Categories
AGENDA NASIONAL

55 hotel tutup operasi akibat pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sebanyak 55 hotel ditutup sepenuhnya manakala 86 hotel ditutup sementara dari Mac 2020 hingga kini akibat pandemik COVID-19, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata hotel-hotel itu adalah hotel yang berdaftar dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan diiktiraf oleh MOTAC.

Beliau berkata berikutan penutupan sepenuhnya dan sementara hotel-hotel terlibat, dianggarkan lebih 8,000 pekerja sektor perhotelan dibuang kerja.

“Bagi menghidupkan semula aktiviti pelancongan dan kelangsungan pekerjaan sektor ini, pelbagai bantuan telah disediakan secara langsung menerusi pakej rangsangan ekonomi antaranya Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) contohnya bantuan kewangan secara one-off (sekali beri) kepada penggiat industri.

“Bantuan-bantuan lain seperti pelanjutan diskaun bil elektrik kepada penggiat industri, pengusaha hotel, pengendali taman tema dan sebagainya sehingga 31 Dis ini, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan serta penangguhan pembayaran ansuran cukai dan skim subsidi upah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Jefridin Atan berhubung jumlah hotel di negara ini yang terpaksa menutup operasi atau gulung tikar akibat pandemik COVID-19 dan bantuan yang diberikan MOTAC kepada pengusaha-pengusaha terlibat.

Menjawab soalan asal Jefridin mengenai inisiatif yang diambil MOTAC dalam memulihkan semula sektor pelancongan terutamanya melibatkan penyelenggaraan kawasan tumpuan utama, Santhara berkata sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan atau infrastruktur pelancongan dengan 89 projek sedang dilaksanakan di bawah peruntukan itu di seluruh negara sehingga kini.

Selain itu, beliau berkata melalui Belanjawan 2021, MOTAC juga diperuntukkan RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-kampung Budaya di empat negeri iaitu Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Secara umumnya, MOTAC sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan pelancongan sentiasa ditambah baik. Ini bagi membolehkannya menjadi tarikan kepada pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk setempat.

“Projek penyelenggaraan dan naik taraf juga telah dilaksanakan di kawasan tumpuan utama dan popular bagi memastikan ketersediaan infrastruktur pelancongan di tahap yang optimum serta selamat dikunjung menjelang pembukaan sektor pelancongan kelak,” katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu pengusaha hotel, Kerajaan Negeri pertimbang kurang cukai

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang memberi penangguhan atau pengurangan cukai kepada pengusaha hotel dan penginapan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata antara bantuan yang boleh dipertimbangkan kepada pengusaha terlibat adalah pemotongan cukai pintu, tanah serta permit.

“Kerajaan Negeri sedang bermesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung jumlah hotel dan persatuan untuk memberi pengurangan cukai.

“Kita perlu teliti kesan kepada setiap PBT kerana pemotongan cukai pintu dan tanah akan beri impak kewangan malah jika pemotongan sepenuhnya akan beri impak sangat teruk terhadap hasil kutipan PBT.

“Laporan lengkap berhubung cadangan ini akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berhubung pelan pemulihan industri pelancongan dan perhotelan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperuntuk sejumlah RM5.51 juta pada tahun lalu dan RM2.55 juta (tahun ini) menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin untuk memulihkan industri pelancongan.

“Melalui dua pakej ini enam inisiatif dilaksana antaranya insentif khas bersasar iaitu bayaran sekali bayar kepada penggiat industri pelancongan serta program agihan subsidi baucar pelancongan.

“Selain itu, promosi pelancongan giat dijalankan melalui pelaksanaan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ bagi merangsang ekonomi pelancongan domestik khususnya kepada sektor perhotelan dan industri berkaitan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Hotel, peniaga terpaksa tukar strategi niaga demi kelangsungan

PORT DICKSON, 13 FEB: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini memaksa hampir semua peniaga mahupun pihak perhotelan menukar strategi perniagaan mereka demi kelangsungan hidup.

Pengurus Hotel Klana Beach Resort Port Dickson Che Dzarudin Che Omar berkata pihaknya terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kos operasi dengan mengadakan jualan makanan secara bawa pulang, penghantaran kepada pelanggan dan hidangan bajet.

