Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba buat penerbangan ihsan bawa lima kotak organ dari Melaka ke HKL

MELAKA, 17 OKT: Satu operasi penerbangan ihsan bagi membawa lima kotak organ manusia untuk kegunaan pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) digerak menggunakan helikopter Agusta AW189 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata penerbangan itu mengambil masa lebih sejam setelah pesawat berlepas dari LTAM pada 2.36 petang.

“Misi ini menggunakan ambulans udara bertujuan mempercepat penghantaran bagi menyelamatkan nyawa, menjamin integriti organ yang dipindahkan dan menjamin kualiti penghantaran organ,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata ambulans udara itu dikendalikan juruterbang Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman dan pembantu juruterbang Penolong Kanan Penguasa Bomba Safri Rambli dari Pangkalan Udara JBPM Subang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mesej mayat pesakit Covid-19 didapati masih hidup palsu

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan mesej tular yang mendakwa kononnya ada pesakit Covid-19 yang disahkan meninggal dunia, namun semasa mayat tiba di lokasi pengebumian pesakit itu didapati masih hidup.

Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan malam tadi berkata HKL menjelaskan bahawa tiada kejadian berlaku seperti dakwaan mesej tular berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai mesej itu dan berhenti daripada menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini tular mesej yang mendakwa seorang pesakit Covid-19 yang telah disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas di wad Unit Rawatan Rapi didapati masih hidup semasa di lokasi pengebumian dan seterusnya dibawa kembali ke HKL untuk rawatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

HKL: Katil penuh, pesakit terpaksa diberi CPR di lantai

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Hospital Kuala Lumpur (HKL) tampil memberi penjelasan berhubung isu tular di media sosial, berkenaan seorang pesakit yang dirawat di atas lantai di Jabatan Kecemasan dan Trauma, baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Dr Heric Corray berkata, pesakit itu dibawa ke unit berkenaan sebelum secara tiba-tiba berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan tiada denyutan serta tidak bernafas.

“Bagaimanapun ketika itu, semua katil telah digunakan dan hanya lantai yang mempunyai permukaan rata yang terbaik, maka CPR (Cardio-Respiratory Resuscitation) dilakukan serta merta. Bagaimanapun pesakit tidak dapat diselamatkan.

“Oleh kerana sebab kematian tidak dapat dikenal pasti, jenazah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat (post mortem) dan kini menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Kelmarin, media melaporkan seorang doktor yang dipercayai berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL mendedahkan, bahawa mereka sebenarnya sudah tidak mampu untuk menampung pesakit baharu di hospital itu.

Dr Heric tidak menafikan bahawa penggunaan katil di HKL pada masa ini adalah meningkat, berikutan terdapat pertambahan penerimaan kes Covid-19 dengan kebanyakan kes adalah tahap empat, namun perancangan terhadap pengurusan katil sentiasa diteliti, dengan penggunaannya hanyalah mengikut keperluan semasa.

Menurutnya pada masa yang sama HKL juga telah menangguhkan kes-kes pembedahan elektif sejak Disember tahun lepas, bagi memberi keutamaan kepada kes-kes kecemasan yang lebih memerlukan penggunaan katil.

Menyentuh laporan tentang kekangan kapasiti katil serta petugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, jelasnya penggunaan katil di unit itu pada masa ini adalah berada di tahap sangat tinggi, namun alat perubatan seperti oksigen, katil dan lain-lain sentiasa berada di dalam perancangan.

“Selain itu, tenaga kerja di ICU turut dibantu oleh petugas yang juga merupakan kakitangan yang bertugas di wad-wad biasa, serta klinik di HKL,” katanya.

Sementara itu berhubung isu bekalan oksigen di wad pula, beliau berkata ketika ini bekalan oksigen sama ada jenis piping atau silinder masih di tahap yang mencukupi.

Katanya HKL sentiasa menyusuli syarikat pembekal, bagi memastikan proses bekalan sentiasa di tahap optima bagi keperluan oksigen di wad-wad HKL.

“Sekiranya terdapat keperluan bekalan oksigen yang tinggi pada satu-satu masa, bekalan tersebut akan diambil daripada wad yang kurang penggunaannya, dan digunakan di wad yang lebih memerlukan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Bomba: Litar pintas dipercayai punca kebakaran stor IFPN HKL

KUALA LUMPUR 17 MAC: Kebakaran di stor penyimpanan peralatan Makmal Jabatan Patologi di Institut Forensik Perubatan Negara (IFPN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata stor penyimpanan yang terbakar melibatkan peralatan bedah siasat yang diperbuat daripada plastik.

