Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran hujan berterusan di banyak negeri termasuk Selangor hingga Sabtu

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran jangkaan hujan berterusan peringkat buruk di Terengganu, Pahang dan Johor hingga hingga Sabtu ini.

Menurutnya di Terengganu ia melibatkan kawasan sekitar Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, manakala di Pahang ia melibatkan sekitar Jerantut, Kuantan, Pekan serta Rompin, dan di Johor sekitar Mersing.

Sementara itu amaran hujan berterusan di peringkat waspada pula diramal berlaku di Perak yang melibatkan kawasan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Kawasan lain terdiri daripada Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu, serta Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang, serta beberapa tempat di Kelantan.

“Amaran sama dikeluarkan bagi kawasan di Johor iaitu di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, serta beberapa negeri lain seperti Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka,” menurut kenyataan itu.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketiga untuk perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa hingga 28 Februari ini (Isnin).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima daerah di Selangor diramal alami ribut petir, hujan lebat

SHAH ALAM, 24 FEB: Lima daerah di negeri ini diramal mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 11 pagi.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) lima daerah berkenaan ialah Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Cuaca buruk itu juga diramal berlaku di Kuala Lumpur serta beberapa daerah di Johor iaitu Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut jabatan itu di Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat berserta ribut, 20 kenderaan rosak dihempap pokok

DENGKIL, 21 FEB: Kira-Kira 20 buah kenderaan di kawasan parkir di Cyber Valley di sini rosak selepas dihempap pokok tumbang ketika kejadian hujan lebat dan angin kuat hari ini.

Insiden pada kira-kira 5.30 petang itu menyaksikan beberapa batang pokok besar di kawasan parkir tumbang namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Muhammad Harith Che Jusoh, 36, berkata ketika kejadian, beliau sedang membaiki kereta pelanggan apabila pokok besar di hadapan bengkelnya tumbang secara tiba-tiba.

“Memang masa itu hujan lebat dan angin pun kuat… dalam sekelip mata sahaja, pokok besar hempap kereta-kereta yang diletakkan di kawasan parkir ini.

“Kira-Kira lima buah kereta pelanggan saya rosak akibat kejadian ini… kali pertama kejadian teruk macam ini berlaku sejak tujuh tahun saya berniaga di tempat ini,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau berharap Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berlaku seperti memotong pokok besar di sekitar kawasan parkir itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis pula berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam pada 5.36 petang.

“Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Tinjauan Bernama mendapati setakat 8.30 malam, kerja-kerja memotong pokok yang tumbang masih dilakukan oleh pihak bomba dan MPS.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Kuala Langat, Sepang diramal hujan lebat, angin kencang malam ini

SHAH ALAM, 3 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 9 malam ini.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan daerah di negeri ini yang diramal berdepan cuaca itu adalah Kuala Langat dan Sepang.

Selain Selangor amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut berlaku di Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Pendang, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) serta Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).

Amaran sama melibatkan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Temerloh)  serta Putrajaya.

Selain itu, cuaca sama diramal berlaku di Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau), Melaka, Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian dan Kulai).

Sarawak pula membabitkan Kuching (Bau dan Kuching), Serian (Serian), Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong (Betong), Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Selangau), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang (Limbang).

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman web www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Amaran ribut petir, hujan lebat di lapan negeri mulai esok hingga 6 Februari

SHAH ALAM, 30 JAN: Lapan kawasan di pantai barat semenanjung Malaysia dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat pada waktu petang hingga awal malam mulai esok hingga 6 Februari.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Twitter memaklumkan kawasan itu meliputi Selangor, Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan pedalaman Pahang.

Agensi itu turut meramalkan cuaca lembap di kebanyakan tempat di pantai timur semenanjung dan timur Sabah dengan hujan pada sebelah pagi .

Cuaca panas dan kering pula dijangka berterusan di negeri-negeri utara semenanjung.

Menurut MetMalaysia, angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan dalam tempoh 2 hingga 6 Februari.

