Categories
NASIONAL

Kepada Polis dan Tentera : Ingkar Perintah Zalim, Selamatkan Negara

PUCHONG 22 AUG : Menjelang musim Hari Raya sebuah risalah khas untuk anggota polis dan tentera negara telah diterbitkan dengan pesanan supaya mereka berpihak pada rakyat, menolak arahan zalim dan menuntuk hak mengundi mcreka.

Risalah yang bertajuk ?Pesanan Tulus Ikhlas Kepada Anggota Keselamatan Negara? itu diterbitkan oleh gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU).

Ia merupakan antara dua risalah dan beberapa pelekat yang dicetak dengan harapan ia diedarkan di kawasan-kawasan luar bandar oleh penyokong mereka semasa musim balik kampung ini.

Risalah kepada anggota tentera dan polis itu dilihat sebagai usaha merapatkan jurang pemahaman antara aktivis demokrasi dan anggota keselamatan yang sering dituduh diperalatkan oleh pentadbiran Umno-BN untuk menekan masyarakat sivil.

Risalah satu muka surat itu memuatkan gambar-gambar dari peristiwa kebangkitan rakyat Mesir menentang rejim bekas presiden Hosni Mubarak pada awal 2011.

Gambar-gambar tersebut menunjukkan anggota tentera Mesir yang ingkar arahan dari orang atasan untuk menembak rakyat Mesir yang sedang berdemonstrasi menentang rejim Mubarak.

Situasi itu dibandingkan dengan anggota polis Malaysia yang bertugas semasa himpunan Bersih 2.0 pada July 2011 dan Bersih 3.0 pada April lepas.

Renungan terhadap perbandingan itu dikuatkan dengan potongan Ayat 75 Surah An-Nisaa’ dari Al-Quran.

Ayat itu menyebut :

?Dan apakah menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah SWT (untuk menegakkan Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari golongan lelaki, perempuan dan kanak-kanak; iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata : Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang pendudukkannya zalim dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami) dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami dari (ancaman musuh).?

Risalah itu berakhir dengan empat seruan kepada anggota keselamatan agar:

1) menyokong usaha untuk menegakkan keadilan dan ?menolong untuk memperbaiki keadaan semasa?.

2) membantah pemalsuan undi pos mereka.

3) mengingati rakyat apabila mereka dikerahkan di dalam kekecohan yang bakal berlaku jika Umno-BN ditumbangkan dalam pilihanraya ke-13.

4) mengingkari arahan yang menzalimi rakyat.

Categories
NASIONAL

Kalau Saya Rakyat Malaysia Nescaya Saya Juga Ahli PAS, Kata Sheikh Ismail

KUALA SELANGOR, 17 JULAI: “Kalau saya rakyat Malaysia nescaya saya menjadi salah seorang ahli Parti PAS,” demikian kata Masu’l Tarbiah Bahagian Hubungan Luar Parti Ikhwan Muslimin dari negara Mesir.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam Perhimpunan Hijau menuju ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Kuala Selangor malam tadi.

Semangat kira-kira lebih 6,000 audien di stadium itu turut dibakar lagi dengan kata-kata semangat tokoh yang mula bangkit menentang pentadbiran kuku besi Hosni Mubarak sejak peringkat awal di Dataran Tahrir lagi.

“Tiada seorang pun dari kami dapat menyangka bahawa kami dapat keluar dari kezaliman ini dan tiada siapa yang menyangka kami mampu untuk bangkit menghadapinya.

“Kami telah bangkit dengan revolusi dan Allah telah membantu kami mencapai kejayaan.

“Jalan menuju perubahan terlalu hampir kepada kita dan kini telah pun sampai ke Timur Tengah dan ia akan sampai ke negara kamu, Insyaallah,” ujarnya lagi.

Selain itu beliau turut memberitahu, sama seperti di negara ini, meskipun beberapa pemimpin Ikhwan Muslim pernah dipenjara ianya tidak mematahkan semangat mereka untuk menumbangkan rejim Hosni Mubarak.

Sebelum itu, dalam perhimpunan sama, Ahli Jawatankuasa Lajnah Pertanian PAS, Mohamad Maksom Ramli menyerahkan deklarasi pesawah kepada Timbalan Yang Dipertua II PAS Selangor, Iskandar Samad.

Deklarasi tersebut mengandungi janji Pakatan Rakyat yang akan menjaga kebajikan pesawah sekiranya berjaya menawan Putrajaya dan menubuhkan Kerajaan Pusat yang baru.

Dalam perhimpunan itu menyaksikan tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan turut menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS.

Mereka adalah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik(PTD) selama 33 tahun yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang, Abd Rahman Taib.