“Selain itu, kami juga mengadakan jualan but kereta di kawasan perumahan yang berdekatan dengan mempromosikan lauk-pauk Negeri Sembilan dengan harga berpatutan dan ia mendapat sambutan,” katanya kepada Bernama.

Mengakui hotel berkenaan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1 juta susulan pembatalan tempahan acara dan majlis serta tempahan bilik dalam tempoh PKP dilaksanakan, Che Dzarudin berkata pihaknya kini tidak boleh lagi bergantung kepada pendapatan tempahan bilik semata-mata.

“Pelaksanaan PKP ini bukan sahaja menggusarkan pekerja hotel malah pengurusan hotel juga turut berdepan tekanan kewangan yang tinggi untuk meneruskan perniagaan. Jadi, kami sedaya upaya mengukuhkan kedudukan kewangan agar pekerja sedia ada tidak berdepan dengan kemungkinan dibuang kerja,” katanya.

Peniaga gerai makanan dan minuman, Shahdan Mohd Shahlan, 26, turut menggunakan alternatif sama secara jualan but kereta di tempat-tempat tumpuan awam seperti di tepi pasar raya serta menerima tempahan penghantaran makanan memandangkan tidak ramai pelanggan yang datang ke gerainya.

“Kebiasaan awal-awal pagi sudah ramai pelancong dan orang awam memenuhi tempat saya terutama pada Sabtu dan Ahad tetapi sekarang sunyi dan sepi…nak terima dua atau tiga pelanggan pun agak susah sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan Haziz Hassan berkata negeri itu menyaksikan enam hotel terpaksa menutup sementara operasi sehingga 18 Feb.

Beliau berkata penutupan itu berikutan hotel berkenaan kehilangan tempahan lebih 80 peratus melibatkan tempahan bilik dan penganjuran kursus, seminar dan majlis keraian, susulan peningkatan kes Covid-19.

“Kami berharap agar pelaksanaan PKP dilonggarkan sedikit dengan membenarkan pelancong tempatan memanfaatkannya sekali gus boleh menggerakkan operasi perhotelan serta membantu pekerja yang terjejas.

“Kami tidak mahu lebih banyak hotel terpaksa menutup perniagaan masing-masing kerana kekurangan hasil pendapatan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hotel empat bintang buka gerai nasi bajet untuk kelangsungan operasi

KUALA TERENGGANU, 6 FEB: Demi kebajikan 156 pekerja dan kelangsungan operasinya, Duyong Marina & Resort (DMR) mengambil inisiatif mewujudkan gerai nasi bajet RM3 untuk menjana pendapatan sampingan.

Resort empat bintang milik kerajaan negeri Terengganu yang terletak di Pulau Duyong itu mula membuka operasi gerai itu berhampiran Jambatan Sultan Mahmud di sini pada Khamis lepas yang menawarkan aneka lauk berbeza setiap hari antaranya ayam goreng berempah, ikan goreng, gulai lemak ikan masin bersama nanas, sayur goreng, sambal telur dan sambal tenggiri limau.

Pengurus Besar DMR Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata ia adalah satu langkah drastik dan proaktif DMR agar tidak terlalu bergantung kepada perniagaan teras iaitu jualan bilik penginapan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

“Dalam situasi terkini begitu banyak hotel dan resort terpaksa gulung tikar akibat tidak mampu bertahan mengharungi kegawatan ekonomi, kita tidak mahu perkara sama berlaku terhadap DMR sehingga ada risiko pekerja dibuang.

“Sebab itu, kita buka gerai nasi bajet ini untuk menyuntik motivasi dalam kalangan 156 pekerja bahawa pihak pengurusan tidak ‘lepas tangan atau berpeluk tubuh’ sahaja dalam menghadapi situasi ekonomi yang mencabar ini, sebaliknya kita terus bersama-sama bekerja demi kelangsungan DMR,” katanya ketika ditemui pemberita di gerai tersebut hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Faizul berkata gerai nasi bajet itu juga memberi peluang kepada golongan B40 serta mereka yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 untuk menikmati makanan yang lazat dan berkhasiat pada harga yang sangat murah.

“Selain itu, DMR turut mengalu-alukan mana-mana syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang berminat mahu menyumbang nasi bajet ini kepada mana-mana pihak memerlukan termasuk petugas barisan depan sebagai menghargai jasa mereka,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mula beratur seawal 11 pagi untuk membeli nasi bajet yang disediakan resort itu dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang dipantau pengawal keselamatan DMR.

