Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit meningkat, hospital Klang alu-alukan sumbangan alat perubatan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengalu-alukan orang ramai untuk terus membantu menangani peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di hospital itu terutamanya sumbangan pemekat oksigen.

Pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pihaknya amat berterima kasih atas pelbagai jenis sumbangan diterima HTAR selama ini dan berharap orang ramai terus menghulurkan sumbangan bagi membantu merawat pesakit sekali gus meringankan beban petugas barisan hadapan.

“Jika tiada (sumbangan), memang tidak cukup (untuk menampung keperluan pesakit Covid-19),” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

HTAR menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Sabtu lepas memaklumkan menerima sumbangan sebuah bas daripada pendakwah bebas Ebit Lew untuk membawa pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin.

Sebelum itu, HTAR turut menerima 12 unit pemekat oksigen dan peralatan perubatan sumbangan Pertubuhan Amal Perubatan Ibu Sina Malaysia (Papisma) Selangor dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia serta sebuah kontena penyimpanan mayat daripada MIC.

Dalam pada itu, Dr Zulkarnain berkata pihaknya akan memberi laluan kepada projek pembangunan hospital medan di HTAR yang dibantu oleh MERCY Malaysia, hasil peruntukan sumbangan daripada Maybank yang menempatkan hingga 100 katil tambahan.

HTAR sebelum ini memaklumkan projek itu akan diserahkan untuk penggunaan pada Rabu ini.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Katil hospital Shah Alam, Klang ditambah, mobilisasi petugas kesihatan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Semua hospital di Selangor menerima peningkatan kes Covid-19 yang tinggi terutama melibatkan pesakit kategori tiga dan ke atas secara berterusan sejak akhir bulan lalu, kata Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya sedang melakukan penambahan bilangan katil melalui pengaktifan hospital medan di Hospital Tuanku Mizan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perolehan darurat peralatan perubatan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

“Mobilisasi kakitangan kesihatan luar dari Lembah Klang turut dijalankan bagi membantu situasi Covid-19 meliputi pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JKNS, hari ini

Dr Sha’ari menerangkan status semasa keadaan hospital di Selangor susulan viral gambar keadaan jabatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari menjelaskan bahawa peningkatan kemasukan pesakit akut di jabatan kecemasan Hospital Shah Alam berlaku susulan hospital tersebut kini dijadikan hospital berpakar major bukan Covid-19 yang memberi rawatan akut pesakit bukan Covid-19 sekitar daerah Petaling.

“Bagi HTAR Klang pula, kebanyakan pesakit telah dirawat terlebih dahulu di jabatan kecemasan sementara menunggu katil di wad. Oleh itu, pertambahan katil terpaksa dilakukan di luar jabatan kecemasan HTAR untuk sementara.

“Pihak HTAR dan Hospital Shah Alam dalam proses menambah kapasiti katil di hospital masing-masing,” katanya.

Petang tadi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini mengumumkan sebuah lagi hospital medan (ATM) akan diwujudkan di HTAR  berikutan situasi semasa jangkitan Covid-19 di Selangor yang semakin meningkat.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM sedia bina hospital medan tampung pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia mewujudkan hospital medan bagi pesakit Covid-19 sekiranya ada keperluan.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata ketika ini, hospital medan terbesar ialah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang berkapasiti 10,000 katil.

“Berkemungkinan besar Kementerian Kesihatan (KKM) akan tambah lagi (hospital medan) jika peningkatan kes berterusan dan kapasiti di MAEPS tidak dapat tampung (pesakit Covid-19).

“Buat masa ini, ATM bekerjasama dengan KKM bagi menentukan keupayaan hospital medan itu dapat membantu dan menampung keperluan semasa. Ini merupakan proses yang berterusan,” katanya selepas merasmikan monumen dan peletakan plak Old Putera (OP) 78 di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Mengulas mengenai situasi banjir yang melanda beberapa negeri, Affendi berkata ATM sedia menambah jumlah anggota dan aset untuk dikerah bagi membantu operasi banjir sekiranya keadaannya bertambah teruk.

“Berdasarkan keadaan semasa, jumlah anggota dan aset-aset mencukupi iaitu kira-kira 4,900 anggota dan juga 1,015 pelbagai aset ATM telah dikerahkan di seluruh negeri yang terjejas banjir teruk,” katanya.

Ditanya perkembangan terkini mengenai ancaman siber selepas berlaku serangan siber terhadap rangkaian data milik ATM sebelum ini, Affendi memberi jaminan ketika ini sistem pertahanan negara selamat dan pihaknya sentiasa menambah baik keupayaan sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Panglima ATM: Tiada keperluan hantar tentera ke hospital medan

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Tiada keperluan mendesak untuk menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh selepas pengoperasiannya ditamatkan kerajaan, susulan penularan wabak Covid-19.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata langkah itu berikutan kemudahan kesihatan serba lengkap telah dibina di kawasan berkenaan.

“Dulu masa tentera Malaysia diletakkan di situ, tak banyak negara yang menghulurkan bantuan kemudahan perkhidmatan kesihatan dan sebab itulah Hospital Medan dibina serta diambil alih oleh kami.

“Hospital Medan ini bertindak sebagai barisan hadapan kesihatan pada masa itu. Biarpun ia terhad, namun mencukupi dalam menangani masalah kesihatan ketika itu,” katanya kepada Bernama di Wisma Pertahanan, di sini.

Menurut Affendi, keadaan kini berbeza kerana, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menyumbang dan menyediakan kemudahan kesihatan di kem pelarian itu.

“Sekarang semua kemudahan itu semakin bertambah dan sudah sampai masa khidmat tentera kita (ATM) tidak lagi diperlukan di situ. Jika diikutkan, boleh saja kekal berada di situ, namun tiada fungsi kritikal diperlukan lagi di sana,” katanya menambah khidmat ATM diperlukan ketika itu berikutan isu pelarian yang melanda negara berkenaan.

“Pada Jun lepas, kerajaan membuat keputusan supaya pengoperasian tentera di Hospital Medan di Bangladesh ditamatkan sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

“Kesemua tentera di sana telah pulang dan penilaian turut dibuat daripada segi sama ada masih relevan untuk dikerahkan anggota ke situ apabila wabak ini berakhir,” katanya.

Hospital Medan Malaysia di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh, diwujudkan pada Disember 2017 bagi menampung keperluan rawatan kesihatan kepada ratusan ribu pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri ke tenggara Bangladesh ekoran konflik di barat Myanmar.

-BERNAMA