Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hospital Sungai Buloh sedia kontena khas simpan mayat pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah atau mayat mangsa Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi hantaran di Twitter memaklumkan enam lagi kematian dilaporkan di hospital berkenaan semalam.

Menurut kenyataan itu, lebih 80 peratus kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini adalah daripada golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi.

“Kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat. Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka,” menurut KKM.

Sebanyak 3,780 kes Covid-19 dengan 36 kematian direkodkan semalam manakala kes sembuh pula adalah 3,990.

Selain itu, 520 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 272 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan dan kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini berjumlah 42,135.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UDA Holdings sumbang barang keperluan petugas Hospital Sungai Buloh

KUALA LUMPUR, 8 MAC: UDA Holdings Berhad (UDA), sebuah syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset, sekali lagi terpanggil dalam menghulurkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh susulan surat terbuka daripada doktor hospital berkenaan yang disiarkan oleh media baru-baru ini.

UDA menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menyumbangkan barangan keperluan seperti mesin penyaman udara, penapis air, ketuhar gelombang mikro, meja, kerusi serta set sofa yang keseluruhannya bernilai RM70,000.

Surat tersebut menzahirkan kesedihan dan pengalaman mereka yang keletihan serta berada dalam ketidakselesaan serta waktu kerja yang panjang tanpa rehat yang selesa demi melawan pandemik COVID-19.

“Sumbangan UDA merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat di bawah UDA Cares – Project RE (ReAct, ReBuild, ReEnergize). Ia bagi memberi keselesaan dan meningkatkan semangat petugas barisan hadapan,” menurut kenyataan itu.

Sumbangan disampaikan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA Mohd Salem Kailany, dalam satu majlis ringkas di sini hari ini.

Selain itu, UDA melalui anak syarikatnya AnCasa Hotel Kuala Lumpur juga telah menyediakan mesin kopi dan pakej makanan untuk petugas barisan hadapan selama 50 hari bersempena ulang tahun ke-50 UDA pada tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LZS sedia makanan kepada 1,250 petugas hospital Sungai Buloh, Selayang

SHAH ALAM, 12 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan pek makanan kepada 1,250 petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang sejak 10 Februari lalu.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata sumbangan yang diagih setiap Isnin, Rabu dan Jumaat bertujuan menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus mengawal penularan Covid-19.

“Sumbangan ini khusus buat petugas bekerja pada waktu malam memandangkan kantin dan premis makanan beroperasi dalam waktu yang singkat ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menariknya, sebanyak enam menu berbeza setiap minggu disediakan 100 peratus oleh usahawan trak makanan LZS. Inisiatif ini juga untuk membantu peniaga tersebut tambah pendapatan,” kata Saipolyazan M Yusop dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan sumbangan itu menggunakan peruntukan amil dan tidak menjejaskan bantuan asnaf fakir dan miskin.

Usahawan trak makanan LZS, Mohd Najib Mohd Rais menyediakan masakan panas kepada petugas Hospital Selayang. Foto LZS

Sementara itu, usahawan trak makanan LZS, Mohd Najib Mohd Rais melahirkan syukur kerana diberi peluang untuk menyediakan makanan kepada petugas hospital terbabit.

“Hampir 30 peratus pendapatan saya terjejas tetapi rezeki masih ada untuk kami sekeluarga. Mengenai penyediaan makanan ini, saya akan masak di sini (hospital) bagi memastikan kakitangan dapat menikmati juadah ketika masih panas.

“Sekitar pukul tujuh petang makanan akan siap dan mula diedarkan,” katanya yang memasak untuk petugas Hospital Selayang.

Categories
AGENDA NASIONAL

JKNS ambil berat persekitaran kerja, keperluan asas petugas kesihatan

SHAH ALAM, 17 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengambil berat persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan petugas kesihatan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam maklum balas kepada artikel bertajuk “LETTER: A Tired Doctor From Sungai Buloh Asks To Be Treated Humanely” yang disiarkan oleh sebuah portal berita semalam berkata semua langkah yang diambil jabatan itu adalah bertujuan memastikan rawatan yang cekap dan berkualiti dapat diberikan kepada pesakit.

Kata Dr Sha’ari, pihaknya melakukan pengagihan tambahan pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan melalui penempatan semula petugas di dalam Selangor dan negeri-negeri lain, selain tambahan kakitangan melalui pengambilan pegawai kontrak baharu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Sungai Buloh.

