Categories
NASIONAL

Ayuh bersama PAKATAN selamatkan Malaysia – Wan Azizah

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 6 MEI: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengajak rakyat untuk menyertai Pakatan Harapan (PAKATAN) selepas ramai pimpinan Umno memilih untuk menyertai gabungan itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu bangkit mengubah kerajaan dan tidak membenarkan kerajaan rakus terus memerintah negara.

“Jika Tun Daim yang diam ini sudah bersuara, maksudnya kita perlu tukar kerajaan. Jika Tun sudah tinggalkan Umno, kita tunggu apa lagi.

“Mereka kata, kalau Umno tidak ada, mati kita. Hei..Melayu Umno yang melingkupkan negara. Melayu Umno yang merompak Tabung Haji, rompak Felda bukan Lim Kit Siang,” katanya.

Beliau berkata demikian di Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Pada masa sama, Wan Azizah turut mahu rakyat menyambut kemenangan PAKATAN itu menjelang kebebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 8 Jun depan.

Lebih 50,000 orang membanjiri Padang AU2 Keramat, di sini bagi mendengar amanat daripada pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Rakyat mula membanjiri padang itu seawal jam 6 petang, walaupun hujan lebat selama hampir dua jam, mereka tetap tidak berganjak.

Laungan ‘hidup rakyat’ dan ‘Pakatan Harapan’ mengamatkan kawasan terbabit.

Himpunan malam itu turut dihadiri Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tsunami Rakyat bakal melanda negara 9 Mei ini – Tun M

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 6 MEI: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad percaya ‘Tsunami Rakyat Malaysia’ akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, Hulu Kelang, beliau kagum dengan kehadiran hampir 50,000 rakyat bagi menyatakan sokongan kepada PAKATAN.

“Saya tidak pernah melihat begitu ramai orang berdiri dalam hujan bukan untuk mendengar syarahan tetapi mengatakan sokongan terhadap perubahan rakyat,” katanya.

Katanya, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan beliau adalah pahlawan Bugis tetapi hakikatnya takut dengan diri sendiri apabila wajah beliau terpaksa ditutup di poster sepanjang tempoh berkempen.

“Sudah lama kita menderita, kita lihat PM cuba beli undi. Undi itu percuma,
Najib tidak payah guna duit banyak, turun salam dengan orang cukup tapi dia jawab ‘Cash Is King’.

“Mereka dapat duit lupa segalanya. Duit tidak boleh beli segalanya, syurga di akhirat,” katanya.

Dalam ucapannya Mahathir menggesa rakyat supaya keluar mengundi dan memberikan majoriti kemenangan besar kepada PAKATAN supaya dapat membentuk kerajaan baru buat Malaysia.

Categories
NASIONAL

Tukar kerajaan, jangan biar GST tekan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

HULU KELANG, 6 MEI: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilakukan kerajaan sebagai ‘Goverment Suka Tipu’.

Katanya, ini diakui sendiri Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang sebelum ini menyatakan bahawa pelaksanaan GST akan menurunkan harga barang.

“Ini semua berita palsu (fake news), sebab itu Kerajaan wujudkan Akta Berita Tidak Benar kerana mereka yang banyak sebarkan ‘fake news’,” katanya Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Sementara itu, Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafizah Azizah berkata, menukar kerajaan umpama memberikan kontrak baru kepada pihak pengurusan menguruskan sebuah rumah.

Menurutnya, Malaysia seperti sebuah rumah, namun diuruskan oleh sebuah syarikat yang mempunyai rekod ‘F’ atau gagal dalam kad laporan pengurusan.

“Semua dalam tangan kita, PRU seperti nak buat kontrak mengurus baru untuk rumah kita (Malaysia).

“Begitu lama dari zaman Perikatan hingga Barisan Nasional (BN)

“Rumah dah bocor, pinggan mangkuk dicuri. Pengurusan yang ada sekarang tidak boleh pakai. Kena tukar syarikat baru,” katanya.

Katanya, PAKATAN merupakan ‘syarikat’ yang layak untuk menguruskan Malaysia dengan rekod pentadbiran cemerlang sejak 10 tahun lalu.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib ‘tak tidur lena’ fikir tsunami Melayu – Muhyiddin

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 6 MEI: Calon Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kini ‘tidak tidur malam’ kerana bimbang kebangkitan rakyat khususnya orang Melayu yang kian menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN).

Beliau berkata, orang Melayu sudah berubah dan tidak lagi dimomokkan dengan sentimen perkauman yang sering dimainkan Barisan Nasional (BN) demi menagih undi.

“Mereka takut dengan bayangan Tun Mahathir sehingga memadam wajah Tun kerana mereka melakukan kesalahan dan tidak bertanggungjawab sehingga rakyat tertindas,” katanya pada Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat.

Menurutnya, kegagalan gabungan Pembangkang yang ketika itu Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-13 walaupun mendapat undi popular 52 peratus disebabkan sentimen kononnya ‘orang Melayu akan dikuasai DAP dan Lim Kit Siang’.

“Orang Melayu sudah berubah sikap menentang BN dan menyokong PAKATAN.

“Pakatan rakyat tidak menang kerana orang Melayu masih menyokong UMNO. Kini satu anjakan telah berlaku dan orang Melayu akan berubah,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau turut melaungkan keyakinan beberapa kubu kuat UMNO di Johor akan tumbang.

“Tidak mungkin tembok yang kuat akan runtuh. Sebahagian besar orang Melayu di Johor dan Malaysia sudah mengetahui hak mereka,” katanya.

Sementara itu, calon KEADILAN Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyeru supaya mengekalkan Kerajaan PAKATAN di Selangor bagi meneruskan agenda Peduli Rakyat.

Nurul Izzah berkata demikian menerusi lintas langsung daripada Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“Kita mahu kekal Kerajaan Selangor untuk teruskan agenda peduli,” katanya.