Orang ramai dinasihat merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Categories
AGENDA NASIONAL

Angin kencang, 10 kereta rosak dihempap pokok, bumbung parkir

SHAH ALAM, 27 JAN: Sebanyak 10 kereta rosak dihempap pokok dan bumbung parkir susulan hujan lebat serta ribut dalam dua kejadian berasingan di Seksyen 13, di sini kira-kira jam 5 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kejadian berlaku di Jalan Subang berdekatan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan kawasan parkir pasar raya Giant.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bersama jentera dihantar ke lokasi kejadian pertama di Jalan Subang dan mendapati dua kenderaan dihempap pokok tumbang.

“Namun, tiada mangsa cedera dan mereka keluar sebelum ketibaan bomba. Pihak bomba sedang giat melakukan pemotongan pokok dan laluan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut beliau berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai runtuhan bumbung di kawasan parkir pasar raya di Seksyen 13.

“Berdasarkan maklumat awal, sebanyak lapan kenderaan orang awam yang diletakkan di kawasan itu mengalami kerosakan. Bagaimanapun, tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya

Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung parkir di Pasar Raya Giant Seksyen 13, Shah Alam tercabut. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
Categories
AGENDA NASIONAL

Pokok tumbang sekitar ibu negara akibat hujan lebat, ribut petir

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Hujan lebat dan ribut petir semalam mengakibatkan kejadian pokok tumbang di lima kawasan di sekitar ibu negara namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan kawasan terlibat dalam kejadian 4 petang itu adalah berhampiran Sekolah Rendah Wangsa Jaya Seksyen 4 Wangsa Maju, Lebuhraya Karak sebelum Plaza Tol Gombak, Jejantas MRR2 Ampang, PSN Rejang Setapak Jaya dan Jalan Padang Tembak.

“Kejadian tersebut turut menyebabkan enam kenderaan rosak akibat dihempap pokok dan menghalang lalu lintas.

“Kerja-kerja memotong pokok di laluan tersebut selesai kira-kira 5.51 petang,” menurut kenyataan itu.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, BBP Gombak Selatan, BBP Keramat dan BBP Setapak mengalihkan pokok tumbang di semua lokasi terjejas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran hujan lebat berterusan di banyak negeri hingga Selasa

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya, buruk dan waspada yang dijangka berlaku di kebanyakan negeri sehingga Selasa ini (4 Jan).

MetMalaysia dalam kenyatan hari ini memaklumkan negeri-negeri itu adalah Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Amaran hujan sangat lebat berterusan peringkat bahaya diramalkan di Johor membabitkan Daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru hari ini.

Amaran hujan lebat berterusan (buruk) pula dijangka berlaku di Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, selain seluruh Negeri Sembilan dan Melaka sehingga esok.

Ia turut melibatkan lima daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi, serta Sabah iaitu di Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Menurut kenyataan itu lagi, hujan berterusan (waspada) dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh, manakala di Sabah pula melibatkan Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Kinabatangan) sehingga Selasa.

Situasi sama turut dijangka berlaku di Perak melibatkan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, selain Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan berterusan sehingga esok.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran hujan berterusan peringkat jingga di empat negeri hingga Isnin

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan peringkat jingga (buruk) di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor hingga Isnin ini (3 Jan).

MetMalaysia menerusi kenyataan yang dikeluarkan 1 tengah hari tadi memaklumkan hujan lebat berterusan itu membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang; Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan; Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; serta seluruh Melaka.

Hujan berterusan peringkat kuning (waspada) pula dijangka berlaku di Perak melibatkan daerah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson); dan Johor (Pontian, Kulai dan Johor Bahru) hingga Isnin.

Amaran tahap waspada itu turut dijangka berlaku hingga Selasa (4 Jan) di Kelantan, Terengganu, Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh) serta Sabah iaitu di Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan), serta Kudat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh tanah runtuh dikesan hari ini, enam di Selangor

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Tujuh kejadian tanah runtuh melibatkan enam di Selangor dan satu di Negeri Sembilan dilaporkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sehingga 10 pagi, pada hari pertama tahun ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 140 kejadian tanah runtuh di seluruh negara berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

“JMG telah memaklumkan kejadian tanah runtuh di kawasan seliaan masing-masing kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengemukakan laporan kepada JMG Negeri, bagi inventori tanah runtuh sepanjang MTL 2021/2022,” menurut kenyataan dikeluarkan Nadma itu.

