Categories
SELANGOR

JPS wajar segerakan projek tebatan banjir Hulu Langat

Oleh: HAFIZAN TAIB

HULU LANGAT, 29 APR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta menyegerakan projek tebatan banjir di Kampung Batu 17, di sini, demi mengatasi masalah berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razaly Hassan, berkata masalah terbabit sewajarnya mendapat perhatian supaya tidak berlarutan.

razaly hasan“Walaupun JPS berjanji untuk melaksanakan projek dipercayai bernilai kira-kira RM1.5juta itu, namun kerisauan saya jika ia lambat dilaksanakan dikhuatiri akan berulang tragedi banjir melanda rumah berdekatan,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Razaly mengadakan tinjauan projek itu di kawasan berkaitan bersama pegawai JPS Hulu langat serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Hulu Langat.

Beliau berkata, daripada tinjauan itu diyakini limpahan pasir ke longkang menjadi punca utama banjir kilat di situ khasnya dirumah berdekatan.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama PTG juga diperlukan bagi memastikan masalah terbabit mampu ditangani.

“Saya mendesak PTG memberi kelonggaran kepada kontraktor untuk memindahkan pasir ke lokasi lain supaya dapat dimanfaatkan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tanah runtuh jejas 21,000 pengguna air Hulu Langat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 APR: Lebih 21,000 pengguna beberapa kawasan di Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas, Priscilla Alfred berkata, gangguan itu berikutan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 terpaksa dihentikan sementara sejak jam 9.30 pagi tadi.

“Terdapat penurunan paras air Sungai Langat hingga mencecah bawah paras minima akibat runtuhan tanah ekoran kerja yang dilakukan pihak ketiga kira-kira dua kilometer dari muka sauk loji rawatan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

EmpanganPriscilla berkata, pihak ketiga dilaporkan sedang mengorek kembali runtuhan tanah yang menghalang laluan air Sungai Langat.

PNSB juga meningkatkan pelepasan air mentah dari empangan ke sungai berkenaan kepada 302.2 juta liter berbanding jumlah kebiasaan 220 juta liter bagi membantu mempercepatkan aliran sungai ke paras normal.

“Syabas dimaklumkan, LRA Cheras Batu 11 akan mula beroperasi kembali pada jam 7.00 malam ini,” katanya.

Lebih 20 kawasan terjejas termasuk kawasan perindustrian Cheras Jaya, Taman Seri Sungai Long, Taman Bukit Emas, Taman Impian Indah dan Taman Bukit Sungai Long.

Bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki kepada pengguna disediakan, namun keutamaan diberi untuk kegunaan kecemasan seperti kematian, hospital, pusat dialisis dan rumah kebajikan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Longkang terbiar Taman Sri Nanding tingkat masalah aedes

Oleh: HAFIZAN TAIB

HULU LANGAT, 13 JUN: Longkang terbiar di Taman Sri Nanding, di sini, membahayakan hidup penduduk dengan dakwaan merebaknya wabak denggi dan pembiakan haiwan liar.

Kawasan semak samun kira-kira 500 meter wajar diberi perhatian Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan langkah pembersihan segera ke arah mewujudkan kehidupan lebih selesa kepada penduduk di situ.

PICT0004ADUN Dusun Tua, Razaly Hassan, berkata kawasan longkang terbiar itu menimbulkan kesusahan kepada penghuni taman itu yang merasakan kehidupan mereka terancam.

“Kita sudah beberapa kali meminta MPKj membersihkan longkang ini tetapi hingga kini pihak berkuasa itu masih lagi tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya.

“Keadaan longkang ini begitu teruk sekali dan ia menyumbang kepada banyak perkara seperti pembiakan nyamuk dan ada juga penduduk kata ular masuk dalam rumah. Longkang ini memang cukup bahaya,” katanya.

Razaly beranggapan tiada sebab bagi MPKj tidak bertindak membersihkan kawasan itu dan ia wajar dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun.

“Ia perlu dilakukan demi kebaikan penduduk di sini. Saya rasa mungkin sudah hampir tiga tahun longkang ini begini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Exco: Sungai Selangor, Sungai Langat diwartakan

sg-selangor-eliSHAH ALAM, 4 Sept: Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong mengumumkan Sungai Selangor dan Sungai Langat sudah dilulus untuk pewartawaan khas supaya ia terpelihara dari pencemaran di masa hadapan.

