Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Perincian warta semula hutan simpan dibentang bulan ini

SHAH ALAM, 9 DIS: Perincian bagi pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bulan ini.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata status terkini merangkumi pembahagian lokasi yang benar-benar terlibat yang sedang dikemas kini oleh beberapa agensi negeri.

“Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat dan Jabatan Perhutanan Selangor perlu bentangkan perincian itu kepada Kerajaan Negeri yang dijangka Disember 2021,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Banting Lau Weng San berhubung status terkini pewartaan HSKLU pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian memaklumkan sekitar 486.2 hektar daripada kawasan HSKLU lulus untuk diwartakan semula selepas mengambil kira keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Proses penyahwartaan HSKLU hanya seluas kira-kira 42 hektar bagi penyelesaian isu milikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru yang tertangguh sejak 2006 dan jajaran laluan paip air mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas kira-kira 8.5 hektar,” katanya.

Pada 8 September, Kerajaan Selangor membatalkan keputusan untuk menyahwarta hutan simpan berkenaan kecuali bagi pemilikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan MMKN juga memutuskan sebahagian kecil kawasan kekal dinyahwarta untuk pertimbangan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pengarah: Pulihara HSKLU telan kos jutaan ringgit, mudah terbakar (SOAL JAWAB)

SHAH ALAM, 10 SEPT: Sebanyak 536.7 hektar daripada keseluruhan 991.90 Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dinyahwarta susulan kemerosoton 40 peratus kawasan hutan itu.

Hutan simpan Sungai Panjang di Sabak Bernam, Ampang Pechah (Hulu Selangor) dan Bukit Broga (Hulu Langat), keseluruhannya seluas 581.48 hektar, menggantikan lokasi tersebut.

Wartawan Khairul Azran Hussin dan Amin Ridzuan Ishak mewawancara Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid bagi mendapatkan perincian.

Temu bual itu dibuat dua hari sebelum Kerajaan Negeri menarik balik nyahwarta pada 8 September kecuali tanah Kampung Orang Asli Busut Baru dan rancangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Tiga kawasan gantian kekal sebagai hutan simpan.

Boleh Dato’ ulas perkara berbangkit berkaitan Orang Asli susulan cadangan menyahwarta sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU)?

Asalnya mereka dipindahkan apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibina di Sepang. Mereka dipindah ke kawasan berhampiran HSKLU. Sebenarnya bukan dalam hutan simpan sebaliknya diberi tanah kerajaan lain.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketika itu, mereka dijanjikan Kerajaan Negeri (zaman Barisan Nasional) tanah seluas 1,000 ekar. Isu yang sering dibangkit adalah kawasan tidak cukup, hanya 870 ekar. Bermaksud kekurangan lebih 100 ekar. Melalui nyahwarta, kita cukupkan rizab itu. Salah satu komponen nyahwarta HSKLU adalah mencukupkan rizab tersebut. Jadi, Kerajaan Negeri (sekarang) cukupkan kepada 1,000 ekar kepada mereka yang berpindah supaya tiada lagi isu tuntutan.

Maksudnya, kerajaan melunaskan janji memberi penempatan kepada Orang Asli di sekitar Kuala Langat. Itu janji dan kerajaan tepati walaupun ambil masa lebih 20 tahun. Tetapi kita berjaya selesaikan isu Orang Asli.

Dalam isu HSKLU, ada beberapa kawasan diteroka sejak Orang Asli berpindah ke sana. Sebahagiannya dijadikan jadi rizab untuk mereka. Tetapi ada kawasan lain yang turut ditanam. Kita tengok macam mana sama ada pihak berkuasa negeri beri permit atau musnahkan. Perkara itu akan diputuskan kemudian.


Benarkan dakwaan ada tanah perkuburan Orang Asli di HSKLU?

Ada ditunjukkan satu kubur, satu sahaja. Dalam lawatan dengan EXCO alam sekitar (Hee Loy Sian), berkemungkinan penduduk berpindah dari Sepang mengebumikan mayat di hutan simpan.

Asalnya HSKLU dikategori hutan pengeluaran, aktif keluar kayu balak berdasarkan pengurusan hutan. Konsepnya keluar pokok kayu matang dan cukup had batasan tebangan. Ada ditinggal untuk pusingan seterusnya. Sebab itu, kita tidak jangka ada Orang Asli. Kalau ada daripada awal, mesti ada bantahan aktiviti pembalakan tetapi tiada.


