Categories
AGENDA NASIONAL

Satu SOP, sembilan garis panduan peralihan ke fasa endemik mulai 1 April

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Satu tatacara operasi piawai (SOP) dan sembilan garis panduan akan dilaksanakan dalam Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 berkata ia merupakan antara tujuh tonggak paling penting di fasa tersebut terutama dalam usaha negara menuju kepada kehidupan normal.

Hishammuddin berkata secara asasnya, satu SOP yang mengandungi 10 keperluan itu telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ia masih akan dikuat kuasakan di bawah Akta 342 mulai 1 April.

“Kesemua 10 keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Fasa PPN. Atas sebab itu, saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh untuk terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sepuluh keperluan itu ialah memakai pelitup muka ketika di tempat awam, waktu operasi mengikut lesen atau permit, menjaga kebersihan tangan, melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan Strategi Pengujian Kebangsaan dan menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu adalah menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan, memastikan penjarakan fizikal satu meter, memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik, memastikan kebersihan premis dan mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

Seiring dengan Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ yang mengkehendaki rakyat belajar hidup bersama dengan Covid-19 dan lebih mengutamakan disiplin kendiri, Hishammuddin berkata adalah amat penting untuk semua memahami risiko penularan Covid-19 serta mengamalkan langkah pencegahan.

Beliau berkata susulan itu, sembilan garis panduan juga telah dibangunkan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Bagaimanapun, menurutnya sembilan garis panduan itu tidak akan dikuat kuasakan sebaliknya ia akan menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.

Sembilan garis panduan itu merangkumi pengangkutan dan perjalanan; pendidikan dan penjagaan; aktiviti peruncitan, makanan dan minuman; ruang kerja tertutup; kawasan kerja terbuka; acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong; hotel dan penginapan tetamu; keagamaan, perkahwinan dan pengebumian serta aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.

“Untuk setiap garis panduan berkenaan, terdapat dua perincian iaitu cara penilaian risiko penularan Covid-19 serta gejala Covid-19 dan cara mengamalkan SOP dengan betul,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata satu laman sesawang sedang dibangunkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memudahkan masyarakat memahami dengan lebih lanjut mengenai satu SOP dan sembilan garis panduan tersebut serta Fasa Peralihan ke Endemik secara keseluruhannya.

Beliau berkata laman sesawang itu dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekali gus membantu masyarakat membuat persiapan sebelum fasa tersebut bermula.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan KKM serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP, Khairy arah KKM kompaun Hishammuddin, pemimpin BN

JOHOR BAHRU, 13 FEB: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengeluarkan kompaun ke atas penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC di Stadium Educity, Iskandar Puteri hari ini, kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Turut berdepan tindakan kompaun Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran.

Perkara itu diumumkan Khairy menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

“Saya telah mengarahkan pegawai @KKMPutrajaya untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir & penganjur di bawah Akta 342.

“@KKMPutrajaya akan terus pantau SOP sempena PRN Johor,” menurut ciapan beliau.

Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi pautan sebuah portal yang memuat naik video majlis berkenaan.

Difahamkan, majlis itu bermula pada 5.20 petang dan dianggarkan 3,000 hadir pada majlis berkenaan.

Ini adalah kali pertama pemimpin parti politik dan penganjur dikenakan kompaun sempena PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kegiatan sijil vaksin palsu bawa mudarat, boleh jadi punca peningkatan kes

KOTA KINABALU, 13 JAN: Pihak berkuasa diminta terus menjalankan siasatan terperinci bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan sijil vaksinasi COVID-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata penipuan membabitkan sijil vaksinasi itu merupakan perkara yang tidak boleh dimaafkan kerana ia akan memudarat serta mendedahkan orang ramai kepada pandemik COVID-19.

“Bagi saya, kita tidak akan kompromi penipuan sijil vaksinasi COVID-19… ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan saya gembira bila pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap individu tertentu.

“Namun siasatan mesti diteruskan kerana ketamakan mereka untuk mendapatkan keuntungan dan ambil kesempatan dalam musibah yang melanda dunia perlu ditangani dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi di sini hari ini.

Hishammuddin juga berkata tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu itu boleh menyebabkan kes COVID-19 di negara ini meningkat.

“Mereka akan menjejaskan orang yang tidak berdosa… kita tahu sekarang ada varian yang lebih berbahaya iaitu Omicron dan kita tidak mahu kes COVID-19 kembali meningkat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aset, anggota tentera digerak bantu mangsa banjir di Selangor

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Anggota serta aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula diatur gerak dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi hantaran Facebooknya, berkata atur gerak aset dan anggota ATM itu kini melibatkan bantuan mangsa banjir di Selangor khususnya di Klang, Sepang, Damansara dan Bukit Lanchong.