Ditanya mengenai persepsi negatif sesetengah pihak bahawa gerai nasi bajet DMR itu hanya akan menyebabkan lebih banyak persaingan kepada peniaga kecil-kecilan yang lain, Wan Mohd Faizul berkata perkara itu kurang tepat kerana ia bukanlah satu-satunya strategi DMR dalam menjana pendapatan ketika ini.

“Selain gerai ini, jualan makanan lain daripada DMR seperti ayam panggang marina tetap berjalan seperti biasa dengan kaedah ‘Cash on Delivery’ atau bawa pulang.

“Malah, kami turut mengadakan jualan promosi harga pakej penginapan beli satu percuma satu yang akan berakhir 18 Feb ini untuk mempelbagaikan sumber kewangan DMR. Pendapatan daripada gerai nasi bajet ini tidak sampai 10 peratus pun untuk DMR,” katanya sambil memaklumkan gerai nasi bajet itu tidak akan kekal, sebaliknya akan dihentikan apabila industri pelancongan mula pulih seperti sediakala.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor pelancongan terjejas teruk, perlukan bantuan terus bertahan

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Industri pelancongan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 memerlukan ‘bantuan pernafasan’ dari kerajaan jika ingin terus kekal bertahan sekali gus membantu ekonomi negara berkembang, kata pemain industri berkenaan.

Ramai kalangan pemain industri berpendapat Belanjawan 2021 untuk sektor pelancongan perlu dinilai semula, selain diberikan sokongan jauh lebih baik bagi membolehkan mereka terus berada dalam sektor berkenaan.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein berkata jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus berlanjutan sehingga akhir tahun ini tanpa sebarang bantuan dari kerajaan, sekurang-kurangnya 40 buah hotel bajet di kawasan bandar utama negara akan ditutup menyebabkan kira-kira 2,000 pekerja diberhentikan.

“Tiada jalan lain. Operator hotel tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan termasuk gaji pekerja. Bayangkan, untuk dapatkan tempahan bilik satu malam pun susah. Bagaimana kami dapat bertahan dalam masa sebulan dua ini?” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara bantuan boleh diberikan kerajaan selain peruntukan khas adalah lanjutan moratorium supaya pemain industri dapat memfokus dengan menyusun kembali kewangan syarikat.

Selain itu, beliau mendakwa Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion diumumkan kerajaan, begitu sukar diperolehi dan hanya tiga peratus sahaja permohonan daripada 2,300 ahli persatuan diluluskan kerana peraturan ketat dikenakan pihak bank.

Presiden Persatuan Pemandu-Pemandu Pelancong Bumiputera Malaysia, Zulkifli Ismail pula berharap Belanjawan 2021 dapat dikaji semula dengan memberi bantuan sekali bayar sekurang-kurangnya RM1,000 kepada pemandu pelancong yang merupakan barisan hadapan pelancongan negara.

Beliau berkata ini kerana kira-kira 80 peratus dari 9,000 ahli persatuan adalah petugas separuh masa yang tidak mempunyai gaji tetap dan terkesan teruk sejak PKP dilaksanakan sehingga terpaksa membuat kerja lain.

Katanya antara bantuan lain boleh disalur kerajaan adalah menyediakan kawasan khas kepada persatuan dan ahli untuk memasarkan produk pelancongan seperti kraf tangan dan pakaian, bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan negara.

Sementara itu Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berpandangan peruntukan kerajaan terhadap usaha membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur bangunan warisan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021, adalah tepat pada masanya.

Beliau berkata ketiadaan pelancong akibat pandemik Covid-19 membantu mempercepatkan lagi usaha berkenaan sekali gus memastikan bangunan warisan negara kekal terpelihara.

Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) Mohd Ali Ab.Malek pula mencadangkan supaya peruntukan khas diberikan kepada untuk sektor pelancongan, kerana selama ini hasil dari kutipan perbelanjaan pelancong banyak menyumbang selama berdekad-dekad lamanya.

“Peruntukan itu amat dinantikan komponen industri pelancongan yang terdiri dari agensi pelancongan dan pengembaraan, pengendali pelancongan, hotel dan rumah penginapan, pusat rekreasi dan taman tema, pengangkutan darat, pengendali makanan dan minuman serta pusat membeli-belah.

