Categories
AGENDA NASIONAL

Projek kereta api laju antara isu tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Isu mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Lim ingin tahu sama ada projek HSR akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan HSR KL-Singapura, anggaran kos bagi kedua-dua projek serta sekiranya rundingan dengan Singapura dapat memastikan harga asal projek sebanyak RM100 bilion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.

Pada sesi sama, Menteri Kewangan pula diminta menyatakan rasional perintah baharu Jabatan Kastam pada tahun depan yang mewajibkan kedai kopi dan restoran memohon lesen arak untuk menjual bir atau stout kepada bukan Islam sehingga mengganggu amalan hidup dan perniagaan kumpulan itu.

Soalan itu diajukan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) yang turut ingin tahu bilangan perniagaan yang terjejas, fi lesen berkaitan, jumlah yang boleh dikutip serta hukuman terhadap mereka yang ingkar.

Selesai sesi itu, tumpuan dijangka terarah pada sesi soal jawab dengan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang bertanyakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli sekiranya kerajaan bersedia membenarkan pengeksportan pasir keluar negara terutama bagi projek tebatan banjir di muara sungai.

Sementara itu, Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) memohon penjelasan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berhubung pelan strategik untuk meremajakan sektor pertanian agar dapat menarik minat generasi belia dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

HSR bukan projek ‘benar-benar perlu’-Tun M

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bukan projek yang ‘benar-benar perlu’ bagi Malaysia buat masa ini memandangkan ia hanya menghubungkan Singapura dan Malaysia, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sebaliknya tumpuan Malaysia kini adalah usaha mempertingkat kualiti perkhidmatan kereta api sedia ada.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia mungkin perlu membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi kelak bagi laluan Johor Bahru-Pulau Pinang atau ke sempadan Thailand.

“Jadi, kita tidak akan membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi buat masa ini, sebaliknya kita mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh sistem tren kita, dan ia sedikt sebanyak telah dilaksanakan, iaitu landasan berkembar dan elektrik,” katanya semasa sesi soal jawab selepas berucap di pameran Technomart Rail 2019 di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata projek HSR tidak memberi manfaat sekiranya perjalanannya hanya 30 minit lebih cepat kerana pengguna juga mengambil masa untuk pergi ke stesen kereta api.

“Sekiranya kepanjangan landasan memuaskan serta dapat menjimatkan dua hingga enam jam, jadi saya berpendapat projek kereta api berkelajuan tinggi adalah jawapannya (boleh dilaksanakan),” katanya.

CYBERJAYA, 16 April — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa melawat ruangan pameran berkenaan industri kejuruteraan rel semasa hadir pada pembukaan Pameran dan Pertunjukan Teknologi Serta Inovasi Kejuruteraan Rel Tempatan Terbesar (TECHNOMART REL 2019) di Kumpulan Kerjasama Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura telah digantung pada September tahun lepas sehingga akhir Mei 2020 susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan.

Ketika ditanya pemberita sekiranya kerajaan berunding dengan Singapura untuk projek HSR dilaksanakan selepas tempoh itu, Dr Mahathir berkata: “Buat masa ini, kita tidak akan membangunkannya. Kita telah memohon tempoh dua tahun sebelum kita merundingkan semula HSR. Pada masa ini, kerajaan tidak menawarkan sebarang kontrak, namun kita perlu menbayar pampasan kepada Singapura kemudian.”

Apabila ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbang beberapa bentuk pengurangan cukai ke atas industri kereta api, beliau berkata kerajaan akan meneliti perkara itu dan mungkin mengubah sistem cukai terbabit. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

MYHSR Corp sokong keputusan tangguh Projek HSR KL-Singapura

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) menyokong keputusan kedua-dua Kerajaan Malaysia dan Singapura menangguhkan pelaksanaan projek kereta Api Berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sehingga 31 Mei, 2020.

“Disebabkan tempoh penangguhan yang lama, syarikat-syarikat Infrastruktur Malaysia dan Singapura, MyHSR Corp dan SG HSR, akan membatalkan tender bersama antarabangsa untuk Asset Company (AssetsCo), yang dilancarkan awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan pertukaran dokumen undang-undang antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan bagi mengubah Perjanjian Dua Hala KL-SG HSR awal hari ini.

“Kami berterima kasih atas penyertaan penggiat HSR global serta entiti tempatan dalam tender AssetsCo dan berharap dapat menarik balik mereka sekali lagi setelah butiran projek diperkukuh.

