Categories
SASTERA

Sebidang Tanah Meraung di Tengah Kota

Sebidang tanah meraung
di tengah kota, dicangkul perasaannya
maruah menjadi hiba —
tapi itulah suara paling senyap
antara deru enjin dan tayar kereta.

Di antara sela menara batu
tanah yang hilang disangka abu.

Sebidang tanah resah
terjajah tanpa pelekat harga
sesiapa sahaja kini —
Dipersilakan memijaknya
kerana ia hanya pasir dan batu
yang tak pernah bersuara memberitahu
inilah tanah yang merdeka
dilepaskan dari gari penjajah
dengan air mata berdarah.

Di antara sela menara batu
tanah yang hilang disangka debu.

Sebidang tanah di tengah kota
adalah peti hati rakyat
yang pantang dipotongkerat
dengan pisau-pisau licik
dari tangan-tangan yang asyik.

Muzaf Ahmad
Batu Pahat

Categories
SASTERA

Penjual Besok

Oleh Sheeraghafar

AKU dan bapaku menjual esok. Orang-orang di sini menyebutnya sebagai besok. Cuma ditambah ‘b’ di hadapan tapi masih memegang maksud sama. Kedai Besok warisan nenekku dan dibuka setiap hari. Setiap hari, ada sahaja orang yang datang membeli besok. Aku mula membantu bapa secara serius sejak dua bulan ini, apabila bapa ditinggal ibu yang lari. Dia tinggal bersama kekasihnya berselang lima buah rumah daripada rumah kami. Aku tidak sengaja terlihat ibu berpimpin tangan bersama seorang lelaki ketika di pasar malam kejiranan kami.

“Jodohnya terlewat lima rumah ke kanan,” bapa tenang menjawab apabila aku bertanya ke mana ibu selama dia tidak pulang-pulang menguruskan rumah? Sejak itu, aku benar-benar simpati dengan bapa. Aku berhenti bekerja sebagai manager di jabatan korporat sebuah syarikat penerbitan buku demi bapa. Walaupun tanpa ibu, semuanya masih sama padaku. Barangkali kerana aku memang tidak begitu rapat dengannya. Urusan rumah juga bapa yang atur buat kami dengan bantuan Bibik Zenda. Kami meneruskan hidup yang penuh dengan ketidaktentuan ini dengan baik. Setakat ini. Setakat ini.

Ada juga kedai yang menjual semalam. Teman sekolah rendahku, Ziad pernah menguruskan perniagaan tersebut setelah ibunya sakit tua. Kemudian setelah ibunya meninggal, Ziad menjual perniagaan itu kepada orang bandar yang berhijrah ke daerah ini. Setakat yang aku tahu, sehingga kini Ziad bekerja di sebuah syarikat guaman di pekan. Semalam sama laku dengan besok yang aku niagakan. Seperti besok, aku tidak pernah membeli semalam. Membeli besok atau semalam adalah perkara terakhir yang akan aku lakukan dalam hidup!

Aku tidak mempunyai masalah menguruskan perniagaan ini. Ketika aku masih bersekolah, aku menemani bapa pada setiap hujung minggu. Aku amati dan turut membantu bapa membuka kedai, melayan pelanggan, menguruskan hasil dapatan sehari-hari dan membungkus besok. Setiap kali besok diserahkan, pelanggan pasti pulang dengan wajah keliru. Pada aku, itu suatu ketidakpastian yang lewat!

Besok wujud dalam gelas kaca jernih berbentuk dadu. Setiap penduduk di daerah ini mempunyai satu peluang untuk melihat besok, besok-besok atau besok-besok-besok. Siapa-siapa yang melihatnya tidak penting. Namun, jika mahu melihat besok kepunyaan orang lain, mereka perlu berikat darah (saudara). Ada satu punat segera di bawah dadu itu. Ia akan menurut keinginan yang dinyatakan pemiliknya kepada aku atau bapa. Harga besok berbeza dengan besok-besok atau besok-besok-besok dan seterusnya. Semakin jauh besok, semakin mahal.

Langit menelan matahari dan memuntahkan kelam. Aku hampir sahaja menutup kedai. Bapa tidak juga datang menguruskan kedai seperti kebiasaan. Sejak belakangan ini, bapa selalu lewat ataupun hilang selepas waktu rehat tengah hari. “Ada hal di pekan.” Itu sahaja jawapan jika aku bertanyakan ke mana dia pada sekian-sekian waktu?

Tapi hari ini, lain benar daripada hari-hari sebelumnya. Bapa tidak menjengah kedai langsung. Aku fikir bapa tidak sihat dan tentu sahaja aku mula risau. Bapa sememangnya komited dengan tugas warisan ini. Padanya, keturunan ini mulia kerana dipertanggungjawabkan dalam memegang takdir manusia lain.

Aku lekas-lekas pulang mencari bapa.

“Bapa kau belum pulang.” Bibik Zenda seakan-akan tahu gusar yang terlukis pada wajahku. Bibik Zenda yang membantu menguruskan kehidupan kami sehari-hari. Sejak aku kecil atau sebelum aku lahir, aku tidak pasti. Tapi perempuan tua ini sememangnya paling arif tentang keluargaku. Pada wajahku barangkali terconteng gusar yang tak terpadam. Tapi pada wajahnya, tergantung kesedihan dan kasihan yang tidak terperi untukku.

*****

‘Semalam Adalah Kenangan Hari Ini, dan Esok Adalah Mimpi Hari Ini.’

Mataku bersetentang dengan kain rentang yang memetik kata-kata daripada Kahlil Gibran itu. Kakiku mahu sahaja berpatah ke belakang. Aku tidak begitu banyak berfikir saat ibu memilih untuk tinggal bersama kekasihnya. Mujur tetangga tidak sibuk menyelak kain orang sehingga ternampak isinya. Aku juga bukan yang mudah mendengar kata-kata orang. Sudah dua hari bapa pergi. Saranan Bibik Zenda akhirnya membawa aku ke Kedai Semalam.