Benarkah dakwaan sumber makanan penduduk Orang Asli terjejas jika nyahwarta diteruskan. Apakah pula spesies haiwan terdapat di HSKLU?

Dari segi pencarian makanan dan kebergantungan Orang Asli kepada hutan, ada hidupan liar untuk sumber daging. Spesies HKSLU banyak mamalia kecil, contohnya musang dan tupai. Tiada mamalia besar macam gajah, seladang, harimau dan badak. Mungkin ada tapir tetapi sepanjang pengetahuan saya tiada.

Saya tidak pasti kegunaan hidupan liar kecil kepada Orang Asli. Secara am, kita tidak nampak kebergantungan Orang Asli terhadap kawasan itu untuk mencari makanan. Mengapa? Sebab kawasan itu aktif pembalakan. Jadi, jika ada kebergantungaan itu, tentu sejak mula lagi mereka bantah proses pembalakan.


HSKLU diklasifikasi berisiko tinggi kerana mudah terbakar. Boleh Dato’ jelaskan usaha Jabatan Perhutanan negeri dan agensi lain untuk mencegahnya?

Secara purata sejak awal tahun 2000 kawasan itu terbakar. Jika memandu di lebuh raya berhampiran, boleh nampak asap. Kebakaran memusnahkan banyak pokok. Bila tumbuh semula, nampak dari atas memang hijau, tetapi pokok baru hendak naik kadang-kala terbakar semula.

Secara am, keseluruhan HSKLU kategori hutan paya gambut. Namun, kawasan itu tersisih dari kompleks hutan besar. Maksudnya, jadi ‘pulau’ dan dihimpit pembangunan pesat di sekeliling hingga menyebabkannya tersepit.

Ditambah lagi penerokaan haram, buat tanaman kontan dan sawit yang menambah tekanan kepada hutan. Ada program pulihara tetapi kita berdepan pencerobohan dan kebakaran. Kita tanam, tahun depan terbakar.

Kos menanam kawasan rosot termasuk penyelenggaraan dan rawatan mencecah RM30,000 satu hektar. Untuk cegah kebakaran, kita bina parit dan telaga tiub untuk mendapat bekalan air secukupnya apabila berlaku kebakaran.

Kita juga mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar yang menggajikan anggota Rela. Bina menara untuk kesan penceroboh. Di Malaysia, banyak kebakaran akibat perbuatan manusia. Ada pemancing tangkap ikan. Buat unggun dan merokok. Ia menyebabkan hutan terbakar. Inilah konflik Jabatan Perhutanan negeri. Kos tinggi dan berdepan masalah sama setiap tahun.


Difahamkan proses ini mengambil masa lama untuk dilulus selain pelbagai prosedur termasuk sesi pendengaran awam. Boleh Dato’ jelaskan perjalanannnya?

Dalam kes HSKLU, cadangan diterima sejak 2014 lagi. Lama orang memohonnya. Pada 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan satu permohonan untuk dibangunkan. Dari situ, baru ada peranan Jabatan Perhutanan negeri. Namun, Selangor ada syarat supaya perlu adakan proses pendengaran awam untuk mendapat pandangan pelbagai pihak.

Pada 2020, pendengaran dibuat. Kita terima ulasan dan pandangan semua pihak termasuk dari luar negara. Selepas proses itu, kita iklankan, buat sesi pendengaran awam sebanyak tiga kali. Jawatankuasa pendengaran awam ditubuh dan dipengerusikan EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian yang turut dianggotai agensi teknikal.

Jawatankuasa ini akan putuskan sama ada hendak teruskan nyahwarta atau sebaliknya. Bukannya Jabatan Perhutanan seperti sangkaan ramai. Kita sebagai penjaga cuma hendak pastikan hutan itu kekal. Dasar di Selangor, sekurang-kurangnya 30 peratus keluasan kekal hutan simpan. Dasar itu masih kekal. Sekarang keluasan hutan 31.6 peratus daripada seluruh keluasan negeri.


Boleh Dato’ jelaskan jumlah aduan dalam sesi pendengaran dan proses selepasnya?

Memang apabila kita buat pendengaran awam, hampir semua bantah dengan pelbagai alasan berulang dan disokong beberapa individu atau badan bukan kerajaan (NGO). Laporan pendengaran awam kita sediakan, kategorikan dan bentangkan kepada jawatankuasa pendengaran awam. Tugasan kami hanya itu. Yang lain terserah jawatankuasa untuk tentukan. Ia dianggotai agensi negeri dan persekutuan. Bukan hanya wakil Selangor, ada dari kementerian dan wakil teknikal dari kerajaan pusat.