“Anggota serta aset daripada 11 Briged serta 12 Briged telah berada di lapangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di situ.

ATM dalam masa sama bersiap-siaga memperluaskan operasi bantuan di kawasan-kawasan lain yang berpotensi terjejas teruk,” katanya.

Hishammuddin dalam pada itu mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga menerusi hantaran itu.

“Jauhi tempat dilanda banjir, pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarah dan jaga prosedur operasi standard semasa berada di Pusat Pemindahan Sementara.

Sama-samalah kita doakan semoga situasi banjir ini segera pulih,” menurutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa endemik ditangguh, waspada penularan varian Omicron

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Usaha peralihan ke fasa endemik ditangguh seketika sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut mengenai varian baharu Covid-19, Omicron, yang lebih mudah merebak berbanding Delta.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setakat ini, kerajaan mengambil maklum varian itu bukan sahaja telah menular di selatan benua Afrika, tetapi juga di beberapa buah negara antaranya, Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.

“Walaupun sehingga hari ini kita tidak dengar kes di negara kita, tetapi tindakan berhati-hati terus dilaksanakan.

“Kita bimbang semua yang telah kita rancangkan sebelum ini, kita telah umumkan kelonggaran SOP (prosedur operasi standard), tujuh asas yang kita harap dapat diumumkan dalam masa terdekat dalam fasa endemik, semua ini mungkin terjejas kalau sekiranya kita tidak dapat pantau secara lebih dekat penularan Omicron dan bagaimana kita dapat tanganinya,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Parlimen hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan tujuh indikator utama yang perlu dicapai sebelum Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mengisytiharkan Malaysia memasuki fasa endemik, sekali gus bersedia untuk hidup bersama virus Covid-19.

Ia termasuk berkenaan jumlah penggunaan katil hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC); kapasiti ujian di makmal dan kadar positif Covid-19.

Hishammuddin berkata KKM juga sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan varian Omicron dan akan mengumumkan perkara tersebut tidak lama lagi.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat ke atas negara-negara yang telah melaporkan penyebaran varian Omicron.

Mengulas mengenai gesaan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa agar sekatan perjalanan ke atas negara itu dibatalkan, Hishammuddin berkata keputusan untuk menyekat adalah berlandaskan risiko keselamatan dan nasihat daripada KKM.

“Apa yang diputuskan oleh KKM tidak jauh dengan apa yang diumumkan oleh negara-negara lain di luar sana, saya percaya negara Afrika faham dia (sekatan) bukan berhubung kait dengan diplomasi atau geopolitik tetapi soal kesihatan.

“Takkan kita nak jejaskan apa yang kita dah lakukan selama satu setengah tahun ini dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab,”katanya.

Cyril Ramaphosa semalam menggesa negara terlibat supaya segera membatalkan larangan perjalanan ke negara itu yang dianggapnya tidak wajar secara saintifik kerana dikaitkan dengan penemuan varian Omicron.

Sementara itu, mengulas mengenai risiko pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui Laluan  Perjalanan Vaksinasi (VTL) ekoran penularan varian baharu itu, Hishammuddin meminta semua pihak untuk sentiasa berwaspada bagi mengelak penularan Omicron di negara ini.

“Mesyuarat Kuartet mengambil maklum perbincangan kedua-dua Perdana Menteri (Malaysia dan Singapura) berhubung kait dengan kemungkinan destinasi lain yang berpotensi (dilaksana VTL) seperti Singapura ke Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Saya dah minta semua pihak untuk terus memikirkan dan berbincang dengan pihak negara  berkenaan tetapi kita tidak akan buat keputusan sehingga kita tahu kesan dan impak sebenar varian baharu ini,” katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas pesawat: Keputusan gantung Hawk 108 lepas siasatan selesai

MELAKA, 17 NOV: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setakat ini pesawat pejuang Hawk 108 akan terus digunakan untuk latihan dan operasi.

Beliau berkata sebarang keputusan untuk menggantung pengunaan pesawat itu hanya akan ditentukan selepas hasil siasatan Lembaga Siasatan Khas berhubung insiden pesawat pejuang Hawk terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.

Katanya, keputusan itu tertakluk kepada keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung penggunaannya.

“Bagaimanapun, keputusan itu kita serahkan kepada yang lebih pakar (lembaga siasatan khas) dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera akan melaporkan keperluan mereka,” katanya di sini hari ni.

Sementara itu Hishammuddin turut mengingatkan agar tiada pihak cuba mengambil kesempatan serta mengeruhkan keadaan ketika siasatan masih dijalankan selain beliau menzahirkan rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kedua anggota yang terlibat dalam kejadian itu.

