Categories
AGENDA NASIONAL

Setahun hilang kerja, pemuda nekad naik motor 420km balik kampung

PETALING JAYA, 12 OKT: Seorang pemuda nekad menunggang motosikal sejauh 420 kilometer (km) dari ibu negara ke Pasir Puteh, Kelantan selepas dibenarkan merentas negeri semalam.

Perantau dikenali sebagai Anas, 25, berkata, dia memilih menunggang motosikal ke­rana satu-satunya ‘harta’ yang ada selepas syarikat tempat dia bekerja menutup operasi akibat pandemik Covid-19 pada Ogos 2020, lapor portal Kosmo!.

Menurut bekas operator elektrik di sebuah hotel terkemuka di ibu negara itu, kebenaran rentas negeri yang diumumkan kelmarin sememangnya amat dinanti-nantikan.

“Saya bertolak balik ke Kelantan pada pukul 1 pagi (semalam). Sebenarnya saya sudah tidak mampu lagi untuk tinggal di Kuala Lumpur dan mahu pulang ke kampung,” katanya di sini semalam.

Menurut Anas, selepas kehilangan kerja pada Ogos tahun lalu, dia pernah bekerja di tempat lain, namun tidak bertahan lama.

Dalam tempoh setahun itu juga, Anas mengakui terpaksa menumpang rumah kenalannya di sekitar ibu negara disebabkan sudah tidak mampu membayar sewa.

“Saya ada kakak yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan, namun tidak boleh ke sana kerana tidak dibenarkan rentas negeri, jadi saya menumpang di rumah kawan-kawan selama setahun.

“Saya mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bekerja sebagai penghantar makanan untuk tampung perbelanjaan bulanan,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu kepada tiga cahaya mata dari Taman Desa, Johor Bahru menerima nasib berbeza apabila terpaksa melupakan hasrat pulang ke Kuala Kangsar dan Teluk Intan, Perak selepas suaminya diserang pe­nyakit strok.

Nurain Rozman, 28, membe­ri­tahu, suaminya, Sabri Moha­med Khairi, 36, disahkan menghidap penyakit itu pada Julai lalu.

“Keinginan nak balik kampung di Perak untuk berjumpa dengan keluarga memang ada, tetapi memandangkan suami tak mampu berjalan, saya terpaksa pendamkan sahaja.

“Segala perbelanjaan terpaksa dicatu dan didahulukan untuk tujuan rawatan susulan serta keperluan suami. Sekiranya suami kembali pulih seperti sedia kala, insya-­Allah kami sekeluarga akan pulang ke kampung,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Lebih 140,000 individu hilang kerja kesan pandemik Covid-19

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sejumlah 140,608 individu hilang pekerjaan sejak Mac tahun lalu sehingga 20 Ogos lalu, sepanjang tempoh negara dilanda pandemik Covid-19.

Menteri sumber manusia Datuk Seri M Saravanan berkata data itu berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kerajaan sedar serta amat prihatin terhadap impak Covid-19 di kalangan rakyat yang serius. Dalam tempoh tidak menentu ini ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan, memerlukan sokongan dan bantuan.

“Sehubungan itu, antara tindakan kerajaan bagi menangani kehilangan pekerjaan adalah menyalurkan bantuan dengan membantu Orang Berinsurans yang telah kehilangan pekerjaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu statistik kehilangan pekerjaan di kalangan rakyat sejak pandemik Covid-19 melanda dan apakah tindakan kerajaan menanganinya.

Tambah Saravanan bantuan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) meliputi faedah berbentuk kewangan dan bantuan pencarian pekerjaan seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan dan pembiayaan fi latihan.

Menurutnya sehingga kini lebih satu juta pencari kerja telah berdaftar di portal pekerjaan MYFutureJobs dari 1 Januari lalu sehingga Ogos, dengan 203,102 individu berjaya mendapat pekerjaan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah individu hilang kerja antara fokus Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Jumlah individu yang kehilangan pekerjaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan yang akan diajukan Su Keong Siong (PH-Kampar) kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Su turut bertanya mengenai langkah kerajaan dalam membantu golongan yang hilang pekerjaan, terutamanya sektor pelancongan, hotel dan industri makanan dan minuman (F&B) untuk mendapat kembali pekerjaan masing-masing.

Dalam sesi sama, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) meminta Menteri Kewangan menyatakan status terkini program i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilaksanakan pada Julai 2021.

Selain itu, Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan mengenai status pengedaran 150,000 unit komputer riba yang diluluskan dalam Belanjawan 2021, terutamanya di Sabah.

Beliau juga bertanyakan sama ada kementerian akan menambah lagi pengedaran komputer riba bagi memudahkan pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Persidangan Parlimen kemudian disusuli sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang masuk hari kedua, hari ini.

Semalam, seramai 17 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Isnin.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Advance selamatkan 50,000 individu hampir hilang kerja

SHAH ALAM, 24 OGOS: Program Selangor Advance menyelamatkan pekerjaan 50,000 individu daripada 900 syarikat yang mengalami masalah aliran tunai akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang diperkenal dalam Pakej Selangor Prihatin sebelum ini diteruskan menerusi Pakej Kita Selangor dengan memberi kemudahan tunai kepada syarikat terbabit untuk terus beroperasi ketika penularan Covid-19.

“Selangor Advance bantu 900 syarikat dan lebih 50,000 pekerja yang berkemungkinan diberhentikan kerja kalau aliran kewangan tidak dibantu,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab serentak soalan empat Ahli Dewan Negeri yang meminta penjelasan berhubung usaha kerajaan membantu syarikat terjejas akibat penularan Covid-19 dan isu berkaitan ekonomi negeri.

Soalan dikemukakan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang), Dr Daroyah Alwi (PPBM-Sementa), Lau Weng San (PAKATAN-Banting) dan Dato’ Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong).

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan pelbagai inisiatif diperkenal menerusi beberapa pakej rangsangan sejak tahun lalu dapat memastikan ekonomi negeri ini terus bergerak dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut Amirudin, transformasi pendigitalan perniagaan Kerajaan Negeri seperti membantu lebih 70,000 syarikat PKS yang berniaga dalam talian di platform terkenal.

“Hasil daripada RM7 juta dibelanjakan berjaya mencatat jualan langsung RM100 juta dan memberi kesan ekonomi melebihi RM1 bilion,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB anggar 100 juta pekerja lagi jatuh miskin akibat Covid-19

SHAH ALAM, 3 JUN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangka lebih 100 juta pekerja lagi jatuh miskin kesan pandemik Covid-19.

Unjuran di seluruh dunia mengambil kira bilangan jam bekerja yang merosot teruk selain tiada akses kepada pekerjaan berkualiti, lapor Kosmo.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam laporannya turut menjangka sektor pekerjaan paling awal akan pulih pada 2023 atau mengambil masa lebih lama.

“Covid-19 bukan hanya krisis kesihatan awam tetapi ia juga krisis pengangguran dan kemanusiaan,” kata ketua ILO Guy Ryder menambah kira-kira 255 juta orang hilang kerja sepenuh masa tahun lalu.

Laporan sama juga menunjukkan pengangguran global dijangka berjumlah 205 juta orang tahun depan, mengatasi bilangan 187 juta pada 2019.

Categories
EXCO SELANGOR

Covid-19: B40 bertambah di Selangor akibat ekonomi lembab

SUBANG JAYA, 11 OGOS: Jumlah rakyat berpendapatan rendah (B40) di negeri ini meningkat disebabkan kelembapan ekonomi kesan penularan Covid-19, kata EXCO kerajaan prihatin.

V Ganabatirau berkata ramai individu hilang kerja dan pendapatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun Kerajaan Selangor sentiasa berjaga-jaga, dalam masa sama mencari peluang bantu rakyat dapatkan pekerjaan.

“Kerajaan Selangor akan rancang pelbagai lagi inisiatif untuk basmi kemiskinan negeri ini terutama golongan miskin bandar yang dilihat lebih susah berbanding luar bandar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Aktiviti Komuniti Berdaya (PAKB) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini.

Ganabatirau berkata antara langkah Kerajaan Negeri adalah menguatkuasakan undang-undang lesen perniagaan kepada warga asing.

“Kita tidak benarkan mereka berniaga. Hanya mahu rakyat tempatan memonopoli perniagaan. Ini peluang mereka menjana pendapatan selepas kehilangan kerja,” katanya.

Pada 15 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan RM413.9 juta diperuntukkan menerusi pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin bagi menangani impak penularan pandemik itu di negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan wujud portal khas bantu rakyat hilang kerja di luar negara

TAPAH, 8 OGOS: Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan sebuah portal khas khusus untuk rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di luar negara, berikutan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menterinya Datuk Seri M Saravanan berkata, ia perlu bagi memudahkan kementerian mengetahui jumlah sebenar mereka yang kehilangan pekerjaan, dengan mendaftar di portal itu sebelum dibantu menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad.

“Butiran lanjut mengenai portal tersebut akan saya umumkan Isnin ini. Saya perlu mengetahui angka sebenar rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, supaya kementerian dapat menawarkan pelbagai latihan kemahiran atau peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka.

“Ini adalah antara langkah-langkah yang kita lakukan untuk mengatasi masalah pengangguran, kerana kebanyakan mereka yang kehilangan pekerjaan ini, mempunyai komitmen yang cukup tinggi seperti pinjaman perumahan dan kereta, walaupun ia adalah isu peribadi, tetapi kerajaan amat prihatin dengan nasib yang menimpa mereka,” katanya.

Saravanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Go Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Orang Asli di Dewan Merdeka, hari ini.

Pada Rabu lepas Saravanan berkata, kerajaan memberi jaminan membela nasib rakyat yang kehilangan pekerjaan di Singapura, apabila syarikat di negara itu mula melakukan pembuangan pekerja akibat penularan Covid-19.