Hasil perbincangan selepas menilai bantahan, saya tidak pasti kerana tidak hadir. Tetapi ada wakil dari Jabatan Perhutanan. Semua beri ulasan, akhirnya bantahan didapati tidak begitu kukuh untuk kekalkan kawasan itu. Keputusan dipersetujui untuk nyahwarta.

Keputusan itu dibawa kepada EXCO untuk diputuskan, barulah dibawa keluar. Sebab itu, kita kata proses itu bukan mudah. Kalau kita tengok, bermula 2014 hingga 2021, hendak nyahwarta ambil masa tujuh tahun. Harus lalui pelbagai proses. Pihak berkuasa kerajaan negeri akhirnya putus atas faktor pembangunan sosioekonomi negeri, maka dinyahwarta dan diganti kawasan lain.


Bagaimana penilaian Jabatan Perhutanan terhadap tiga kawasan gantian itu?

Menariknya, Jabatan Perhutanan dapat kawasan ganti yang kualitinya lebih baik. Pertama, dari segi kedudukan hutan simpan. Kita dapat hutan simpan di Ampang Pechah, Hulu Selangor, Bukit Broga, Semenyih yang terkenal dengan kegiatan pendakian dan Sungai Panjang, Sabak Bernam yang juga hutan simpan paya gambut.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kenapa saya kata lebih baik? Hutan simpan di Sungai Panjang dan Ampang Pechah merupakan tambahan kepada kompleks hutan sedia ada. Bukannya tersisih. Kita boleh perbesarkan dan memudahkan kawalan. Memang Bukit Broga tersisih tetapi ia sebagai sebuah bukit lebih mudah dikawal.

Kita sebenarnya telah lama minta dijadikan hutan simpan. Tetapi agak sukar untuk tukar tanah kerajaan kepada hutan simpan. Banyak daerah perlukan tanah untuk pembangunan.

Oleh sebab kompleks ini belum terusik dan diceroboh, kita boleh kata Jabatan Perhutanan bertuah kerana dapat kawasan gantian itu.


Boleh Dato’ jelaskan lebih lanjut keistimewaan dua kawasan gantian terbabit?

Kawasan gantian di Sungai Panjang dan Ampang Pechah menyambung kompleks hutan lebih besar. Kalau tengok dalam konteks Selangor mungkin tidak besar sangat. Tetapi ia sebenarnya kompleks hutan Banjaran Titiwangsa mengunjur dari Utara bawa ke Selatan hingga ke Johor.

Maksudnya, Selangor menyumbang kepada kompleks lebih besar. Ia bersambung di sempadan dengan hutan simpan Pahang manakala di sebelah utara bersambung dengan hutan simpan di Perak. Di bahagian bawah pula mengunjur ke hujung banjaran iaitu di Hutan Simpan Panti, Johor. Ia bermula dari Hutan Simpan Bintang Hijau, Kedah.

Kompleks ini penting untuk tulang belakang hutan tengah (CFS). Kita bertuah kerana dapat menambah keluasan. Ini penting untuk menjadi kawasan perayauan spesies mamalia besar seperti harimau, gajah selain hidupan liar rusa serta beruang. Mereka memerlukan kawasan luas dan tidak terusik. Maksudnya konflik manusia dan haiwan dapat dikurangkan.

Keluasan HSKLU pula tidak boleh ditambah kerana dihimpit pembangunan. Sukar buat pemuliharaan atas sebab pencerobohan dan saban tahun terbakar. Mungkin ada yang membangkitkan kepentingan menjaga spesies endemik. Dalam zaman sains dan teknologi, ia boleh dibawa dan tanam semula. Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Selatan tidak selamat kerana terdedah kepada kebakaran. Baru hendak cambah sudah terbakar.

Jabatan Perhutanan negeri berbelanja hampir RM1 juta untuk lawan kebakaran tahun lalu. Tahun ini RM500,000 perbelanjaaan mengaktifkan pam, beli peralatan dan bayar elaun. Kos memadam kebakaran lebih tinggi berbanding penanaman pokok.

Apabila buat penanaman di kawasan terosot, dua tiga tahun selepas itu terbakar. Kira-kira 90 peratus punca kebakaran akibat manusia. Jarang petir jadi punca kerana hutan kita bukan terlalu kering hingga kena petir hutan boleh terbakar.