“Sektor pelancongan terjejas teruk. Industri sedang tenat dan kini hanya mengharapkan bantuan dari kerajaan,” tambahnya yang turut mencadangkan agar moratorium dilanjutkan sehingga pandemik Covid-19 selesai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Industri pelancongan perlu bantuan, tempahan hotel jatuh mendadak – MAH

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Industri pelancongan jelas memerlukan lebih banyak bantuan kerajaan, melihat kepada jumlah tempahan bilik hotel yang jatuh secara mendadak susulan peningkatan kes Covid-19 yang ketara, terutama sejak hujung September lepas, kata jurucakap Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yap Lip Seng berkata kaji selidik pihaknya baru-baru ini menunjukkan tempahan bilik hotel merudum ke tahap membimbangkan, sehingga hanya 35 peratus pada minggu pertama Oktober, 30 peratus pada minggu kedua dan hanya 20 peratus pada minggu akhir Oktober.

“Sehingga kini, daripada inisiatif yang diumumkan Belanjawan 2021, tidak banyak yang dilihat menyentuh soal kelestarian bidang pelancongan; selain subsidi gaji RM600 tiap seorang pekerja setiap bulan, perkara yang telah sekian lama disuarakan persatuan itu sebagai jumlah yang tidak mencukupi, melihat kepada perolehan daripada perniagaan sektor itu kini menjunam sehingga hampir 80 peratus.

“Pihak industri sering menggesa kerajaan menimbangkan jumlah lebih tinggi berasaskan kepada peratusan, mungkin 50 peratus kepada pekerja dengan pendapatan sehingga RM4,000 sebulan dan 30 peratus bagi pekerja yang memperoleh pendapatan antara RM4,001 dan RM8,000. Model ini dilaksanakan di banyak negara bagi menyokong industri dan melindungi pekerjaan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, lewat semalam.

Beliau berkata tanpa bantuan tunai yang mencukupi kepada sektor perhotelan, di samping membiarkan moratarium pinjaman kepada budi bicara institusi kewangan dan komersil; pemegang taruh industri terutama operator hotel dan pelancongan dilihat terbiar dan terpaksa membuat keputusan yang sukar di samping mengambil langkah drastik untuk kelangsungan hidup.

“Pihak industri ini bagaimanapun amat menghargai usaha kerajaan memberikan bantuan terus kepada pekerja sektor penerbangan yang terkesan, namun kerajaan perlu melihat kepada keadaan keseluruhan, yakni sektor penerbangan itu sendiri sebagai pemegang taruh penting dalam industri pelancongan, perlu dilindungi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hotel kurang sambutan, Selangor mahu bincang dengan pengusaha

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Selangor bakal bertemu pengusaha hotel di negeri ini untuk membincangkan isu pengunjung yang semakin berkurang susulan penularan Covid-19.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata peningkatan kes sejak September dikesan antara punca masalah tersebut berlarutan sehingga kini.

“Industri perhotelan di Selangor mahupun seluruh negara sakit sejak Mac tetapi semakin baik setelah rakyat tempatan memilih untuk melancong dalam negara.

“Bagaimanapun, peningkatan kes sejak seminggu lalu menjejaskan jumlah pengunjung, justeru kita akan bertemu pengusaha hotel untuk mencari penyelesaian,” katanya ketika dihubungi.

Pada 16 Julai lalu, SelangorKini melaporkan tiga hotel di Selangor terpaksa menghentikan operasi kerana terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kajian Tourism Selangor juga mendapati lebih 50 peratus pengusaha terjejas kerana perhotelan bukan perniagaan penting semasa PKP.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelombang baharu Covid-19: Sektor perhotelan bakal ‘sakit’ lagi

SEREMBAN, 11 OKT: Selepas menarik nafas lega apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lepas, sektor perhotelan di negara ini kembali berdepan tempoh getir susulan gelombang baharu penularan wabak Covid-19.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan panas Covid-19 serta peringatan agar orang ramai mengelakkan tempat sesak selain peningkatan kes harian wabak dalam tiga angka sejak akhir-akhir ini menyebabkan masyarakat memilih berada di rumah

Berdasarkan perkembangan semasa, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng menjangkakan berlaku penurunan kadar penginapan sekitar 15 peratus untuk tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, iaitu kerugian antara RM60 juta hingga RM100 juta bagi sektor itu.

