Categories
AGENDA NASIONAL

Jalan utama ke Sungai Lui ditutup esok untuk pembersihan pascabanjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Jalan utama ke Sungai Lui, Hulu Langat dekat sini akan ditutup esok untuk tujuan mengangkut dan membersihkan sampah di daerah itu.

Dato’ Menteri Besar berkata semua pihak diminta memberi kerjasama supaya kerja pembersihan pascabanjir itu berjalan lancar.

“Esok (Isnin, 27 Disember) jalan utama ke Sungai Lui akan ditutup bermula jam 8 hingga 10 pagi bagi membolehkan lori dan jentera untuk mengangkut dan membersihkan semua sampah di kediaman dan tepi jalan.

“(Ia) setelah pembersihan giat dilakukan sewaktu Sabtu (25 Disember) dan Ahad (hari ini),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Sebelum ini, beliau juga mengumumkan sejumlah RM2 juta daripada peruntukan Selangor Bangkit disalur ke Hulu Langat bagi memulihkan semula sebahagian besar daerah itu yang terkesan banjir.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor Bangkit: Bantuan awal RM2 juta pulihkan semula Hulu Langat

HULU LANGAT, 23 DIS: Sejumlah RM2 juta daripada peruntukan Selangor Bangkit disalur ke Hulu Langat bagi memulihkan semula sebahagian besar daerah itu yang terkesan banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu boleh digunakan mulai esok dan sebarang keperluan tambahan akan dibawa ke jawatankuasa khas negeri.

“Ini peringkat awal (sumbangan) kerana di sini ramai mangsa dan kesannya juga teruk. Sepanjang jalan kita lihat kesesakan, kerosakan dan runtuhan yang tiada di tempat lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau dan mendengar taklimat banjir di daerah berkenaan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Serai hari ini.

Antara kawasan dilawati Amirudin ialah Sungai Layang dan Sungai Lui selain mendengar taklimat wakil Jabatan Kerja Raya berhubung tanah runtuh di Genting Peras.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika taklimat situasi terkini banjir di Hulu Langat di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada Selasa, Kerajaan Selangor memperuntuk RM100 juta melalui Ikhtiar Selangor Bangkit susulan tragedi banjir di beberapa daerah negeri ini antara 17 hingga 19 Disember.

Amirudin berkata sejumlah RM80 juta diagihkan bagi pembinaan semula infrastruktur manakala baki untuk operasi pembersihan.

Beliau turut mengumumkan bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terkesan insiden itu.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Keadaan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat ketika tinjauan pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Hulu Langat pulih 66 peratus, KL capai 20 peratus

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji itu pulih sepenuhnya, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat 1.30 tengah hari, LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2 juga beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam esok (22 Dis).

Bagi LRA Cheras Batu 11 pula, Air Selangor memberitahu proses pembersihan loji rawatan air dan penilaian kerosakan masih lagi dilaksanakan dan jangkaan bagi LRA itu beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan.

Air Selangor memaklumkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur telah mencapai tahap 47.8 peratus, dengan Petaling mencapai 100 peratus, Hulu Langat 66 peratus dan Kuala Lumpur 20 peratus.

Beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

“Bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu,” menurut Air Selangor.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari http://www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan kewangan, barangan asas ceriakan 200 asnaf di Hulu Langat

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 200 keluarga asnaf daerah Hulu Langat menerima bantuan kewangan serta barangan asas daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan sumbangan kewangan berjumlah RM100,000 diberikan menerusi program wakalah agihan zakat Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan setiap asnaf menerima RM500.

“Selain itu, empat keluarga asnaf turut diziarahi yang melibatkan kelulusan bantuan bina dan baik pulih rumah.

“Kegembiraan jelas terpancar dari raut wajah asnaf apabila melihat kediamannya selesa diduduki selepas dibantu oleh Zakat Selangor,” katanya.

LZS mengucapkan terima kasih atas tanggungjawab masyarakat dalam menunaikan ibadah zakat yang mana bantuan dapat sampaikan kepada golongan mustahiq.

Terdahulu, agihan zakat itu disampaikan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun di Balai Raya Kampung Sungai Raya Batu 9 Cheras.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lebih 400 dapat kerja di Jelajah Selangor Bekerja setakat ini

HULU LANGAT, 13 NOV: Lebih 400 individu mendapat pekerjaan pada program Jejalah Selangor Bekerja menerusi tiga siri jejalah setakat ini.

Ketua penolong setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata lebih 500 orang pula menerima panggilan temu duga buat kali kedua.

Muhamad Faiz Mohamed Yusof

Menurut Muhamad Faiz Mohamed Yusof, pihaknya berharap lebih ramai pencari kerja dapat dibantu dalam baki tiga siri jelajah termasuk di Dewan Demesne di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat hari ini.

“Setakat ini program berkenaan berjaya menarik lebih 3,000 peserta yang membuat pendaftaran di laman sesawang www.selangorbekerja.com.my dan datang terus.

“Kita menjemput mereka yang ingin mencari kerja supaya hadir dalam program seterusnya di Paya Jaras (Sungai Buloh) dan Dewan Jubli Perak, SUK,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Tarikh dan lokasi jelajah siri berikutnya adalah seperti berikut:

  • 20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh
  • 27 November: Dewan Jubli Perak, SUK
Categories
PBT SELANGOR

MPKj: Kes denggi di Hulu Langat turun lebih 80 peratus

HULU LANGAT, 3 OKT: Kes demam denggi di Hulu Langat menunjukkan penurunan lebih 80 peratus setakat September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain berkata lokaliti panas wabak itu juga semakin berkurangan sejak awal tahun ini.

“Kes denggi di Hulu Langat menunjukkan penurunan drastik berbanding tahun sebelum yang mana daerah ini sering mencatat kes tertinggi.

“Saya percaya faktor kurangnya kes kerana tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), masyarakat duduk di rumah dan mereka lebih prihatin untuk menjaga kebersihan persekitaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Semenyih Prihatin Sungai di Pekan Semenyih di sini hari ini.

Pada masa sama, Najmuddin menasihatkan orang awam agar terus kekal berwaspada dan meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk membersihkan kediaman dengan memusnahkan takungan Aedes.

“Komitmen penuh dan kerjasama semua penduduk Hulu Langat amatlah diharapkan bagi memastikan kes denggi terus berkurang,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

20,302 remaja sekitar Hulu Langat dapat dos pertama vaksin

BANGI, 30 SEPT: Seramai 20,302 remaja sekitar Hulu Langat selesai menerima dos pertama pelalian di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini sejak 23 September.

Majoriti peserta membabitkan remaja 16 dan 17 tahun yang berdaftar dengan sekolah masing-masing, kata timbalan pengurus pusat vaksin berkenaan.

Dr Saiful Bahri Md Radzi menjelaskan ada juga remaja hadir tanpa janji temu kerana tidak bersekolah, remaja 12 hingga 15 tahun dan orang kelainan upaya (OKU).

“Walaupun berlaku kesesakan setiap hari berikutan ada kurang faham kriteria vaksin tanpa janji temu, namun segalanya berjalan lancar hasil bantuan sukarelawan,” katanya.

Beliau berkata pemberian dos pertama di PPV terbabit berakhir hari ini dan kesemua remaja berkenaan akan menerima dos kedua di lokasi sama dalam tempoh tiga minggu.

Pada 23 September, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 399 sekolah di negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah yang terlibat meliputi institusi kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan sekolah swasta.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air lima kawasan Hulu Langat dijangka pulih pagi 30 September

SHAH ALAM, 17 SEPT: Lima kawasan di Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 28 September ini dengan jangkaan pemulihan sepenuhnya dua hari kemudian.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan berikutan pelaksanaan kerja-kerja penggantian injap di tiga lokasi iaitu Taman Sri Indah Balakong, Inlet Cheras dan hadapan pencawang pembahagi utama The Mines.

“Kerja-kerja ini bagi memastikan sistem pengagihan bekalan air berada pada tahap yang terbaik demi keselesaan para pengguna di masa hadapan.

“Gangguan bekalan air berjadual akan bermula jam 9 malam, 28 September dan bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, 30 September,” katanya menerusi Twitter.

Antara kawasan terjejas termasuk Balakong, Green Park Resident, Bandar Sungai Long (SL 6, 9, 10, 11), Taman Bukit Palma, Bandar Mahkota Cheras (Jalan Putera, Jalan Puteri, Jalan Bendahara, Jalan Mahkota).

Air Selangor juga menasihatkan pengguna agar menyimpan air secukupnya untuk kegunaan seisi rumah dan pastikan semua bekas simpanan ditutup dengan selamat.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perubahan butiran pusat nilai Covid-19 di empat daerah

SHAH ALAM, 8 JUN: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di empat daerah mengalami perubahan butiran melibatkan lokasi, waktu operasi dan nombor telefon.

Jabatan Kesihatan Daerah Selangor (JKNS) memaklumkan CAC yang terlibat ialah Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak, Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor.

“Sekiranya anda pesakit positif Covid-19 yang menjalani rawatan di rumah dan mengalami sebarang gejala, sila hubungi nombor CAC. Pasukan pemantauan di rumah akan membantu anda.

