Categories
BUDAYA RENCANA

Panggil aku Bulan

Oleh Nursyuhaidah A Razak

 

DI LANGIT malam, bulan tidak lagi muncul. Seperti memberi alamat kuasa besar akan mati.

“Kau takut?” perempuan bertempok itu menenung si gadis polos.

“Misi ini harus tetap jadi rahsia, kau ingat!”

Bulan tidak menjawab. Tubuh perempuan itu Bulan perhati, belum hilang parut disebat cemeti. Bulan tahu benar kaumnya kaum pendamai, tidak pernah suka kekacauan. Takut sekali mereka kalau-kalau ada kelakuan mereka yang menyakiti suku bangsa sendiri, malah dengan seluruh umat, tidak sanggup mereka berbuat khianat. Tinggal saja, hutan tempat hidup mati kaum pemberani ini jangan diceroboh. Dengan darah mereka lawan biarpun terpaksa menyingkirkan tuhan.

“Hutan akan berpihak kepada kita. Itu percayaku. Sikati Monong akan makan mereka semua!’’ Tangkas perempuan bertempok itu bangun membelakangi. Bulan mengawasinya dengan pandangan, takut-takut dia menyerang belum tepat waktu.

Kejadian itu masih belum luput dari ingatan Bulan. Tidak tentu jelas hari apa dan waktunya, tetapi dia ingat tangan kasar siapa yang memulas kedua pahanya. Nafasnya berbau tembakau, tengik dan menakutkan. Giginya yang rumpang tajam-tajam menghisap lalu menggigit leher Bulan. Raksasa beruniform itu akan meludah-ludah ke mukanya kalau dia cuba melepas pergelutan. Bulan tidak terdaya. Dia terpaksa melakukannya demi sebuah kebebasan. Ya, kebebasan yang tidak lagi Bulan kenal makna sebenarnya. Hidupnya compang-camping diragut ketiadaan. Gelap.

Bulan mengingati kata perempuan tua bertempok itu pada suatu ketika. Sikap yang gelap akan menolak manusia keluar dari ketiadaan kepada ada, dari sebuah ada kepada kewujudan, dari kewujudan kepada kebermaknaan. Bulan terkebil-kebil cuba menjangkau bahasa tinggi perempuan bernama Rin itu. Dari manakah dia belajar berfalsafah, sedang tidur bangunnya di hutan? Sesekali Rin akan menengok langit, jarang dia menangis. Dia mengutuk jasad langit yang selalu mengejeknya.

Sudah berbulan-bulan perempuan-perempuan itu terkurung di sini. Entah datangnya dari mana, tidak ada yang kenal antara satu sama lain. Kedua kaki dan tangan mereka dipasak dengan gari. Akan bergeser gelang logam berat di kaki perempuan-perempuan itu dan berbunyi bising setiap kali mereka berjalan. Dengan ini mereka tidak dapat berjalan jauh, lari apatah lagi. Gari itu akan dibuka hanya pada satu waktu; ketika langit menjadi ngeri dan di langit malam, bulan tidak muncul. Itulah saat di mana raksasa beruniform lapar naik nafsu. Bersemaraklah asmara yang kejam dan memeritkan.

Pernah ada perempuan melepas pergelutan. Dia lari jauh ke dalam lubuk hutan yang gelap pekat. Lalu dikejarlah anjing-anjing yang setia menjaga ranjang. Tidak ada yang tahu apakah nasib perempuan itu, dia tidak lagi pulang. Khabar angin mengatakan badannya dirobek-robek kemudian dimakan anjing-anjing durjana. Ada pula yang mempercayai perempuan itu diselamatkan dewi hutan. Berlegar cerita yang cuma menyedapkan telinga. Hakikatnya tidak ada yang berani melepas pergelutan lagi. Bergelutlah perempuan dengan rakus kadang-kadang dengan seekor raksasa beruniform, kadang-kadang berekor-ekor.

Bulan sendiri hampir lupa namanya yang sebenar. Menyebut namanya, malah mengenangnya pun sudah dia benci. Dia cuma mahu meneruskan hidup. Ya, meneruskan hidup. Cuma itu tujuan dia datang ke negara ini bersama-sama abangnya. Mereka terpaksa bersesak-sesak dari laut sehingga ke darat. Dijanjikan kepada mereka akan dipertemukan dengan majikan dan diberi dokumen. Malangnya di pertengahan jalan, kenderaan yang mereka naiki ditahan. Abangnya ditangkap lelaki-lelaki beruniform. Bulan meronta-ronta, meraung sepenuh hati.

Seminggu jadi sebulan, kemudian jadi berbulan-bulan. Dia akhirnya terperuk entah di ceruk hutan mana. Sedarlah dia, lelaki-lelaki beruniform itu hakikatnya raksasa yang cuma mahu melahap keperawanannya.

Kadang-kadang segerombolan raksasa itu datang membawa bungkusan nasi. Makanlah perempuan-perempuan itu seperti ayam dijamu dedak. Kemudian sebahagian perempuan dibawa keluar segerombolan penzalim itu. Mereka disuruh jalan berbongkok sambil kepala diacukan pistol. Entah betul perempuan-perempuan itu dibawa keluar dengan selamat, tidak ada yang pasti. Di sini yang tetap tinggal, meranalah jiwa dan setiap inci tubuh badan. Lebih-lebih lagi apabila sedang mengalami kejadian fitrah orang perempuan. Diambillah cebisan-cebisan surat khabar yang sengaja disimpan dari bungkusan nasi, kalau tidak cukup, daun-daun pokok juga dipetik buat melapik faraj yang berdarah.

Kadang-kadang Bulan tidak dapat menampung kalau penyakit orang perempuan datang, daging perut Bulan terasa disiat-siat. Turunlah dengan banyak darah haidnya. Dikutipnya batu-batu kering, disumbatnya ke dalam faraj untuk menutup saluran. Bagi Bulan, nasib tersial cuma pada satu waktu, ketika langit menjadi ngeri dan di langit malam, bulan tidak muncul. Raksasa beruniform berkeinginan keras. Disuruhnya Bulan mencium tapak kakinya, kemudian ibu jari kakinya dimasukkan ke dalam mulut Bulan. Penzalim itu berasa seolah-olah dia tuhan. Dialah yang mengawal hutan dan segala kehidupan.

Terjadilah lagi dan lagi asmara yang kejam dan memeritkan. Setiap kali adegan itu berlaku Bulan diberi kain baru, kalau bertuah diberinya juga tuala wanita.

Bulan sudah sepenuhnya putus harap. Kehidupan baginya seperti di gurun. Terik, gersang dan terkurung. Bagaimana tunas pokok bisa tumbuh di tengah-tengah gurun? Lalu terbakar dengan tiba-tiba? Api yang kecil, tanpa kepulan asap tiba-tiba bisa mengubah seluruh gurun itu menjadi laut. Segalanya merentas logikal manusia. Bulan tenggelam, dia menyerahkan seluruh jiwanya pada maut. Ketika itulah tangannya digapai Rin, perempuan bertempok yang masih berharapan.

‘’Semangat kita kuat. Kita bukan penurut tuhan yang bacul, ah, tidak malu meminta-minta disembah! Tangan dicium suci, kaki rakus meratah tanah. Ah, umat manusia tidak perlukan tuhan di sini!” Rin tiba-tiba mencemuh dengan kasar sekali. Mengejutkan Bulan dari lamunan nasib yang panjang. Rin seorang perempuan yang percaya hutan adalah tanggungjawabnya. Malam itu dia menengok langit lagi lalu menjerit, ”Sikati Monong, menjelmalah! Makan mereka!’’

Secara mendadak langit tiba-tiba mengeluarkan suara yang kuat. Cahaya memancar dari kaki langit, muncul seekor ular gergasi berwarna hitam keemasan dan bertanduk tajam. Terjadilah bencana alam yang begitu dahsyat. Bermulalah misi serangan malapetaka. Raksasa-raksasa beruniform itu menggelupur lari. Jeritan ketakutan bergema dari tenggorok penzalim-penzalim itu. Mengejarlah ular maha besar itu, menelan kepala penzalim seorang demi seorang. Berselerak anggota badan mereka ke serata hutan. Lalu dilumat-lumatlah badan penzalim itu ke dalam tanah.

‘’Makan mereka Sikati Monong! Makanlah! Makan! Jangan sampai ada yang tersisa!’’ Bulan yang terpaku sekali jua menjerit. Rin hilang dari pandangan. Segera Bulan memandang ke atas, langit tidak lagi menjadi ngeri. Di langit malam, telah muncul keaslian bulan dengan gemilang cahayanya.

Gadis polos itu tersenyum kemudian dia ketawa. Cemeti yang diperbuat dari ekor ikan pari itu masih lagi digenggamnya, leher raksasa beruniform itu telah selesai dijerut Bulan dengan seupaya tenaga perempuannya.

Categories
BUDAYA RENCANA

Bintang kehidupan

Kupetik bintang
satu untuk bulan
satu ku simpan.

Kupetik bintang
satu untuk mu
satu untuk ibuku.

Kupetik bintang
satu untuk tahun baru
satu untuk cahaya hidupku.

Kupetik bintang
satu untuk Nike Ardilla
satu untuk kenangan lagunya.

Kupetik bintang
satu untuk milir malam ayah
satu untuk doa-doa panjang adik ku.

Kupetik bintang
satu untuk perjalanan baru
satu untuk rahmat Tuhanku.

 

Ahmad Taj

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Ranah kamus dan ragam baku

Oleh Muhammad Aqil Rifqi

Pada hari pertama bulan 10 tahun 2020, badan bahasa negara melancarkan kamus terkini dalam khazanah bahasa Melayu: Kamus Dewan Perdana (KDP). Intinya merakam lebih daripada 120,000 kata masukan, jumlah yang cukup banyak berbanding Kamus Dewan edisi keempat dahulu yang hanya merakam sekitar 82,900 kata masukan.

Perkataan-perkataan baharu yang memadati lembar-lembar KDP termasuklah membasuh otak, bolayan, air tangan, memasukkan gear, muka toya, kona baring, menganjing, sado, gegenjak, kengkawan, pesen, tangkap leleh ,mangkuk hayun, kendarat, nyahbeku, pekena, huha, adiwira, dan banyak lagi.

Selain itu, banyak juga kata sedia ada yang diperkemas dan diperluas takrif dan perincian maknanya. Bandingkan perincian makna kata patin, ayam denak, bejat, jiwang, bonet dan bahantara dalam KDP dan KD4 – berbeza sungguh! Mustahillah jika ingin menyenaraikan semua kata masukan baharu dan kata yang perinciannya diperkemas dalam tulisan ringkas ini. Mustahil! Untuk mendalami dengan lebih lanjut, dapatkanlah senaskhah KDP.

Yang terlepas

Sungguh pun banyak kata baharu yang terakam, banyak lagi yang terlepas—masih berlegar-legar di hujung lidah dan lembar karya selain kamus. Misalnya nama tumbuhan, sipongu (Eryngium foetidum) dan nama ikan, dumis (Harpadon nehereus) dan dindilik (Betta nuluhon) yang ketiga-tiganya dijumpai di Malaysia. Ini belum mengambil kira pelbagai singkatan yang muncul semasa pandemik seperti PKP, PKPB, PKPD, PKPP, SJR, MKN, dan lain-lain. Ya, kamus turut merakam singkatan.

Bagaimana hendak kita tangani kata-kata yang ‘terlepas’ ini? Mudah, gunakannya! Jangan risau untuk menggunakan kata yang belum terakam dalam kamus. Sudah banyak dibuat orang dan mereka tidak perlu pun naik mahkamah untuk menjawab pertuduhan ‘mencemari ketulenan bahasa’.

Tidak percaya? Carilah dua kata ini dalam kamus: bukuwan iaitu mereka yang gigih dan suka membaca dan menulis atau peribelajar yang wujud dalam frasa masyarakat peribelajar dengan maksud golongan yang mengenal pasti kelemahan diri, dan berupaya mengubah serta memperbaiki nasib diri, keluarga dan masyarakat. Kedua-duanya tiada tetapi tetap digunakan. Tiada pun tindakan diambil terhadap pencipta-merangkap-pengguna kata-kata ini. Bahkan, kata nyahhujah yang turut tiada dalam kamus, pernah tersiar dalam majalah terbitan badan bahasa negara.

Kata-kata ‘terlepas’ yang digunakan berkemungkinan terakam dalam kamus akan datang. Inginkan contoh? Kata koca dan terbitannya iaitu mengoca, yang bermaksud ‘menangkap ikan dengan tangan’, sebelum ini tidak terakam dalam edisi keempat. Namun, jika kita rajin membaca, kata tersebut ada digunakan dalam berita pada tahun 2017 dan 2018 serta majalah terbitan Jabatan Perikanan.

Kini, kata koca yang dahulunya ‘terlepas’, telah memasuki sekali gus memperkaya KDP dan bahasa Melayu secara amnya. Bagaimana ini terjadi? Kamus berfungsi merakam kata yang (agak meluas) digunakan penutur. Koca dan mengoca digunakan (secara meluas), maka dirakamlah.

“Tak ada dalam kamus, mana boleh guna!”. Jika kita tidak menggunakan kata seperti kebuniti, bazaria, bau-mau, memprakatakan, haiwan angkat, tudung enjin, cucuk duit, cuci duit dan lain-lain atas alasan setiap satu daripadanya tiada di dalam KDP, kita sendiri yang kerugian kerana membataskan diri. Iyalah, kalau ada khazanah sejuta kata, tidakkah kita rugi hanya menggunakan 120,000?

Bayangkan sejenak, jika kita mengundur kembali ke waktu pra-KDP, semasa edisi keempat masih menjadi pegangan, mungkin kata untuk memerihalkan ‘bazar yang dianjurkan semasa bulan puasa’ tidak dapat digunakan kerana belum ada dalam kamus. Ya, saya memperkatakan ‘bazar Ramadan’—tiada dalam edisi keempat, ada dalam KDP. Bukan itu sahaja, kata lazim seperti jengkaut dan kemenjadian pun sama. Semuanya tidak dapat digunakan.

Sekarang, jika alasan sama digunakan semasa KDP menjadi pegangan, kata yang merujuk kepada seseorang yang menyediakan khidmat permanian beradas untuk haiwan ternakan iaitu jurusuntik tidak dapat pula digunakan kerana belum ada dalam kamus. Sama juga dengan daulat terpendam, kebolehjangkitan, edah tutup kuala, hiperpenumpuk dan sebagainya.

Cakna ragam

Walaupun saya giat menyebarkan pola fikir ‘gunakanlah sesuatu kata meskipun belum ada dalam kamus’, saya masih menyelitkan pesan supaya menggunakan sesuatu kata itu tepat dengan ragamnya. Tidak kurang kerap saya mendengar kata-kata begini sewaktu berbagi kosa kata baharu yang terakam dalam kamus: ‘Wah, dah boleh guna dalam karangan!’

Padahal ternyata jelas di situ ada lambang bb yang berkepanjangan bahasa basahan yang dahulunya dalam edisi keempat wujud sebagai kependekan bp iaitu bahasa percakapan. Mana mungkin digunakan dalam karangan yang memerlukan ragam baku?

Bahasa kita ada pelbagai ragam. Ragam baku, basahan, istana, ilmiah, daerah, dan bermacam-macam lagi. Pemilihan kata harus sesuai ragam. Jangan pula menggunakan kata basahan ketika menulis rencana ilmiah (ragam ilmiah) atau menggunakan bahasa Melayu kedaerahan tatkala menghadap sultan (ragam istana). Setiap kata ada fungsi, tempat, dan waktunya tersendiri.

Bagaimana cara untuk cakna ragam? Langkah pertama mudah sahaja, buka lembar ‘kependekan’ dalam kamus dan hafal segalanya, lagi-lagi yang melambangkan ‘variasi sosial’ (bahasa mudah: ragam) seperti pts, slg, dan bb. Ketahuilah mana kata yang arkaik, klasik, halus, diraja, kasar, basahan, slanga, dan tabu, kemudian gunalah sesuai dengan keadaan. Kenali juga kata-kata daerah dan gunakannya mengikut daerah asal kata itu. Kecualilah kamu ahli bidang dan ingin mengangkatnya menjadi istilah dalam bidang tertentu seperti jeraya dari Sarawak digunakan untuk istilah jerayawara atau kamir dari Kelantan digunakan dalam bidang matematik: pengamiran.

Hidup kita bukan sepanjang masa berbahasa baku. Tiada orang yang setiap detik hidupnya disarati kerja-kerja menulis rencana dan buku ilmiah, contoh karangan SPM, teks pidato ahli politik, atau siaran media. Pasti ada juga waktu berbahasa Melayu basahan—mungkin ketika melepak di kedai mamak bersama kengkawan atau berbahasa Melayu kedaerahan—mungkin ketika kelik Kelate atau berbahasa Melayu ragam lain-lainnya.

Pendek kata, jadikanlah kamus sebagai sandaran utama tetapi bukan pegangan mutlak. Gunalah kata yang belum ada dalamnya (atau yang sudah ada dalamnya) asalkan sesuai dengan keadaan dan ragam. Selagi mana bukan bahasa rojak, kerana dikhuatiri bukan lagi bahasa Melayu atas sebab ayatnya hanya tinggal partikel -lah dan satu dua patah kata Melayu (selebihnya bahasa asing), bahasa kita akan terus berkembang besar dan luas.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Tuan yang bernasib baik

Tuan,
kelmarin di jeti yang hampir roboh
bersaksikan anak-anak kecil di balik ilalang,
Tuan sempat memesan sebaldi ulat dan udang.
Kata Tuan,
“Kita akan makan besar hari ini.”
dan semuanya mengukirkan senyum yang indah
tanpa sebarang gusar dan gelisah.

Namun, semalam ketika kita sedang berlayar
ketika sama-sama di atas bot besar
saat Tuan menggenggam joran dan serek berlabel Daiwa,
sekonyong-konyong cerut di bibir Tuan rurut ke lantai.

“Lekas! Bot hampir karam!”
Itu pekikan terakhir orang kanan Tuan
sebelum dia terjun dari atas birai dan hanyut lemas ke tengah lautan.

Hari ini
nasib kami persis orang kanan Tuan semalam
dan Tuan pula mudik sendiri entah ke mana
selepas berpesan kepada kami,
“Kamu semua akan selamat.”

Tuan,
sekarang di jeti yang telah Tuan tinggalkan kelmarin dahulu
sedang diamuk penduduk kampung
ibu-ibu menggarung tidak keruan
menunggu kunapa yang sedang hanyut
membusuk dan membusung
disambar kawanan hering dan helang.

Tuan,
ada di mana Tuan sekarang?
di mana makan besar seperti yang sudah Tuan janjikan?

Tuan –
Tuan…

Muhamad Fazrin
Hutan Melintang

Categories
BUDAYA RENCANA

Non-Linear: Kita dan kata

Jauh dari buku
aku lebih ingin menekuni
halaman-halaman dirimu
sedang rindu menjadi keping penanda
menghentikanku di suatu lembar tanya;

“engkaukah yang tak mungkin selesai kubaca atau takdir sedang bercerita, “non-linear” antara kita dan kata?”

Kekasih, kutandai kau di situ,
di sebuah ruang jeda-
kerana sekali pun
aku tidak pernah akan tiba
pada peleraianmu.

 

Aina Nabila Ahmad

Categories
BUDAYA RENCANA

Za’ba angkal akal budi Melayu

Oleh Azar Ishak

Mengambil apa yang ditakrifkan oleh Profesor Linguistik Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hashim Musa, ‘budi’ ialah akal dan daya fikir untuk memahami sesuatu perkara dan kebolehan untuk berdalil serta menyimpulkannya secara rasional. Ia juga boleh dimaknakan sebagai kepandaian, keupayaan dan kebijaksanaan yang mampu melahirkan seorang yang ‘budiman’. Sebenarnya, perkataan budi memang telah sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu, sehinggalah munculnya perkataan seperti ‘akal budi’, ‘budi pekerti’, ‘balas budi’ dan sebagainya.

Mungkin sebab itu jugalah, seorang cendekiawan ulung Melayu, Zainal Abidin Ahmad atau Pendeta Zaba seringkali kali mengangkat ‘budi’ dalam banyak penulisannya. Zaba juga selalu sahaja menyebut budi yang dikaitkannya dengan agama dan sikap orang Melayu.

Lebih menarik, seperti mana yang pernah dikatakan oleh Pensyarah Pengajian Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim, walaupun Zaba itu sering kali diangkat sebagai seorang ahli bahasa, tetapi secara realitinya penulisan Zaba mengenai agama Islam lebih banyak dari hal-hal berkaitan bahasa itu sendiri.
Akan tetapi malangnya, hanya kerana Zaba itu dilihat dan tidak digolongkan dalam kalangan ulama, amat jarang sekali wacana Islam beliau diangkat, waima di pusat-pusat pengajian Melayu sendiri.
Sebagai contoh, jika kita melihat penulisan Zaba dalam bukunya, “Mencapai Keluhuran Budi” yang pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ia sarat dengan saranan untuk ‘tahu’ dan ‘faham’ bagi mencapai apa yang disebutkan sebagai “keluhuran budi”.

Tingkat akal

Ketika Zaba membincangkan tentang agama, beliau tidak terburu-buru dalam mengajukan hukum agama, mengenai apa yang haram dan tidak, atau apa yang makruh dan harus. Sebaliknya, Zaba memulakan penulisannya itu tentang persoalan apa itu agama, mengapa perlu didatangkan agama, apakah agama yang sebenar dan peri pentingnya pengetahuan agama.

Cara Zaba inilah yang dikatakan sebagai sebenar-benar tingkat budi apabila akal diangkat untuk menilai sebab dan musabab sesuatu perkara, bukannya hanya bertaklid buta sahaja.
Seperti mana yang dikatakan oleh Zaba: “…pengetahuan agama dengan sifat yang sebenar-benarnya sangatlah mustahak diberi atau diperoleh bagi tiap-tiap seorang, supaya dapat mereka tahu akan dia dengan ‘tahu’ yang sampai mendapat isinya.”
Hal yang sama juga pernah disentuh oleh Muhammad Asad dalam karyanya Islam at the Crossroads bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini tidak pernah menghalang umatnya daripada menggunakan akal, malah Islam menghargai aktiviti intelektual manusia sehingga ke tahap menempatkannya mengatasi malaikat!
Dalam masa sama, keluhuran budi itu tidak akan tercapai juga tanpa peranan ibu bapa yang dianggap oleh Zaba sebagai teras awal pembentukan watak setiap manusia. Walaupun begitu, Zaba menyarankan supaya fikiran anak-anak itu tidak dikongkong, sebaliknya diberikan latihan kepada mereka untuk menggunakan akal fikirannya sendiri.
Bagi Zaba, itulah sebesar-besar tanggungjawab dalam berumah tangga – sehingga beliau berpesan, janganlah sekali-kali diberikan gambaran salah tentang perlunya ilmu itu hanya untuk hidup bersenang-senang dengan pangkat dan gaji besar sahaja.
Kata Zaba: “…belajar dan menuntut ilmu ialah supaya jadi pandai, bijak, berguna kepada manusia dan kepada dunia; supaya membaiki pihak hati, otak, fikiran, kebatinan, jiwa dan rohani; juga supaya dapat berbuat kebajikan kepada orang lain, bukan bagi faedah diri.”

Berjimat-cermat

Seterusnya, ada satu perkara yang cuba dibawa oleh Zaba dan hal ini jarang-jarang diperkatakan iaitu tentang berjimat-cermat, yang baginya sangat asing dan sukar diterapkan dalam jiwa bangsa Melayu.

Lebih keras lagi, Zaba mengatakan suruhan berjimat-cermat lebih menyusup masuk ke dalam sikap orang bukan Melayu-Islam seperti masyarakat Cina misalnya – yang tidak didatangkan Nabi kepada mereka. Sedangkan, orang Melayu-Islam yang telah didatangkan Nabi, al-Quran dan hadis ini sering melanggar ajaran itu.
Menurutnya lagi, berjimat-cermat itulah yang akan menyelamatkan bangsa ini di hari kemudian dan ia hanya diterima dalam kalangan manusia yang siuman akal fikirannya.
Zaba menulis: “Perangai jimat-cermat yang adil dan patut itu nyata kelebihannya kepada tiap-tiap orang yang siuman akal fikirannya.”
Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh Zaba ini pernah juga dibangkitkan oleh sejarawan, Dr Ahmat Adam dalam satu ceramahnya di London pada 2012. Menurutnya, salah satu masalah utama Melayu adalah betapa liatnya mereka untuk menabung dan berjimat-cermat.
Hal itu nampaknya dibuktikan apabila dapatan statistik Jabatan Insolvensi mendapati kaum Melayu mencatatkan kes kebankrapan tertinggi antara tempoh 2015 hingga 2019, dengan jumlah 56 peratus atau bersamaan sebanyak 45,147 kes.

Keluhuran budi

Oleh itu, apa yang diungkapkan oleh Zaba ini dapat dilihat sebagai satu kesungguhan dalam menyeru orang Melayu tentang peri pentingnya keluhuran budi bagi menjamin kelangsungan bangsa. Zaba selaku seorang tokoh berjiwa besar, tetap teguh menyeru bangsanya untuk keluar dari penjajahan diri sendiri lewat pemahaman tentang agama, sikap dan cara hidup.

Tetapi, hal itu tidak sesekali mengeluarkan Zaba dari kerangka Islam, yang dilihatnya sebagai tiang seri kekuatan masyarakat Melayu. Baginya, kegemilangan dan kemerosotan manusia itu adalah disebabkan perbuatan manusia itu sendiri, dan tiada sebarang kaitan dengan Allah SWT sama sekali.
Kemerosotan ini baginya disebabkan salah faham mereka tentang dunia dan agama, kemalasan mereka dan keterbelakangan mereka kepada ilmu pengetahun serta akal yang waras.
Walaupun Zaba pernah menyifatkan orang Melayu sebagai bangsa yang muda dan masih mentah jika dibandingkan dengan bangsa yang maju dan tinggi kedudukannya, namun, hal itu diungkapkannya lebih 80 tahun lalu dan kini setelah hampir 47 tahun Zaba meninggalkan kita, bagaimana dengan budi Melayu? Sudah tercapaikah keluhurannya?