Apakah HSKLU mempunyai ciri-ciri hutan simpan baik?

Umumnya semua hutan ada peranannya. Tidak dinafikan ia mampu menjadi tebatan banjir, menyerap karbon dan mengeluarkan oksigen. Sesebuah kawasan seluas 0.5 hektar yang ada pokok boleh dikategori sebagai hutan.

Kompleks hutan kita ada kepelbagaian spesis dan banyak belum dikenal pasti. Cuma dahulu, sebut hutan orang kaitkan dengan pembalakan. Sekarang masyarakat tahu fungsinya yang lain. Hanya dengan kualiti baik, hutan dapat berfungsi. Contohnya Hutan Simpan Raja Musa yang komponen spesiesnya tidak terganggu dan kompleksnya lebih besar membolehkannya menjalankan fungsinya.

Tetapi hutan simpan kecil seperti HSKLU hanya tinggal 1,000 hektar. Sebahagian besarnya belukar akibat diteroka dan terbakar. Fungsinya ada tetapi kualitinya kurang. Sebab itu, kita bertuah mendapat gantian lebih baik.

Hanya 56 peratus HSKLU yang dinyahwarta. Masih ada baki kekal hutan termasuk kubur dan penempatan Orang Asli. Kawasan dinyahwarta hanya kawasan mudah terbakar dan diceroboh.

Jabatan juga akan cuba menentusahkan dakwaan segelintir pihak bahawa ada spesies tertentu di HSKLU. Kita akan minta mereka tunjukkan supaya pemuliharaan dapat dibuat. Kalau betul ada musang pandan seperti dakwaan, kita akan minta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tangkap, pelihara dan biakkan di kawasan lebih selamat.

Spesies endemik yang didakwa hanya ada di HSKLU juga akan ditentukan. Misalnya, Meranti Paya yang dikatakan ada di situ tetapi sebenarnya juga ada tempat lain. Pokok itu juga ada di Hutan Raja Musa dan Sungai Panjang. Dari segi kepentingan kurang kerana ada di hutan lain.


Apakah ulasan Jabatan Perhutanan Selangor terhadap cadangan nyahwarta sebahagian HSKLU?

Biasanya kita tidak sokong kerana membabitkan hutan simpan. Sebab itu, orang kata tengok Jabatan Perhutanan pun bantah. Memang betul tetapi kita beri syarat. Jika diluluskan mereka kena ganti. Dalam Akta Perhutanan pun bukan kata tidak boleh langsung (nyahwarta) tetapi harus diganti dengan keluasan dan kualiti sama. Apabila Kerajaan Negeri bermesyuarat, ada timbang tara dan kajian dari segi kepentingan sosioekonomi, kita terima. Syaratnya harus diganti.


Bahagian HSKLU yang dinyahwarta terletak berhampiran pembangunan. Berdasarkan pengalaman, apakah risiko terhadap kawasan hutan simpan yang tepu pembangunan di sekitarnya?

Apabila buka kawasan bersempadan, tentu terdedah kepada penerokaan dan pencerobohan. Contohnya ada orang menceroboh untuk tanam pisang di tanah seluas satu ekar. Kalau 20 orang, maka 20 ekar dibuka. Lama kelamaan jadi luas.

Kedua, timbul banyak isu penguatkuasaan kerana banyak aduan bakal diterima termasuk pencerobohan bagi aktiviti riadah. Contohnya, Bukit Lagong, Taman Templer, Selayang sering ada aduan orang mendaki dan masuk tanpa kebenaran. Setiap aduan harus ada tindakan. Ikhlasnya kami tidak mampu kesan semua pencerobohan kerana sempadan hutan luas.

Maksudnya NGO dan aktivis alam sekitar kena terima hakikat HSKLU tidak lagi selamat untuk spesies flora dan fauna?

Mereka kena terima hakikat. Kita tidak boleh kawal kebakaran saban tahun. Tahun ini hampir RM2 juta dibelanja. Bomba contohnya terpaksa guna pesawat amfibia dan kerah 100 anggota.

Saya faham NGO mempertahan hak Orang Asli. Tetapi adakah kita hendak melihat Orang Asli terus duduk di hutan? Adakah kita tidak mahu Orang Asli mengikut arus pembangunan?

