Categories
AGENDA NASIONAL

Pemandu e-panggilan mengaku salah hina Agong

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di laman sosial Twitter, Mac lepas.

Sufazrin Amin Ismail, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy yang kemudiannya menetapkan 27 Ogos untuk menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Sufazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil “Fazrin Ismail” atau “@Fazr_Ismail”.

Dia dituduh membuat empat hantaran dengan penyataan yang berbeza terhadap Yang di-Pertuan Agong antara pukul 1.56 tengah hari dan 10.29 malam, pada 23 Mac dan 25 Mac lepas.

Kesemua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada pukul 7 malam, 28 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira hantaran OKS itu berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong.

“OKS sebagai rakyat Malaysia seharusnya taat setia kepada raja dan negara. Saya mohon hukuman berbentuk pengajaran supaya masyarakat tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Sufazrin Amin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia berasal dari keluarga susah dan ibunya bekerja sebagai penoreh getah.

“Saya telah insaf dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana hantaran saya itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.

“Saya berjanji tidak akan mengaibkan atau menghina mana-mana pihak lagi,” katanya dalam nada sebak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Hina Agong di laman sosial, dua lagi ditahan

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Dua lagi individu ditahan kerana disyaki memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini tiga individu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata dua lelaki itu, masing-masing ditahan di Sandakan, Sabah dan Sungai Buloh, Selangor semalam.

“Mereka ini akan direman (untuk siasatan) dan keputusan sama ada mereka ini akan dituduh (di mahkamah) atau tidak akan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.

“Pihak polis akan terus ambil tindakan untuk mengelak perkara ini (perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong) berterusan,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seorang pemilik akaun Twitter yang memuat naik status mempunyai unsur-unsur hasutan akan dipanggil untuk memberi keterangan esok.

“Polis tidak mahu ketenteraman awam terganggu dan akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Semalam, Huzir dilapor berkata polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun kerana memuat naik status menghina Al-Sultan Abdullah di laman sosial Facebook.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung satu perhimpunan haram yang diadakan berdekatan sebuah pusat beli-belah di ibu negara semalam.

“Polis sedang kenal pasti siapa yang hadir dalam perhimpunan itu dan akan jalankan siasatan sewajarnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’: Polis terima 209 laporan

KUALA LUMPUR, 14 APR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 209 laporan polis berhubung kenyataan jelik pemilik akaun Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sehingga hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, usaha mengenal pasti dan mengesan pemilik akaun Facebook itu kini dipertingkat.

“Walaupun akaun berkenaan telah disekat oleh pihak Facebook dan tidak lagi boleh diakses, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebar atau berkongsi tangkap layar posting jelik yang dibuat pemilik akaun tersebut melalui apa jua rangkaian komunikasi dan media sosial.

“Ini kerana posting tersebut berupaya menimbulkan provokasi keterlaluan dan boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini satu status dimuat naik di laman Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ tular menerusi media sosial, memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong diubah suai yang menghina dan mencerca baginda.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

91 laporan polis kerana hina Agong – Fuzi

KUALA LUMPUR, 13 APR: Sebanyak 91 laporan polis telah diterima setakat semalam berhubung status dimuatnaik oleh pemilik Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang menghina dan mencerca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Fuzi menambah, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi, untuk membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan juga kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, satu status dimuat naik di laman Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ tular di media sosial sejak beberapa hari lalu memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong diubah suai yang menghina dan mencerca baginda.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hina Agong: Ketua Polis Negara diarah siasat segera

PUTRAJAYA, 12 APR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengecam keras paparan di Facebook (FB) yang dimuat naik oleh kumpulan mengelar diri mereka ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ berhubung gambar yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong di lamam sosial tersebut.

Menteri berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata selain menghina Raja, tindakan menggubah gambar Yang di-Pertuan Agong adalah perbuatan yang melanggar undang-undang negara.

“Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya menyiasat kes ini dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan,” katanya dalam entri terbaru di laman FB miliknya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat.

Beliau ​​​​​​​juga menyifatkan ia adalah satu perbuatan melampau yang tidak melambangkan tatasusila rakyat serta bercanggah dengan prinsip Rukun Negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dilaporkan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab susulan imej yang menghina itu dimuat naik di laman FB semalam.

SUMBER: BERNAMA