Categories
PENDAPAT RENCANA

Banyak kes Covid-19 masuk wad, kematian babit individu tidak divaksin

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Orang muda, namun tiba di hospital dengan jangkitan Covid-19 yang teruk, berstatus komorbid serta tidak divaksinasi – fenomena yang kini menjadi kelaziman di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan angka mereka mengatasi jumlah pesakit warga emas komorbid tetapi lengkap vaksinasi Covid-19.

Menyifatkan situasi itu ada kaitan dengan isu “keberatan menerima vaksin Covid-19”, doktor yang bertugas akan meningkatkan kewaspadaan terhadap pesakit muda terbabit kerana mereka dikategorikan sebagai amat berisiko.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan HTAR Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor memberitahu Bernama bahawa kira-kira dua pertiga daripada pesakit yang diterima hospital itu adalah berusia bawah 60 tahun.

“(dan) … hampir kesemuanya tidak divaksinasi. Masih ada kelompok yang sedemikian,” katanya tatkala laporan menyebut lebih 55 peratus populasi Malaysia telah lengkap vaksinasi, dan di Lembah Klang sahaja lebih 80 peratus penduduk sudah melengkapkan vaksinasi mereka.

Dr Ahmad Tajuddin yang juga Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR, berkata trend itu mula dikesan pada permulaan gelombang keempat, penghujung Jun lepas.

Katanya ketika itu mereka tidak mengaitkan isu “keberatan untuk divaksinasi” sebagai penyumbang utama status vaksinasi pesakit berikutan pemvaksinan masih belum dilaksanakan secara meluas.

Bagaimanapun, mengambil kira program pemvaksinan tanpa janji temu sudah dilaksanakan sejak hampir dua bulan lepas, beliau kini berpendapat faktor “keberatan untuk divaksinasi” merupakan penyebab utama situasi itu.

“Baik yang pertengahan usia mahupun yang lebih muda, sesetengahnya hanya menerima satu dos manakala yang lain pula langsung tidak menerima sebarang dos vaksin,” katanya.

Golongan antivaksin yang turut digelar antivaxxer, kini menjadi kelompok yang mendominasi katil hospital dan juga penyumbang angka kematian akibat Covid-19 di negara-negara yang telah memulakan pemvaksinan lebih awal seperti Amerika Syarikat dan Israel.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat baru-baru ini melaporkan penduduk negara itu yang tidak divaksinasi didapati 10 kali ganda berkemungkinan dimasukkan ke hospital dan 11 kali ganda berkemungkinan maut berbanding mereka yang divaksinasi. Sementara di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan kumpulan yang tidak divaksinasi merangkumi hampir 80 peratus daripada pesakit yang dirawat di hospital sekarang.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Tajuddin berkata status vaksinasi pesakit mempunyai impak yang besar terhadap tahap pemulihan mereka.

“Kami dapati ada perbezaan umpama langit dengan bumi. Jika seseorang pesakit itu telah divaksinasi, keadaannya tidak mungkin merosot teruk.

“Namun, jika dia (tidak divaksinasi) dan tiba dalam keadaan tidak begitu teruk, keadaannya boleh berubah dan merosot dengan cepat. Andai kata seorang pesakit tiba dalam keadaan kategori 4, iaitu perlukan bantuan oksigen serta tidak divaksinasi, maka kami perlu tingkatkan kewaspadaan kerana dia adalah ‘red flag’ bagi kami,” katanya.

Menurutnya, kesemua pesakit Covid-19 yang diterima HTAR mempunyai lebih daripada satu penyakit atau kelompok komorbid.

Majoriti kemasukan ke wad babitkan yang tidak divaksinasi

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi mengesahkan trend itu dan menganggarkan 70 peratus daripada kemasukan ke wad adalah golongan yang tidak divaksinasi yang turut menyumbang 80 peratus kepada angka kematian.

Katanya kebanyakan pesakit muda yang keadaannya merosot dengan teruk, turut didiagnosis dengan diabetes yang tidak dikesan lebih awal.

“Yang muda ada komorbiditi, obesiti, ada kencing manis, tak pernah menjalani pemeriksaan perubatan. Masa dia masuk ke hospital baru kita tahu dia ada kencing manis,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Ahmad Tajuddin percaya sesetengah individu tidak mahu divaksinasi kerana menyangka faktor usia muda sudah memadai untuk melindungi mereka daripada dijangkiti virus maut tersebut.

