorium perlu dilaksanakan lagi kita akan membuat secara bersasar iaitu fokus terhadap golongan tertentu sahaja.

“Kita dapat lihat hampir 50 peratus peminjam Hijrah terus membuat pembayaran walaupun moratorium dilaksanakan. Justeru, jika perlu dibuat lagi kita akan fokus kepada golongan sasar,” katanya.

Sebelum ini, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama enam minggu yang berakhir bulan lalu.

Categories
EXCO SELANGOR

Sitham: 140 usahawan India terima bantuan alat niaga

AMPANG, 14 OGOS: Seramai 140 daripada 200 pemohon menerima bantuan peralatan perniagaan di bawah program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) setakat ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata peralatan pelbagai jenis diserahkan kepada mereka yang kebanyakannya terlibat industri makanan dan minuman secara berperingkat bermula tahun lepas manakala baki 60 orang lagi selewat-lewatnya Oktober ini

“Kita lihat mereka antara usahawan berpotensi, sebab itu diberikan bantuan dan disaran kekal dalam perniagaan masing-masing walaupun ketika ini berdepan masalah pandemik.

“Program Sitham memberi nilai tambah kepada peniaga kerana kita menyediakan bantuan peralatan dan latihan pembangunan untuk memastikan perniagaan mereka terus berkembang,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan geran peralatan Sitham Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berupa motosikal Modenas Kriss kepada dua penerima di Pusat Sehenti Sitham di sini hari ini.

Penerima Sivaneshwaran Rajasakaran, 35, yang hampir sembilan tahun mengusahakan perniagaan susu segar berterima kasih kepada Hijrah kerana memudahkan kelulusan pinjaman peralatan berjumlah RM10,000.

“Bantuan dipohon tahun lalu selepas dimaklumkan Pengerusi Sitham Selangor Thiban Subbramaniam yang turut menjalankan pemeriksaan operasi perniagaan saya di Batu Arang, Kuala Ampang.

“Setelah menunggu lebih setahun, saya dapat sebuah motosikal hari ini yang akan digunakan untuk menghantar susu kepada pelanggan di seluruh Lembah Klang,” katanya yang turut memohon peralatan seperti tong susu dan pemotong rumput.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Skim Go Digital galak pendigitalan perniagaan, lebar potensi jualan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Skim pembiayaan Go Digital yang dilancar Kerajaan Negeri pada Februari lalu menggalakkan usahawan melakukan pendigitalan perniagaan mereka.

Dato’ Menteri Besar berkata pembiayaan sehingga RM5,000 menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) itu dapat membantu usahawan melebarkan potensi jualan.

“Pembiayaan berjumlah RM1,000 sehingga RM5,000 ditawarkan untuk melancarkan proses pendigitalan.

“Ketahui maklumat lanjut di www.hijrahselangor.com tentang bagaimana skim ini dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Menerusi poster yang dikongsi Amirudin Go Digital dapat membantu pemasaran produk serta perkhidmatan secara meluas, mudah serta mempercepatkan proses pesanan dan pembayaran.

Antara syarat yang ditetapkan bagi mereka yang berminat mengikuti skim ini adalah warganegara, rakyat Selangor, bermastautin tidak kurang dari lima tahun dan mengundi di Selangor, berumur 18 hingga 60 tahun dan mempunyai premis.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hijrah cari kaedah terbaik bantu usahawan jika PKPD disambung

SHAH ALAM, 16 JULAI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sedia berbincang dengan Kerajaan Negeri bagi mencari jalan membantu usahawan Hijrah sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di negeri ini dilanjut.

Pengarah eksekutifnya berkata setakat ini moratorium telah diberikan selama enam minggu seperti yang diumum menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 dan akan berakhir 31 Julai ini.

“Masih belum ada keputusan untuk lanjutan moratorium setakat ini. Bagaimanapun, Hijrah sentiasa mengambil berat permasalahan peminjam.

Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor

“Jika PKPD berlanjutan atau sebarang kemungkinan berlaku mengikut pengumuman kerajaan persekutuan, pihak Hijrah akan berbincang semula,” kata Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor ketika dihubungi.

Katanya, kaedah lain dalam meringankan beban usahawan akan difikirkan seperti penjadualan semula bayaran dengan peminjam boleh merujuk kepada pegawai Hijrah masing-masing.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang memberi impak kewangan berjumlah RM11.35 juta disalurkan susulan Kerajaan Negeri memahami kesukaran golongan itu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan perniagaan dan gangguan aliran tunai.

PKPD selama dua minggu membabitkan 34 mukim dalam lapan daerah Selangor bagi membendung Covid-19 bermula 3 Julai lalu dan sepatutnya berakhir hari ini.