Categories
PBT SELANGOR

Bazar Ramadan: MPHS buka permohonan permit, utama penduduk setempat

SHAH ALAM, 10 JAN: Permohonan permit bazar Ramadan melibatkan 10 lokasi di bawah selian Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dibuka hari ini dengan keutamaan diberikan kepada penduduk setempat.

MPHS memaklumkan permohonan itu dibuka secara dalam talian selama sebulan sehingga 10 Februari dengan orang ramai boleh memohon di pautan http://bazar.mdhs.gov.my:8888/ebazar/

“Keutamaan permohonan akan dibuka kepada penduduk tempatan Hulu Selangor dan setiap peniaga dibenarkan untuk memohon dua petak sahaja untuk setiap permohonan.

“Keputusan permohonan akan dimaklumkan pada 1 Mac 2022 melalui perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel,” katanya di Facebook.

Maklumat lanjut boleh berhubung permohonan itu boleh diikuti menerusi portal MPHS di www.mphs.gov.my untuk atau boleh hubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-6064 1331 dengan sambungan 131/132/159.

Berikut 10 lokasi Bazar Ramadan dan jumlah tapak yang ditawarkan di bawah selian MPHS:

– Tapak Penjaja JRD, Liga Mas Batang Kali (140)
– Tapak Pasar Pagi Taman Seri, Batang Kali (50)
– Taman Cempaka, Serendah (50)
– Sebelah Medan Selera, Sungai Buaya (20)
– Tapak Pasar Malam, Bukit Sentosa (200)
– Jalan Seroja, Bukit Sentosa (100)
– Jalan Telipot, Bukit Sentosa (25)
– Antara Gapi, Serendah (35)
– Persiaran Jalan Taman Bunga Raya(20)
– Jalan Kantan, Bukit Beruntung (100)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

28 diterima kerja dalam Jelajah Selangor Bekerja Hulu Selangor

SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 28 individu diterima bekerja dalam siri ketiga penganjuran Jelajah Selangor Bekerja di Hulu Selangor Sabtu lalu, maklum EXCO generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata sembilan majikan menawarkan peluang itu antaranya Safeguards G4S Sdn Bhd (tujuh), Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (lima), Finesse Moulding (M) Sdn Bhd (empat) manakala Continental Tyre PJ Malaysia Sdn Bhd, PHN Industry Sdn Bhd dan Peps-JV (M) Sdn Bhd masing-masing tiga.

Selain itu, katanya, Shin-etsu Polymer (M) Sdn Bhd, MFM Restaurants Sdn Bhd (The Manhattan Fish Market) dan JTekt Automotive (Malaysia) Sdn Bhd masing-masing satu.

“Diharap individu mendapat tempat dalam pasaran kerja meneruskan komitmen untuk bekerja bagi membantu menaik taraf ekonomi sekali gus mengurangkan kadar pengangguran membabitkan belia,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata seramai 95 daripada keseluruhan 143 peserta yang hadir program yang disertai 25 majikan itu layak untuk temu duga kedua.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program yang dijadual antara 23 Oktober hingga 27 November melibatkan beberapa daerah.

Lokasi seterusnya akan berlangsung di Hulu Langat pada 13 November diikuti Petaling (20 November) dan berakhir di Shah Alam (27 November).

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan http://www.selangorbekerja.com.my.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja di Hulu Selangor esok

SHAH ALAM, 5 NOV: Siri Jelajah Selangor Bekerja dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor esok yang boleh disertai melalui pautan http://www.selangorbekerja.com.my.

Siri jelajah seterusnya di Dewan Meranti, Paya Jaras, Petaling pada 20 November ini. Sebelum ini ia berlangsung di Shah Alam dan Kuala Selangor pada 23 dan 30 Oktober lalu.

Isnin lalu, EXCO Generasi Muda dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 239 individu diterima bekerja dalam dua siri program tersebut.

Jelajah Selangor Bekerja mensasarkan graduan, penganggur dan individu kehilangan kerja menyertai program itu.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Categories
PBT SELANGOR

Hulu Selangor bandar mampan dan berdaya huni menjelang 2035

SHAH ALAM, 21 OKT: Enam inisiatif utama digariskan untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai bandar mampan dan berdaya huni menjelang 2035.

Usaha merangkumi pengekalan sumber semulajadi warisan dalam aktiviti perindustrian, pertanian dan pelancongan, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Mohd Hasry Nor Mohd menjelaskan persekitaran komuniti lestari juga diberi penekanan melalui penyediaan kemudahan asas mencukupi selain memulihara kawasan pembangunan terbiar.

“Selain itu, penerapan konsep pembangunan pintar seperti ekonomi pintar, persekitaran pintar, rakyat pintar, kehidupan pintar, mobiliti pintar dan pentadbiran pintar selaras aspirasi Selangor negeri pintar,” katanya.

Beliau bercakap sempena majlis menjunjung titah Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi pengisytiharan Majlis Daerah Hulu Selangor sebagai perbandaran hari ini.