Pewartawaan ini termasuk semua punca dan anak-anak sungai di dalam negeri Selangor yang mengalir ke dua sungai itu.

“Sungai Selangor dan Sungai Langat sudah dilulus untuk pewartaan khas bagi memelihara kawasan sungai. Kita hanya menunggu Jabatan Ukur dan Pemetaan Selangor untuk melaksanakannya,” kata Elizabeth.

Sungai Langat yang sepanjang 149.3 km dari hulu ke muara mengalir dari Gunung Nuang di daerah Hulu Langat hingga ke Selat Melaka di Kuala Langat, serta merentasi tiga bandar utama iaitu Cheras, Kajang dan Bandar Baru Bangi.

Sungai Langat ini menjadi sumber air mentah utama kepada 7 buah loji rawatan air iaitu Loji Air Sg Langat, Loji Air Bukit Tampoi, Loji Air Cheras Batu 11, Loji Air Salak Tinggi, Loji Air Sg Pangsoon, Loji Air Sg Serai dan Loji Air Sg Lolo.

Sungai Selangor pula sepanjang 77 km dan mengalir dari Kuala Kubu Bharu dan mengosong ke dalam Selat Melaka di Kuala Selangor. Sungai ini menyumbang 60 peratus sumber air mentah kepada empat loji rawatan air bagi memenuhi keperluan warga Lembah Klang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Sasar 10 Juta Pelancong Menjelang 2018

maskot sekinchan elizabeth ng suee lim 01

SHAH ALAM 26 JULAI : Menjelang 2018, Kerajaan Negeri mensasarkan seramai 10 juta pelancong akan melawat Selangor, kata Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong.

Elizabeth berkata anggaran tersebut berdasarkan peningkatan jumlah pelancong setiap tahun dan sasaran 7 juta pelancong Kerajaan Negeri untuk program Tahun Melawat Selangor 2015.

Beliau berkata setakat ini jumlah kemasukkan pelancong mencatatkan perkembangan yang positif iaitu 6 juta pada tahun lepas.

Katanya, bagi merealisasikan sasaran 10 juta itu, Kerajaan Negeri akan mengubah strategi promosi.

“Kita juga mahu melatih pemandu pelancong supaya fasih berbahasa asing bukan sahaja bahasa Inggeris. Ini kerana penambahan pelancong ke Selangor terdiri dari pelancong yang bukan dari Eropah.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan menaiktaraf dan menyelenggara tapak-tapak pelancongan dalam tempoh lima tahun ini untuk memberi nilai tambah dan memperkukuhkan produk sedia ada.

Beliau menyasarkan empat kawasan luar bandar yang perlu diberi perhatian, antaranya Sabak Bernam, Kuala Langat, Hulu Langat dan Hulu Selangor.

Tambah Elizabeth, sekurang-kurangnya 300 tapak perlancongan yang sedia telah dikenal pasti untuk dibaik pulih atau dipromosikan.

“Ia merangkumi penyelenggaraan kawasan sekitar, membaik pulih kemudahan awam serta menambah baik struktur bangunan sedia ada,” katanya.

“Tetapi jumlah itu mungkin kita tidak akan lakukan semua. Kita bergantung kepada keperluan kawasan itu juga.

“Sebagai contoh, kawasan Sekinchan yang kini berkembang sebagai pusat perlancongan. Jika kita ke hadapan sedikit seperti Sabak Bernam sudah tentu akan berkembang kerana ia mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

“Kita mahu tempat-tempat ini dinaiktaraf sehingga mendapat status perlancongan antarabangsa, kita mahu pelancongan asing dan dalam negara datang ke kawasan itu kerana ia akan meningkatkan taraf kewangan penduduk kampung dan penduduk tempatan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Beri Insentif Bangunan Hijau, Bangunkan Tenaga Diperbaharu

Elizabeth Kotak 3R PJ 01

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Selangor menjunjung Perjanjian Cancun dengan melaksanakan beberapa program galakan dalam usaha memelihara alam sekitar dan menangani isu masalah pemanasan global.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata, ia berdasarkan kerangka ditetapkan Kerajaan Persekutuan meliputi tiga program.