Langkah kerajaan banyak bawa arus pembangunan kepada Orang Asli.

Kita bukan hendak hilangkan budaya mereka, boleh diteruskan di kampung baharu. Adakah kita hendak biarkan mereka kais pagi makan pagi dengan kutip herba dan berburu sedangkan tiada haiwan di HSKLU.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kekal hijau, nasib Orang Asli negeri terbela

SHAH ALAM, 9 SEPT: Selangor sangat peka usaha pemuliharaan hutan. Jika kawasan hutan simpan dinyahwarta, Kerajaan Negeri mesti mengganti tanah yang sama luas agar kekal 30 peratus hutan simpan di seluruh Selangor.

Sehingga kini, Selangor mempunyai 250,860 hektar hutan simpan kekal atau 31.63 peratus keluasan tanah negeri.

Pada 8 September, Kerajaan Negeri membatalkan nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas 536.70 hektar walaupun mengikut lunas undang-undang.

Bagaimanapun, ia mengekal keputusan nyahwarta seluas 42.1 hektar bagi memberi tambahan tanah kepada Orang Asli di Kampung Busut Baru dan sejumlah tanah yang dirancang untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Wartawan AFIX REDZUAN menyusun maklumat isu nyahwarta 536.7 hektar HSKLU dan hutan gantian baharu seluas 581.48 hektar di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Kawasan nyahwarta

  • luas asal 991.9 hektar
  • nyahwarta 536.7 hektar dibatalkan
  • hutan simpan ditambah tiga kawasan gantian
  • pelan pembangunan dihentikan
  • batalkan beri milik tanah kepada syarikat

Kawasan kekal dan gantian

  • sebelum dibatalkan, hanya 455.2 hektar kekal
  • rizab hutan simpan Selangor makin luas
  • hutan gantian lebih besar, 581.48 hektar
  • nilai kepelbagaian hayat (biodiversity) sama atau lebih baik
  • hutan ganti jenis gambut, bukit

Penempatan Orang Asli

  • di luar kawasan nyahwarta hutan
  • Kampung Orang Asli Busut Baru kekal
  • tambah lagi 42.1 hektar
  • jumlah rizab Orang Asli 404.7 hektar (1,000 ekar)
  • bukan penduduk asal
  • dipindah dari Sepang akibat projek lapangan terbang KLIA
  • tiada kesan binaan asal

Hutan gantian di Sabak Bernam

  • PT 4182, mukim Sungai Panjang
  • seluas 308.62 hektar
  • jenis hutan gambut seperti HSKLU
  • spesies flora sama dengan HSKLU
  • spesies fauna banyak daripada HSKLU
  • pH tanah lebih berasid

Hutan gantian di Hulu Selangor

  • Ampang Pechah, mukim Buloh Telor
  • seluas 208.98 hektar
  • jenis hutan bukit
  • lengkapkan rangkaian ekologi hidupan liar
  • spesies flora banyak daripada HSKLU
  • spesies fauna kurang daripada HSKLU
  • pH tanah lebih kurang dengan HSKLU

Hutan gantian di Hulu Langat

  • Bukit Broga, mukim Semenyih
  • seluas 63.99 hektar
  • jenis hutan bukit
  • nilai ekopelancongan tinggi
  • antara kawasan pendakian utama

TARIKH PENTING

2008 – Kerajaan Selangor tetapkan 30 peratus daripada luas seluruh negeri sebagai kawasan hutan

2012 – 2017 Seluas 359.6 hektar HSKLU terbakar, termasuk 132.0 hektar pada 2014
Nilai hutan merosot antara 30 hingga 40 peratus dalam tempoh tersebut

2014 – Kerajaan Negeri terima permohonan bangunkan sebahagian HSKLU

2016 – Jabatan Perhutanan sedia Pelan Pengurusan Kebakaran Hutan bagi HSKLU dan HSKL Selatan 2017-2021

16 Oktober 2019 – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) rancang majukan 931.2 hektar kawasan HSKLU

28 September 2020 – Siasatan awam selama dua hari libatkan 39 pihak

20 Januari 2021 – Jawatankuasa Penyiasatan Awam bentang laporan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES)

20 Februari Kerajaan Negeri senarai empat kawasan gantian, termasuk hutan paya gambut, jika HSKLU dinyahwarta
Kerajaan Negeri jelaskan kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli dalam kawasan 404.7 hektar tidak termasuk dalam proses nyahwarta