“Berdasarkan perkembangan baharu ini, kami, sebagai jentera penyampaian projek di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan sepanjang tempoh ini,” kata MyHSR Corp.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Singapura setuju tangguh pembinaan HSR ke Mei 2020

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Singapura telah bersetuju untuk menangguhkan pembinaan Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sehingga akhir Mei 2020, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, berikutan permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek itu, kerajaan telah bersetuju untuk membayar kos abortif sebanyak S$15 juta kepada kerajaan Singapura pada 31 Januari 2019.

“Apabila saya pertama kali bertemu Menteri Pengangkutan dan Menteri Penyelaras Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan, saya menyampaikan mandat daripada Kabinet Malaysia bahawa kami ingin projek itu ditangguhkan selama sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun,” katanya dalam satu sidang media bersama dengan Khaw di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azmin berkata, beliau bersetuju dengan Khaw bahawa jika tempoh penangguhan itu melebihi dua tahun, model perniagaan berkenan pasti akan berubah dengan kos yang terus meningkat.

Terdahulu, Azmin dan Khaw menukar dokumen undang-undang di Putrajaya untuk mengubah Perjanjian Dua Hala HSR berdasarkan pemahaman baru.

Pemeteraian perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean.

Mengenai kemungkinan Malaysia membatalkan projek itu, Azmin berkata: “Saya tidak mahu membuat kesimpulan kerana perjanjian ditandatangani hari ini dengan jelas menyatakan komitmen kami untuk meneruskan projek itu selepas Mei 2020.”

Kenyataan bersama oleh Singapura dan Malaysia mengenai projek HSR itu berkata, jika pada 31 Mei 2020 Malaysia tidak meneruskan Projek HSR, Malaysia juga akan menanggung kos yang dipersetujui oleh Singapura dalam memenuhi Perjanjian Dua Hala HSR.

“Semasa tempoh penangguhan itu, Malaysia dan Singapura akan terus membincangkan cara terbaik untuk Projek HSR dengan tujuan mengurangkan kos,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, Perkhidmatan Ekspres HSR antara Singapura dan Kuala Lumpur dijangka bermula 1 Januari 2031 dan bukannya tarikh asal pada 31 Disember 2026.

 

“Berikutan tempoh penangguhan tersebut, syarikat infrastruktur Singapura dan Malaysia SG HSR Pte Ltd dan MyHSR Corporation Sdn Bhd akan membatalkan tender bersama antarabangsa untuk HSR Assets Company (AssetsCo).

“Menteri terbabit menegaskan manfaat bersama daripada Projek HSR kerana ia akan membawa kedua-dua negara lebih dekat dengan meningkatkan hubungan, memperdalam hubungan rakyat dengan rakyat dan memperkukuhkan lagi kerjasama ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Khaw berkata, di bawah pemahaman baru itu, projek tersebut dianggap batal jika pembinaan tidak diteruskan pada Mei 2020 dan Malaysia akan membayar balik Singapura untuk kos yang dibazirkan yang mereka lakukan untuk memenuhi perjanjian HSR.

“Malaysia telah menjelaskan alasannya untuk menangguh projek berkenaan, mereka memutuskan untuk menggantungnya selama setahun dan kami berpendapat kami dapat menguruskannya.

“Tetapi jika tempoh lebih lama, katakan empat tahun, keadaannya agak sukar kerana ia akan menjejaskan kedua-dua negara dan projek itu sendiri,” katanya.

Khaw berkata, ramai warga Singapura berharap agar projek HSR direalisasikan dan kerajaannya tetap komited untuk projek tersebut.

Menurutnya, walaupun perjanjian dua hala HSR tidak mempunyai peruntukan bagi penangguhan projek itu, Singapura telah memberikan Malaysia satu pertimbangan yang adil dalam semangat kerjasama dua hala.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mohamed Azmin akui tiada perbincangan HSR di Singapura

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengakui Kementerian Pengangkutan Singapura benar mengenai tiada pertemuan antara beliau dengan pegawai kanan republik itu minggu lalu mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menurutnya, Singapura mencadangkan sebelum 31 Julai untuk membincangkan mengenai HSR namun beliau terlalu sibuk dengan sesi Parlimen dan isu domestik.

“Adakah saya ada cakap saya bertemu secara rasmi dengan Kementerian Pengangkutan?

“Dan saya akan utarakan satu kertas kerja lain mungkin dalam Ogos dan akan tetapkan tarikhnya,” katanya kepada media di Lobi Parlimen, semalam.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan Singapura menafikan Azmin berhubung pertemuannya dengan pegawai kanan republik itu minggu lalu mengenai projek HSR.