“Asalnya (Covid-19) bermula sebagai penyakit yang hanya menjangkiti orang tua atau mereka yang berpenyakit. Saya fikir ini yang membuatkan golongan muda berasa mereka selamat,” katanya.

Beliau berkata golongan muda juga mungkin lebih berani untuk bersosial dan tidak begitu mematuhi garis panduan mencegah Covid-19.

Menurut KKM, kira-kira enam peratus penduduk di negara ini atau 1.46 juta orang tidak berdaftar untuk divaksinasi. Pada masa ini, semua individu dewasa yang berdaftar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan tidak ada yang masih menunggu untuk suntikan pertama mereka. Sesetengah daripada yang tidak berdaftar itu mungkin antivaksin tegar manakala yang lain pula mungkin disebabkan kekangan akses, baik dari segi teknikal mahupun faktor geografi.

KKM, dengan bantuan badan bukan kerajaan termasuk MERCY Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia serta IMARET, berusaha memastikan mereka yang menghadapi kekangan tersebut, sama ada kerana tinggal jauh di pedalaman atau pekerja asing, mendapat akses kepada vaksin Covid-19.

“Pendaftaran bukan prasyarat untuk vaksinasi. Vaksinasi tanpa janji temu dilaksanakan hampir di semua tempat di negara ini. Selain itu, terdapat usaha outreach (menggunakan segala kemudahan yang ada – helikopter, bot dan lain-lain) untuk memberikan vaksin kepada golongan yang berdepan jurang digital,” kata Dr Mahesh Appannan, ketua data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dalam responsnya kepada Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming, menerusi Twitter.

Golongan antivaksin hanya mewakili segelintir daripada jumlah penduduk negara ini, namun itu tidak menghalang mereka daripada menggunakan media sosial untuk berkongsi maklumat salah selain aktif menghasut orang lain agar tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19. Ada juga yang menjual sijil vaksin palsu bagi membolehkan mereka menikmati “kebebasan” yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada individu yang telah lengkap vaksinasi.

Pakar kesihatan awam serta kumpulan majikan turut menyatakan sokongan masing-masing sekiranya vaksinasi diwajibkan pada masa akan datang jika masih terdapat ramai penduduk yang enggan divaksinasi sekalipun telah didekati oleh pihak bertanggungjawab.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide sumbang 200 beg jenazah pesakit Covid-19 untuk hospital Klang

SHAH ALAM, 28 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbang 200 beg mayat kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang semalam bagi memudahkan pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Ahli lembaga pemegang amanah berkata inisiatif melibatkan kos sebanyak RM15,200 itu sebagai tanda keprihatinan agensi terhadap peningkatan kes kematian ketika ini terutama di Selangor.

“Menyedari keperluan mendesak penggunaan beg ini, Yide salurkan kepada HTAR supaya urusan mengurus mayat Covid-19 ini mudah,” kata Prof Dr Azreen Syazril Adnan menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya turut menyerahkan tambahan 4,000 sut pelindung diri (PPE) bernilai RM138,000 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk kegunaan petugas yang mengebumikan jenazah pesakit Covid-19.

“Terima kasih kepada semua penyumbang korporat, orang awam dan syarikat swasta atau anak syarikat kerajaan yang menyumbang untuk golongan sasar.

“Setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai mengikut subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 melalui resit rasmi Yide,” katanya.

Minggu lalu, sebanyak 3,000 PPE turut diserah kepada Jais merangkumi PPE Coveral Jumpsuit, pelindung muka, pelitup muka N95, sarung tangan dan apron dengan nilai keseluruhan RM104,640.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompleks rawatan harian hospital Klang dibuka semula Isnin ini

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kompleks Rawatan Harian (ACC) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini yang sebelum ini dijadikan wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 akan dibuka semula Isnin ini.

HTAR memaklumkan pasukan Bomba dan Penyelamat Seri Andalas dan Pelabuhan Klang bersama-sama dengan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam telah datang ke hospital berkenaan bagi melaksanakan proses sanitasi dan dekontaminasi ACC yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.

“Ia merupakan proses sanitasi dan dekontaminasi terakhir sebelum ACC dibuka semula pada Isnin depan,” menurut hospital itu menerusi hantarannya dalam Facebook.

HTAR memaklumkan bagi pengoperasian semula klinik-klinik di ACC pula, ia dijangka akan bermula pada September ini.

Bernama sebelum ini melaporkan jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di HTAR telah berkurangan lebih 50 peratus sejak awal bulan ini.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Jumlah pesakit Covid-19 menurun, HTAR pulang semula mesin oksigen  

SHAH ALAM, 21 OGOS: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) memulangkan semula 80 unit mesin oksigen yang dipinjam daripada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 susulan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital itu semakin menurun.

