Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MySejahtera mohon maaf, salah beri status perintah pengawasan, pemerhatian

SHAH ALAM, 7 NOV: Aplikasi MySejahtera memohon maaf atas kesilapan teknikal membabitkan pemberian status perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dan individu dalam pemantauan (PUS) kepada beberapa individu.

Aplikasi itu menerusi Twitternya @my_sejahtera hari ini berkata pihak sudah mengenal pasti punca perkara itu berlaku dan status HSO dipadamkan manakala status PUS yang salahh dibetulkan.

“Selamat pagi semua, kami memohon maaf atas kesilapan kami yang membenarkan pengguna rawak diberikan status HSO/PUS.

“Kami telah kenal pasti punca yang membuatkan perkara ini berlaku. Semua HSO yang salah dipadamkan dan status PUS yang salah dibetulkan semula,” katanya.

Ia selepas beberapa individu mendakwa status mereka di MySejahtera bertukar kepada HSO dan PUS sejak awal pagi ini.

Ada juga dalam kalangan mereka mendakwa status MySejahtera mereka kembali kepada asal selepas mendapatkan bantuan di ruangan ‘helpdesk’ dalam aplikasi itu.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu balik dari Sabah wajib kuarantin di rumah

SHAH ALAM, 13 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan individu yang tiba di pintu masuk antarabangsa dan domestik dari Sabah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari bermula dari tarikh ketibaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abduallah berkata langkah itu diambil kerana terdapat 23 kluster Covid-19 di seluruh negara disebabkan kes indeks yang mempunyai sejarah perjalanan pulang dari Sabah.

“…(mereka) dipakaikan gelang dan perlu pemantauan kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Langkah ini bermula 11 Oktober lalu sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak,” katanya ketika sidang media secara maya di Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan sebanyak 394 kes positif direkodkan melibatkan perjalanan dari negeri itu sejak 22 September dengan 228 daripadanya tiba sebelum 27 September 2020 manakala 166 kes tiba selepas tarikh tersebut.

Secara keseluruhan, seramai 18,478 individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah disaring di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik sehingga hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu pulang dari Sabah wajib jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 26 SEPT: Individu pulang dari Sabah akan menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa bermula esok sehingga 10 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu bagi mencegah penularan wabak dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan dari negeri tersebut.

“Mereka diwajibkan mendaftar aplikasi MySejahtera setibanya di pintu masuk antarabangsa dan kemudian akan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan Covid-19.

“Kita turut mengarahkan mereka menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) di rumah dari tarikh ketibaan sehingga keputusan makmal diperoleh. Pelepasan HSO diberikan sekiranya ujian makmal menunjukkan negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua individu di pintu masuk antarabangsa akan diberi surat HSO dan perlu memakai gelang kuarantin.

“Saringan ke atas individu (warganegara dan bukan warganegara) yang pulang dari Sabah dikecuali caj ujian Covid-19,” katanya.

Malaysia merekodkan 82 kes baharu Covid-19 hari ini dengan 79 daripadanya jangkitan tempatan manakala tiga kes import.

Daripada jumlah keseluruhan Sabah merekodkan sebanyak 64 kes, Kuala Lumpur (enam), Negeri Sembilan (tiga), Selangor dan Terengganu (masing-masing dua) serta Pahang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan (masing-masing satu).