Beliau berkata kebakaran pada kira-kira 12.15 tengah hari itu menyebabkan dua petugas yang berada di dalam stor di tingkat bawah bangunan berkenaan terperangkap, namun kedua-duanya sempat naik ke tingkat atas sebelum diselamatkan anggota bomba.

“Susulan itu, pihak HKL telah mengambil tindakan dengan menutup suis elektrik di makmal itu termasuklah membawa keluar kira-kira 150 tong oksigen ke tempat selamat.

“Selain itu, bomba juga mengalihkan bahan kajian HKL yang diletakkan di dalam peti sejuk dan mengalihkan 19 mayat dari bilik mayat ekoran suis peti sejuk ditutup,” katanya pada sidang akhbar di IFPN di sini.

Khirudin berkata, stor berkenaan terbakar 100 peratus tetapi kebakaran tidak merebak ke bahagian lain kerana api berjaya dikawal pihak bomba dalam masa setengah jam.

“Pengoperasian HKL berjalan seperti biasa kecuali di makmal stor penyimpanan itu yang ditutup sementara untuk siasatan forensik kebakaran.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 12.20 tengah hari dan tiba di lokasi 10 minit kemudian bersama lima jentera bomba antaranya dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa dan KLCC dengan jumlah keanggotaan sebanyak 31 anggota serta lapan pegawai,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada petugas HKL kerana memanggil pasukan Emergency Response Team HKL sebelum ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hospital Kuala Lumpur terbakar

KUALA LUMPUR 17 MAC: Sebuah bangunan dipercayai makmal patologi Hospital Kuala Lumpur dilaporkan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, enam buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLCC, Hang Tuah, Titiwangsa dan Setapak dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 40 kekuatan terdiri daripada pegawai dan anggota JBPM Kuala Lumpur terlibat dalam operasi itu.

Difahamkan, bilik rekod dan data di makmal patologi itu terlibat dalam kebakaran tersebut.

“Setakat ini, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Foto ihsan JBPM Kuala Lumpur

SUMBER: ASTRO AWANI

Categories
NASIONAL

Anwar Masuk CCU HKL, keadaan stabil

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 MAC: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Kuala Lumpur pada jam 1 pagi tadi.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, Anwar dimasukkan setelah didapati mengalami reaksi negatif terhadap suntikan steroid di kawasan sekitar bahu kanan beliau.

“Suntikan steroid tersebut telah diberi Sabtu lalu setelah Anwar mengalami kesakitan berpanjangan pada bahu kanan selepas pembedahaan beberapa bulan lalu.

“Kadar denyutan janting beliau rendah dan membimbangkan. Walau bagaimanapun, KEADILAN difahamkan keadaan beliau kini stabil,” katanya dalam kenyataan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Anwar terima rawatan di HKL, doakan kesihatan

SHAH ALAM 10 MEI : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan akan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa hari ekoran tekanan darah tinggi.

Peguamnya, Sivarasa Rasiah, berkata Anwar diberikan rawatan yang sesuai untuk masalah kesihatan itu.

“Kita terus doakan demi kesihatan dan keselamatan Anwar,” katanya di laman media sosial Facebook.

AnwarAnwar semalam dikejarkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi.

Sivarasa berkata Anwar diletakkan di HKL beberapa hari untuk pemerhatian serta rawatan tambahan termasuk fisioterapi.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

EZY

Categories
NASIONAL

Anwar: Teruskan perjuangan, utamakan masalah rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JUN: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan pesanan bahawa kesihatannya terkawal dan menggesa perjuangan mengutamakan rakyat diteruskan.

Pesanan Anwar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu dimuat naik melalui laman rasmi Facebook beliau.

anwar mahkamah“Insya Allah keadaan kesihatan saya terkawal, teruskan perjuangan, utamakan masalah rakyat,” katanya.

Anwar dimasukkan ke HKL untuk menjalani beberapa pemeriksaan berjadual, sejak semalam.