HTAR memaklumkan, bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyusun semula peralatan berkenaan untuk digunakan di negeri-negeri lain yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.

Sehubungan itu, HTAR merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak PKRC MAEPS 2.0, khusus kepada Pengarahnya, Dr. Shahabuddin Ibrahim atas pinjaman berkenaan sepanjang tempoh ‘disaster’.

“Segala sumbangan dan sokongan daripada pihak luar ke HTAR amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih,” maklum HTAR menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Selasa lalu, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi memaklumkan kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di hospital itu berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu sebelumnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Klang terima sumbangan kontena mayat pesakit Covid-19

KLANG, 19 OGOS: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang bersama beberapa pihak menyumbang kontena menyimpan mayat bagi kegunaan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.

Azmizam Zaman Huri berkata bantuan itu sebagai inisiatif membantu pihak hospital untuk mengendalikan peningkatan bilangan mayat terutama melibatkan pesakit Covid-19.

“Kami sedar HTAR berdepan cabaran besar terima pesakit ramai selain bilangan kes kematian Jadi kami putuskan beri kontena ini yang boleh memuatkan 48 mayat dalam satu-satu masa.

“Untuk bantu HTAR rawat orang kami tidak ada ilmu, jadi hanya mampu bantu dari segi kemudahan. Semoga sumbangan ini mengurangkan beban petugas hospital,” katanya selepas menyerahkan kontena kepada Pengarah HTAR Dr Dr Zulkarnain Mohd Rawi.

Penyumbang lain adalah Naib Presiden KEADILAN Tian Chua; individu persendirian Vincent Chuah; Unit Khas Van Jenazah serta syarikat RDB Haulage dan A One.

Sementara itu Dr Dzulkarnain berkata sumbangan berkenaan membantu pihaknya menyediakan tempat menyimpan mayat yang lebih tersusun.

“Sebelum ini kami terima ramai pesakit selain jumlah yang meninggal juga ramai menyebabkan berlakukanya limpahan mayat disebabkan tempat simpanan tidak mencukupi,” katanya.

Pada Julai video memaparkan keadaan mayat pesakit Covid-19 di HTAR. yang diletakkan di lantai secara berlapis tular di media sosial mendapat perhatian pelbagai pihak.

Susulan itu beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan kontena bagi mengatasi masalah itu.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesakit Covid-19 hospital Klang berkurangan 70 peratus sejak minggu lalu

KLANG, 19 OGOS: Kemasukan pesakit Covid-19 ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini berkurangan lebih 70 peratus sejak seminggu lalu.

Pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata kira-kira 400 pesakit sedemikian diterima sepanjang Julai tetapi bilangannya turun kepada bawah 100 individu sahaja sejak awal bulan ini.

Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Dr Zulkarnain Mohd Rawi

“Kebanyakan pesakit yang diterima minggu ini merupakan individu berusia 50 tahun ke atas yang belum divaksin.

“Jadi, kita galakkan orang ramai supaya mengambil imunisasi ini bagi mencegah jangkitan termasuk ibu mengandung,” katanya.

Terdahulu, beliau menerima kontena menyimpan mayat pesakit Covid-19 sumbangan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri dengan kerjasama beberapa pihak.

Kadar vaksinasi di Selangor terus meningkat yang mana setakat semalam lebih 54 peratus melibatkan 2.61 juta rakyat negeri ini lengkap divaksin manakala 3.81 juta individu pula mendapat suntikan dos pertama.

Pada Jun, Program Vaksin Selangor (Selvax) dilancarkan bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah pesakit Covid-19 masuk hospital Klang menurun lebih 50 peratus

SHAH ALAM, 17 OGOS: Jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lepas.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 400 kes harian bagi pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan, namun jumlahnya menurun kepada sekitar 170 pesakit sejak kebelakangan ini.

“Pesakit Covid-19 yang kini menerima rawatan di hospital berkurangan daripada lebih 1,000 pesakit dengan kemuncaknya pada Julai lepas. Setakat pukul 1 tengah hari tadi, pesakit sedia ada tidak sampai 900 orang. ‘Gelombang’ kemasukan pesakit di HTAR ini berlaku pada awal Julai sehingga pertengahan bulan lepas.