Agensi itu memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan kejadian bencana di 53 buah lokasi merangkumi banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh, setakat 10 pagi ini.

Mengenai status terkini infrastruktur komunikasi yang terjejas susulan bencana banjir, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sejumlah 1,007 daripada 1,039 infrastruktur komunikasi dibaik pulih, iaitu 96 peratus daripada jumlah keseluruhan lokasi terjejas.

MCMC memaklumkan berdasarkan data kumulatif bermula 19 Dis, baki 32 lokasi struktur komunikasi masih dalam proses baik pulih, manakala infrastruktur komunikasi yang telah dibaik pulih sepenuhnya dilaporkan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Port Dickson, Rembau, Seremban, Pekan, Raub, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Gombak.

Selain itu, Nadma memaklumkan setakat semalam (30 Dis), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan SW Corp Malaysia selesai melakukan kerja pembersihan di 85 peratus kawasan yang terjejas banjir di lima negeri.

Negeri terlibat adalah Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran jumlah sisa di tapak transit adalah 2,269 tan dan di tapak pelupusan lain sebanyak 4,142 tan, melibatkan 2,286 pekerja dan 908 jentera bagi kerja pembersihan.

Sementara itu, susulan kemas kini Amaran Cuaca Berterusan Buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana yang dikemas kini dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

“Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Nadma juga memaklumkan Met Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan memberi pemakluman awal yang dikemas kini dari semasa ke semasa agar semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dapat bersiap siaga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Struktur Kondominium Sri Duta 1 tidak selamat, penghuni diarah pindah

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) serta perunding yang dilantik pemaju mengesahkan struktur bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, di sini, bermasalah dan berisiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata ia berikutan terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

“Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column (tiang) dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack (rekahan permukaan akibat ketegangan) di beberapa permukaan tanah serta keretakan di bawah lantai.

“Tanda-tanda ini menunjukan keadaan di kawasan itu adalah tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL berkata terdapat empat blok yang terkesan, membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni telah dinasihatkan untuk berpindah atas faktor keselamatan.

“Pihak Badan Pengurusan Bersama telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

“Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan di dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera dan akan disemak oleh DBKL dan IKRAM,” katanya.

Menurutnya pada masa sama IKRAM juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat.

Pada 18 Dis lepas, media melaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran kondominium Sri Duta 1 berikutan hujan lebat berterusan di Lembah Klang.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah mangsa di lima negeri menurun

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) — Sebanyak 28,005 mangsa banjir daripada 8,598 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri pagi ini berbanding 33,193 mangsa malam tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 183 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di SELANGOR, aplikasi itu menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 11,864 mangsa daripada 3,521 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS pagi ini, berbanding 15,354 mangsa di 81 PPS malam tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor turut menasihati masyarakat supaya tidak membakar sisa buangan banjir mereka.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata ia susulan semalam pihaknya telah mendapat panggilan untuk memadam kebakaran melibatkan sampah dan perabot rosak pada 5.50 petang dan setakat ini dua kes direkodkan berlaku sekitar Kapar, Klang.

Di PAHANG, 16,579 mangsa banjir masih berada di 119 pusat pemindahan sementara pagi ini berbanding 17,211 orang malam tadi.

Daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, beberapa sungai yang direkodkan pada paras bahaya sejak beberapa hari lepas seperti Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Bera di Bera kini berada di paras amaran dengan trend menurun.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan hujan di sesetengah kawasan  di Kuantan dan Pekan pagi ini, manakala di daerah lain cuaca baik.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan dengan 378 orang daripada 127 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 470 orang daripada 153 keluarga semalam, melibatkan dua PPS yang dibuka di Jajahan Pasir Mas.

Dua PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dan hanya satu sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menunjukkan penurunan kepada 128 individu daripada 37 keluarga berbanding semalam 132 mangsa daripada 38 keluarga.

Katanya tiga PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

— BERNAMA