Jurucakap kementerian itu berkata, tiada sebarang mesyuarat dijadualkan akan atau sudah berlangsung antara Mohamed Azmin dan pegawai dari Singapura berhubung projek berkenaan.

Mengulas mengenai pertemuan yang akan dilakukan kelak, Mohamed Azmin berkata semua pilihan akan dibincangkan termasuk soal pampasan.

“Saya bukan dalam keadaan mahu berkongsi dengan anda pada masa ini, saya rasa tak adil kerana mandat ini diberikan kepada saya untuk menyampaikan kepada Singapura,” katanya.

Categories
NASIONAL

BN sembunyi kos sebenar HSR

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Barisan Nasional menyembunyikan kos sebenar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali secara sinis berkata, ia amalan “biasa” BN, berbanding Pakatan Harapan (PAKATAN) yang menerapkan prinsip ketelusan.

“Banyak kos tersembunyi yang kemudiannya diketahui setelah projek ini berjalan tetapi Kerajaan PAKATAN berpegang kepada prinsip terbuka dan akuantabiliti kepada rakyat dalam memastikan kos projek didedahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, antara kos tersembunyi itu turut membabitkan jaminan Kerajaan terhadap projek berkenaan.

Katanya, walaupun HSR masih dalam proses tender yang akan ditutup, pada Disember ini, namun kos projek diperolehi berdasarkan perkiraan (costing).

Categories
NASIONAL

HSR tangguh hingga selesai perbincangan dua hala

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura perlu ditangguhkan sehingga rundingan dua hala negara terbabit selesai dijalankan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu ekoran anggaran awal kos projek bernilai RM110 bilion itu terlalu tinggi bagi jajaran sejauh RM350 kilometer.

“Pada masa ini, Kerajaan sedang berusaha mengurangkan bebanan hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion.

“Kerajaan memutuskan pada 6 Jun lalu supaya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mengadakan perbincangan dengan Singapura bagi meneliti semula pelaksanaan HSR dari segi terma perjanjian dan kebolehlaksanaan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soalan lisan persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Jawatankuasa HSR yang dipengerusikannya dan dianggotai Menteri Kewangan, Menteri Pengangkutan dan Peguam Negara ditubuhkan berhubung projek berkenaan.

Katanya, satu pasukan khas turut ditubuhkan bagi tujuan penyelarasan di peringkat pegawai kementerian yang terbabit untuk menilai pelaksanaan HSR.

“Peguam Negara sudah menyemak kandungan Perjanjian Dua Hala HSR yang ditandatangani, pada 13 Disember 2016 dan memberi pandangan ia mesti diselesaikan mengikut undang-undang dan rundingan dua hala,” katanya.

Categories
NASIONAL

TPM: Pembatalan projek HSR ambil kira semua aspek

KUALA LUMPUR 30 MEI: Keputusan kerajaan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura dibuat selepas mengambil kira semua aspek, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai alasan untuk membuat keputusan sedemikian.

“Saya fikir, beliau mengambil kira banyak perkara, sama ada kita mampu atau tidak, sama ada kos efektif atau tidak.

“Biasanya, HSR bukan mode pengangkutan pilihan kerana kita ada pengangkutan lain seperti penerbangan domestik dan tambang murah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat di Kompleks Sukan Pantai Eco Park di sini, semalam.

Semalam, Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa Malaysia akan membatalkan projek berkenaan dan mungkin perlu membayar pampasan sebanyak RM500 juta kepada Singapura.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM sahkan HSR batal

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Kerajaan Persekutuan membatalkan projek kereta api Kuala Lumpur-Singapore High-Speed Rail (HSR).

Katanya, beliau belum melihat perjanjian itu dan menjangkakan Malaysia bakal dikenakan penalti sekitar 500 juta.

“Itu keputusan akhir. Saya belum melihat perjanjian itu.

“Dijangkakan penalti sekitar 500 juta dan kita akan berbincang berkenaannya sama ada dalam Ringgit atau Dolar Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), di sini, hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa, Reuters melaporkan Malaysia membatalkan projek HSR dan dijangka berbincang dengan Singapura berkenaannya.

Perkara itu dinyatakan dalam satu temu bual bersama Financial Times, hari ini.

Categories
SELANGOR

Jajaran koridor projek HSR belum dimuktamadkan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 NOV: Jajaran koridor bagi pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura membabitkan sebahagian kawasan di Selangor belum dimuktamadkan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, sehingga kini pihak MyHSR Corp Sdn Bhd (MyHSR) belum membentangkan hasil kajian tapak kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan selanjutnya.