Bapa ditemui di belakang rumahku dengan yang tinggal hanyalah jasadnya sahaja. Itupun jasadnya berlumuran darah yang hampir kering. Masih berdesing di telingaku mengingatkan jeritan Bibik Zenda pagi semalam.  Bapa ditemui dalam keadaan kedua-dua matanya tiada dengan kesan koyak yang dalam. Aku melihat kelibat ibu yang turut datang ke rumah selepas jeritan Bibik Zenda. Dia melihat jasad bapa seperti jiran-jiran yang lain, kemudian hilang dalam kekecohan itu. Hari itu juga jasad bapa diuruskan

Sedar-sedar bungkusan semalam-semalam milik bapa sudah di tanganku. Aku kini di luar kedai. Barangkali penjaga kaunter bayaran tadi juga berfikiran seperti aku ketika melihat wajah-wajah bingung manusia yang membeli besok; ‘Kalian terlewat!’ Aku melangut ke dada langit dan masih lagi tidak percaya bahawa aku bakal melihat takdir manusia lain. Takdir bapaku yang mati tanpa sepasang mata!

Aku membuka bungkusan semalam-semalam milik bapa di atas katil di bilik. Aku masih belum mahu memberitahu Bibik Zenda tentang pembelian semalam-semalam bapa.  Ia sebuah glob kaca lut sinar. Terketar-ketar tanganku mengangkatnya kerana aku tahu, tidak sama menjual dan membelinya. Ada ukiran halus dengan tulisan ‘Namin’ (nama bapaku) di sebelah punat segera glob kaca lut sinar itu. Aku menggunakan jari telunjuk untuk menekannya, namun ia seakan-akan mahu menentang tuan. Ini pengalaman pertama dan mungkin yang terakhir. Rintik peluh mula merembes keluar dari dahiku. Begitu banyak kebarangkalian di benak hampir membuatkan aku pitam. TETTT.

Aku memaksa mata dan tubuhku untuk terjaga. Aku di atas katil dalam sebuah kamar bersaiz sederhana. Ada seorang wanita dengan rambut separas bahu duduk membelakangiku. Dia berkebaya merah dan berkain batik. Bahunya terhinjut. Baru aku sedar dia menangis. Ada suara lelaki yang membentak-bentak entah marahkan apa atau siapa di luar kamar. Aku senyap-senyap menyusup ke bawah katil. Suara itu makin mendekat dan pintu terbuka dengan kasar. “Celaka kau. Sanggup kau curangi aku dengan si Namin ini?”

Lelaki kasar itu jiranku. Pak Margio (bukan Lelaki Harimau) yang baru seminggu berpindah dari negara seberang, kini tinggal bersebelahan dengan aku dan bapa. Baru aku sedar perempuan berkebaya merah itu adalah isterinya. Tambah sinematik lagi apabila aku lihat bapa menyusul di belakang. Dia cuba menghalang tangan sasa Pak Margio daripada melekat di pipi atau mana-mana bahagian tubuh isterinya itu. Aku keluar dari lokasi persembunyianku. Ketiga-tiga mereka bagai terlupa skrip di pentas.

Perasaanku ketika itu benar-benar kosong. Aku meminta maaf, lalu keluar dari rumah Pak Margio dan pulang ke rumahku. Aku tahu pada saat mereka terdiam melihat aku yang datang entah dari mana-mana itu, aku mempunyai kuasa untuk mengubah takdir. Contohnya, aku menyelamatkan sepasang mata bapa dan dia akan muncul di kedai menguruskan Besok seperti kebiasaannya. Tetapi daripada berasa kekosongan, aku tiba-tiba keletihan. Aku tidak tahu kepenatan itu datangnya daripada apa dan kenapa? Sesuatu yang pasti ialah, biarkanlah takdir menguruskan bapa!

Categories
SASTERA

Kubeli hidupku dengan kisah

Oleh Wardah Puteh

“TIADA kisah yang ada lagi. Semuanya licin. Sold out. Hisssssss

Aku memandang kosong jurujual kedai kecil itu. Tidak adakah simpati lagi padanya untukku?

Lorong-lorong menuju rumahku tentu akan lebih sunyi selepas ini. Apatah lagi rembulan yang tergantung di kamarku. Tidak kusanggup mendengar rengek tangis mereka.

“Tolonglah saya tuan. Akan saya jual apa-apa sahaja untuk kisah baharu.” Kuraba kocek baju kurung lusuh pemberian arwah bonda. Ada gumpalan. Perlahan-lahan aku keluarkan. Rupa-rupanya puisi.

Secebis puisi berjudul Sepi.

“Mahukah tuan membeli puisi saya ini? Judulnya Sepi,” ujarku sambil membiarkan guliran air mata membasahi helai-helai anak rambut.

Jurujual itu; seekor ular hitam, berdesis sambil taringnya menikam puisi Sepi yang kukarang. Kurenung mata kuningnya yang menyilaukan hingga pitam.

 

 Sepi

 

Tiada apa-apa di kamarku

yang kosong

sepi telah menebarkan hitamnya

hingga jantungku

ruyup.

 

Mimpiku

kuyup.

Daerah ini daerah penyair dan pengarang. Darjat hidupmu akan tinggi jika kau mampu menulis kisah. Dengan sepotong kisah sahaja, kau mampu meraih ratusan. Malah mungkin ribuan. Tapi soal paling mustahak adalah hakikat bahawa dengan ceriteralah kau mampu untuk meneruskan kehidupan.

Lihatlah nun berbalam-balam di puncak gunung. Rumah-rumah pengarang ceritera telah didirikan agam di atasnya. Tiangnya diukir indah. Selalu dindingnya digantungkan dengan ribuan rembulan. Dan selalulah kedengaran ceritera didendangkan.

Ahh…hampir seluruh daerah ini bukit-bukau. Jalan-jalan mendakinya bersimpang-siur. Di pertengahan kau pasti akan ketemu gua-gua kecil. Begitu kelam sehingga perlukan rembulan yang paling terang cahayanya.

Di situlah tempat tinggal penyair.

