Categories
NASIONAL

PKR Mula Failkan Petisyen 29 Kerusi Minggu Depan

SPR tipu suara rakyat 505 pj 01

PETALING JAYA, 27 MEI: Bermula minggu ini, PKR akan mula memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 di 29 kerusi parlimen berhubung kepincangan yang berlaku dalam proses pengundian.

Petisyen tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi mengikut negeri masing-masing.

Demikian menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam ucapannya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin yang membanjiri Himpunan Kemuncak Suara Rakyat 505 di Padang Timur MBPJ Sabtu lalu.

Rafizi turut menempelak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menurutnya diperkudakan oleh Umno-BN.

“Kalau rakyat beritahu ada penipuan, mereka (SPR) patut cakap… baik rakyat, kami akan siasat seadil-adilnya, susah sangat ke nak cakap macam itu?

“Kalau ketagih sangat nak jadi ahli politik, letak jawatan sekarang juga, jangan jadi Timbalan Pengerusi SPR,” kata Rafizi.

Sementara itu Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk Ambiga Sreenevasan pula percaya kegagalan fungsi dakwat kekal sememangnya sudah diketahui oleh SPR sendiri sebelum pilihan raya bermula.

“Sebab itulah SPR tidak mahu mengadakan demonstrasi dakwat kekal sebelum pilihan raya kerana dia sudah tahu dakwat tersebut tidak kekal,” ujar Ambiga.

Pakatan Rakyat mempercayai PRU-13 yang berlangsung pada 5 Mei lalu adalah yang terkotor di dalam sejarah negara.

Bagaimanapun keputusan pilihan raya tersebut boleh dicabar dengan mengemukakan petisyen atau bantahan terhadap proses pengundian itu selepas pewartaan keputusan oleh SPR.

Petisyen tersebut hendaklah dibuat dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan pilihan raya diwartakan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Chegu Bard: Jika SPR Terus Membisu, Kita Tuju Ke Dataran Merdeka

flags suara rakyat 505 pj 01

PETALING JAYA, 27 MEI: Rakyat yang membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) harus bersedia untuk turun ke Dataran Merdeka sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus tidak menghiraukan dakwaan penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU 13.

Desakan itu dibuat penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, Himpunan Kemuncak Suara Rakyat 505 yang diadakan di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini Sabtu lalu

“Jika Wan Ahmad membisu, jika Aziz membeku, jika SPR buat pekak badak, rakyat akan menuju ke Dataran Merdeka,” kata beliau dan disambut teriakkan bersemangat lebih 50,000 perserta perhimpunan tersebut.

Beliau merujuk kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar, yang sebelum ini didesak supaya meletakkan jawatan mereka ekoran perjalanan PRU 13 yang tempang dan cacat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, sebelum itu turut membayangkan satu lagi perhimpunan akan diadakan di Dataran Merdeka selepas ini.

“Cukup setakat ini dahulu, dan Insya-Allah kita akan bertemu di Dataran Merdeka selepas ini sehinggalah tuntutan-tuntutan kita dipenuhi oleh (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) dan SPR,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, sekiranya rakyat tidak bangkit menentang penipuan dan penyelewengan tersebut, perkara yang sama akan terus berlaku di masa akan datang.