14 April – Jabatan Perhutanan maklumkan kebakaran berterusan punca HSKLU dikategori berisiko tinggi (zon merah) dalam Pelan Pengurusan Kebakaran Hutan bagi kawasan tersebut

19 Mei – MMKN putuskan hanya 536.7 hektar atau 54.1 peratus sahaja dinyahwarta daripada 991.9 hektar yang dicadang

27 Ogos – Dewan Negeri Selangor dimaklum keputusan nyahwarta, ikut semua perundangan dan prosedur, termasuk penyiasatan awam

8 September – Kerajaan Negeri batal nyahwarta HSKLU kecuali 42.1 hektar tanah Orang Asli dan jajaran ECRL yang dirancang
Tiga kawasan gantian kekal dirizabkan hutan simpan

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pengarah: Hingga 40 peratus HSKLU rosak, kos RM1 juta pulih hutan tahun lalu

OLEH KHAIRUL AZRAN HUSSEIN

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sebanyak RM1 juta diperuntuk Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk membantu memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada tahun lalu sahaja.

Pengarahnya Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata lebih RM500,000 pula dihabiskan setakat Ogos tahun ini bagi kos lain termasuk penyelenggaraan pam, pembelian peralatan dan elaun kakitangan.

Beliau juga menjelaskan angka tersebut belum termasuk perbelanjaan pemuliharaan RM30,000 bagi setiap hektar untuk merawat kawasan yang mengalami kebakaran termasuk menanam pokok.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita juga mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar yang menggajikan anggota Rela selain membina menara untuk mengesan pencerobohan,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut angka JPNS, seluas kira-kira 359.6 hektar HSKLU terbakar sepanjang 2012 hingga 2017, termasuk 132.0 hektar hangus ketika kebakaran paling teruk pada 2014.

Daripada jumlah kawasan kebakaran tersebut, yang merosakkan 30 hingga 40 peratus flora HSKLU, seluas 95.6 hektar hangus pada 2017, 82.0 hektar (2013) dan 50.0 hektar lagi pada 2012.

Ahmad Fadzil juga kesal berikutan segelintir masyarakat sering menyalahkan JPNS seolah-olah ia tidak pernah menjalankan tugas untuk memulihkan HSKLU.

“Hakikatnya, kita sudah melakukan banyak usaha pemulihan tetapi baru dua atau tiga tahun tanam dan pokok baru hendak besar, kebakaran berlaku lagi.

“Lebih mengecewakan kebakaran berpunca sikap manusia, ada yang ceroboh hutan untuk aktiviti tanaman atau buang puntung rokok,” katanya.

Kerja-kerja mengawal kebakaran dilakukan anggota bomba di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

HSKLU yang sering terbakar mengalami kemerosotan nilai kepelbagaian flora dan fauna. Apabila 536.7 hektar dinyahwarta, Kerajaan Negeri mengganti kawasan lebih besar seluas 581.48 hektar dengan nilai kepelbagaian flora dan fauna yang lebih baik di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Kerajaan Negeri juga meluluskan nyahwarta lebih kurang separuh sahaja HSKLU daripada 991.9 hektar setelah mendapat maklum balas orang ramai dalam penyiasatan awam yang mengambil masa lebih setahun.

Kawasan penempatan Orang Asli di Kampung Busut Baru tidak terjejas dengan nyahwarta tersebut, malah Kerajaan Negeri mewartakan tambahan 42.1 hektar lagi bagi meningkat rizab tanah mereka.

Namun keputusan nyahwarta ini sedang disemak semula oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemaju wajib nilai kesan alam sekitar, kekal zon hijau hutan simpan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Selangor mewajibkan pemaju menjalankan penilaian kesan alam sekitar dan sosial di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang dinyahwarta.

Pengarah Perhutanan Selangor berkata Gabungan Indah Sdn Bhd yang diberi milikan juga perlu memastikan 20 peratus daripada pembangunannya kekal zon hijau.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid dalam kenyataan hari ini turut mengingatkan syarikat pemaju itu untuk menjalankan translokasi spesis flora dan fauna berkepentingan.

“Justeru, Kerajaan Selangor telah mengambil kira semua aspek dalam membuat keputusan yang terbaik berkaitan penyahwartaan HSKLU.

“Keputusan ini juga selaras matlamat pembangunan Selangor ke arah kestabilan sosio ekonomi, dinamik, mampan dan lestari,” katanya.