Beliau mengadakan pertemuan dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura, bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap kira-kira 400,000 pekerja Malaysia di negara itu.

Dalam pada itu Saravanan berkata, rakyat di negara ini diminta supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dan perlu merebut apa sahaja peluang pekerjaan, memandangkan ketika ini keadaan dunia yang berdepan dengan kelembapan ekonomi disebabkan Covid-19.

“Saya nasihatkan kepada mereka, terima sahajalah peluang kerja yang ditawarkan walaupun ada di antara mereka (golongan profesional), pernah menikmati gaji yang lumayan tetapi disebabkan keadaan (kelembapan ekonomi) pada hari ini luar biasa, lebih baik ada pekerjaan dengan gaji yang lebih rendah, daripada tidak ada kerja langsung.

“Dengan pelaksanaan pelbagai program dan kursus yang ditawarkan kerajaan, saya memberi jaminan keadaan akan pulih seperti sedia kala, tetapi ia akan mengambil masa sedikit,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO galak individu hilang kerja berniaga dalam talian

SHAH ALAM, 23 JULAI: EXCO pembangunan usahawan menggalakkan individu yang hilang pekerjaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berniaga secara dalam talian.

Rodziah Ismail berkata kaedah itu penting untuk menambah pendapatan terutama ketika penularan Covid-19 tetapi mereka dinasihatkan mempunyai ilmu atau asas perniagaan.

“Kerajaan Negeri prihatin masalah rakyat yang memerlukan pendapatan segera selepas hilang pekerjaan susulan pandemik, namun mereka digalakkan untuk memulakan langkah awal berniaga secara digital.

“Bagaimanapun, saya tidak menggalakkan mereka meniaga di kaki lima, jika perlu harus memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan risiko tidak diingini berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Laporan Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan individu hilang pekerjaan meningkat 42 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Kadar pengangguran dijangka mencecah empat peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7 peratus ketika kegawatan ekonomi pada 2018.

Categories
BERITA UTAMA

MB gesa rakyat hilang kerja sebab Covid-19 daftar JobsMalaysia

SHAH ALAM, 15 JULAI: Rakyat yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 diminta mendaftar dengan jobsmalaysia.gov.my, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata statistik Jabatan Tenaga Kerja mendapati 4,000 rakyat negeri ini hilang sumber pendapatan kesan penularan virus itu.

“Kerajaan Negeri menjalin kerjasama dengan JobsMalaysia bagi membolehkan padanan kerja yang lebih mudah dan sistematik kerana impak Covid-19 menyebabkan banyak syarikat tidak mampu bertahan.

“Kita akan pantau bilangan sebenar pengangguran akibat penularan wabak dari semasa ke semasa sehingga hujung tahun,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis
Mohd Zawawi Ahmad Mughni berhubung jumlah rakyat hilang pekerjaan pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin menambah program Selangor Kerjaya yang diumumkan di bawah pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga bakal memberi manfaat kepada mereka yang menganggur di negeri ini.

“Program Selangor Kerjaya membantu meningkatkan tahap kemahiran, latihan semula kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada,” katanya.

Beliau menjelaskan pelaksanaan itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM58 juta dalam tempoh tiga tahun. Tawaran itu khusus untuk mereka yang diberhentikan kerja untuk diberi latihan kemahiran baharu sesuai dengan Revolusi Industri 4.0.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

24,600 hilang kerja sehingga bulan lalu

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Laporan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati, 24,600 pekerja diberhentikan majikan bagi tempoh Januari sehingga September lepas, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sektor pembuatan mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu 7,944 orang.

Bagi membantu pekerja yang diberhentikan, kerajaan telah mengambil langkah-langkah seperti memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai Januari 2018 sebagai satu bentuk perlindungan keselamatan sosial kepada golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Pihak majikan juga dikehendaki melaporkan kepada JTK sekiranya ingin melaksanakan pemberhentian pekerja.

“Kerajaan menetapkan melalui Akta Kerja 1955 bagi mengutamakan pekerja dalaman dan pekerja asing diberi pilihan akhir,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin tahu langkah untuk mengurangkan pembuangan pekerja dan angka terkini mengikut pecahan industri.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai langkah kerajaan bagi membantu golongan yang hilang pekerjaan, Kulasegaran berkata, rakyat negara ini dipelawa menceburi bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, analisis kementerian bersama Bank Dunia mengenai “Critical Occupation List” mendapati, dalam tempoh empat hingga lima tahun, kira-kira 80 peratus pelajar jurusan akaun berkemungkinan tidak akan mempunyai pekerjaan.

“Penekanan baru yang perlu diberi perhatian ialah kita mempelawa warga negara supaya memberi perhatian kepada kerja-kerja yang ada harapan untuk dapat kerja iaitu dalam bidang TVET,” tambahnya.

– BERNAMA