“Di Hospital Sungai Buloh dan hospital yang lain di Selangor, kakitangan yang bertugas dalam mengendalikan kes Covid-19 diberikan elaun oleh kerajaan, elaun lebih masa bagi yang perlu melakukan kerja lebih masa dan elaun-elaun lain yang dirasakan perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai pemberian makanan, Dr Sha’ari berkata ia adalah berdasarkan kelayakan di dalam surat pekeliling KKM yang mana semua anggota perubatan yang bertugas secara atas panggilan akan dibekalkan makanan mengikut surat pekeliling itu.

“Bagaimanapun bekalan makanan masih boleh didapati daripada kafeteria atau membuat pesanan makanan secara dalam talian,” katanya.

Dr Sha’ari turut memberitahu pegawai perubatan dan lain-lain kategori kakitangan yang ditempatkan di wad Covid-19 bertugas mengikut syif bagi mengurangkan beban kerja dan cuti rehat diberikan secara adil.

“Setiap wad Covid-19 juga mempunyai ruang rehat yang selamat untuk petugas kesihatan berehat, makan dan solat, semua kakitangan juga dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi agar tidak berlaku infeksi silang dan peruntukan kewangan serta bekalan adalah mencukupi,” katanya.

Selain itu katanya, pihak hospital turut memberikan khidmat bimbingan psikologi untuk sokongan moral dan khidmat nasihat kepada petugas kesihatan yang memerlukan.

“Semua maklum balas daripada anggota kesihatan akan diajukan kepada pihak pengurusan hospital dan seterusnya kepada pihak negeri dan KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Semalam sebuah portal berita menyiarkan surat daripada seorang doktor di Hospital Sungai Buloh membangkitkan isu berkaitan beban yang perlu ditanggung oleh petugas kesihatan di hospital itu serta mendakwa mengalami kekurangan kemudahan asas seperti tiada bilik rehat dan makanan bagi petugas syif atas panggilan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan Hospital Sungai Buloh ada simptom Covid-19 digalak buat pemeriksaan kendiri

SHAH ALAM, 27 DIS: Hospital Sungai Buloh sentiasa menggalakkan semua kakitangan yang mempunyai simptom jangkitan Covid-19 membuat pemeriksaan kendiri secara berkala.

Pengarahnya berkata langkah pencegahan itu juga diambil jika warga hospital berkenaan terdedah kepada risiko jangkitan wabak secara sengaja atau sebaliknya.

Dr Kuldip Kaur A/P Prem Singh menjelaskan sebagai hospital yang merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya, pihaknya menekankan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan kakitangan.

“Sebagai inisiatif mengelakkan sebarang pelanggaran berterusan terhadap mana-mana SOP, pihak hospital akan mengeluarkan surat tunjuk sebab bagi mereka yang ditangkap berulang kali kerana tidak mematuhi SOP sekali gus membahayakan keseluruhan organisasi.

“Meskipun begitu, pihak hospital tidak menyasarkan mereka yang dijangkiti. Kita sentiasa memberi sokongan dan penjagaan diperlukan kepada staf dijangkiti Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap laporan sebuah portal berita yang mendakwa staf hospital terbabit diberi amaran tindakan disiplin jika dijangkiti Covid-19 gara-gara ingkar SOP.

Menyangkal dakwaan itu, Dr Kuldip berkata pihak pengurusan hanya menjalankan tindakan dalaman terhadap mereka yang didapati melanggar SOP sebelum jangkitan berlaku.

Menurutnya, pihak hospital tidak pernah mengambil tindakan ke atas kakitangan terkena jangkitan wabak tersebut.

“Pihak hospital menyedari bahawa ada pelbagai kemungkinan seseorang anggota kesihatan dijangkiti Covid-19. Terdapat juga yang dijangkiti tanpa disengajakan atau bukan kerana melanggar SOP.

“Dalam hubungan ini, pihak hospital bertanggungjawab menjaga semua pesakit tanpa mengira bagaimana mereka dijangkiti Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor ucap tahniah petugas Hospital Sungai Buloh terima anugerah global

SHAH ALAM, 2 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengucapkan tahniah kepada dua petugas Hospital Sungai Buloh yang menerima pengiktirafan Anugerah Kesihatan Global (GHA 2020).

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkata baginda berbangga dengan pencapaian Dr C Suresh Kumar dan Dr Shaiful Azman Zakaria yang menunjukkan dedikasi serta komitmen tinggi dalam menangani wabak Covid-19.