Iaitu Kecekapan Penggunaan Tenaga (Energy Efficiency – EE), Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy ? RE) dan Pengurusan Sisa Pepejal.

“Bagi program EE, Kerajaan Negeri akan memberikan insentif melalui diskaun kepada Kumpulan Wang Perkhidmatan Infrastruktur (ISF) untuk membangunkan bangunan hijau (Green Building).

“Bagi program RE, Kerajaan Negeri akan membangunkan mikro hidro di desa dan luar bandar yang mana salah satu tempat telah dibina berlokasi di Kampung Orang Asli Tanjung Rambai Genting Peras, Hulu Langat.

“Manakala bagi pengurusan sisa pepejal pula, Exco Kerajaan Tempatan dicadangkan untuk mengkaji projek ‘waste to energy’,” katanya menjawab soalan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata, lagi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga disyorkan untuk melaksanakan Garis Panduan Kejiranan Hijau.

Perjanjian Cancun dibuat di Cancun, Mexico pada 11 Disember 2010 adalah satu perjanjian oleh komuniti antarabangsa untuk menangani cabaran jangka masa panjang perubahan iklim dan pemanasan global secara kolektif dan komprehensif.

Bagi menangani isu perubahan iklim secara bersepadu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menyediakan Dasar Perubahan Iklim Negara yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 20 November 2009.

Hulu Langat (Singgah Selangor) dan Batu Caves (Kenali Selangor) -Salam Selangor

Episod 91

Sinopsis:

Hulu Langat merupakan daerah ke 5 terbesar di Selangor dan mempunyai destinasi pelancongan iaitu Sungai Tekala. Jaraknya 19 km dari Semenyih dan 23 km dari Bandar Kajang.

Tetamu: 1. Hj Arif Bujang (Ketua Kampung Parir Baru Semenyih)

bt caves

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat Terima Notis Borang 5A

HULU LANGAT, 22 APR : Bukti janji Pakatan Rakyat yang membela nasib rakyat tanpa kira agama, bangsa dan fahaman politik sekali lagi terserlah hari ini di dalam satu majlis pemberian hak milik tanah di sini.

Beberapa peneriman notis borang 5A atau kelulusan pemilikan tanah, menceritakan bagaimana mereka sudah berkali-kali memohon hak milik daripada pentadbiran Umno-BN dulu.

“Saya sudah mengemukakan permohonan sebanyak tiga kali dan pemerintahan kerajaan dahulu (Barisan Nasional) sudah masuk dua penggal tetapi tiada apa-apa tindakan sehinggalah Pakatan Rakyat mengambil alih,” kata Thamaselvam Chelliah, 54, seorang penerima notis 5A.

Thamaselvam berkata beliau menunggu lebih dari 20 tahun untuk menerima hak pemilikan tanah yang didudukinya.

Begitu juga Lim Choo On, 60, yang sudah tinggal di kampung tersebut melebihi 20 tahun.

“Kalau dahulu semasa pemerintahan BN, terlalu banyak karenah dan mesti menyokong BN tetapi pentadbiran Menteri Besar telus dalam menangani masalah rakyat,” katanya.

Thamaselvam dan Choo On antara 55 penduduk yang menerima Notis 5A dari Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di padang Taman Titiwangsa, Kampung Sungai Makau di sini.

Turut hadir Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Ean Yong Hian Wah, MP Che Rosli Che Mat, Adun Bangi, Shafie Abu Bakar,  Pegawai Daerah Hulu Langat, Haris Kasim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hasan Nawawi.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyerahkan surat hak milik kepada 29 orang penduduk Kampung Bahagia, Bangi yang berjaya menjelaskan premium setelah menerima notis borang 5A.

Categories
SELANGOR

Lebih 10 Ribu Rakyat Selangor Sudah Dapat Tanah Sendiri

HULU LANGAT, 22 APR : Lebih 10 ribu penduduk di Selangor sudah menerima notis borang 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah, menerusi program kediaman persendirian.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah berusaha sebaik mungkin bagi memenuhi setiap permohonan untuk memiliki tanah sendiri yang telah diduduki selama puluhan tahun.