Sedang aku? Kehidupanku lebih teruk. Aku bukan penyair. Apatah lagi penulis ceritera. Kadang aku kehabisan ceritera untuk melangsungkan hidup. Malah tiada secarik puisi pun mampu kukarang.  Tika itulah rembulan yang tergantung di atap rumah kecilku (yang berada di serpih-serpih batu bukit) akan bersyair ngilu:

“Benarlah kata-kata Saibe Tabrizi

Sesiapa pun tidak akan dapat menghitung bulan-bulan yang berkilauan di atas bumbung

atau seribu matahari syurga yang berselindung di balik dinding”

Keperluan akan ceritera baharu lebih menyerupai ketagihan. Ketagihan yang lebih dahsyat daripada menghisap candu. Jika ceritera baharu tidak dapat aku dengarkan, akan mereniklah peluh di dalam kepalaku. Basah lencun helai rambutku dengan air mata. Tika sedemikan, tiada apa-apa yang dapat kulakukan selain dengan kudrat yang masih tersisa, merangkak perlahan-lahan ke hujung kota. Kerana di hujung kota, di dalam hutan yang menjalar daun-daun kering berduri itulah, adanya sebuah gedung. Di dalam gedung ini ada matahari yang kian malap sinarnya melagukan kisah-kisah lama.

Cukuplah untuk aku melangsungkan hidup, walaupun kisah-kisahnya cukup memualkan.

Selain itu?

Err… kadangkala aku turut mencuri.

Maafkan aku. Aku tahu mencuri dilarang di dalam daerah ini. Tapi, bagaimana harus aku melangsungkan hidup lagi jika tidak sebegini?

Selalunya, kisah-kisah ini kucuri dengan mengintai di kaca jendela pengarang-pengarang kaya itulah. Rembulan-rembulan di dinding rumah mereka akan berkisah siang malam tiada hentinya. Kisahnya segar.

Kisah tentang apa? Betul engkau mau tahu? Ermmm… ceritera yang didendangkan masih terasa manis di telingaku. Saat didendangkannya terasa bayu mengelus-elus rambutku. Terasa dingin kepalaku.

Kisahnya pastilah tentang cinta. Kisah cinta sang puteri dan putera.

Kadang-kadang… aku pun malu saat mendengar. Shhh… sebab ada juga pornonya! Hihihi.

Saat aku terjaga daripada pengsan, tiada lagi padangan tajam ular hitam laknat itu. Tapi, yang lebih sialan, leherku diikat dengan rantai besi di dinding kedainya.

Oh Tuhan, bagaimana nasibku? Bagaimana nanti rembulan yang setia menungguku pulang? Lorong-lorong pasti akan mati kerana kesepian.

Aku menangis. Tangisanku tiada hentinya. Rambut-rambutku gugur bergentayangan dibawa air mata. Saat itu kudengar desis ular laknat itu datang.

“Ssssss, puisi Sepimu telah aku bakar. Ternyata kau ini tidak layak untuk bebas di daerah ini! Ssss. Sekarang kau hambaku. Aku mau kau tulis kisah-kisah baharu di atas relai-relai angin. Pastikan kau menulis sebaik-baiknya, jika tidak, akan kauterima nasib yang sama seperti puisi Sepimu, yang entah apa-apa tu!”

Ketika ini, kurasakan seperti jantungku dihunjam menjadi debu!

Detik berlalu deras. Hari berganti hari. Kurasakan tahun-tahun telah bercambah dan membuahkan ranum racun yang memakan aku dalam kesenyapan.

Dari jeriji jendela, aku mengintai dari bilikku yang pengap dan sempit. Kulihat, segerombolan manusia mengayun penumbuk berarak ke rumah pendeta. Di genggaman mereka rembulan. Di atas pundak mereka mendayu-dayu suara mengalunkan puisi; Permohonan Kehidupan.

O, kami mau terus hidup

antara relung-relung cahaya

tidak mau mati tanpa menemukan ceritera

tidak mau henti tanpa menemukan puisi luar biasa

tidak mau berpatah tanpa menemukan

rembulan, dalam genggaman

oo ooo oooo

pulangkan demi kemakmuran!

 Habis sahaja puisi yang mereka alunkan, aku berasa jasadku terawang-awang, menipis menjadi kepulan asap dan keluar melalui celahan jeriji jendela, menuju ke langit mencari rembulan yang entah bila akan berada dalam pelukan!

*Wardah Puteh aktif menulis cerpen dan puisi serta kerap mendapat tempat dalam akhbar dan majalah arus perdana.

Categories
SASTERA

Perempuan Penjual Cerita

Di sudut pesta
seorang perempuan berdiri penuh makna
inilah tempat berkumpul
para cendekia, penyair dan pendusta
ini pesta kata – mereka berkumpul, bersyair,
berpantun seloka.

Ini tempat mereka bertemu,
bersenda dan berpura
fiksi dan realiti terlontar menjadi prosa
ini sebuah pesta kata,
marilah kita meraikan aksara.

Perempuan itu mengumpul cerita
satu per satu, bait demi bait
dikutipnya dengan cermat
disimpan penuh nikmat
di dalam bakul khianat.

Pesta usai, senyumnya berangkai
santun langkah bersama peristiwa
cermat langkah ke pasar tingkah penuh helah.

Bakul khianat dibuka
segala cerita, segala aksara
dijual dengan harga
tanpa timbang tara.

Ini cerita paling mahal,
dijual dengan harga paling murah
orang datang menyerbu – bertolak-tolakan, lulu-melulu
cerita terjual, tiada yang tinggal.

Ini zamannya, kata-kata sudah tiada maruah
ini musimnya, benar dan palsu tidak diendah.

Zalila Isa
Wangsa Maju

Categories
SASTERA

Plagiat: Murah maruah penulis bangkai

Oleh Hafizol Hakami

(1)

TERLALU mengagungkan pengiktirafan karya, itulah masalah terbesar segelintir penulis muda. Sebilangan mereka mengambil jalan pintas untuk memperoleh pengiktirafan dengan sewenang-wenangnya mencuri atau memplagiat karya orang lain hingga menggadai prinsip keluhuran dalam penulisan. Ada antara mereka melihat bahawa kemenangan dalam sayembara dan penyiaran karya dalam media sebagai kejayaan terbesar sesebuah karya.