“Baginda berharap petugas barisan hadapan terus tabah dan cekal dalam menjalankan tugas masing-masing merawat pesakit Covid-19,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office di Facebook hari ini.

Semalam, Dr C Suresh yang juga ketua Jabatan Penyakit Berjangkit dan Dr Shaiful Azman iaitu ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi, kedua-duanya dilaporkan menerima GHA 2020 sebagai pejuang Covid-19.

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis lebih tegas membuat pemantauan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan peningkatan kes baharu pandemik.

“Baginda kecewa kerana masih terdapat segelintir pihak yang tidak mengambil serius, lalai dan ingkar dalam mematuhi arahan PKPB khususnya pengendali premis hiburan dan makanan.

“Baginda khuatir sekiranya kedegilan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di bawah PKPB ini berterusan, penularan wabak berbahaya Covid-19 ini sukar untuk dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Semalam, Selangor mencatat 225 kes positif wabak menjadi jumlah kes harian tertinggi setakat ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Hospital Sungai Buloh terima anugerah kesihatan global

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Pasukan Covid-19 Hospital Sungai Buloh, Selangor mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 baru-baru ini berikutan usaha mereka memerangi pandemik itu.

Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Dr C Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh Dr Shaiful Azman Zakaria, kedua-duanya menerima anugerah itu sebagai pejuang Covid-19.

Berita gembira itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi media sosialnya semalam.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Suresh Kumar dan Dr Shaiful Azman dan seluruh pasukan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh atas pengiktirafan di Global Health Awards 2020. Pencapaian yang sangat membanggakan! Negara mengucapkan terima kasih atas dedikasi, pengorbanan dan kecemerlangan yang ditunjukkan dalam usaha kita bersama-sama memerangi Covid-19,” katanya.

Menurut laman sesawang Anugerah Kesihatan Global, anugerah Asia Pasifik serantau itu bertujuan untuk mengiktiraf syarikat dalam pelbagai pasaran serantau yang mengekalkan piawaian yang tinggi secara konsisten dalam menyampaikan penjagaan berkualiti untuk menggembirakan pelanggan mereka di setiap peringkat dan dalam setiap interaksi.

Hospital Sungai Buloh ditetapkan sebagai hospital utama Covid-19 Malaysia sejak pandemik itu melanda negara pada Mac 2020.

Dr Suresh Kumar mempunyai pengalaman lebih 15 tahun sebagai perunding penyakit berjangkit di Hospital Sungai Buloh manakala Dr Shaiful Azman mengkhusus dalam bidang anestesiologi dan rawatan rapi sejak 1996 dan pernah bekerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan.

Dr Sureh Kumar baru-baru ini berada di Sabah bagi membantu membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hospital Sungai Buloh khusus rawat penyakit berjangkit

PUTRAJAYA, 10 MAC: Susulan penularan Covid-19 dalam negara, Hospital Sungai Buloh di Selangor akan dijadikan hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit.

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar Chidambaram berkata ini bagi memastikan kemudahan dan persiapan yang diperlukan lengkap untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

“Kami maklum hospital berhadapan masalah katil tetapi pengalaman di Sungai Buloh, kami menyelesaikan pengurusan katil, tiada masalah kekurangan katil untuk pesakit Covid-19 di hospital ini,” katanya mengenai pengurusan perubatan dan persediaan negara.

Dr Suresh berkata demikian pada sesi libat urus antara Kementerian Kesihatan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan pengamal media di Kementerian Kesihatan di sini, semalam.

Pada masa ini, Dr Suresh berkata tingkat empat dan lima hospital itu dikhususkan untuk pesakit Covid-19 masing-masing dengan 112 katil, sementara tingkat tiga pula dengan 14 katil unit rawatan rapi (ICU) akan dikhaskan kepada mangsa yang serius dan memerlukan bekalan oksigen dan rawatan rapi.

Menurut Dr Noor Hisham, jabatan sedia ada dari dua tingkat yang dikosongkan itu dipindahkan ke fasiliti perubatan berhampiran supaya Hospital Sungai Buloh boleh menumpukan kepada penyakit berjangkit seperti kes Covid-19.

Apabila ditanya sama ada hospital untuk penyakit berjangkit di Sungai Buloh adalah sementara waktu sehingga wabak itu berakhir, ketua pengarah kesihatan itu berkata: ”Ada permintaan supaya kami mendapatkan hospital bagi penyakit berjangkit, maka kami akan jadikan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital untuk penyakit berjangkit yang kekal.”

