Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 23,000 polis, keluarga dijangkiti Covid-19

MARANG, 5 DIS: Seramai 23,766 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga mereka telah dijangkiti Covid-19, sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lalu sehingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata daripada jumlah tersebut seramai 1,794 orang merupakan pegawai kanan polis; 10,577 orang pegawai rendah polis; 1,137 orang pegawai awam; manakala 10,258 orang adalah ahli keluarga.

“Bagi jumlah kematian pula, sebanyak 39 kes kematian direkodkan dalam kalangan pegawai dan anggota polis. Ia terdiri daripada empat pegawai kanan dan 35 pegawai rendah. Pegawai awam yang meninggal dunia akibat Covid-19 pula adalah seramai tiga orang dan anggota keluarga polis pula seramai 118 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan Toyota Hilux GS Cargo Kepada Kontinjen Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6, di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mazlan menyerahkan 26 pacuan empat roda jenis Toyota Hilux GS Cargo bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri yang bakal membantu penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir.

Katanya penyerahan pada hari ini merupakan sebahagian daripada 400 Toyota Hilux GS Cargo yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan peruntukan sebanyak RM62 juta.

Sementara itu, Mazlan berkata sebanyak 32 pasukan di Terengganu melibatkan 65 pegawai dan 190 anggota serta pegawai awam bersiap siaga menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh ini.

“Kami telah bersiap sedia dari segi keanggotaan, kursus dan kefahaman tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya banjir berlaku. Kami juga telah menyiapkan aset-aset yang diperlukan terutama bot-bot yang banyak,” katanya.

Pada majlis tersebut Mazlan turut mengumumkan pembinaan 10 unit kuarters bagi pegawai dan anggota polis di Pulau Redang yang memperuntukkan kos sebanyak RM13 juta.

Katanya proses dokumentasi dan tender bagi pembinaan kuarters di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu akan bermula tahun hadapan.

“Sekarang hanya terdapat lapan unit kuarters di Pulau Redang tetapi pegawai dan anggota di sana adalah seramai 28 orang. Kebanyakan mereka tinggal di tanah besar dan terpaksa ulang-alik menaiki bot untuk bertugas. Jadi amat membahayakan keselamatan mereka terutama musim tengkujuh ini,” katanya.

— BERNAMA