“Alhamdulillah kini jumlah (kemasukan pesakit) turun sejak minggu lepas. Susulan keadaan ini secara tidak langsung berlaku penurunan kepada pesakit kategori tiga ke atas untuk dimasukkan ke dalam wad,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung keadaan semasa di HTAR berikutan berlaku trend penurunan kemasukan pesakit Covid-19 sejak sebulan lepas dan paling ketara di Hospital Kuala Lumpur sejak seminggu lepas.

Dr Zulkarnain menjelaskan penurunan kes kemasukan pesakit itu membuktikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mula membuahkan hasil dan keadaan di hospital berkenaan juga dalam situasi terkawal.

Katanya sehingga pukul 1 tengah hari semalam, pengisian katil bagi unit rawatan rapi (ICU) pesakit Covid-19 adalah sekitar 92 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM maksimumkan kapasiti hospital Klang rawat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pelbagai tindakan drastik dan segera dalam mengendalikan pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, termasuk memaksimumkan kapasiti untuk menerima kesemua pesakit yang memerlukan rawatan.

Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata pada hari ini kadar penggunaan katil (BOR) bagi pesakit Covid-19 di HTAR, yang dikategorikan sebagai Hospital Negeri dan Hospital Hibrid Covid-19 adalah 154.73 peratus atau 1,098 pesakit.

“Wad sedia ada juga dinaik taraf dan dibuat penambahbaikan dari segi kemudahan dan peralatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang terbaik dapat diberikan kepada pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafiq berkata demikian sebagai maklum balas kepada surat Ahli Parlimen Klang Charles Santiago bertarikh 11 Ogos 2021 dan laporan media berhubung situasi semasa Covid-19 di HTAR.

Katanya, dari aspek keperluan sumber manusia, sehingga 11 Ogos seramai 27 kakitangan kesihatan tambahan dimobilisasi dan proses lantikan kakitangan kesihatan secara tetap dan kontrak juga dipercepatkan bagi membantu menangani isu peningkatan kapasiti pesakit di fasiliti berkenaan.

“KKM juga menempatkan kakitangan daripada jabatan lain seperti doktor (12 pakar dan 53 pegawai perubatan), 10 Pegawai Perubatan Siswazah, 74 Jururawat Terlatih, 13 Jururawat Masyarakat, 129 Penolong Pegawai Perubatan dan 80 Pembantu Perawatan Kesihatan untuk bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta kawasan-kawasan liputan di HTAR, Klang,” katanya.

Mohd Shafiq berkata sepanjang tempoh Januari hingga Julai lepas, KKM meluluskan tambahan peruntukan RM57.3 juta khusus bagi perolehan peralatan perubatan seperti ventilator, katil pesakit, pam infusi, mesin glukosa darah, monitor pesakit dan lain-lain keperluan penting melalui perolehan darurat dan daripada jumlah itu, RM9.25 juta diperuntukkan khas kepada HTAR.

Selain itu, Mohd Shafiq berkata pada Julai lepas, KKM menghantar tambahan 151 katil pesakit ke hospital itu dan tambahan selanjutnya yang merangkumi 200 katil pesakit serta 30 ventilator akan dihantar awal minggu hadapan.

“Di samping itu, HTAR juga banyak menerima sumbangan ikhlas peralatan perubatan daripada pihak luar seperti badan bukan kerajaan, syarikat multinasional dan orang perseorangan. Sumbangan ini juga secara tidak langsung membantu KKM dalam memberi rawatan kepada pesakit,” katanya.

Berhubung tahap kebersihan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR, Mohd Shafiq berkata kekerapan kerja-kerja pembersihan dalam masa sehari dipertingkatkan, manakala penyediaan dan penghantaran makanan pesakit termasuk di jabatan berkenaan adalah mengikut jadual baharu yang diselaraskan.

KKM juga memaklumkan bermula 30 Julai, talian meja bantuan disediakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bagi membolehkan ahli keluarga mendapatkan maklumat terkini berhubung status kesihatan ahli keluarga yang terjejas akibat Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Hospital medan ATM di HTAR dijangka mula operasi Jumaat ini

SHAH ALAM, 4 OGOS: Hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dijangka akan mula beroperasi pada petang Jumaat ini (6 Ogos).

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata ketika ini pihaknya sedang melakukan persiapan dan pemeriksaan terakhir membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta ATM bagi memastikan fasiliti itu selamat digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Hari ini kami sedang laksanakan pemeriksaan dengan teliti dan esok kami akan mulakan latihan pengoperasian sehingga pagi Jumaat, pada sebelah petang atau malam kami jangka akan mula menggunakan hospital medan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Zulkarnain berkata hospital yang dibangunkan di tempat letak kenderaan HTAR dengan anggaran keluasan 15.24 meter (m) panjang dan 30.48m lebar itu mempunyai kelengkapan yang selesa antaranya bilik rawatan pesakit, bilik donning dan doffing, tandas, bilik mandi serta kaunter jururawat.

Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang merawat kira-kira 1,000 pesakit Covid-19 dan hospital medan yang mempunyai 100 katil akan digunakan untuk pesakit kategori tiga dan ke atas yang memerlukan rawatan terapi oksigen khusus.

Sementara itu, Dr Zulkarnain mengalu-alukan penyertaan orang awam yang ingin menjadi sukarelawan bukan perubatan di hospital medan dalam membantu kelancaran pengoperasian hospital itu dan boleh menghubungi Mercy Malaysia bagi maklumat lanjut.

Pembinaan hospital medan adalah Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital Covid-19 Mercy Malaysia, usaha tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Maybank dan Mercy Malaysia dalam menghadapi lonjakan pesakit Covid-19 terutamanya di Lembah Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Hospital Klang nafi dakwaan pesakit duduk atas lantai beralas karbod

SHAH ALAM, 4 OGOS: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menafikan dakwaan bahawa pesakit di hospital berkenaan terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi dalam kenyataan menerusi Facebook HTAR berkata setelah semakan dan siasatan dibuat, pihaknya mendapati tiada pesakit duduk di atas lantai atau kadbod di mana-mana kawasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Untuk makluman, sekiranya tiada katil yang mencukupi untuk menampung jumlah mereka, pesakit akan diletakkan di kerusi atau kerusi roda buat sementara waktu,” katanya.

Jelas Dr Zulkarnain, pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma ke wad sementara bertempat di Kompleks Rawatan Harian (ACC) pula berada dalam keadaan selesa kerana dilengkapi penyaman udara.

“Malah, jabatan berkenaan kini sedang menunggu pembukaan hospital lapangan di HTAR dijangka beroperasi dalam beberapa hari lagi bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang agak ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tangkap layar laporan sebuah portal berita dalam talian yang dikongsi seorang ahli politik tempatan di akaun Facebooknya yang mendakwa bekalan dan peralatan perubatan tidak mencukupi di HTAR.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit meningkat, hospital Klang alu-alukan sumbangan alat perubatan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengalu-alukan orang ramai untuk terus membantu menangani peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di hospital itu terutamanya sumbangan pemekat oksigen.

Pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pihaknya amat berterima kasih atas pelbagai jenis sumbangan diterima HTAR selama ini dan berharap orang ramai terus menghulurkan sumbangan bagi membantu merawat pesakit sekali gus meringankan beban petugas barisan hadapan.

“Jika tiada (sumbangan), memang tidak cukup (untuk menampung keperluan pesakit Covid-19),” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

HTAR menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Sabtu lepas memaklumkan menerima sumbangan sebuah bas daripada pendakwah bebas Ebit Lew untuk membawa pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin.

Sebelum itu, HTAR turut menerima 12 unit pemekat oksigen dan peralatan perubatan sumbangan Pertubuhan Amal Perubatan Ibu Sina Malaysia (Papisma) Selangor dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia serta sebuah kontena penyimpanan mayat daripada MIC.

Dalam pada itu, Dr Zulkarnain berkata pihaknya akan memberi laluan kepada projek pembangunan hospital medan di HTAR yang dibantu oleh MERCY Malaysia, hasil peruntukan sumbangan daripada Maybank yang menempatkan hingga 100 katil tambahan.

HTAR sebelum ini memaklumkan projek itu akan diserahkan untuk penggunaan pada Rabu ini.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Klang urus 38 jenazah pesakit Covid-19 semalam

SHAH ALAM, 23 JULAI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menguruskan 38 jenazah pesakit Covid-19 beragama Islam dan bukan Islam semalam.

Jabatan perubatan forensik hospital memaklumkan urusan pengebumian 12 jenazah beragama Islam dibuat dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

“Sebanyak 10 jenazah selamat diurus dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang manakala dua jenazah lagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

“Kerjasama ini adalah penting dalam usaha menyelesaikan fardu kifayah bagi jenazah Covid-19 di HTAR supaya ia berjalan lancar,” menurut kenyataan di Facebook HTAR.

Jabatan tersebut turut merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa selain mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian ini.

“Semoga Allahyarham atau Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diampunkan segala dosa-dosa mereka,” katanya.