Paling menggusarkan, ada karya palsu dihantar ke pertandingan demi mendapat pengiktirafan tertinggi. Begitu murah maruah dan nilai sesebuah karya. Sebenarnya, tiada jalan pintas untuk menjadi penulis yang baik. Jauh sekali tiru “sebijik-sebijik” kemudian mewartakannya sebagai karya tulen. Setiap penulis harus mengerti betapa plagiat adalah suatu pengkhianatan dan jenayah terbesar dalam penulisan.

Seseorang penulis perlu punyai daya disiplin dalam pengkaryaan. Apa jua dorongan menulis sama ada sedar ataupun tidak, seseorang penulis harus banyak membaca, menelaah, berbahas, mengembara untuk memancing bauran ilham dan menggarap idea. Bukannya mencuri dan memplagiat karya penulis lain.

Keizzahan sebuah karya bukan terletak pada pengiktirafan dan penghargaan semata-mata, tetapi “kemanisannya” pada liku-ranjau proses penulisan hingga menjadikannya sebuah karya yang baik. Sasterawan Negara A Samad Said sendiri mengakui, beliau mengambil masa lebih dua tahun untuk menyiapkan Cinta Fansuri. Inilah kemanisan yang dikecapi di sebalik penerbitan sesebuah karya.

Dalam penulisan kreatif, mengilhami hasil karya yang sudah tercipta bukan suatu kesalahan terutama dalam memahami falsafah, melukis perwatakan dan merangka konflik; bahkan A Samad Said menjadikan karya The East of Eden dan Di Bawah Lindungan Kaabah sebagai sumbu ilham dan imaginasi. Namun, ia perlulah disingkapi dengan penuh disiplin, halus dan insaf.

Hari ini, walaupun tidak banyak, kita masih boleh berbangga dengan karya-karya baharu yang subur menjalar di media hasil garapan penulis muda. Akan tetapi, apalah ertinya selautan karya sekalipun jika “mata airnya” adalah penipuan, “batu-batu karangnya” adalah korupsi, dan dosa-dosa menjadi “ikan-ikan” dalam lautan sastera. Kerana itu, penulis muda baharu yang mencuri dan memplagiat perlu insaf betapa perbuatan itu hanya menggali kubur sendiri dan menunggu detik ditalkinkan dari dunia penulisan. Tambahan lagi jika karya-karya palsu dilonggok dalam sayembara yang dibarisi penulis jujur, hasil plagiat itu bakal jadi “bangkai” yang membusuk.

(2)

Ketika berita tentang seorang penulis muda yang “kantoi” mempersembah karya palsunya dan menang sayembara anjuran kumpulan penulis di sebuah negeri di timur tanah air dan menular sehari dua ini, saya membacanya dengan penuh kecewa. Saya membaca kedua-dua “sajak curi” dan “sajak asli”, langsung tiada diubah. Semuanya dipetik “sebijik-sebijik”. Kemudian membaca siaran (posting) peribadinya tentang kejayaannya merangkul tempat dalam sayembara tersebut di Facebook, ternyata tidak sedikitpun tercuit rasa bersalah. Malah berbangga seolah-olah ia hasil usahanya sendiri.

Kegusaran saya terlahir atas dua faktor: Pertama, “keikhlasan” segelintir anak muda dalam membaca buku dan material sastera bukan lagi untuk bekalannya belakang hari dalam penulisan tapi sekadar mencedok dan memberi kredit kepada dirinya sendiri. Korupsi “baca dan ciplak” jika tidak diinsafi akan membungkam potensi dan identiti seorang penulis. Entah berapa ramai penulis muda yang “mati” dalam dunia penulisan sebelum sempat mereka mencabar diri mereka sendiri dalam penulisan. Semuanya habis mati kerana ketiadaan prinsip intergriti mereka dalam penulisan. Saya masih percaya ada antara mereka yang benar-benar minat menulis tapi dek gila akan kemasyhuran, pujian dan pengiktirafan telah memabukkan mereka, lantas menjauhkan mereka dari prinsip yang seharusnya berakar umbi dalam diri setiap penulis.

Yang kedua, konflik jurang antara penulis baharu dan penulis senior semakin membundak. Semasa saya dan Johan Radzi, penulis muda dengan antologi cerpen Tinju dan Peluru bersembang soal penulisan, kami ada berbincang hal senioriti yang benar-benar berlaku dalam dunia sastera secara langsung mahupun tidak. Masalah sikap penulis senior yang kurang mahu mengetengahkan penulis muda dan kekakuan penulis muda dalam penulisan adalah antara penyebab krisis kedua-dua “kelompok” ini. Lebih merisaukan, apabila membaca berita ciplak sajak menular tempoh hari adalah; soal percaya dan rasa hormat antara dua generasi penulis ini. Baik penulis senior, mahupun penulis muda, masing-masing punyai gagasan tersendiri. Akan tetapi apabila isu “ciplak” berlaku pada peringkat tinggi seperti gabungan penulis muda negeri, akan ada parut tanggapan kurang enak terhadap potensi penulis baharu. Lebih-lebih lagi, penulis-penulis muda yang baru setahun jagung bertatih dalam penulisan.

(3)

Secara prinsip, apa jua jenis karya yang dikenal pasti diplagiat  harus ditarik balik penganugerahan dan pengiktirafannya. Malah pelakunya perlu dihukum (jika perlu) ataupun setidak-tidaknya teguran keras atas perbuatannya yang mencemar dunia sastera. Tindakan itu penting untuk memastikan perkara memalukan tinta kesusasteraan negara tidak berulang, baik dari tangan pelaku tersebut ataupun orang lain. Penganjur sayembara perlu sentiasa waspada agar karya yang dipertanding “terbang dengan sayap tulen” dan bukan atas keringat orang lain.

Masyarakat penulis perlu sedar Ranjau Sepanjang Jalan lahir dari tangan insan yang benar-benar belajar dari kesusahan, Imam lahir dari pengalaman orang yang merantau, Salina lahir dari tangan anak muda yang berani mencabar diri menulis dari subuh hingga ke subuh, Detik-Detik Cemas lahir dari tangan orang yang betul-betul masak dengan ideologi. Semua karya itu lahir dari penulis yang punyai intergriti dan kesungguhan tinggi. Penulis harus bertatih dari bawah. Penulis usah gilakan kemahsyuran. Jauh sekali “gila” mencuri karya orang lain dan berbangga pula dengan perbuatannya.