“Pada Pilihanraya 2008, pengundi di Selangor memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir, jadi rakyat mesti dibela,” ujarnya ketika memberi ucapan di Majlis Penyampaian Notis Borang 5A Kampung Sungai Makau Hulu Langat disini hari ini.

Sebanyak 55 orang penduduk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat  menerima notis borang 5A dan 29 orang penduduk Kampung Bahagia, Bangi menerima surat hak milik tanah yang disampaikan oleh Abdul Khalid sendiri.

Menerusi usaha ini, kerajaan negeri memberi hakmilik tanah dengan bayaran premium fleksibel bagi memudahkan rakyat memiliki kediaman sendiri.

Menurut Abdul Khalid, setiap permohonan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk penelitian dan keputusan mesyuarat ini adalah berdasarkan kelayakan pemohon tanah tersebut.

“Pemohon yang terpilih bukannya kerana mereka menyokong Pakatan Rakyat, ataupun kroni Exco tetapi kerajaan negeri mengamalkan prinsip tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab tanpa mengira perbezaan bangsa, agama atau fahaman politik,” tegasnya lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri memulakan pusat maklumat tanah bersepadu bagi membolehkan pemilik tanah memeriksa dan mengemaskini status, lokasi dan hal-hal yang berkaitan urusan tanah.

Bagaimanapun, beliau menyeru kepada semua pemohon yang diluluskan pemberimilikan ini agar menjelaskan bayaran premium dalam tempoh ditetapkan.

“Saya harap setiap pemohon sudah mengetahui tatacara pembayaran premium ini dan boleh mendapatkan maklumat pembayaran dari Pejabat Daerah kawasan masing-masing,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN Yang Lindungi Pencuri Pasir

SHAH ALAM,5 APRIL: ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei mendakwa masalah pencurian pasir di Selangor didalangi tauke dari sebuah parti komponen gagasan Umno-BN.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persepsi yang dihebahkan sebuah akhbar milikan parti komponen Umno-BN bahawa Kerajaan Selangor cuba menutup masalah kecurian pasir.
.
“Kita ada bukti dan surat menyurat yang menunjukkan dan mengesahkan bahawa dalang-dalang daripada parti …  Mereka inilah yang menggalakkan kecurian pasir.

?Ini adalah hakikat yang tidak boleh ditolak,” tegasnya ketika dihubungi.

Pada hari Selasa, Pejabat Daerah Hulu Langat, Jabatan Alam Sekitar Selangor, Jabatan Parit dan Saliran, polis dan beberapa agensi lain menyerbu sebuah operasi perlombongan pasir haram di Batu 14, Cheras.

Alat dan jentera berat operasi itu dirampas dan pondok-pondok yang didirikan di lokasi tersebut diroboh.

Akan tetapi, akhbar Bahasa Inggeris The Star melaporkan yang beberapa ADUN Umno-BN mengkritik operasi tersebut kerana penguatkuasa tidak menangkap seorang pun pencuri pasir yang berada di situ.

Shuhaimi hari ini menyangkal dakwaan yang Kerajaan Selangor cuba melindungi pencuri pasir.

“Kecurian pasir ini adalah jenayah, dan jangan cuba kaitkan bahawa kerajaan negeri melindungi apa yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tertentu yang cuba menggambarkan wujudnya perlindungan dan kerajaan negeri cuba menutup kes kecurian pasir itu,” katanya.
v

Categories
SELANGOR

Halimah: Isu Tapak SMK Sg. Ramal Selesai

SHAH ALAM, 16 FEB : Isu tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal di Hulu Langat selesai hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, mesyuarat Exco semalam memutuskan untuk memberi kelulusan permohonan pemberi-milikan tanah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah berkenaan.

“Keputusan ini dicapai hasil perbincangan bersama dengan wakil Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pejabat Tanah pada 13hb lepas,” ujar Halimah.

Halimah turut memberitahu pihak MPKj bersetuju menarik balik Arahan Memberhentikan Kerja yang dikeluarkan ke atas kerja-kerja pembinaan di atas tapak berkenaan sebelum ini.

“Kini segala kerja-kerja berkenaan boleh diteruskan kembali kerana isu ini sudah selesai,” jelas Halimah ringkas.

Buat masa ini, hanya terdapat dua sekolah rendah di kawasan Sungai Ramal iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramal Dalam dan SK Sungai Ramal Luar.