Dalam nahas yang berlaku pada jam10.07 semalam, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh kriteria perlu dipenuhi sebelum beralih ke fasa endemik

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Tujuh kriteria perlu dipenuhi sebagai persediaan negara untuk beralih ke fasa endemik atau ‘Reopening Safely’ dalam menuju ke arah persekitaran hidup bersama Covid-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ia merangkumi satu tatacara operasi piawai (SOP) dengan sembilan garis panduan; sistem amaran dan tindakan (HAS); Strategi Ujian Nasional; serta TRIIS (Ujian, Laporan, Asingkan, Maklumkan, Cari).

Selain itu, automasi FTTIS (Automated Find, Test, Trace, Isolate, Support); pembukaan sempadan negara secara berperingkat; dan duta-duta pemerkasaan komuniti juga adalah antara kriteria berkenaan.

“Namun semua ini bergantung kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang akan diadakan dalam minggu ini atau minggu depan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau juga berkata peralihan ke fasa endemik akan dilakukan secara serentak di seluruh negara, berdasarkan kepada kriteria antarabangsa termasuk yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Hishammuddin berkata ia adalah antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 hari ini bagi memastikan setiap perancangan ke arah endemik berjalan lancar, difahami semua pihak dan tidak menjejaskan usaha membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Menurutnya peralihan ke fasa edemik merupakan langkah kerajaan seterusnya selepas kebanyakan negeri sudah berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali Sarawak dan Kelantan.

Beliau berkata kerajaan secara berhati-hati dan berperingkat telah memberikan pelbagai kelonggaran termasuk pembukaaan sektor industri, kebenaran rentas negeri, pembukaan semula sekolah dan institut pengajian tinggi serta melaksanakan gelembung pelancongan.

Sementara itu katanya pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat dan berhati-hati juga merupakan antara aspek penting dalam peralihan ke fasa endemik.

Hishammuddin berkata ia merangkumi aspek pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan; kemasukan pekerja asing di bawah Kementerian Sumber Manusia; perjalanan berkaitan perniagaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; serta skim laluan perjalanan vaksinasi (VTL) udara di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Negeri.

Skim VTL udara membolehkan individu yang telah divaksin lengkap melakukan perjalanan ke beberapa negara terpilih tanpa terikat dengan kewajipan menjalani kuarantin

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kecam ucapan benci, fitnah Islam

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Malaysia amat memandang serius dan mengambil berat permusuhan terbuka terhadap umat Islam sambil mengutuk keras tindakan retorik dan provokatif yang memfitnah agama Islam.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memetik beberapa tindakan ini sebagaimana yang dapat disaksikan dunia baru-baru ini menerusi ucapan populis serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad.

“Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia selagi mana ia digunakan secara bertanggungjawab dan penuh hormat, sekali gus tidak menafikan serta melanggar hak pihak lain.

“Dalam konteks ini, mencemarkan serta mengecam Nabi Muhammad yang dianggap paling mulia dalam Islam dan mengaitkan Islam dengan keganasan telah melangkaui batas hak tersebut.

“Tindakan tersebut bersifat provokatif dan tidak menghormati agama Islam serta lebih daripada dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang media di Parlimen pada 15 Julai 2020. Foto Facebook Hishammuddin Hussein

Hishammuddin berkata demikian susulan tindak balas dan kemarahan dunia Islam terhadap kenyataan terbuka Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai hak untuk menyiarkan karikatur Nabi Muhammad yang dianggap sebagai menghina Islam.

Kenyataan Macron minggu lalu dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas beliau menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.

Hishammuddin berkata sebagai negara Islam yang demokratik dan sederhana dengan masyarakat berbilang etnik serta agama, Malaysia akan terus memperjuangkan dan mengekalkan hubungan damai serta harmoni bukan sahaja sesama rakyat tetapi juga dalam konteks masyarakat global yang majmuk.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi meningkatkan amalan saling menghormati antara setiap agama serta mencegah ekstremisme agama di semua peringkat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia memboikot produk keluaran negara Perancis.

Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata ABIM melahirkan rasa kekecewaan atas kenyataan Macron “yang telah membuat dakwaan berunsur Islamofobia dengan berselindung di bawah kebebasan bersuara”.

“ABIM sebagai sebuah pertubuhan yang mempromosikan keharmonian beragama, mengecam pembunuhan kejam ke atas Samuel Paty dan dalam pada masa yang sama, mengkritik sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Presiden Perancis tersebut.

“Sesungguhnya, ABIM percaya bahawa sensitiviti keagamaan seharusnya dihormati di mana kepelbagaian agama seharusnya membawa kepada keharmonian dan perpaduan dan bukannya menimbulkan konflik sesama manusia,” katanya dalam satu kenyataan.

-BERNAMA