Beliau juga berkata kaji selidik yang dijalankan mendapati sektor perhotelan negara ini dijangka mengalami kerugian sekitar RM6.3 bilion tahun ini, merangkumi RM3 bilion untuk enam bulan pertama dan RM3.3 bilion bagi enam bulan kedua.

“Dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sejak 18 Mac lepas, kadar penginapan hotel jatuh ke tahap paling rendah iaitu sekitar lima peratus sahaja, bagaimanapun pembukaan semula sektor pelancongan domestik bermula Jun lepas merancakkan kembali sektor perhotelan dengan kadar penginapan mencatat angka tertinggi 42 peratus semasa cuti panjang bersempena Hari Kebangsaan yang lalu,” katanya kepada Bernama.

Yap berkata penularan Covid-19 memaksa industri perhotelan bergantung pada pasaran domestik yang dijangka berlanjutan hingga pertengahan tahun depan.

Foto Wikipedia

Sementara itu, Pengerusi MAH Negeri Sembilan Haziz Hassan berkata mereka kehilangan tempahan lebih 50 peratus, merangkumi tempahan bermalam dan penganjuran kursus, seminar dan majlis keraian, susulan peningkatan kes Covid-19 sekarang.

“Selepas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) umum boleh rentas negeri Jun lepas, sektor perhotelan kembali rancak dan tempahan mula konsisten, tapi selepas kes Covid-19 semakin meningkat, kita terjejas semula dengan kebanyakan panggilan yang diterima ialah untuk membatalkan atau menangguhkan tempahan,” katanya.

Menurutnya pemulihan sektor itu akan mengambil masa dan beliau menjangkakan industri hanya dapat kembali stabil seawal-awalnya Jun tahun depan, bergantung pada situasi penularan wabak.

Katanya walaupun berdepan kekurangan pelanggan, hotel masih perlu terus beroperasi bagi memastikan penyelenggaraan, keselamatan dan kebersihan premis terjamin.

Tinjauan Bernama di sekitar pusat peranginan Port Dickson di sini baru-baru ini mendapati kehadiran orang ramai jelas tidak semeriah seperti sebelum ini selain kawasan pantai yang sering menjadi tumpuan pengunjung juga lengang.

Mereka yang ditemui Bernama juga menyatakan keberatan untuk melancong pada masa ini.

Antaranya penjawat awam dari Kuala Lumpur, Mohamad Shahriel Hamdan, 42, yang menyatakan dia membuat keputusan untuk tidak membawa keluarga bercuti sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya tidak mahu merisikokan keluarga saya, (kami akan) bercuti nanti bila keadaan sudah reda dan selamat,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun lepas Negeri Sembilan mencatatkan ketibaan pelancong seramai 6.43 juta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Hotel di Indonesia jadi hospital sementara rawat pesakit Covid-19

JAKARTA, 29 SEPT: Pemerintah Indonesia kini menjadikan hotel di Jakarta sebagai tempat kuarantin dan merawat pesakit Covid-19, berikutan peningkatan drastik jangkitan serta hospital di provinsi itu dilaporkan mula mencapai kapasiti penuh.

Ketua Bidang Kesihatan Masyarakat, Provinsi Jakarta, Fify Mulyani dalam siaran di YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata dua hotel iaitu Ibis Style di Mangga Dua, Jakarta Utara dan U Stay Hotel di Mangga Besar, Jakarta Barat dijadikan tempat kuarantin dan rawatan kepada pesakit Covid-19 bermula semalam.

Tanpa menyatakan jumlah pesakit yang sedang dirawat, beliau berkata kedua-dua hotel itu boleh menampung 212 (Hotel Ibis) dan 140 pesakit (Hotel U Stay).

Sementara itu Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia, Krisnadi dalam kenyataan berkata 30 hotel di Jakarta dikenal pasti untuk dijadikan hospital sementara bagi merawat dan tempat kuarantin pesakit Covid-19.

Pada 14 Sept lepas, Gabenor Jakarta Anies Baswedan menyatakan 67 hospital di Jakarta berada di tahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta kemudahan perubatan berikutan trend kes positif baharu di Jakarta secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan BNPB dalam laman Twitter rasminya @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 1,238 kes positif baharu dilaporkan di Provinsi Jakarta dalam tempoh 24 jam lepas.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes keseluruhan tertinggi di republik Indonesia iaitu 72,577 kes, dengan kematian keseluruhan 1,716 orang.