Jauh di sudut hati juga, saya berharap masyarakat penulis seperti pembaca, penulis, editor, persatuan penulis, agensi kerajaan berkaitan penerbitan tidak hanya berdiam diri, sebaliknya sama-sama bersuara lantang mengekang penipuan khususnya plagiat.

Categories
SASTERA

Rancangan sulit seorang penulis

Oleh Fadli Zainal Abidin

“BETUL! Saya tak dapat pun e-mel awak tu. Mungkin dah ghaib ke Neverland!” kata editor yang berkaca mata dan bertudung merah jambu sambil tersenyum sinis.

Saya tidak berpuas hati bila editor itu memberitahu bahawa dia tidak menerima cerpen yang saya hantar untuk disiarkan di Majalah Kelabu. Berkali-kali saya menggeleng kepala, bukan berzikir tapi tanda tidak percaya.

“Saya tak mahu hantar cerpen ke majalah awak lagi!” ujar saya dengan nada tegas.

“Tak mahu tak apa. Saya tak rugi pun.” Balas editor itu dengan selamba.

Ishh!

Sebenarnya telah lebih sebulan cerpen saya tidak disiarkan di ruangan sastera Majalah Kelabu. Walhal sehari sebelum cerpen tersebut saya e-mel kepada editor Majalah Kelabu, kami minum kopi semeja tanda persetujuan bahawa dalam minggu berikutnya cerpen saya pasti akan tersiar di majalah tersebut. Saya masih ingat kata-kata editor itu, “Ini pasti bukan janji!”

Saya sering terbaca di blog bahawa budaya kronisme lazimnya berlaku ketika pemberian tender projek atau ketika memilih pemain untuk mewakili organisasi dalam perlawanan bola sepak amal. Rupanya pemilihan cerpen untuk disiarkan di majalah juga mengutamakan kroni. Bagaimana saya mengetahui ini semua? Terima kasih kepada media sosial, Twitter.

Saya membaca setiap tweet editornya yang memuji dan mengucapkan tahniah kepada teman-temannya yang karya mereka tersiar di majalah tersebut.

  **

Malam ini adalah masa terbaik untuk saya mencari cerpen saya yang kononnya,  menurut editor ruangan sastera Majalah Kelabu sebagai telah ghaib. Saya sangat pasti cerpen saya tidak ghaib sebaliknya ia telah terperap dalam komputer editor itu. Jadi saya harus buktikan dengan mata kepala sendiri.

Saya masuk ke dalam rumah editor itu penuh hati-hati. Keadaan rumahnya biasa-biasa saja tidak dipenuhi perabot mewah mahupun permaidani import yang bila dipijak sangat lembut di tapak kaki.

Saya tahu editor itu sedang berada di salah satu bilik di dalam rumah itu kerana ketika di luar rumah tadi saya melihat cahaya lampu dari bilik tidur tingkat atas yang menghadap jalan. Di tingkat atas rumah teres itu ada tiga bilik tidur dan hanya satu bilik sahaja yang kelihatan cahaya lampu dari bawah pintu. Dengan berhati-hati pintu bilik dibuka.

Keadaan bilik itu memberi gambaran bahawa ia adalah bilik bacaan kerana tiada katil di dalamnya. Kemudian mata saya tertancap pada tubuh seseorang sedang terbaring di atas sofa panjang berwarna merah. Ya itulah dia editor ruangan sastera Majalah Kelabu!

Di suatu sudut bilik terdapat sebuah meja bacaan. Komputer peribadinya kelihatan berada dalam mood  bersedia walaupun monitornya terpadam tetapi kuasanya masih ada.

Saya fikir editor itu terlalu penat hingga lupa untuk menyimpan kerjanya di komputer itu. Saya baca apa yang kelihatan di skrin komputer. Ia sebuah cerpen yang barangkali dalam proses bacaan pruf. Kelihatan pada bahagian heading tertulis nama penulis cerpen tersebut, bunyinya seperti nama seorang perempuan.  Pada hemat saya, itu mungkin cerpen yang dimaksudkan editor itu pada tweetnya siang tadi.

Sekarang saya perlu mencari  cerpen saya yang pasti berada di dalam komputer itu. Tanpa berfikir panjang saya terus melarikan pointer tetikus ke butang close di penjuru atas sebelah kanan aplikasi Word  tersebut. Kemudian saya perhatikan ada  Icon Gmail di Taskbar skrin komputer. Saya lihat ada e-mel baharu yang sedang dikarang tapi belum dihantar. Saya membacanya dengan penuh teliti. Subjeknya berbunyi “Cerpen baharu untuk disiarkan dalam edisi minggu ini, lulus untuk diterbitkan”.

Editor tersebut rupanya sedang bersedia untuk menghantar cerpen yang sedang disemak ke bahagian penerbitan untuk proses cetakan. Saya gerakkan pointer tetikus ke arah sebelah kiri monitor mencari inbox e-mel editor tersebut. Saya teliti satu persatu e-mel yang diterima oleh editor itu.

Nah! Saya menemui e-mel saya sebulan yang lalu. Ia sudah ditandakan sebagai telah dibaca maka benarlah editor itu menipu saya. Tapi sebentar, e-mel yang saya hantar tidak ada dokumen lampiran! Tiada fail Word di dalamnya. Saya menepuk dahi sendiri. Perasaan serba salah bercampur geram menyelubungi diri saya namun hanya seketika. Saya sudah membuat rancangan tambahan.

Bersedia di tangan sebuah pendrive yang menyimpan cerpen tulisan saya yang telah ghaib itu. Cerpen tersebut bertajuk “Membunuh Editor” yang berkisar tentang rancangan seorang penulis yang tular di media sosial bersama teman imaginasinya untuk membunuh seorang editor penerbitan bebas kerana membuang manuskripnya ke dalam longkang di belakang hotel murah. Isteri saya satu-satunya individu (selain saya) yang telah membaca cerpen tersebut dan memberikan isyarat bagus, boleh diterima katanya.

Saya menutup komputer itu dan ekor mata saya mengerling ke arah jam dinding di dalam bilik yang menunjukkan tepat jam 12 tengah malam. Perlahan-lahan saya mengatur langkah ke arah sofa panjang itu. Saya melutut lalu menyeluk poket seluar jean mencari sesuatu. Saya tersenyum sendiri, gambaran kepuasan yang saya rasai ketika ini. Saya keluarkan sekeping kad bersaiz buku 555 kemudian saya membisikkan ke telinganya, “Selamat malam Mawar Harum, isteriku dan selamat hari lahir.”

Saya berjalan ke arah suis di dinding dan mematikan lampu bilik agar editor itu dapat menikmati tidurnya dalam kegelapan. Kepuasan jelas dapat saya rasakan kerana akhirnya cerpen saya akan kembali menghiasi ruangan sastera Majalah Kelabu selepas lebih sebulan hilang dari radar!

Categories
SASTERA

Mencuri waktu

Aku menggulung tubuhku di dahimu yang landai, sekejap tersesat di keningmu sebelum sampai di matamu lantas menghirup masa lalu—laut yang senyap menyimpan segala aib, ketika malam memilih untuk datang sebagai sepasang tangan yang menutup mata orang-orang.

Saat bulan dan hujan saling berbalah tentang erti kesedihan, aku memilih untuk tetap memerhatikanmu, ratnaku. Lantas kucuri seperca waktu di rentang takdir, aku pun menciummu di sela sajak-sajak manis.

Lukamu harum, kataku.
Dan kaubilang, “Ia cuma bau peluh.”

Kepalaku dipeluk masa depan yang tidak berwajah. Lalu, haru pun tumbuh lebih congah. Tapi nona, kau tahu? Sejak bocah di jantungku berani menyimpan cita untuk membina rumah di dalam hidupmu, ia hampir terlupa tentang keelokan warna langit di waktu senja.

Ingatanku menyandang angan sederhana sembari menjelajahi kulitmu—tanah yang terhampar subur dan segar. Dan aku ‘kan terbit di pelupukmu lebih hening selain langit pagi, biar sampai raut tuamu masih menggigit di mataku serupa cahaya yang tak pernah dijilat matahari.

Jed

Sungai Petani

 

Categories
SASTERA

Weltanschauung: Betapa dalamnya jurang generasi

Oleh Johan Radzi

ADA dua rungutan yang kedengaran daripada kumat-kamit angkatan pengarang mapan pada Wacana Pemikiran Penulis Muda Wilayah Utara di Alor Setar, hujung Disember 2017. Pertama-tamanya adalah, pengarang muda tidak banyak melukis tentang alam; kedua, lukisan alam mereka kaku, beku dan tak bernyawa.

Seorang daripada mereka memetik karya Azizi Abdullah yang dianggap mahir menghidupkan peristiwa “bermandi di selut” — seolah-olah pembaca boleh mengalaminya secara langsung walau dengan sekadar selayang bacaan. Mereka kemudian menyelar pengarang muda yang rata-ratanya memencilkan alam daripada lambakan karya mereka.

Saya faham benar kegusaran pengarang mapan ini. Lebih-lebih lagi kalangan mereka yang menetap nun jauh di utara. Kedah dilimpahi dengan sawah padi yang luas terbentang. Penduduk di sana sudah lama akrab dengan bendang, tanah, selut, gunung, angin, tali air dan matahari yang berbahang. Persekitaran itulah yang membina gagasan mereka, kemudian ditumpahkan pula ke dalam karya mereka yang “meninggikan” alam itu.

Tetapi seperkara yang sulit untuk mereka fahami; antara sebab mengapa pengarang muda tidak lagi berminat untuk “melukis” alam, kerana pengarang muda tidak lagi lahir di desa, tetapi di kota serta turut mendewasa di sana. Kami tidak melastik burung atau memanjat pokok rambutan yang berbuah lebat seperti ibu bapa kami dahulu. Kami membesar dalam pertembungan budaya yang rencam dan pelbagai simpang siur – seperti “Mekdonalisasi”, gaya hidup di pusat beli-belah, kepesatan teknologi, kebanjiran imigran, ledakan maklumat, krisis eksistentsialisme, serta kesesakan lalu lintas yang tidak kunjung selesai.

Lihatlah pengarang muda dekad ini yang giat berkarya termasuk pemenang utama kategori cerpen Hadiah Sastera Selangor 2018, Azrin Fauzi dan pemenang penghargaan kategori sama Hadiah Sastera Selangor 2018, Syafiq Ghazali. Begitu juga penulis muda berbakat besar seperti Ridhwan Saidi dan Anas Mohd — masing-masing menukang cerita tentang kehidupan di kota raya. Mereka dengan kreatif menggambarkan proses urbanisasi, penularan jenayah serta keabsurdan kota dalam gaya yang segar dan baharu. Ini terbukti dalam penulisan karya mereka antaranya Metaskandal, Debu Bidadari, Babyrina dan Tentang Aku & Perempuan Sigaret. Nak tak nak, suka tak suka, inilah wajah sastera kontemporari anak muda yang harus kita raikan.

Pendek kata, inilah “alam” kami – meskipun ia bukan lagi bersifat semula jadi; inilah dunia kami dan persekitaran ini jugalah yang membentuk gagasan kami untuk berkarya. Kami sudah terlalu jauh dengan selut, bendang dan sawah. Mata kami sudah terbiasa dengan pixel skrin telefon dan jari-jari kami akrab dengan papan kekunci telefon pintar, itulah hakikatnya. Saya teringat kepada filasuf agung Jerman Martin Heidegger apabila dia meramalkan, “epoch zaman kini sudah berubah daripada relasi antara manusia dengan alam (semula jadi) kepada antara manusia dengan teknologi”. Boleh jadi ungkapan beliau benar kerana teknologi sedang perlahan-lahan mengambil peranan kita sebagai pusat semesta dan pertanyaan keabsahan moral tentang itu sudah tergelincir ke dalam perdebatan lain pula. Yang mustahak, wujudnya peralihan antara relasi manusia dan kita sekurang-kurangnya harus menerimanya sebagai suatu kenyataan. Alam kami generasi Y dikelilingi kekotaan dan teknologi dan apakah salahnya jika kita mengarang tentang itu?

Premis ini juga boleh dipakai untuk menjawab rungutan pengarang mapan yang kedua – tentang kekakuan “lukisan alam” oleh pengarang muda. Tentang mengapa gambaran pengarang muda tidak sehidup penulisan pengarang seperti Azizi Abdullah, sangat mudah: alam ini bukanlah alam yang didiami kami. Bagaimanakah untuk kita memaksa seseorang untuk melukiskan sunyi belantara atau lecak bendang andai kaki tidak pernah berjejak ke dalamnya? Perkara yang tidak dialami secara langsung dan hanya secara difahami abstrak barangkali bukan senang, bahkan sangat sukar untuk dilukiskan kembali, sehidup-hidupnya.

Pengarang mapan harus menyedari sekali lagi betapa peralihan relasi telah berlaku. Mereka tidak sepatutnya memaksakan “faham alam” mereka kepada generasi pengarang anak muda yang ternyata jauh berbeza jalurnya. Ini hanya membawa kezaliman — karya pengarang muda akan sentiasa kelihatan kaku dan tidak bernyawa jika terus-terusan  harus tunduk kepada piawaian yang dipetakkan golongan mapan. Biarkan sahaja pengarang muda menggambarkan dunia mereka melalui bola pandangan mata mereka sendiri, dengan percikan kreativiti unik mereka.

Masalah jurang generasi memang berlaku di mana-mana. Hatta dalam kalangan sasterawan di Malaysia sendiri. Yang membezakannya adalah adat resam kehidupan; namun bagaimana kita menanganinya, itu soal lain pula. Satu saranan yang saya terlintas boleh diutarakan adalah meraikan saja weltanschauung atas nama kesusasteraan dan segala-gala yang bersangkut-paut dengannya. Saya setuju dengan penulis muda terkenal Wan Nor Azriq apabila beliau memetik pengarang Amerika Paul Auster tentang masalah ini: pengarang mapan mahukan penghormatan sementara pengarang muda dahagakan pengiktirafan; lantas kedua-duanya saling memerlukan.

Relasi boleh berubah dan biarkanlah anak-anak muda menerokai wilayah yang gelap dan mencabar dengan kekuatan yang mereka ada. Nah, bukankah intipati sastera itu sendiri untuk mengungkap jiwa manusia – tanpa peduli latar apa yang mereka alami?

 * Johan Radzi aktif menulis cerpen dan himpunan cerpennya boleh didapati dalam antologi Tinju dan Peluru.

Categories
SASTERA

Larian Zombi

Oleh Syafiq Ghazali

DI BUCU katilnya, sedang dia memikirkan sesuatu berkaitan kemaslahatan bangsanya, Subrik  terdengar jeritan dari jendela. Dia mendekatinya dan melihat di lorong bawah sana seorang lelaki berlari ketakutan. Di belakangnya seorang Zombi menyeret kaki, mengejarnya lambat-lambat. Lelaki itu tergelincir dan ketakutan mematikan kudratnya untuk bangkit semula.

Zombi itu merapat dan menjangkau kedua-dua tangannya. Lelaki itu menepis dan menendang perut Zombi. Dia jatuh terduduk sementara lelaki itu mengambil kesempatan untuk berdiri semula dan berlari. Zombi itu, dengan bersusah-payah, bangkit kembali.

Sibruk fikir dia patut membantu. Dia bergegas keluar dari biliknya, menuruni anak tangga cepat-cepat, dan sebaik keluar dari rumahnya, terus berlari mendapatkan Zombi dan lelaki itu.

Lariannya kencang, melintasi Zombi dan hampir merapati lelaki itu. Merasa kehadiran sesuatu, lelaki itu berpaling. Dia pandang Sibruk. Matanya terbeliak dan wajahnya sungguh-sungguh takut. Dia menjerit, nyaring sekali. Sibruk tidak buang masa: dia menerkam lelaki itu, dan sebaik dia terjatuh, terus saja membaham dadanya. Lelaki itu berteriak untuk penghabisannya.

Setelah memastikan lelaki itu tidak lagi bernyawa, Sibruk berdiri dan memberi isyarat mata kepada Zombi yang kaku di sebelahnya. Zombi itu, perlahan-lahan, membongkok dan mula meratah setiap inci tubuh lelaki itu, sedang Sibruk sekadar memerhati sambil mengesat kesan darah di pipi dan menguis keluar sisa daging dan kulit yang melekat di baris gigi buruknya.

Setengah jam kemudian, Zombi itu berlalu pergi, menyeret kakinya lambat-lambat tanpa mempedulikan Sibruk. Yang tinggal di permukaan asfalt hanyalah rangka tulang merah, ketul-ketul kecil daging, dan segumpal otak yang masih sempurna sifatnya.

Sibruk mengangkat gumpalan otak itu, mengutilnya sedikit lalu mencecapnya. Kepahitannya mengingatkan Sibruk pada waktu lalu, waktu dirinya masih seorang Zombi yang tak memiliki akal nurani.  Ketika itu, dia cuma Zombi kurus yang langsung tak ada upaya untuk bersaing dengan kawanan Zombi lain. Dalam perebutan tubuh manusia, dia selalu kalah. Yang tinggal untuknya hanyalah otak, bahagian yang selalu dielakkan Zombi lain kerana rasanya yang terlalu pahit. Hendak tak hendak, itulah makanannya.

Tak disangkanya otak-otak yang diratah itu perlahan-lahan memberi akal fikiran kepadanya, hingga dia menjadi seorang Zombi yang sedar akan kewujudan dirinya sendiri.

#

“Jadi, hanya kita bertiga?”

Lugosi dan Nzambi sekadar menukar renungan antara satu sama lain.

“Walau apa pun, kita perlu pastikan Larian ini berjaya,” kata Lugosi, merasa sedikit otak yang dibawa Sibruk. “Hidup mati bangsa kita bergantung padanya.”

Sibruk angguk. “Manusia semakin pantas tapi kita masih tetap perlahan. Lambat laun kita tak akan dapat kejar mereka.“

“Kalaulah bangsa kita suka makan otak,” balas Nzambi. “Tak perlu kita susah-susah wujudkan Larian ni.”