HKL dalam kenyataannya berkata, keadaan bekas ketua pembangkang itu stabil dan dijadual menjalani pemeriksaan berhubung keadaan kesihatan yang dialaminya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, sejak 10 Februari lalu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kerajaan Negeri Arah MPAJ Keluar Notis Pemberhentian Kerja Serta-Merta

melawat tanah runtuh

SHAH ALAM, 3 JULAI : Susulan kejadian tebing runtuh di tapak pembinaan Sierra Garden, Ukay Perdana pagi tadi, Kerajaan Negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan dengan serta merta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu juga diarah memantau keadaan tapak pembinaan itu dari semasa ke semasa.

Katanya, siasatan lanjut oleh konsultan bebas juga akan dibuat sebelum laporan lengkap berhubung insiden itu dikeluarkan oleh pihak MPAJ.

“Kejadian tersebut (tebing runtuh) bukanlah atas sebab keadaan semulajadi tetapi ia adalah kejadian semasa bekerja.

“Saya telah minta MPAJ untuk memantau tempat ini dan kalau kita rasa ia akan membahayakan keselamatan orang ramai dan pekerja, kita mesti ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Dalam satu kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi, tiga mangsa terkorban manakala seorang patah kaki dalam kejadian tebing runtuh di tapak perumahan mewah di Ukay Perdana itu.

Ketika kejadian, kesemua pekerja warga Myanmar itu sedang melaksanakan kerja pemasangan cerucuk bertujuan menstabilkan struktur tanah di cerun setinggi 2 meter itu untuk kerja pembinaan tebing konkrit.

Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Categories
NASIONAL

Dr Lee Boon Chye : Arahan HKL Ketinggalan Zaman

lee-boon-chye

SHAH ALAM, 7 MAC: Arahan supaya semua anggota Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak dibenarkan meletakan sebarang pelekat (sticker) yang mempunyai logo parti pembangkang pada kenderaan masing-masing disifatkan tidak bijak dan ketinggalan zaman.

Ini kerana kakitangan berhak memilih mana-mana parti politik untuk disokong tanpa perlu disekat selaras dengan sistem demokrasi yang selama ini diamalkan, ujar Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.

“(Arahan) ini menceroboh hak kakitangan untuk memilih. Logo merupakan satu tanda menyokong mana-mana parti.

“Kalau begitu, logo 1Malaysia, lambang ‘Janji Ditepati’ juga tidak boleh ditampal,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Sebelum ini, HKL mengesahkah semua anggota HKL tidak dibenarkan meketakan sebarang pelekat (sticker) yang mempunyai logo parti pembangkang sama ada di kenderaan masing-masing atau mana-mana bahagian di dalam premis HKL.

Arahan ini berkuat kuasa serta merta melalui sepucuk surat bertarikh 4 Mac 2013 dan tersebar luas di laman sosial Facebook.

Perkara ini disahkan Pembantu Peribadi Pejabat Timbalan Pengarah HKL, Nur Hazlin Mohd Yunus ketika dihubungi Tv Selangor.

Surat yang ditandatangani Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain menyatakan semua ketua jabatan, ketua bahagian dan ketua unit diminta untuk menasihat anggota di bawah jabatan atau seliaan masing-masing supaya mematuhi arahan berkenaan.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan bahawa tiada anggota HKL melanggar arahan tersebut.

Sekiranya ingkar berbuat demikian, tidakan sewajarnya termasuk tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini.

HKL Sahkan Semua kakitangan Dilarang Menampal Pelekat Logo Pembangkang

Categories
NASIONAL SELANGOR

HKL Sahkan Semua Kakitangan Dilarang Menampal Pelekat Logo Pembangkang

HKL Sahkan Semua kakitangan Dilarang Menampal Pelekat Logo Pembangkang

SHAH ALAM, 7 MAC : Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkah semua anggotanya tidak dibenarkan meletakan sebarang pelekat (sticker) yang mempunyai logo parti pembangkang sama ada di kenderaan masing-masing atau mana-mana bahagian di dalam premis HKL.

Arahan ini berkuat kuasa serta merta melalu sepucuk surat bertarikh 4 Mac 2013 dan tersebar luas di laman sosial Facebook.

Tv Selangor menghubungi pejabat Timbalan Pengarah HKL dan Pembantunya, Nur Hazlin Mohd Yunus mengesahkan perkara ini.

Surat yang ditandatangani Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain menyatakan semua ketua jabatan, ketua bahagian dan ketua unit diminta untuk menasihat anggota di bawah jabatan atau seliaan masing-masing supaya mematuhi arahan berkenaan.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan bahawa tiada anggota HKL melanggar arahan tersebut.

Sekiranya ingkar berbuat demikian, tidakan sewajarnya termasuk tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini.