Categories
BUDAYA RENCANA

Sepohon bonsai & 15 Jan

Januari akhirnya bersuara
ingin lagi memulai tahun baru
bahunya ditepuk Februari
ubunnya dikucup Disember

Limau Bali di Ipoh
asyik meraga senyum
menunggu pelawa
ke luar negeri

sepohon bonsai terlentok
dengan rupa polos
diamdiam mengimbau
sebuah tarikh

berkeping doa kelihatan
mendaki puncak bukit
sebelum satu per satu
menunggu sahut langit

 

Maliqi Musa

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Juri Hadiah Sastera Selangor: Karya belum cukup matang

Majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020 pada 20 Julai menyaksikan tiada pemenang utama bagi kategori cerpen, sajak dan esei. Hanya 11 pemenang penghargaan diberi kepada penulis.

Sejak 2015, HSS yang dilhamkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menawarkan seorang pemenang utama dan empat hadiah penghargaan bagi setiap genre.

Dinilai sembilan juri, Dr Faisal Tehrani yang menerajui panel tersebut memperinci aspek penjurian.

Hadiah Sastera Selangor (HSS) memasuki tahun kelima pada tahun 2020. Hadiah ini satu-satunya hadiah sastera yang masih utuh setelah beberapa hadiah sastera lain rebah dan menghilang begitu sahaja. Hadiah ini juga terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada mereka di Selangor sahaja. Ini menjadikan ia semakin diberi tumpuan oleh karyawan seluruh negara, selain menjadi wadah untuk pengarang muda berkincah di gelanggang.

Pihak penganjur telah menyerahkan kepada juri sejumlah 41 cerpen untuk dibaca, dinilai dan disaring bagi diberikan sebuah hadiah utama, dan empat hadiah penghargaan. Keputusan tahun ini adalah yang paling sulit kami lakukan, tetapi kami sepakat dalam memutuskannya.

Dalam menilai karya yang baik kami mengutamakan wacana-mesej, atau tema yang dihantar di mana ia harus berhubungan dengan masyarakat. Seterusnya kami akan memilih karya dengan gubahan paling halus yang krafnya tidak memaksakan. Kami juga berusaha memahami lambang yang dihantar pengarang dan meneliti aspek bahasa yang digunakan.

[IKUTI RAKAMAN MAJLIS HADIAH SASTERA SELANGOR 2020]

Akhir sekali, karya yang baik menurut kaca mata kami adalah karya yang lengkap dan berjaya dibangunkan dengan saksama mengambil kira semua rukun cerpen iaitu tema, plot, latar, watak dan perwatakan dan sudut pandang.

Kami mendapati cerpen-cerpen ini dari segi gubahannya tidak begitu berbeza antara satu sama lain di mana ia menekankan aspek bentuk dan struktur cerpen (eksperimental), membawa mood urban-kontemporari, menabur falsafah mudah, atau menukangi cerita tentang aspek pengkaryaan itu sendiri. Ia adalah formula ulangan seperti tahun-tahun lalu. Ada kemungkinan karyawan merasakan HSS tertarik dengan petua di atas.

Kali ini, kami mendapati karya yang diserahkan terlalu menyuguhkan falsafah secara mudah dengan sangkaan ia menjadi inti karya yang berwibawa. Naratif yang terbina juga tampak belum mengalami proses pengeraman matang sehingga menimbulkan kesan ketergesaan dengan tempelan fakta. Terdapat misalnya cerpen yang permulaan atau awalannya begitu menjanjikan tetapi klimaks dan peleraiannya bercemperaan tanda aspek-aspek asas pembinaan karya belum dikuasai.

Sebahagian besar cerpen juga tiada tumpuan atau fokus sehingga menimbulkan kesan kusut. Malah, karya juga seakan-akan terlalu mencuba tetapi tidak kesampaian, di mana mesej yang diutus terasa bersimpang-siur. Lebih malang, kami merasai keremajaan karya menenggelamkan kedewasaan seakan-akan HSS ini untuk pengarang peringkat sekolah.

Kami juga mendapati terdapat kecenderungan menunjuk-nunjuk yang mengapungkan kesan mengada-ada. Seperti tahun-tahun terdahulu karya abstrak dan eksperimental lebih menguasai. Ada kemungkinan pengalaman kuarantin menjadikan kebanyakan karyawan memilih sudut pandang pertama.

Seperti boleh dijangka juga karya dengan latar krisis kesihatan turut disinggung, misalnya perihal resah di dalam kurungan, perihal makmal di Wuhan China dan pelbagai lagi. Hal ini menjadi petanda karyawan begitu peka. Namun di tahun yang juga ribut oleh kemelut politik, kami tertanya-tanya mengapa karyawan menghindari tema politik. Tema ini tidak ditemui seperti tahun-tahun sebelumnya.

Rujukan kabur

Simbol dan lambang yang dihantar dalam karya acah mendalam tetapi oleh sebab tiada rujukan yang boleh dipegang ia menjadi terlalu kabur dan menyebabkan tanda tanya mengatasi kesan keindahan dan emosi. Terdapat karya yang mudah tetapi sedap dinikmati manakala terdapat karya terlalu memaksa dan dibuat-buat sehingga runtuh kematangannya. Karya-karya eksperimental yang didatangkan banyak yang mendera, mengecewakan dan jauh dari memuaskan.

Karya dengan nilai keagamaan kekal berkhutbah, manakala karya lain pula kekurangan teknik atau strategi penceritaan. Panel mendapati judul karya tidak menarik dan tidak memanggil. Kami juga mendapati terdapat beberapa karya yang merupakan satu homage, tribut dan semacam interteks dengan karya kanun dunia menyinggung karya dan susuk Seno Gumira Ajidarma, Gabriel Garcia Marquez dan Virginia Woolf.

Kami juri juga tertarik dengan beberapa karya humor yang segar. Akan tetapi karya jenaka ini masih ada kekurangan dari segi rukun cerpen yang sedikit menjejaskan keutuhan produk seni. Karya-karya ini bagaimanapun melepasi pusingan pertama kami.

Antara 41 karya ini; pengarang di Selangorkini ternyata menjadikan ruang ini sebagai medan untuk menguji ghairah berkarya mereka. Seperti tahun-tahun terdahulu, cerpenis di Selangorkini menghirup udara bersih untuk bersuara, di mana campur tangan editor adalah minimal, dan pengarang tidak terikat dengan nilai moral atau stail rumah penerbitan tertentu.

Setelah berbincang, kami menyenarai panjang sembilan cerpen untuk dibahaskan dari semua sudut. Karya-karya tersebut adalah:

  • Objek di dalam kotak fakta
  • Kau apa hari ini Melissa
  • Kuncitara
  • Senja merah di madrasah
  • Jalur malam
  • Mak Minah hilang kain kafan
  • Sapat
  • Sebongkah batu di tengah kota
  • Gabriel bukan Marquez

Harus dinyatakan di sini, majoriti juri tidak membaca karya ini ketika ia diterbitkan, justeru tidak mengenali pengarang-pengarang ini. Oleh sebab itu, juri tidak dipengaruhi oleh gaya penulisan, mazhab kepengarangan, gender, ataupun kaum.

Setelah perbincangan mendalam, kami memutuskan untuk tidak memberikan mana-mana karya hadiah utama, dan hanya empat karya disenarai pendek untuk hadiah penghargaan. Cerpen tersebut adalah:

  • Mak Minah hilang kain kafan
  • Kau apa hari ini Melissa
  • Sapat
  • Kuncitara

Cerpen Mak Minah hilang kain kafan adalah karya humor yang secara bersahaja menjadikan isu kepimpinan di Kampung Lidah Budaya sebagai antara mesej utamanya. Karya ini juga menyorot perihal kemiskinan sambil melapiskan dengan persoalan ketidak-pedulian pemimpin politik. Ia juga mudah diikuti kerana lancar dan menghiburkan dalam masa yang sama.

Kau apa hari ini Melissa adalah karya dengan tema LGBT yang langka. Apa yang membuatkan juri tertarik ialah karyawan turut menampilkan hujah kekuatan bahasa Melayu yang tiada gender menjadikan susuk LGBT lebih bermaruah apabila dipanggil. Namun, cerpen ini belum terasa kukuh sementara pengakhirannya agak longgar.

Cerpen Sapat ikut menarik perhatian juri memandangkan ia salah sebuah karya dengan pendekatan realisme yang jarang diperolehi dalam HSS. Karya ini hadir dengan latar berbeza dari kebiasaan iaitu urban-kontemporari tetapi membawa pembaca ke hutan Sarawak dengan terma dan ungkapan natif. Juri dapat mengagak karyawan cerpen ini adalah pengarang yang lebih berpengalaman, memandangkan garapannya serasa matang. Sayang sekali, cerpen ini bergaya menampilkan estetika sehingga membuatkan juri sedikit meraba untuk memahami apa yang ingin disampaikan di hujungnya.

Sebuah cerpen yang agak baik ialah Kuncitara. Cerpen ini menyorot dunia kuarantin yang merimaskan. Ia juga tampil bersahaja dan lucu tetapi belum cukup rapi. Terdapat perhatian oleh juri dengan unsur keganasan yang dikemukakan tetapi juri mengambil keputusan untuk menerima ia seadanya.

Malang sekali, jangkaan kami bahawa karya tahun ini lebih baik dari tahun lalu menjadi sebaliknya. Kami ingin menyatakan kepada karyawan di luar yang menjadikan Selangorkini sebagai medan berkarya, kemerosotan ini tidak harus berlaku. Kebanyakan karya mengulangi kelemahan yang telah ditegur. Untuk mempertahankan mutu HSS agar kekal berkualiti dan terpandang, kami berasa bertanggungjawab untuk melindungi wibawanya.

Justeru demi memastikan keunggulan HSS, kami berpendapat tiada cerpen pada 2020 layak diberikan hadiah utama menurut parameter sedia ada, manakala empat karya layak diberikan hadiah penghargaan.

Tiada takrif yang tepat dan muktamad, seperti apa bentuknya sebuah esei yang baik. Sebuah esei yang baik bagaimanapun lazimnya membentang kesatuan idea yang jitu, dikupas dengan tajam, disampaikan dengan cara bertutur yang lancar serta menunjukkan piawai berbahasa yang tinggi.

Esei juga sewajarnya berupaya menguja taakulan pembaca sekali gus membuka horizon baharu pemikiran pembaca. Dalam kerangka itulah panel juri meneliti 12 esei yang dikemukakan untuk dinilai bagi HSS 2020.

Daripada 12 esei yang dinilai, empat menyentuh tentang filem, tiga mengenai puisi, dua membahaskan isu sastera, sementara masing-masing sebuah esei kupasan novel, bahasa dan budaya.

Secara umumnya, panel sepakat bahawa semua esei yang layak dinilai bagi tahun ini menunjukkan kemerosotan dari segi kualiti berbanding kumpulan esei yang dinilai pada tahun-tahun sebelumnya. Panel berpendapat 12 esei yang dikemukakan pada tahun ini cuba berjuang untuk menjadi esei.

Masih ada kelemahan ketara, yang sesetengahnya berulang-ulang dari tahun ke tahun, berdasarkan laporan-laporan panel sebelum ini. Ada esei yang membayangkan percikan idea tertentu tetapi tidak dikembangkan dengan padu; menerawang dan sesat dalam hujah yang tidak bulat.

Idea yang cuba diketengah tidak dibuktikan dengan hujah yang wajar, malah ada juga esei yang mengangkat idea tertentu tetapi di tengah jalan membahaskan gagasan lain yang menyimpang, kalaupun tidak meruntuhkan kesatuan idea asal.

Tulisan yang mengangkat subjek filem condong berleluasa mencatatkan sinopsis, sehingga membazirkan ruang penerbitan yang sedia sempit – untuk penulisan sekitar 750 hingga sekitar 900 perkataan – yang sepatutnya dimanfaatkan untuk mengupas idea atau gagasan.

Terdapat juga tulisan yang membuat pernyataan idea pada penutup tanpa membina hujah dari awal untuk menegakkan kesimpulan. Rumusannya muncul tiba-tiba dan begitu sahaja tanpa ada penghujahan sokongan dan bukti. Sebaliknya penulis se-olah beria-ia mahu memujuk pembaca untuk mempercayai penyataan idea tersebut.

Terdapat juga esei yang terlalu banyak unsur campur tangan penulis dalam penghujahan dan wacana. Hal ini menjadikan esei bersifat pandangan peribadi serta sekali gus menjadikan penghujahan dan pembuktian lewah dan tidak tuntas.

Ada semacam kecenderungan untuk penulis hadir dan terlibat dalam tulisannya tanpa ada keperluan yang kukuh dan wajar. Tanpa “saya” ini berbuat atau berkata apa-apa pun, sesebuah tulisan, gagasan atau hujahan masih boleh tegak sendiri. Bentuk atau gaya penulisan ini sudah menjadi semacam trend semasa, yang dipercayai tempias daripada kebebasan penulis menerbitkan tulisan mereka di wadah mandiri tanpa editor – di media sosial, misalnya, yang ‘ditentukan’ buruk atau baiknya dengan memadai barangkali dengan perakuan berapa banyak tanda “suka” dan “kongsi” di Facebook.

Bagaimanapun, ada beberapa esei yang menunjukkan upaya penulis untuk mencadangkan gagasan dan kemudian membangunkan pandangan dengan lapis demi lapis hujah yang cuba bersatu. Namun panel berpendapat gagasan atau pandangan itu tidak menampilkan sudut pandang baharu, yang menjadikannya “perlu”, malah tidak juga dipersembahkan dengan kupasan yang tajam dan piawai bahasa yang wajar, yang menjadikannya “sedap”.

Atas penilaian itu, dengan kesulitan menemukan sebuah esei yang unggul mengikut kriteria piawai yang digariskan, panel bersetuju untuk tidak memberikan hadiah utama pada kali ini. Panel bagaimanapun memilih empat esei untuk diberikan hadiah penghargaan sebagai mana berikut tanpa mengikut urutan wibawanya:

  • Jargon: ketidakjujuran bahasa
  • Kejantanan dalam filem Melayu
  • Romantis penjenayah novel Melayu
  • Tipu daya filem ‘wira kulit putih’

Akhirnya, kami harus menyebut bahawa keempat-empat esei yang diperakukan ini – tanpa kecuali – masih boleh ditulis sekali lagi supaya lebih mantap hujahannya dan kemas bahasanya.

Tidak diperam

Juri menerima sebanyak 49 sajak untuk dinilai bagi HSS 2020. Juri membaca, menyaring dan meneliti kesemua puisi dengan berhemat dan teliti.

Semenjak diperkenalkan HSS, telah lahir ramai nama baru dalam dunia penulisan puisi di Malaysia. Penganjuran hadiah ini memberi ruang kepada penyair mencuba pengucapan gaya bahasa segar, berani meneroka isu baharu, bermain bentuk tanpa campur tangan atau kekangan oleh tangan editor.

Namun pada tahun 2020, juri mendapati mutu sajak pada tahun ini merosot dengan ketara berbanding pada tahun lalu dan tahun sebelumnya. Kebanyakan sajak hadir pada kadar sederhana dan kurang menawarkan sesuatu yang menjanjikan. Juri dan editor sependapat kurangnya puisi bermutu yang dihantar kepada pihak editorial berbanding tahun terdahulu. Juri berpendapat keperluan untuk editorial mencari dan menawarkan ruang puisi di akhbar Selangorkini kepada penulis-penulis berbakat.

Secara keseluruhan, kebanyakan sajak yang dinilai berlegar kepada isu dan tema yang sepunya. Beberapa sajak berefleksi peristiwa besar yang membelenggu tahun 2020 iaitu wabak Covid-19, musim kuarantin dan peralihan kuasa politik. Peristiwa ini mencetuskan rantaian kritikan sosial seperti isu di sempadan negara dan ekonomi rakyat. Sajak ketuhanan menggelintar keluar dari rintih dan keluh kesah serta mencuba pengucapan baharu. Ini menampakkan penyajak responsif kepada persekitaran, kritis dan peka serta tidak takut mengkritik tajam.

Selain itu, tema yang berulang dan menjadi kegemaran penulis pemula ialah sajak pengakuan dan romantis. Berkemungkinan tempoh berkurung dan kuarantin yang panjang menjelmakan ilham sedemikian. Terdapat juga usaha mengambil subjek bukan konvensional dalam garapan karya serta pengaruh bacaan tokoh dan peristiwa dijalinkan dalam baris sajak. Puisi prosa menjadi pilihan beberapa penulis pada tahun ini dan juga hadir beberapa sajak berbentuk eksperimen dan metafizik. Tahun ini juga menampakkan pengurangan sajak yang menggunakan unsur hiperbola yang berlebihan seperti tahun lalu.

Namun, kelemahan ketara dikesan dalam beberapa aspek penting. Terutamanya dalam pembinaan bahasa sajak yang cermat dan baik. Kebanyakan sajak diungkapkan dalam gaya bahasa yang mudah, kurangnya ketertiban gubahan, beberapa diksi dan imejan yang berulang dalam beberapa sajak, teknik persajakan yang klise, didaktik dan tema keakuan yang kental. Penyajak tidak cermat memilih kata dan menyusun komposisi yang konsisten untuk mengalir elok pada ungkapan mahupun pemaknaan. Juri sependapat kebanyakan sajak terbit dalam keadaan separa matang, tidak diperam dan disunting jitu.

Juri juga mengesan percubaan penyajak untuk menyelitkan baris daripada penyair terkenal, meminjam mitos, melambakkan jargon, kosa kata arkaik serta nama tokoh dari luar. Tetapi proses penulisan dilakukan tanpa cerapan dan kefahaman tulus dari nurani penyajak. Malah jangkauan pemikiran yang diapungkan dalam pemilihan kata, tidak berupaya memperkayakan pengalaman pembacaan khalayak.

Beberapa sajak cuba tampil dengan dandanan bahasa sederhana dan ekonomis namun kelemahan ketara dikesan apabila kaedah penyampaian terlalu langsung dan polos serta luapan perasan yang tidak setara dengan isinya. Ini mencerminkan ikutan gaya yang melulu tanpa memperhalus teknik kesederhanaan yang tampak mudah tetapi sebenarnya tidak enteng untuk diungkapkan.

Judul melulu

Dari segi revolusi bahasa, tiada perkembangan mendadak yang menggugah dan memberi impak emotif yang dikenang. Beberapa sajak juga tidak mencapai keutuhan idea walaupun sudah membuka dengan premis yang menjanjikan.

Juri juga mendapati kelemahan ketara dalam sebahagian besar sajak ialah pada penyandingan kata yang janggal, pemerengganan yang culas, pemilihan bentuk sajak yang kurang sesuai, pemilihan judul yang terlalu melulu dan kurang puitis. Ini menyumbang kepada pengurangan nilai estetika sajak.

Setelah pertimbangan teliti, juri bersepakat memperakukan tiada pemenang untuk hadiah utama dan memilih tiga sajak sebagai penerima hadiah penghargaan.

Keputusan yang sukar ini diambil kerana tiada karya yang utuh kukuh sebagai pemenang utama dan kebanyakan sajak berada pada liga yang hampir sama serta tidak menampakkan jurang yang terlalu jauh antara satu sama lain. Ketiga-ketiga ini mempunyai kekuatan yang hampir setara dalam darjah yang tersendiri.

Ketiga-tiga sajak ini layak diberi penghargaan sekurang-kurangnya memenuhi pembinaan bahasa sajak yang baik, susunan idea dan pengungkapan yang mengalir dari awal sehingga akhir, komposisi rima dan bunyi yang indah serta terkandung usaha penyair mengalirkan luapan emosi dan imejan yang sesuai dengan konteksnya. Meskipun ada yang tampil sederhana tetapi secara keseluruhan pemenang ada konsistensi sama ada alir bahasa, pengungkapan kata, komposisi dan impak emotifnya.

Puisi yang menjadi pilihan jitu juri ialah Tubuh yang terpecah menjadi catatan. Dalam beberapa sajak prosa yang dinilai, puisi ini mengambil tubuh bentuk yang baik dan faham akan bentuk yang dipilihnya. Temanya sederhana, romantis dan mempunyai serampang makna antara perkasihan dan penulisan. Aliran pengisahan mengalir lancar sedari awal sehingga akhir. Perlambangan antara perkasihan dan penulisan saling melompat dan dikawal baik.

Pemilihan katanya meski ada warisan dari penyair mapan seperti “kejora, “bulan”, ”temaram” tetapi dipercikkan dengan penyandingan kata yang baik sehingga menghilangkan kelesuan. Bahasanya didandan sederhana, tidak berlebihan hiperbola, ada percubaan ungkapan segar yang menjadi seperti “memanjat alis bukan pada waktu kebiasaan”, “beberapa babak romantis melompat keluar dari kitab petualangan”.

Meskipun begitu, sisa pengaruh puisi Indonesia membekas dalam beberapa baris sajaknya.

Manakala sajak Teluk Kumbar – selepas Anis Mojgani yang mengajuk tokoh penyair Anis Mojgani tampil sederhana, terkawal, permainan pengulangan yang menjadi dan menyentuh. Penulis memerikan warna pasir seperti gula, percubaan keluar dari kelesuan bari dan ibarat yang telah dibancuh oleh penyair terdahulunya. Permainan bunyi menjadi kekuatan sajak ini. Perkaitan antara pantai kepada laut kepada angin kepada udara kepada penyair mewarisi bentuk mantera yang berulang-ulang dan memberikan getaran pembacaan.

Manakala sajak Mata wang merupakan sajak yang terpelihara dari bentuknya yang konvensional, tema kritik sosial dan dipancung dengan persoalan tajam. Ungkapan yang memikat seperti “gunung purba yang menidurkan api”, “memilih saku lebih lebar dari baju”, “tetap namamu berbintik terawet wang sogokan”. Teknik persajakan seperti simile dan personifikasi digunakan dalam ruang yang tepat dan tidak diletakkan melulu tanpa konteks sewajarnya.

Kami panel juri ingin memberikan kredit kepada pihak Selangorkini, Kerajaan Negeri dan para editor yang bertungkus-lumus membangunkan karya sastera, fiksi dan non fiksi, tanpa sebarang prejudis. Kami juga bersepakat menganjurkan pihak Selangorkini untuk terus mengasuh pengarang-pengarang sedia ada dengan program berbentuk bengkel agar kualiti kerja para sasterawan masa hadapan ini semakin membaik.

Semoga usaha berterusan ini akan diberi terus diberi perhatian dan sokongan.

Categories
AGENDA SELANGOR

Sebelas penulis menang Hadiah Sastera Selangor 2020

SHAH ALAM, 20 JULAI: Sebelas penulis karya kreatif tanah air diumum sebagai pemenang dalam majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 malam ini.

Masing-masing empat individu menang hadiah penghargaan bagi kategori cerpen dan esei manakala tiga lagi dalam kategori sajak. Bagaimanapun, tiada pemenang utama untuk setiap kategori berkenaan.

Berikut senarai judul dan penulis yang menang dalam kategori cerpen:

– Mak Minah hilang kain kafan (Farahin W)
– Kau apa hari ini Melissa (Md Fariq Khir)
– Sapat (Jaya Ramba)
– Kuncitara (Saiful Ghazali)

Bagi kategori esei pula, berikut judul dan pemenang:

– Jargon: Ketidakjujuran bahasa (Jaymani Sevanathan)
– Kejantanan dalam filem Melayu (Daniyal Kadir)
– Romantis penjenayah novel Melayu (Saiful Ghazali)
– Tipu daya filem ‘wira kulit putih’ (Mohamed Nazreen Shahul Hamid)

Senarai pemenang kategori esei Hadiah Sastera Selangor 2020.

Hanya tiga pemenang dalam kategori sajak iaitu:

HADIAH PENGHARGAAN:
Tubuh yang terpecah menjadi catatan (Jed Stellarose)
Teluk Kumbar – selepas Anis Mojgani (Jack Malik)
Mata wang (Siti Alimah)

Senarai pemenang kategori sajak Hadiah Sastera Selangor 2020.

Hadiah Sastera Selangor dianjur sejak 2015 hasil ilham Dato’ Menteri Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai EXCO kebudayaan. Semua karya yang tersiar dalam akhbar Selangorkini dinilai panel juri bebas untuk anugerah itu.

Categories
BUDAYA RENCANA

Kesamaran dalam fiksyen dan realiti

Oleh Zikri Rahman

Ilustrasi Matarojit

BEGINI, hujung minggu lalu di susur masa laman sosial, gempar melintas judul berita portal Myanmar Now dikongsi beberapa teman: “Myanmar becomes a nation without newspapers”. Tidaklah sepenuhnya aneh saat junta tentera, seperti mana-mana regim autokratik yang lain, boleh membuka atau menutup apa sahaja sesuka hati mereka. Bak kata teoris politik tersohor, Max Weber, keabsahan negara seringkali bergantung pada keberhasilannya mengawal radas kuasa. Juga yang paling utama adalah bagaimana negara seterusnya memonopoli kekerasan di dalam wilayahnya.

Perlu kita mafhum, keganasan negara itu bukan hanya hadir semestinya dengan menghala senapang menembak rakyat tidak bersenjata. Kebijakan logika dan radas keganasan sesebuah negara bukanlah sesuatu yang ingin kita banding-bandingkan hatta darjah keganasannya yang berbeza-beza. Keganasan tetaplah keganasan. Misalannya, pengabsahan dan kesan keganasan boleh jadi mengakar dari sikap pilih kasih membezakan antara ‘helang’ dan ‘pipit’ kemudian membawa kepada korupsi yang berleluasa sehinggalah mengatup mulut dan Dewan Rakyat seketat-ketatnya dari bicara.

Kudeta berita

Namun ini bukan hujung pangkal cerita berita dari Myanmar itu.

Ceritanya, berita dari Myanmar ini membawa ingatan saya jauh pada Cantik itu Luka Eka Kurniawan. Bab 12 daripada novel panjang ini ada sebuah anekdot, entah lucu atau tidak, satu watak bernama Komrad Kliwon yang merupakan pemimpin tempatan Parti Komunis Halimunda. Seperti komunis-komunis lain ketika itu, mereka gigih membaca sembari menyusun massa. 

Hendak dijadikan cerita, kita manusia memang punya keghairahan berbeza-beza. Komrad Kliwon berahinya itu barangkali surat khabar. Dan tiba satu hari di bulan Oktober di mana surat khabar yang biasa dilanggannya itu tidak kunjung tiba. Komrad Kliwon menjadi perengus tak ketahuan. Komrad dari parti komunisnya yang lain memecah berita kepadanya bahawa ‘Jakarta sudahpun berdarah’. Komrad Kliwon menolak untuk percaya sebaliknya tenang menanti berita. “Dengar sini, Komrad,” kata Adinda. “Tiada surat khabar terbit hari ini.”

“Kenapa? Hari ini bukan Hari Raya, Krismas, atau Tahun Baru.”

“Tentera menguasai semua bilik berita,” kata Karmin. “Maaf, Komrad, tapi hari ini kita tak akan membaca mana-mana surat khabar.”

“Itu lebih teruk daripada kudeta,” rungut Komrad Kliwon sebelum menghabisi kopinya dengan sekali teguk.

Masih, ceritanya ini bukan tentang berita bagaimana Myanmar menjadi negara tanpa surat khabar dan mengapa Komrad Kliwon menjadi perengus saat dirinya dinafikan hak untuk membaca surat khabar yang tak sampai-sampai. Tidak. Barangkali cerita sebenar-benarnya ada terselit lagi dalam anekdot yang lain. Jauh sebelum junta Myanmar menutup kilang mencetak berita; jauh sebelum apa yang diperawikan oleh Eka Kurniawan tentang untung nasib Komrad Kliwon itu; pada tahun 65′ di seluruh Indonesia ketika itu, setengah juta hingga berjuta orang hilang nyawa itu benar terjadi dan kisah difiksyenkan ini jatuh sahih. Fiksyen kalah teruk dengan realiti yang maha membingungkan.

Bahkan, kemuncak pada semua anekdot dan judul berita yang saya kutip ini, seperti kata Gabo, nama timang-timangan Gabriel Garcia Marquez, pemahsyur mazhab realisme magis itu adalah supaya mana-mana penulis dari Amerika Latin sampailah ke gugusan pulau Carribbean memperakui bahawa reality is a better writer than we are. Tuntas saranan Gabo dalam eseinya yang satu itu. Hatta, mitos tentang secoet ekor babi yang menghantui seluruh baka keturunan Buendia dalam One Hundred Years of Solitude itu pun, yang konon pada tanggapan Gabo hampir mustahil untuk wujud dalam realiti itu juga, akhirnya pecah terburai. Realiti seperti mengejek segala ilham manusiawi. Bukan seorang dua selepas membaca novel Gabo itu mengaku dan mengatakan bahawa mereka juga punya kenalan malahan ada kaum-kerabat sendiri yang lahir dengan secoet ekor babi di celah kelengkang; baik di hadapan atau belakang.

Mengingati

Hemat saya, barangkali fiksyen (atau sastera seluasnya) – itulah fungsinya. Ia seakan memaksa kita bukan saja untuk mengingati tetapi kemudian mengabsah ingatan walau seabsurd mana pun ia. Bayangkan, berita tentang Myanmar tanpa berita itu sendiri adalah berita. Cuma, di balik ini semua adalah bagaimana kita ingin mengingatinya sekaligus ia bertanggungjawab membentuk realiti kita memahami sehari-hari dan kemudiannya. Di balik ingatan yang ingin diredam itulah yang mewujudkan kemungkinan-kemungkinan tindakan yang mahu diperas. Selaku makhluk sosial, ada sesetengah ingatan sedaya-upaya untuk kita berlepas diri dari meletakkannya dalam memori bersama. Pun, fiksyen (atau sastera seluasnya) menerobos tanpa niat. Ia membuatkan kita bercakap sekaligus mengingati.

Sedari awal esei si Gabo berjudul Something Else on Literature and Reality ini lagi, beliau memang mengangkat bendera putih bagi memperakui keterhadan bahasa dalam menggambar realiti. Realiti tempang dirangkul bahasa. Pun, di situlah letak duduk potensi dialetika dalam bahasa bagi menangkap realiti. Saatnya kita mengetahui keterhadan bahasa menggambar realiti, begitulah juga terbuka ruang untuk kita bagi melangkaui realiti serta sedia ada.

Di sini, seakan-akan ada pesan lain yang mahu dikhabar Gabo dalam menanggapi soal realiti. Ataupun itulah sekurang-kurangnya yang ingin saya percaya ini. Boleh kata dalam banyak-banyak hal, keganasan itu terjadi sewaktu kuasa menceroboh daerah ingatan kita; yang dalam apa daya sekalipun seringkali cuba mengatur dan memaksa kita memilih untuk mengingat apa dan siapa.

Menelusuri galur corak penulisan realisme magis, dari satu sisi adalah untuk kemudiannya sedar gelojak rahim suasana politik seperti apa di Amerika Latin ketika itu. Olahan fiksyen dalam mazhab ini barangkali tujuannya satu – memperbesar kemungkinan untuk membuat kita manusia tetap bercerita hatta seganjil mana sekalipun realitinya. Apatah lagi, kita tahu benar bagaimana peel kuasa yang acapkali menyumbang kelakuan maha pelik bagi mereka yang mabuk di dalamnya itu. Tentang Myanmar tanpa berita, Komrad Kliwon serta ingatan trauma Indonesia tahun 65′ sehinggalah kosongnya Parlimen Malaysia itu sendiri. Dan bercerita, pokok pangkalnya adalah untuk mengingati. Mengingati itulah yang membentuk landasan tindakan kita dalam memperkukuh atau meruntuh kuasa dan realiti itu kemudiannya.

Categories
BUDAYA RENCANA

Hutan kata di tengah kota

1.
suara perempuan melaung
dari balik dinding
suara bulan meraung
dalam gonggong anjing

aku keluar
tiada orang di jalanan
bulan di sebalik awan
kulitku jadi malam
segalanya mencair dan diam.
cair dan diam

tubuh: kulemparkan ke kasur.
kau tahu kau perlu masuk tidur dan
masuk ke dalam tidur.
namun suara telah menjelma kata-kata
yang tak habisnya menjelma kebisingan

baiklah. malam ini aku akan menulis puisi

aku bimbang kalau tidur begini
dan esok pagi terbangun di sebuah kota jauh:
rambut-rambut jadi rumput-rumput
lengan-lenganku lorong kecil pedestrian
dadaku tempat akar-akar rumput menancapkan kakinya.
sebuah hutan kata kecil di tengah kota

2.
biarlah orang-orang berjenaka tentang dunia
aku cuma ingin kembali ke kamar
membaca buku cerita hantu
agar dapat lebih percaya
ada sesuatu yang lebih menakutkan selain
Kehidupan

kukuncikan pintu dari luar. aku tak akan pernah
keluar rumah. lebih mudah melawan musuh
yang ada di depan. berbanding mencari sesiapa
sebagai lawan

kalau malam ini aku menulis puisi lagi
ketahuilah, aku sedang membahagikan nyawaku

3.
hari masih pagi
orang-orang merancang arah jalan
sempadan dan letak tujuan
tapi kau sudah lebih dahulu
berfikir tentang kematian

matari menetas dari sebutir telur di dalam sarang.
di sebuah kota jauh
seseorang menuju abadi.

4.
di kamar sia-sia aku
kaucari. tak ada
aku sedang di jalanan memikirkan
di mana untuk berhenti agar dapat
bermula.

sementara di kasur menekap muka ke bantal
kau ingin percaya
ada sesuatu yang lebih gelap dari matahari.

Karim Mohd

Categories
BUDAYA RENCANA

Nonlakonan

Oleh Md Fariq Khir

EKESPERIMENTAL. Avant-garde.

Itu kata-kata orang tentang pementasan teater yang aku tonton tempoh hari.

94 minit. Standard pementasan teater panjang. Jadi apa yang eksperimental. Apa yang avant-gardenya.

Kata seorang pengkritik: Teater ini membangkitkan kepayahan dan kerentanan kehidupan seorang pengkarya. Walaupun ia teater tapi ia terpakai kepada pengkarya-pengkarya bidang lain. Sebuah pementasan memukau, memaku mata dan fikiran penonton dari detik mula hingga detik akhir.

Ya, betul. Kecuali memukau. Memaku mata dan fikiran itu betul. Memang aku dan audiens lain terpaku mata dan fikiran (tetapi ada juga beberapa yang keluar awal) hingga detik akhir dari detik mula.

Kita selalunya menilai sesuatu dengan apa yang dipersembahkan. Tetapi jarang memikirkan hal-hal sebelum dan belakang tabir yang sebenarnya memberikan impak dan kesan besar kepada apa-apa yang terlihat.

Apa yang kami semua nampak hari itu: lima orang pelakon. Berbaju biasa. Tiada audio. Pentas dilimpahkan dengan lampu natural dan polos tanpa apa-apa prop. Kami menunggu sesuatu berlaku namun tiada. Atau sebenarnya mereka yang menunggu kami untuk melakukan sesuatu dan menjadikan teater itu interaktif? Tapi kalau keluar awal dari pementasan boleh dianggap berlakunya sesuatu — berdiri, berjalan di antara orang lain, buka pintu dan keluar — mereka tetap tidak bertindak balas. Sebentar, mungkin mereka audiens dan kami aktor? Tulis pengkritik lain: Jangan salah anggap. Ini bukan teater eksperimental atau nonkonvensional seperti dicanang-canang audiens. Sebaliknya ini teater yang berakar dari tradisi lampau. Teater ini jika dibaca skripnya tiada perkara luar norma. Ia teater realisme dengan bauran romantisme dan tragedi — sesuatu yang Aristotelian. Shakespearean dan Elizabethan juga berpadu dengan sedikit cair. Tiada pembaharuan falsafah.

Aku fikir mereka ada menjual skripnya. Tetapi setelah aku tanya, mereka kata skrip tidak disiar demi menjaga keselamatan skrip tersebut. Kemungkinan orang lain memplagiat adalah tinggi. Maka skrip hanya diedar kepada yang terlibat dan orang-orang yang mereka percaya. Pengkritik, misalnya.

Dari period promosi lagi, mereka beritahu jika tidak berpuas hati dengan teater kami, kami akan bayar balik. Tetapi cuma sembilan orang berbuat demikian. Sedangkan teater yang berlangsung lima hari itu sentiasa padat dengan jualan tiket yang laku keras.

Aku antara yang meminta bayaran semula. Aku bertanya kawan-kawanku kenapa mereka tidak meminta dan mereka kata kau tidak faham teater. Mungkin. Ini teater luar pertama kutonton. Teater ditonton waktu sekolah atau universiti aku tidak kira. Kawan-kawanku budak-budak teater juga tetapi bukan dari produksi tersebut. Berbanding mereka, aku cuma penonton biasa.

Wang dimasukkan ke akaun bank setelah tiket yang aku hantar diterima pihak produksi.

Mereka membayar sekali kos pos.

Menurut pengarahnya, mereka solat subuh berjemaah sebelum berjoging lima kilometer sekitar rumah sewa yang jadi tempat latihan untuk meningkatkan kekuatan mental dan fizikal supaya pada waktu pementasan, dapat memberikan sepenuh tenaga dan tidak kelihatan lesu dan lemau.

Mereka memang kelihatan segar dan tidak penat. Cuma beberapa kali mengelap peluh dan meregang-regangkan otot. Malah, para audiens pun sama kerana gudang teater ini agak panas. Bukan platform sebaliknya lantai jadi pentas dan seperti kami, mereka duduk bersila. Tiada dialog, tiada pergerakan, tiada aktor berlegar-legar. Tiada aksi-reaksi. Kami menonton mereka dengan tekun.

Juanna Bakhtiar, penulis skrip ini membawa isu politik negara melalui unsur pornografi dan erotisisme manusia yang kebiasaannya menindas kaum perempuan. Setiap pelakon diberikan objek-objek berlainan. Siddiq (lakonan Jamal Jusoh) – kamera, Maya (Sabariah Ali) – buah limau, Amirul (Rahman Taufiq) – buah tembikai, Kris (Ros Abdullah) – fail dan Malik (Aiman Zakaria) – sepucuk pistol. Melalui objek-objek ini, Juanna menuliskan pertautan antara kelima-limanya dan setiap objek mempunyai kisah gelap dan sadis.

Setelah pementasan, sesi dialog dijalankan. Kami tak sedar pementasan habis tapi tiba- tiba pemegang watak utama, Sabariah Ali ketawa dan kata: sebenarnya show dah habis 15 minit tadi. Korang tak perasan ke?

Kemudian seseorang menepuk tangan dan disambut riuh orang lain.

Pada sesi ini, aku tidak bertanya dan memberi maklum balas. Ia rancak. Hampir menyamai durasi pementasannya sendiri. Aku akhirnya ingin mengatakan sesuatu tetapi sesi tiba- tiba tamat dan sesi bergambar pula berlaku. Satu soalan menarik perhatianku: waktu latihan macam mana. Korang buat macam ni tak. Pengarah itu kata tak. Kami berlatih bagai nak gila. Teruk aku kerjakan diorang.

Sebagai pengarah, aku lebih suka apa yang ada dalam skrip disebut pelakon sepatah- sepatah dan aku denda mereka yang tersalah, tertinggal atau sengaja mengubah dialog, kononnya mereka kreatif (dia ketawa di sini). Aku bukan menolak perbuatan mereka tetapi ini pementasan pertama skrip jadi aku ingin menghormati penulis skripnya. Kalau ia kali kedua atau kali kemudian aku tak kisah melakukan improvisasi kata-kata. Kita uji kekuatan sebuah skrip ke tahap maksimum pada pementasan pertamanya.

Dari situ bukan saja kami, tetapi audiens juga boleh nampak kelebihan dan kekurangan skrip. Waktu latihan sama saja cuma kami membiasakan diri dengan ruang dan keadaan pentas yang agak berbeza dengan rumah sewa yang kami jadikan tempat latihan. Ada susunan prop dan blocking yang telah diubah setelah kami mula masuk ke sini.

Melalui WhatsApp, saya bertanya Kris dan Sabariah apa jadi kepada buah-buahan yang diberikan kepada mereka. Mereka kata produksi telah memakannya beberapa jam sebelum pementasan pertama.

Aku tidak bergambar dengan sesiapa kecuali dengan kawan-kawanku untuk kenang-kenangan. Kemudian kawan-kawanku bergambar dan berbual pula dengan audiens lain.

Rupa-rupanya ramai antara audiens mengenali satu sama lain. Dari percakapan mereka, aku terdengar tentang projek terbaru produksi masing-masing.

Kepada salah seorang kawanku aku tanya siapa kawan kau tadi yang pakai baju belang- belang. Dia kata bukan kawan aku dan tersengih. Habis tu peluk-peluk gelak-gelak berswafoto tadi kenapa. Kitorang memang macam tu dia kata. Berapa orang kawan kau dalam scene ni. Dua orang je kot kata dia.

Aku cuma kata ohh dan diam sepanjang perjalanan.

Di rumah aku ingin memuat naik gambar pementasan dan meletakkan tanda pagar tetapi aku tidak tahu tanda pagarnya. Aku buka Instagram produksi dan melihat gambar mereka yang ditanda orang lain. Banyak juga muat naik dengan kapsyen rindu, lama tak jumpa kawan sekolah ni, #sissupport tetapi tidak kutemui tanda pagar berkaitan pementasan. Jadi aku reka tanda pagar sendiri dengan tajuk teaternya, #SesuatuYangGilaBabi.

Melalui hantaran Facebook, mereka mengatakan teater ini akan berjelajah ke seluruh Malaysia. Jika ada rezeki akan ke pentas antarabangsa. Saya tidak sabar untuk menonton kembali teater hebat ini!

Sembilan hari selepas itu kawanku kedepankan dokumen PDF skrip teater tersebut ke dalam WhatsApp. Aku cetaknya di Print Expert, Seksyen 2 dan setelah aku keluar dari kedai kertas-kertas itu terbang tersangkut pada paruh lima ekor burung kemudian berlanggaran.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Christina

Oleh Nawfal Fathel

“ORANG kita memang bermasalah. Aku tengok orang muda kita banyak yang malas. Sudah dewasa, ambil rasuah. Yang lebih tua, memekik-mekik di Parlimen. Tapi aku baru jumpa satu jenis Melayu yang lebih mengecewakan. Baru saja aku jumpa. Mereka yang beri nama anaknya Christina. Ada Nurul Christina, ada Siti Christina. Walhal dia Melayu-Islam, tapi nama haramm!” atuk mengomel sambil berehat di kerusi malas.

Waktu senja begini aku senang sekali bersama-sama atuk. Biasanya atuk membebel dan aku hanya mengangguk. Aku biarkan saja. Banyak yang mengarut, tapi kadang-kadang masuk akal juga cakap orang tua ini.

“Biarlah mereka nak namakan anak mereka. Apa ayah nak sibuk-sibuk,” celah abah separa menjerit di atas motosikal. Bunyi motosikal abah memenuhi ruang bawah rumah atuk. Bingit. Abah baru saja pulang dari mengajar kelas budak-budak kampung.

“Tapi nama itu kan tak elok?”

“Apa kaitan nama mereka dengan ayah? Sibuk hal keluarga orang, lah!”

“Kau tu. Ada mengajar budak yang namanya macam orang putih begitu?”

Abah turun dari motosikal. Belum sempat apa-apa sudah bertekak dengan atuk. Orang tua lawan orang tua. Boleh jadi tak semua buah fikiran atuk itu salah. Abah pula tak semestinya betul. Aku hanya perhati. Tak kuasa nak menyampuk.

“Itulah ayah sudah lupa. Christina itu nama anak murid saya. Saya yang cerita pada ayah. Baik budaknya rajin buat kerja sekolah.”

“Oh, kau yang cerita, ya!” atuk mengeyakan abah.

“Tapi, aku rasa tak usahlah kau mengajar budak-budak itu lagi.”

Aku memandang abah yang kekal bersahaja. Profesion sebagai seorang guru menjadikan abah lebih cermat. Malah, sebagai seorang anak, abah mesti hormat kepada atuk. Mengarut atau tak, itu belakang kira. Dia boleh lawan, tapi dibiarkan saja. Mudah abah meneka buah fikiran atuk.

“Kenapa ayah? Takut kita dilanda musibahkah? Kita dilanda virus?”

“Bijak! Tepat sekali. Nanti ada virus yang melanda kampung kita. Bala!”

Azan maghrib berkumandang. Abah yang seperti tidak terkesan dengan kata-kata atuk masuk rumah untuk bersiap. Malam nanti ada kelas lagi. Atuk pula menyarung baju kemeja yang sudah tersidai pada paku yang diketuk berselerak. Aku bergegas bersiap mengikut atuk ke surau. Sepanjang perjalanan menuju ke surau aku senyum sendiri. Geli hati mendengar kata-kata atuk yang sudah seribu kali diulanginya. Ada virus, ada musibat. Ada itu, ada ini.

Virus apa orang tua ini fikir. Ketika mengangkat takbir, aku tersenyum mengenangkan virus yang disebut atuk.

Selesai sembahyang maghrib, imam membaca doa. Entah orang lain, tetapi aku perasan imam membaca doa lebih panjang daripada biasa. Sejurus selepas berdoa, imam menyampaikan ucapan. Katanya, makmum diminta pulang segera. Bacaan yasin dan melepak sambil minum teh tarik dilarang. Imam mengakhiri ucapan dengan memberitahu segala makluman akan disampaikan melalui WhatsApp saja. Bagi yang tiada WhatsApp, tidak perlu khuatir. Maklumat akan disampaikan juga melalui pembesar suara surau.

Atuk bergegas pulang. Mentang-mentang tidak boleh bersalaman, ditinggalkan semua jemaah begitu sahaja. Dia hanya mengangkat kening kepada kenalan yang benar-benar rapat. Aku terhegeh-hegeh mengikut atuk yang berjalan laju menuju motosikal. Kami berangkat dan motosikal bergerak kencang. Atuk mahu pulang segera bertemu abah.

“Kurang ajar kau, Christina! Buat onar dalam kampung aku!”

Abah masih di rumah sewaktu kami tiba. Sepatutnya abah sudah keluar mengajar. Bahkan abah kelihatan kelam kabut. Dia mencari sesuatu hingga berterabur laci diselongkar.

“Ambil ini,” abah menghulur pelitup muka kepada kami berdua. Aku tanpa menunggu segera mengambilnya dan terus pakai. Tapi atuk tidak mahu ambil. Ada benda yang ingin dia luahkan. Nafas atuk laju, begitu juga abah.

“Ini semua gara-gara anak murid kau. Sudah bawa bala pada kampung kita.”

“Sudahlah, ayah! Ambil pelitup muka ini, duduklah di rumah. Saya nak pergi hospital, anak murid saya rebah tadi.”

“Mesti Christina. Sudah! Nanti kau pergi sana, bawalah bala ke rumah ini,” perli atuk.

Sedang gawat begitu mulut atuk tidak mahu tutup. Dibebelnya abah bertubi-tubi. Katanya azab Allah sudah datang berpunca daripada seorang budak bernama Christina.

Pada mulanya aku kagum dengan atuk kerana kata-katanya bukan tipu. Dia benar-benar dapat meramal. Mulut atuk masin. Aku pernah dengar, kalau orang itu dapat meramal, dia digelar wali. Atuk aku wali? Aku cucu kepada seorang wali?

“Nak ikut abah pergi hospital?” abah berbisik kepadaku, memotong keterujaan pada atuk.

“Kawan kau yang masuk hospital sebenarnya, bukan Christina.”

“Siapa?”

“Zul. Kalau kau nak ikut, siap cepat. Biarkan saja atuk kau.”

Terbeliak mataku. Membayangkan Zul yang berada di hospital, aku terus pergi bersiap. Zul hanya tua setahun daripadaku, tetapi dialah kawan bermain petang-petang. Aku menyarung seluar menggantikan kain pelekat. Abah sudah berada di dalam kereta menunggu aku. Ketika melangkah ke kereta, sisa-sisa kekaguman terhadap atuk masih ada. Serba salah pula rasanya sebab mempermainkan atuk selama ini.

Kami segera meninggalkan rumah. Aku sempat menoleh, melihat atuk yang masih marah-marah. Atuk masih memaki hamun Christina. Pada mukanya ada pelitup muka yang diberi abah, menahan daripada menyedut asap putih yang mula menyelubungi kawasan rumah kami.

“Kasihan Zul, kawan kau. Antara ramai orang, dia yang terkena demam denggi.”

Aku tumpang simpati kepada Zul yang sedang sakit di hospital. Pada atuk, timbul pula rasa lucu. Ternyata atuk bukanlah wali. Kerana denggi bukan datang dari Christina, tapi dari nyamuk!

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Perempuanku

Di kamar usangku ada rahsia yang sedang berbisik .
pesanmu, jangan usik jika bukan engkau tuannya.

Dari cermin lusuh yang pecah
kautanyakan tentang wajah siapa yang sedang memerhatikan kita?
aku jawab;
wajah luka yang tak pernah sembuh.

Suaramu bergetar di ubun-ubunku
“sayangku, di sorga nanti
tak ada lagi luka-luka yang mengalir .setiap hari
kita akan meneguk salsabila yang harum seperti doa kecilmu.
jangan gusar anakku, luka mengajarmu tumbuh dewasa”

Perempuanku,
walaupun rambut kita tak lagi hitam satu hari nanti
atau mungkin tak sempat kucium bukit pipimu yang jatuh
bibir manismu yang tersenyum mendengar kecindanku,
kening pudarmu yang tak pernah meragut mahalnya usiamu
tetap butir-butir doamu juga yang paling sakral.

Di kamar ini ,
rahsia kita abadi
seperti doamu, ibu .

 

Hafirah HT

Categories
BUDAYA RENCANA

Jargon: Ketidakjujuran bahasa

Oleh Jaymani Sevanathan

SECARA umumnya, jargon bermaksud bahasa khusus yang digunakan dalam bidang atau kepakaran tertentu. Walaupun jargon dilihat penting dalam bidang pekerjaan kerana idea dapat dikongsi dengan lebih cekap dan berkesan, ia sebenarnya memudaratkan jika dilihat menerusi perspektif lain. Hal ini kerana jargon mewujudkan batas kefahaman menerusi komunikasi dan penulisan. Persoalannya, bagaimana jargon boleh menjadi tipu daya bahasa khususnya dalam penulisan?

Asmah Haji Omar (1984) menyebut bahawa jargon adalah gejala yang sudah mati yang tidak akan membawa kita ke mana-mana dan tidak bermakna apa-apa. Begini, bahasa merupakan alat untuk mengekspresi dan bukannya untuk mencegah pemikiran masyarakat. Setiap tindakan dalam penggunaan bahasa memberi impak mendalam terhadap bagaimana kita berhubungan dengan dunia dan begitu juga sebaliknya. Tulisan yang baik mampu menghubungkan pembaca dan penulis. Apabila seorang penulis berkarya atau menyampaikan isi fikirannya, dia tidak lagi menulis untuk lingkungan ahli bidangnya, tetapi merangkumi khalayak umum dan dari pelbagai latar belakang.

Bayangkan kegelisahan yang mungkin dialami pesakit ketika membaca risalah rawatan gigi sebuah klinik, “Lesi karies memerlukan restorasi.” Berkemungkinan besar pesakit menarik nafas lega sekiranya rawatan tersebut diterangkan dalam bahasa mudah: “Gigi reput memerlukan pemulihan”. Contoh lain pula, Mak Cik Kiah mengaru-garu kepalanya apabila membaca berita akhbar tempatan yang bertajuk “Datuk Mahad tiada locus standi untuk menyaman Razak”. Alangkah baik sekiranya “locus standi” digantikan dengan “hak perundangan”.