“Sekiranya gejala anda bertambah teruk, sila hubungi 999 atau ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri,” katanya menerusi Facebook.

Orang ramai boleh melayari Facebook rasmi JKNS untuk mendapat maklumat lanjut mengenai CAC.

Kemas kini butiran CAC di Klinik Kesihatan empat daerah:

Categories
AGENSI SELANGOR

Petaling, Hulu Langat catat tiga angka kes Covid-19

SHAH ALAM, 3 MEI: Daerah Petaling dan Hulu Langat merekodkan tiga angka kes baharu Covid-19 di negeri ini hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan daripada 637 kes yang dilapor, 240 kes dicatat di Petaling dan 109 kes di Hulu Langat.

“Mukim Petaling mencatat 101 kes diikuti Damansara (59), Sungai Buloh (54) dan Bukit Raja (26).
“Sementara mukim Kajang merekodkan 46 kes diikuti Cheras (36), Ampang (18), Hulu Langat (4), Semenyih (3) dan Beranang (2),” katanya menerusi Facebook.

Tambahnya, daerah lain mencatat bilangan bawah 100 iaitu Kuala Langat 97 kes diikuti Klang (81), Gombak (57), Hulu Selangor serta Kuala Selangor (15), Sepang (12) dan Sabak Bernam (11).

JKNS memaklumkan kesemua kes jangkitan Covid-19 hari ini adalah kes dalam komuniti tanpa membabitkan kes import.

Categories
SELANGOR

Dua kluster di Hulu Langat babit tempat kerja, kumpulan risiko tinggi

SHAH ALAM, 2 APRIL: Dua kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor masing-masing membabitkan tempat kerja dan kumpulan berisiko tinggi.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Industri Bukit Angkat tercetus di Hulu Langat dengan kes positif dilaporkan bermula 28 Mac hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang.

“Sehingga semalam, sejumlah 59 individu disaring dan 38 kes dikesan positif dalam kluster ini,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kluster Pekan Batu juga tercetus di Hulu Langat dan kes indeks dikesan positif wabak pada 31 Mac hasil saringan individu bergejala.

Menurutnya, kluster berkenaan membabitkan penghuni dan kakitangan sebuah rumah jagaan warga emas di Pekan Batu 9, Cheras.

“Sehingga hari ini, seramai 15 individu positif Covid-19 daripada 30 yang disaring dalam kluster ini,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 1,388 kluster dilaporkan setakat ini, 1,025 kluster tamat manakala 363 lagi kluster aktif.

Berikut perincian kluster lain dalam negara:

1. Kluster Banjaran Gading – Kluster tempat kerja melibatkan Kota Kinabalu, Sabah

2. Kluster Simpang Empat – Kluster tempat kerja melibatkan Kunak, Sabah

3. Kluster Jalan Taat – Kluster tempat kerja melibatkan Johor Bahru, Johor

4. Kluster Jalan Bukit Nanas – Kluster tempat kerja melibatkan Cheras, Titiwangsa dan Kepong, Kuala Lumpur

5. Kluster Jalan Padang – Kluster tempat kerja melibatkan Tampin, Rembau, Kuala Pilah dan Jempol, Negeri Sembilan

6. Kluster Wakaf Chagak – Kluster tempat kerja melibatkan Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Terengganu

7. Kluster Kalindukan – Kluster komuniti melibatkan Nabawan, Sabah

8. Kluster Permatang Pasir – Kluster komuniti melibatkan Port Dickson, Negeri Sembilan

Categories
AGENSI SELANGOR

Hulu Langat tertinggi kes Covid-19 berpunca saringan kontak rapat

SHAH ALAM, 21 JAN: Hulu Langat menjadi daerah tertinggi merekodkan kes harian Covid-19 di negeri ini dengan 114 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata saringan kontak rapat menjadi punca utama peningkatan apabila mencatatkan 40 kes dari lima mukim utama di daerah itu.

“Klang menjadi daerah kedua tertinggi dengan 97 kes dan saringan pekerja menjadi kes positif tertinggi iaitu 45 kes.

“Ia diikuti Petaling dengan 76 kes iaitu mukim Damansara sebanyak 26 kes, mukim Petaling (23), mukim Sungai Buloh (13) dan mukim Bukit Raja (lapan),” katanya menerusi Facebook.

JKNS turut memaklumkan mukim Dengkil menjadi penyumbang tertinggi kes Covid-19 di Sepang iaitu 56 kes berbanding 74 kes keseluruhan di daerah itu.

Tambahnya, Gombak merekodkan 70 kes diikuti Kuala Langat (57), Hulu Selangor (33), Kuala Selangor (21) dan Sabak Bernam (tiga).