Berdasarkan data BNPB, Indonesia hari ini mencatatkan 4,002 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini 282,724 kes.

Sebanyak 132,496 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan di seluruh Indonesia.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, 128 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 10,601 orang.

-BERNAMA

Categories
EXCO

Tiga hotel gulung tikar sebab Covid-19

SHAH ALAM, 16 JULAI: Tiga hotel di negeri ini terpaksa menghentikan operasi kerana terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah Covid-19.

EXCO Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian berkata dua hotel lagi yang berdepan isu sama ditutup sementara sehingga hujung tahun ini.

“Sebahagian besar industri pelancongan terpaksa menutup operasi sepanjang PKP sekali gus memberi kesan kepada pendapatan penggiat industri,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian berkata kajian Tourism Selangor mendapati lebih 50 peratus responden terpaksa menutup operasi kerana perhotelan bukan perniagaan penting semasa PKP.

“Hal ini secara kasar mengakibatkan banyak penggiat industri pelancongan terpaksa menghentikan operasi dan mungkin muflis,” katanya.

Categories
AGENDA PELANCONGAN

AirAsia, hotel tempahan tawar pakej harga terbaik, lebih jimat

KUALA LUMPUR, 18 JUN: AirAsia bekerjasama dengan hotel tempatan untuk menawarkan harga terbaik dengan lebih penjimatan menerusi platform tempahan penerbangan dan kombo hotel, SNAP.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata SNAP memanfaatkan rangkaian luas AirAsia yang meliputi lebih daripada 160 destinasi AirAsia untuk memberikan harga terbaik untuk tiket penerbangan dan pada masa sama menjalinkan kerjasama dengan rakan niaga hotel untuk menawarkan harga bilik berpatutan.

“Ini memberi faedah secara langsung kepada pengguna dengan menawarkan keselesaan, penjimatan yang lebih besar dan harga berpatutan, seterusnya ia juga dapat membantu mempercepatkan pemulihan pelancongan domestik,” katanya.

Pada masa yang sama, ia berkata rakan niaga hotel dapat memanfaatkan sumber ekosistem AirAsia yang kukuh, termasuk jumlah pelawat yang tinggi di laman sesawangnya, airasia.com, pangkalan data pengembara yang ketara serta kempen pemasaran berfokus kepada destinasi dilengkapi dengan strategi kreatif berdasarkan pengalaman luas syarikat penerbangan itu dalam industri pelancongan.

Hotel yang tersedia bagi kempen jualan SNAP itu melibatkan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang, antaranya ialah The Chow Kit – An Ormond Hotel, MoMo’s Kuala Lumpur, Tune Hotel, Lexis Port Dickson, Vouk Hotel Suites.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPRM siasat hotel Felda Investment Corporation Sdn Bhd di Sarawak

SHAH ALAM, 27 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pembelian sebuah lagi hotel oleh anak syarikat FELDA iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Badan pencegahan rasuah itu berkata, hotel bertaraf empat bintang yang terletak di Kuching, Sarawak itu dipercayai dibeli pada harga lebih tinggi daripada harga asal.

Menurut sumber SPRM, siasatan berhubung pembelian hotel itu dibuat susulan siasatan berkaitan pembelian hotel oleh FIC di kota London, antara tahun 2013 dan 2015.

SPRM“Maklumat awal yang diterima pasukan penyiasat menunjukkan pembelian hotel itu mengakibatkan kerugian ratusan jutaan ringgit kepada FIC.

“Pasukan penyiasat kini sedang menilai maklumat yang diterima dan dijangka akan pergi ke pejabat FIC di beberapa lokasi untuk mendapatkan dokumen serta maklumat berkaitan pembelian hotel itu, dalam masa terdekat,” kata kenyataan SPRM yang dipetik daripada MalaysiaKini, hari ini.

Kenyataan itu juga menjelaskan, Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah memulakan proses mengumpul maklumat berhubung pembelian hotel berkenaan.

Beliau berkata, suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan sama ada terdapat unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam proses pembelian terbabit.

Minggu lalu, SPRM menahan dua ejen harta tanah berkaitan pembelian hotel dengan harga yang tinggi hingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit membabitkan FIC.