“Kerajaan Negeri masih menunggu maklumat daripda MyHSR dan mengambil maklum jajaran koridor bagi pelaksanaan projek berkenaan belum dimuktamadkan di kawasan selain dimaklumkan.

“Merujuk isu pengambilan tanah yang dibangkitkan, ia hanya dapat dilaksanakan setelah lot terbabit dengan cadangan jajaran dikenal pasti apabila MyHSR membentangkannya kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Exco Pelaburan, Perindustrian IKS & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan dan ADN Dengkil Shahrum Mohd Sharif, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dijangka mula beroperasi pada penghujung 2026, perkhidmatan HSR akan mempunyai tujuh stesen di Malaysia iaitu Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sebelum berakhir di Jurong East, Singapura.

Categories
NASIONAL

Jangan tergesa-gesa lancar projek HSR

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan Persekutuan diingatkan untuk tidak tergesa-gesa melancarkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang bakal menelan kos RM50 bilion.

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sepatutnya diberikan peluang melancarkan perkhidmatan ETS (electric train service) antara Kuala Lumpur dan Singapura terlebih dahulu.

Katanya, keputusan untuk meneruskan HSR hanya boleh ditentukan selepas ETS mula beroperasi, pada 2020.

“Mengikut analisis pakar kewangan, projek HSR memerlukan 140 juta trip setahun untuk ‘break even’, bersamaan 384,000 trip setiap hari.

“Populasi Malaysia, Singapura dan pelancong tidak mencukupi untuk memenuhi 384,000 trip setiap hari.

“Maka, walau tidak diingini, projek HSR mungkin akan bankrap juga,” katanya dalam kenyataan.

Sim Tze TzinSebelum ini, media melaporkan perjanjian projek HSR Kerajaan Persekutuan dengan Singapura yang sepatutnya ditandatangani, pada 5 Disember lalu ditangguhkan ke 21 Disember ini.

Pada masa sama, Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, kos sebenar projek HSR dijangka jauh lebih tinggi ekoran inflasi juga nilai ringgit yang semakin lemah.

Katanya, kemampuan kerajaan untuk membiayai projek mewah itu juga meragukan dengan mengambil kira hutang negara yang menjangkau RM655 bilion dan faedah hutang RM73 juta ringgit sehari.

“Adakah kerajaan akan menjual tanah di sepanjang landasan HSR kepada syarikat dari China atau Jepun yang dijangka memenangi tender untuk membiayai kos tinggi projek berkenaan.

“Jika benar, ingin kita bertanya, berapa banyak tanah yang akan dikorbankan demi projek mewah HSR ini?” soalnya.

Buat masa ini, kerja pembinaan trek berkembar Gemas-Johor Bahru baru sahaja bermula dengan kos RM7.13 bilion dan dijangka siap penghujung 2020, sementara pembinaan HSR pula dijangka bermula pada 2018 dan siap, pada 2026.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Semak semula jajaran hentian HSR, hormati suara rakyat Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 8 OGOS: Kerajaan Negeri mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya menyemak semula jajaran hentian stesen transit bagi perkhidmatan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) supaya rakyat di Selangor dapat merasai bersama pembangunan yang akan dilakukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan Kerajaan Persekutuan sepatutnya menghormati suara rakyat Selangor dengan berbincang secara baik supaya sekurang-kurangnya satu stesen transit dibina di negeri itu.

“Ia (HSR) melalui Selangor 36 kilometer tapi tidak mahu bina satu stesen di ini. Yang di Melaka itu, saya ingat kalau dia berhenti terlepas masuk ke Negeri Sembilan, ada stesen.

“Sampai di Selangor, dia langkau kita pergi ke Putrajaya. Saya dan pimpinan menegur, setiap kali datang pembangunan di Selangor, hak kita dinafikan.

IMG20160808092718“Kita juga mahu menikmati kemudahan ini dan pertumbuhan ekonomi berlaku di Selangor. Maka, kita minta semak semula jajaran laluan keretapi ini supaya laluan di negeri ini dapat dibina sekurang-kurangnya satu stesen,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan wujudnya cadangan pembinaan satu stesen transit HSR di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Jalan Sungai Merab, Bangi.

Berdasarkan perbincangan sebelum ini, Kerajaan Negeri dimaklumkan tiada sebarang stesen transit akan dibina di Selangor sebaliknya Kerajaan Persekutuan akan membina tiga stesen di Johor, satu di Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Tegasnya, HSR satu projek yang baik jika berjaya dilaksanakan kerana mampu menjana pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara sementara Selangor sudah pastinya mahu menganbil manfaat daripada pembangunan itu.

HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura akan mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan dan dijangka mula beroperasi pada 2026.

-NFN-