Sering kali kita melihat pengaplikasian jargon sebagai modal intelektualisme termasuk dalam media sosial kerana kononnya ungkapan canggih menjadikan penulis kelihatan arif dalam berbahasa. Namun malangnya, bukan para cendekiawan yang terhasil, tetapi ‘mat jargon’. Penggunaan diksi megah tersebut sebenarnya meminimumkan makna sebenar yang ingin disampaikan. Penulis harus ingat bahawa pembaca tidak wajar bergelut dengan definisi kata. Sebaliknya, hanya perlu bergelut dengan implikasi yang diberikan di sebalik kata-kata itu. Tambahan pula, pembaca tidak memerlukan laras bahasa yang tinggi sebaliknya kosa kata yang meluas dan segar.

Jargon juga digunakan sebagai usaha penulis dalam menyembunyikan kebenaran, fakta atau hujah penting yang tidak ingin diperkatakan bagi menyesatkan pembaca. Dalam keadaan ini, sekiranya pendapat atau cadangan ditentang, jargon digunakan sebagai peluru untuk mengelirukan dan meyakinkan lawan dengan frasa-frasa yang kabur. Ia berlaku dengan kerap dalam politik, birokrasi dan korporat kerana jarang yang akan melawan serta mempersoal. Juga, jargon bertindak sebagai penyalahgunaan makna dalam dunia kapitalis untuk memanipulasi pengguna barang dan perkhidmatan demi mengaut keuntungan.

Sejak dari bangku sekolah, kita dimomok-momokkan bahawa karangan yang cemerlang perlu mengandungi istilah bombastik dan langka. Justeru, kita akan cuba memasukkan kata-kata yang samar demi mendapatkan markah lebih dan pujian semata-mata. Paling tidak, untuk menonjolkan “kegeniusan” kita di hadapan rakan-rakan sekelas. Tabiat buruk itu diteruskan sehingga ke alam dewasa, tetapi kali ini menggunakan jargon supaya kedengaran kritikal di hadapan pembaca.

Penggunaan kata yang rumit bukannya disebabkan penulis tersebut memillki keterikatan tertentu dengan gaya tersebut. Namun, disengajakan dengan niat menutup kejahilan diri sendiri. Tiada sesiapa akan berani mendampingi penulis sebegini kerana dianggap tajam akal. Sesetengah penulis berpendapat bahawa dengan membina kata-kata kompleks, ia membuktikan bahawa mereka memahami perkara berat. Jadi, wujudlah sebuah jurang antara tujuan nyata dan yang sengaja dinyatakan. Penulis gagal bersikap jujur dengan pembaca dan tanpa disedari, dia sebenarnya menipu dirinya juga. Kerana penulis yang tidak mampu menjelaskan dengan ringkas, mereka sebenarnya tidak cukup memahaminya.

George Orwell dalam eseinya, Politics and the English Language (1946) tampil berbicara bahawa seseorang penulis yang teliti, dalam setiap kalimat yang ditulisnya, akan bertanya sekurang-kurangnya empat pertanyaan: (1) Apa yang ingin saya perkatakan? (2) Kata-kata apa yang akan menyatakannya? (3) Imej atau ungkapan apa yang akan menjadikannya lebih jelas? (4) Adakah imej ini cukup segar untuk memberi kesan? Juga, dia berkemungkinan akan bertanya dua lagi soalan: (5) Bolehkah saya meringkaskannya? (6) Adakah saya telah mengatakan sesuatu yang agak buruk? Penyataan Orwell ini sudah semestinya mengingatkan kita supaya sentiasa mengutamakan pembaca melalui penulisan bersifat minimalis, ringkas tetapi padat, bersahaja dan paling penting, tidak menggunakan jargon.

Pembaca terikat dengan masa. Mereka tidak akan berhenti sejenak semata-mata untuk mencari makna sesebuah jargon. Akibatnya, sebilangan besar sebenarnya akan terkapai-kapai seterusnya suatu perasaan terasing timbul. Benar, seiring teknologi, kita dapat mengakses kamus dalam talian di hujung jari dan tidak seharusnya bersikap malas. Tetapi bukan semua istilah teknikal dapat ditemui dengan mudah kerana ada yang diwujudkan mengikut konteks keperluan. Ini dapat dibuktikan apabila perkataan “pempengaruh” dan “penjarakan fizikal” hanya digunakan secara meluas sejak kebelakangan ini.

Jargon juga berbahaya kerana segelintir pembaca mungkin berpura-pura memahami, maka mereka tidak akan memberi sebarang reaksi disebabkan tidak mempunyai idea yang jelas tentang apa yang penulis kemukakan. Juga, tidak terkecuali pembaca yang salah faham mesej sebenar yang penulis cuba sampaikan dan akhirnya menjurus kepada konflik. Pada zahirnya, usaha penulis ternyata sia-sia manakala pembaca pula semakin terkeliru.

Tidak dapat disangkal, musuh terbesar bahasa adalah ketidakjujuran. Menulis dengan sederhana tidak bermakna kita jahil – biar biasa asal berbisa.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Misteri sebuah pembinaan mungkin akan selesai apabila

– selepas John Ashbery

 

masa mengaum. jam tak pernah
retak atau terhilang rentak. kau
jarumnya yang redup perlahan
bergerak. nama lain untuk lari

ada dalam mulut burung pipit
ditelan sekali bersama cahaya
tengah hari. ruang masih ruang
mengemakan kelantangan sesuatu

tak berhenti. lihat bagaimana
mimpi bukan lagi menjadi apa
tetapi bagaimana. untuk lena
kau kena lupa macam mana

ganas dan deras sekalipun waktu;
akan sampai detik juga ketikanya
semua nanti larut tanpa
seteriak saat
berlalu.

 

Jack Malik

Categories
BUDAYA RENCANA

Di hari lahirmu

Masih tersimpan
sepiring kenangan dari pecahan kata
bertahun aku simpan dalam almari ingat.

Setiap kali kubuka ia menjadi baju koyak
biarpun telah aku jahit dengan benang pasrah
dari laci takdir.

Hari ini, di hari lahir-mu
akan aku berikan baju itu sebagai hadiah
dengan ucapan “masihkah kau ingat?”

 

Shafei al-Samadi

Categories
BUDAYA RENCANA

Langit nusa: Sesudah mendung di kepalaku

Langit yang cenderung malap ialah negara yang ada nusamu yang ada sukmamu yang ada
cintaku. kerana pawana tak tahu memilih-milih mega; jernih atau yang gelap berbalam tragis ceritera silam. Dan, kita sering keliru dengan kalimat awan hitam dengan makna hujan. Yang tenggelam di dalamnya matari kama poyang. Sang benderang kepada galaknya pelupa watan.

Tanggal tidak hanya sebagai peristiwa yang berpihak. Dikhutbahkan dan dirayakan. Ia adalah
waktu membebaskan fikir terbang paling jauh meninggalkan kelir kelabu. melayah sembari
mendendangkan lirik sumpah dengan melodi setia paling harmonis, membangkitkan tanah air supaya tidak hanya mengiakan takdir. Kerana anak-anak merdeka jangan sesekali terhumban terkambus ke nganga kabus. Terkapar kehilangan, tak tau rumah tak tau bangsa.

Sebelum usai kabut seberang dihembus dari dadanya tumpah darah, siapakah turut bermimpi? Buana kita menjelma lagi seribu makmur, merdu nyanyian burung-burung dan warna bunga-bunga kala siang hari. Kemudian di malam kudus, bertabur buruj-buruj bintang dan bulan paling madu. Dan, esok inilah yang akan aku tinggalkan buatmu pertiwi. Kuharap kautertawa di sisi anak cucu.

 

J.R Jel