Beliau berkata selain Hospital Sungai Buloh sebagai pusat perubatan yang dikhususkan merawat kes Covid-19, Hospital Shah Alam dan Hospital Rehabilitasi Cheras turut memainkan peranan sama.

Turut hadir, pada sesi taklimat itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon dan pakar kesihatan awam Dr Wan Noraini Wan Mohamed Nor.

Dalam taklimat itu, Dr Chong berkata virus Covid-19 disebarkan menerusi titisan kecil bukannya menerusi udara dan ia boleh merebak dalam persekitaran berhawa dingin yang tertutup berbanding di bawah sinar matahari kerana suhu tinggi boleh membunuh virus berkenaan.

“Apabila titisan kecil jatuh ke atas lantai ia mati apabila kering tetapi jika anda batuk pada tangan dan tangan menjadi pembawa jangkitan. Justeru, jangan menggosok muka atau mata dengan tangan dan selalu membasuh tangan.

“Sejak virus itu merebak menerusi titisan kecil dan bukannya menerusi udara, menggunakan penutup mulut dan hidung (sebagai perlindungan) sudah mencukupi. Jika virus itu tersebar menerusi udara seseorang itu memerlukan topeng N95,” katanya lagi.

Selain itu, antara isu yang dibincangkan ialah mengkaji penggunaan polis bantuan untuk melakukan pengesanan kontak mereka yang diuji positif jika kakitangan perubatan awam sedia ada tidak dapat menguruskan peningkatan angka kontak rapat yang perlu dijejaki.

Orang ramai juga digesa menggunakan klinik maya atau kemudahan laman sesawang kementerian untuk mendapatkan nasihat atau maklumat mengenai Covid-19 sebagai langkah mengurangkan kesesakan hospital selain daripada perkhidmatan mendapatkan sampel di rumah untuk ujian jangkitan tersebut.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Santuni pesakit, sebar mesej dakwah

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BULOH, 17 SEPT: Kelab Fasilitator dan Sukarelawan (AKTOR-S) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meluangkan masa menziarahi pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik, Hospital Sungai Buloh.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Azura Anuar berkata, program ziarah ini juga merupakan peluang untuk menyebarluas mesej dakwah kepada semua lapisan masyarakat.

“Kita menziarahi 50 pesakit di wad 7A dan 8C di Hospital Sungai Buloh. Ini merupakan siri ziarah kelima sepanjang tahun ini.

unknown (23)“Kita bukan sahaja menyantuni mereka tetapi mahu menyebarkan mesej dakwah serta memberikan sokongan kepada pesakit dan keluarga supaya segera sihat seperti sediakala,” katanya.

Hampir 12 sukarelawan bersama-sama menghadiahkan cenderahati berbentuk tuala, makanan dan mainan kepada kanak-kanak sambil diiringi Sister Dhazinatunnisa Mohd Daud.

Selain Hospital Sungai Buloh, program ziarah ini turut dilakukan di Hospital Klang, Hospital Banting, Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Selayang.

Program ziarah ini dimulakan sejak 2012 dan kesemua hospital ini merupakan hospital angkat JAIS.

Siri keenam program ziarah bagi tahun ini akan berlangsung di Hospital Kajang.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar: Tingkat keselamatan elak tragedi korban 37 mangsa berulang

anwar basSHAH ALAM 22 OGOS : Kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab diseru untuk mempertingkatkan usaha keselamatan agar tragedi kemalangan bas jatuh ke gaung yang mengorbankan seramai 37 orang dapat dielakkan di masa hadapan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan medianya berharap mereka yang cedera dalam tragedi kemalangan ini dapat pulih segera.

Katanya, beliau menyatakan simpati dengan keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kejadian itu.

Seramai 37 orang terkorban dalam nahas bas terburuk di negara ini apabila bas yang dinaiki 53 orang terjunam 60 meter ke dalam gaung di Km3.5 Jalan Genting Highlands semalam.

Kejadian itu turut mengakibatkan 16 orang cedera dengan 14 daripada mereka dilaporkan kritikal.

Mereka yang cedera kini dirawat di Hospital Selayang (lapan), Hospital Kuala Lumpur (HKL) (lima), Hospital Sungai Buloh (dua) dan Hospital Bentong (satu).

Kemalangan kira-kira pukul 2.45 petang itu berlaku ketika bas berkenaan yang menawarkan perkhidmatan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu menuju ke ibu kota. – mza

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Idris : Pembangunan desa perlu rangkum tiga aspek utama

Ijok DNS

SHAH ALAM, 3 JULAI : Kerajaan Negeri disarankan supaya mengaplikasikan tiga aspek utama dalam usaha memastikan pembangunan di desa adalah seimbang dengan pembangunan di kawasan bandar.