Pada 5 Februari tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Satu sesi pendengaran awam dianjurkan pada 27 September tahun sama bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan
ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar sah nilai biodiversiti hutan gantian setaraf HSKLU

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kajian pakar perunding UPM Consultancy & Services Sdn Bhd mengesahkan kawasan yang dipilih menggantikan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) mempunyai nilai biodiversiti hampir sama.

Pengarah Perhutanan Selangor berkata kawasan gantian seluas 581.48 hektar menggantikan 536.7 hektar yang dinyahwarta terletak di mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam (308.62 hektar); Ampang Pechah, mukim Buloh Telor, Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, Mukim Semenyih, Hulu Langat (63.88 hektar).

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid memaklumkan hutan paya gambut di Mukim Sungai Panjang sama jenis hutan dengan HSKLU manakala di Ampang Pechah dan Bukit Broga terdiri jenis hutan bukit.

“Kawasan gantian Ampang Pechah mempunyai kepentingan koridor rangkaian ekologi hidupan liar dikenali sebagai tulang belakang hutan tengah (CFS) seperti ditetapkan dalam Rancangan Fizikal Negara ketiga.

“Selain itu kawasan Bukit Broga mempunyai nilai ekopelancongan yang tinggi dan merupakan antara tarikan kawasan pendakian utama di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Satu sesi pendengaran awam dianjurkan pada 27 September tahun sama bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan
ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor kekalkan 46 peratus Hutan Simpan Kuala Langat Utara

SHAH ALAM, 1 SEPT: Selangor masih mengekalkan kira-kira 46 peratus kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sebagai hutan simpan kekal (HSK).

Pengarah Perhutanan Selangor berkata hanya 1,326.33 ekar diluluskan untuk dinyahwarta oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang disahkan pada 19 Mei.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid menjelaskan seluas 1,436 ekar turut diluluskan sebagai kawasan gantian melibatkan Mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam (762.29 ekar).

Sementara Ampang Pechah, Mukim Buloh Telor, Hulu Selangor sebanyak 516.40 ekar manakala Bukit Broga, Hulu Langat seluas 157.86 ekar.

“Kerajaan Selangor masih mengekalkan kira-kira 46 peratus daripada HSKLU, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat sebagai hutan simpan kekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Satu sesi pendengaran awam dianjurkan pada 27 September tahun sama bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan
ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Categories
AGENDA NASIONAL

Siasat lebih setahun sebelum putus nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara

SHAH ALAM, 1 SEPT: Jawatankuasa Penyiasatan Awam meneliti lebih setahun berhubung cadangan menyahwarta sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor berkata semua bantahan yang diterima turut dikumpulkan dan diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan lanjut.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid menjelaskan cadangan yang diterima daripada Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat pada 14 November 2019 membabitkan kawasan seluas 991.90 hektar.

“Berdasarkan Seksyen 11, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2011), pihak berkuasa negeri boleh menyahwarta kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi kegunaan ekonomi lebih tinggi daripada kegunaan masa kini dengan syarat melalui penyiasatan awam.

“Berdasarkan Seksyen 12 enakmen yang sama keperluan untuk menggantikan kawasan HSK yang dinyahwarta dengan kawasan yang hampir sama atau lebih baik daripada segi ekologi dan keluasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Satu sesi pendengaran awam dianjurkan pada 27 September tahun sama bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan
ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri kaji bangunkan hutan simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri masih mengkaji cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk pembangunan.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata keputusan itu memerlukan kajian menyeluruh melibatkan kesan terhadap alam sekitar, ekonomi dan sosial.

“Proses pemansuhan atau pewartaan keluar hutan simpan perlu melalui proses ketat, kita kena memperhalusi semua perkara termasuk mengumpul pandangan diberikan.

“Justeru proses ini masih di peringkat Laporan Penyiasatan Awam dan sehingga kini tiada keputusan dibuat,” katanya menyampaikan ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Pada 20 Februari, Dato’ Menteri Besar berkata kira-kira 40 peratus HSKLU rosak disebabkan kebakaran dan pencerobohan termasuk tiada elemen hutan dara.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri mencadangkan dua lokasi hutan ganti terletak di Sungai Panjang, Sabak Bernam manakala dua lagi di Kuala Selangor dan Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu.

Hutan simpan yang dicadangkan bercantum dengan Hutan Simpan Raja Muda Musa iaitu kawasan hutan paya gambut terbesar di Semenanjung Malaysia.