“Mungkin… mungkin kita boleh pujuk mereka sekali lagi.” Kata Lugosi. “Kita terangkan kelebihan-kelebihan otak kepada mereka, dengan lebih terperinci.”

Sibruk menunduk, kemudian mendongak semula. “Kita dah cuba—dan gagal. Sekarang kita perlu beralih kepada kaedah yang lebih radikal tapi halus. Jika kita tak boleh jadikan mereka lebih bijak, sekurang-kurangnya kita boleh buat mereka jadi lebih cepat. Dengan persiapan yang kita buat, Larian ini pasti berjaya. Di akhir garisan nanti, bangsa kita tak akan lagi berjalan. Kita akan berlari!”

#

“Dunia sedang menuju era baru, era yang akan meninggalkan mereka yang masih berjalan. Kini era larian! Dan larian adalah apa yang akan kita lakukan hari ini. Ayuh! Jadikan Larian ini tapak untuk kita bina masa depan secerah matahari tengah hari. Perubahan satu kemestian dan yang diperlukan hanyalah satu lompatan saujana.“ Subrik berhenti. Dia hairan bagaimana ucapannya boleh sebunga itu. Mungkin kerana efek memakan otak seorang penulis dua hari lepas, fikirnya.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan,” sambungnya. “Yang tidak pandai berlari, aku akan ajar. Lihat nanti bagaimana kaki aku melangkah. Ia susah tapi tak mustahil. Ayuh, ikut aku berlari. Peluh yang menitik sepanjang langkauan kita akan terlunas dengan manis wangi tubuh manusia, ketar takut mata mereka. Masa bukanlah kekasih yang setia, jadi ayuh berlari!”

Ucapannya ditelan riuh kecur liur peserta Zombi di bawah yang sedang asyik merenung sekumpulan manusia yang terkurung dalam sebuah sangkar besi di atas trek balapan. Tapi Sibruk tak begitu kisah. Mesejnya sudah disampaikan, itu yang penting.

Sibruk mencermati bilangan peserta: tidaklah ramai tapi tidak juga mengecewakan. Dia perlu berterima kasih kepada Lugosi dan Nzambi yang berjaya mengumpan para Zombi itu datang ke stadium terbiar ini. Ia bukan kerja mudah dan mereka berjaya lakukannya.

Sibruk turun dari pentas lantas memberi isyarat kepada Lugosi. Lugosi membuka kurungan dan kumpulan manusia itu mula bertempiaran lari. Mereka boleh lari sekuat hati namun hanya satu arah yang boleh mereka tuju—ke depan. Kerana trek itu sudah pun dipagar dengan papan di kiri dan kanannya.

Melihat manusia berlarian, para Zombi mula mengejar. Sibruk pun, diikuti Lugosi dan Nzambi. Dia berlari semahunya. Setiap manusia yang dilintasinya segera diterkam. Tapi Sibruk tidak meratahnya. Sebaliknya dia terus mengejar manusia yang lain. Kejar dan terkam dan kemudian kejar lagi.

Dialah Zombi pertama yang tiba di garisan akhir. Kemudian Lugosi dan Nzambi. Sibruk menanti Zombi yang lain namun yang tiba hanyalah empat lima orang. Selebihnya masih lagi di belakang, tidak berganjak, sedang meratah mayat-mayat manusia yang dibunuh Sibruk dan mereka yang telah tiba di garisan akhir itu.

Hingga ke petang hari, bilangan Zombi di hujung garisan itu langsung tidak bertambah. Zombi-zombi lain, sesudah kenyang menjamu diri, terus menyeret kaki mendapatkan pintu keluar.

Sibruk, Lugosi, dan Nzambi berpandangan sesama sendiri. Seorang dari mereka melepaskan keluhan. Sibruk kecewa. Apa yang dirancang mereka ternyata telah gagal.

#

Dari jendela pejabatnya, Sibruk lihat sayup di bawah sana seorang Zombi berjalan lambat-lambat menuju ke pintu masuk bangunannya. Tangan kanannya menyeret seekor kambing yang separuh nyawa. Dari wajahnya, jelas Zombi itu sudah beberapa hari tidak makan.

Sibruk tersengih. Dia tahu nanti kambing itu akan diserahkan kepada pekerjanya untuk ditukar dengan daging manusia, dan Zombi itu pasti tidak puas hati melihat saiznya yang kecil. Namun sia-sia dia mengeluh, fikir Sibruk, silapnya sendiri menjadi Zombi yang tidak tahu berlari.

Sibruk beralih dari jendela dan mendapatkan lif. Dia perlu turun ke bawah untuk memberi motivasi kepada pelari Zombinya. Beberapa hari lalu Nzambi beritahu ada beberapa pelari yang mengeluh larian manusia semakin hari semakin deras. Dan selepas itu dia akan ke bahagian pemotongan untuk memantau proses memotong daging-daging binatang ternakan yang diterima, sebelum dipek dan dihantar ke pasar raya—untuk dijual kepada manusia.

Hari yang rutin namun produktif buat Sibruk.

Categories
SASTERA

Piriya Bukan Pencuri

Tuan-tuan pendidik
M Vasanthapiriya (15), anak kita
menggantung diri dalam kamarnya
meninggalkan renyuk nota berdarah
“cikgu, saya tak curi telefon cikgu”
kata akhir paling tulus, paling remuk
menagih percaya di hujung nyawa,

Benar cikgu
iphone cikgu tinggi nilainya
piriya bayar dengan nyawa.

Tuan-tuan pendidik
piriya telah mati menggantung diri
seribu iphone pun tidak berguna lagi
padanya, hidup dalam gelita lebih baik
dari dilihat dunia sebagai pencuri
di baju sekolah piriya ada titis air mata
tak akan kering
dalam dadanya ada jerit nyaring
tak siapa dengari –
“cikgu, siapa yang curi suara piriya!”

Tuan-tuan pendidik, kita mendabik dada
mengaku pelita anak bangsa, alangkah
kita hanya pelita malap penuh jelaga
menghitamlegamkan hidup setiap piriya.

Pagi Thaipusam
iphone cikgu kehabisan bateri
piriya datang meminta maaf
sekali lagi.

 

Shafiq Said

Mentakab, Pahang