Tiga aspek yang dimaksudkan ialah kesejahteraan, selamat dan sihat, kata Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Jelasnya, untuk mencapai masyarakat yang sejahtera, mutu pendidikan anak-anak di desa seharusnya  ditingkatkan dengan menambah lebih banyak pusat tuisyen yang mengkhusukan tiga subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Di bawah aspek sama katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menggalakkan pelaburan ke desa yang berasaskan pertanian bagi meningkatkan pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada warga desa tanpa perlu berhijrah ke bandar.

“Untuk sektor pendidikan, saya syorkan exco pendidikan mengambil perhatian dengan menubuhkan lebih banyak pusat tuisyen untuk semua peringkat (darjah satu hingga tingkatan lima) supaya mereka mendapat persediaan awal sebelum menghadapi peperiksaan.

“Kerajaan Negeri juga sepatutnya menggalakkan pelaburan ke desa iaitu pelaburan industri yang berasaskan pertanian kerana banyak tanah terbiar di desa yang tidak digunakan,” katanya semasa membahaskan titah DYMM Sultan Selangor dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Sementara itu, di bawah aspek kesihatan jelasnya, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan untuk membina hospital di kawasan desa bagi memastikan pesakit tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan.

Meskipun pembinaan hospital tertakluk di bawah perancangan Kerajaan Pusat, namun tegasnya, Kerajaan Negeri perlu mengambil inisiatif awal untuk membina hospital yang boleh memberi rawatan kepada pesakit.

“Terdapat ramai pesakit kronik di kawasan desa yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital berikutan lokasi hospital itu terlalu jauh dari kediaman mereka.

“Sebagai contoh di Kuala Selangor, pesakit perlu merujuk ke Hospital Sungai Buloh atau Tanjung Karang untuk mendapatkan rawatan sedangkan kondisi mereka sangat kritikal pada waktu itu.

“Kerajaan Negeri tidak perlu membina hospital canggih, cuma bina yang asas sahaja untuk memberi rawatan kepada pesakit,” katanya lagi.

Tambahnya, aspek ketiga iaitu selamat adalah merujuk kepada pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan kampung untuk mengurangkan masalah jenayah.

Categories
SELANGOR

Pekawanis Bantu Pesakit Lymphoma Kronik

SUNGAI BULOH 5 DIS : Derita ditanggung pesakit Lymphoma Kronik, Rohaya Mohd Ariffin, 41, mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) yang bersedia menyalurkan bantuan kewangan.

Pengerusinya, Puan Sri Salbiah Tunut berkata, masalah dialami Rohaya adalah serius dan Pekawanis berharap pembedahan yang akan dijalaninya di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada Jumaat ini bakal menghasilkan keputusan positif.

Menurutnya, penyakit Rohaya yang mengidap barah kulit mendapat perhatian Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyarankan satu lawatan diadakan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Setelah berita tentang Rohaya disiarkan dalam akhbar, kita membuat lawatan ke rumahnya dan mendapati keadaannya kritikal.

?Kita berusaha membantu mendapatkan kerjasama pihak hospital dalam perkara ini.

“Kita akan terus membantu bagi meringankan bebanan ditanggung pesakit dan keluarganya.

?Pekawanis akan mengusulkan bantuan menerusi peruntukan Geran Selangorku sekiranya bantuan kewangan diperlukan dalam perkara ini,” katanya selepas melawat Rohaya di HSB di sini hari ini.

Turut serta dalam lawatan, Penyelaras DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri.

Rohaya dari Sungai Burung dimasukkan ke HSB hari ini dan dijangka menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat kira-kira 50 kilogram (kg) di badannya.

Suaminya, Hassan Zakaria, 47, berkata, isterinya menanggung derita itu lebih 30 tahun di mana dia pernah menjalani pembedahan buat kali pertama pada usia 11 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Bagaimanapun ketumbuhan tersebut berulang saban tahun dan sejak kebelakangan ini amat membimbangkan kerana saiznya yang membesar.

?Bagi keluarga berpendapatan rendah seperti kami memang ianya membebankan bagi mendapatkan kidmat perubatan.

“Pembedahan ini diharap dapat membantu dan kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin akan masalah kami,” kata pengawal keselamatan anak dua ini.