Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wad hospital terbakar, 30 pesakit dipindah

SHAH ALAM, 11 OKT: Seramai 30 pesakit dua wad di Hospital Pantai di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang dipindahkan susulan kebakaran malam tadi.

Seramai 20 kakitangan hospital terbabit turut dipindahkan namun tiada mangsa cedera dilaporkan, maklum pengarah bomba Selangor.

Norazam Khamis berkata seramai 13 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 malam.

“Bomba yang tiba di lokasi pada jam 11.42 malam mendapati kebakaran melibatkan bilik bernombor A60 dan A61, namun telah dikosongkan.

“Pasukan bomba menggunakan konsep ‘receo’ iaitu membuat kerja menyelamat, memindahkan pesakit dan kerja pemadaman,” katanya.

Beliau berkata api berjaya dikawal 10 minit kemudian dan operasi ditamatkan jam 12.57 pagi manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.