Categories
NASIONAL SELANGOR

Ugutan MTPKL: JK BERSIH 3.0 Bersidang Malam Ini

SHAH ALAM 13 OGOS : Jawatankuasa Bersih akan membincangkan ugutan Kumpulan anti-BERSIH, Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) yang mengancam untuk bertindak agresif ke atas Himpunan Janji BERSIH.

Pengerusi Bersama BERSIH 3.0, Datuk A Samad Said ketika dihubungi TVSelangor memberitahu satu mesyuarat akan diadakan malam ini.

“Asalnya kita hanya menganjurkan majlis berbuka puasa namun apabila perkara ini dibesar-besarkan maka kita akan berbincang lanjut mengenainya.

“Selepas perbincangan tersebut, saya yakin kita akan mencapai kata putus mengenai tindakan selanjutnya berhubung ugutan tersebut,” jelas beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Tambahnya, sebarang keputusan yang dicapai akan diumumkan oleh Pengerusi BERSIH, Datuk S. Ambiga kelak.

Sebelum ini, lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengumumkan akan menganjurkan ?Himpunan Janji BERSIH? sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada tahun ini.

MTPKL bagaimanapun meminta gabungan NGO pimpinan Sasterawan Negara itu untuk menimbang semula cadangan mengadakan perhimpunan tersebut bagi mengelakkan ia menjadi medan pertempuran.