Inisiatif keempat kata Mohd Hasry menumpukan sistem perhubungan jalan raya dan infrastruktur bagi memudahkan aktiviti berkaitan logistik selain utiliti menyokong pembangunan revolusi industri 4.0 serta pertanian bernilai tinggi.

Menurutnya, tawaran pakej pelaburan menarik pula bakal menyediakan perkhidmatan mesra pelabur bagi menjana ekonomi yang mampu membuka peluang pekerjaan.

“Inisiatif pembangunan modal insan efektif dan berdaya saing bagi menerapkan budaya inovasi termasuk keusahawanan, memajukan diri, meningkatkan kemahiran, menambah ilmu serta mempunyai tadbir urus efisien,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jenamakan semula kawasan industri pikat pelabur ke Hulu Selangor

SHAH ALAM, 21 OKT: Pembangunan Taman Perindustrian Bernilai Tinggi Serendah di Hulu Selangor mampu meningkatkan keyakinan pelabur ke negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Penjenamaan semula kawasan industri yang dijangka siap pada 2022 menggabungkan ekosistem moden dan alam semula jadi melalui rangkaian hijau yang luas, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Usaha menambah baik dan menaik taraf kawasan perindustrian ini sekali gus memberi semangat inovasi kepada pelabur tempatan mahupun antarabangsa,” katanya menambah ia dilengkapi kemudahan mampan untuk mewujudkan tempat kerja positif.

Beliau bercakap sempena Majlis Menjunjung Titah Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi pengisytiharan Majlis Daerah Hulu Selangor sebagai perbandaran hari ini.

Amirudin menambah Rancangan Struktur Selangor 2035 mencadangkan dua kluster kawasan perindustrian di daerah terbabit yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi negeri.

Kluster meliputi industri automotif dan sokongan di Serendah-Sungai Choh-Bukit Beruntung dan industri terpilih di Lembah Beringin-Bernam Jaya, jelasnya.

“Pembangunan kluster industri automotif ini bakal menjadi kluster utama pembangunan perindustrian sekali gus merealisasikan hab pembuatan pengangkutan negara.

“Kluster industri sedia ada ini merupakan penyumbang terbesar iaitu 60.5 peratus daripada jumlah pelaburan bagi sektor perindustrian di Hulu Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Liputan 4G di Hulu Selangor capai lebih 90 peratus

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) meningkatkan liputan 4G bagi kawasan berpenduduk di Parlimen Hulu Selangor kepada 96.66 peratus, setakat suku kedua tahun ini, berbanding 88.89 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata jumlah premis yang mendapat capaian gentian optik juga meningkat daripada 4,120 premis pada suku kedua 2020 kepada 25,007 premis pada Ogos lepas.

“Selain pembinaan menara telekomunikasi dan satelit, kerajaan juga akan melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik yang merupakan salah satu alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluas ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk dengan lebih baik.

“Pelaksanaan ini akan menjadikan lokasi berhampiran sekolah luar bandar sebagai hab untuk menyediakan infrastruktur jalur lebar gentian optik untuk kegunaan sekolah, kawasan perindustrian, premis-premis kerajaan berhampiran dan masyarakat sekelilingnya,” katanya ketika menjawab usul kamar khas oleh June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) yang ingin tahu impak pelan Jendela bagi Hulu Selangor.

Menjelas lanjut, Zahidi berkata fasa satu pelan itu akan melibatkan 630 lokasi berhampiran sekolah dan fasa dua pula akan melibatkan 3,693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Menurut beliau sebanyak 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek itu siap kelak.

“Keseluruhan jumlah PoP di kawasan luar bandar di negeri Selangor adalah sebanyak 224 dan daripada jumlah itu pula sebanyak 54 adalah di Parlimen Hulu Selangor,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Bomba pantau lapan lokasi ancaman kepala air di Hulu Selangor

SHAH ALAM, 23 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang memantau lapan lokasi tumpuan orang ramai yang berisiko berlakunya ancaman fenomena kepala air terutama ketika musim hujan di Hulu Selangor.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata kawasan tersebut adalah Latar Medang dan Sungai Kampung Orang Asli di Pertak, River View di Sungai Bernam, kawasan rekreasi Sungai Inki Kalumpang, Sungai Sendat dan Sungai Tua di Ulu Yam, Sungai Kedondong di Jalan Genting Highland dan Sungai Cilin di Kuala Kubu Baru.

“Bagi persediaan menghadapi kebarangkalian kejadian banjir pula, JBPM Selangor telah mengenal pasti beberapa lokasi atau kawasan yang sering banjir seperti di Bestari Jaya, Sepang, Dengkil, Batu 18 Hulu Langat, Gombak dan kawasan sekitar Rawang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Norazam berkata persediaan dari segi peralatan dan kelengkapan seperti bot dan perapian enjin sudah pun dilakukan, selain pemantapan kendiri anggota dan pegawai JBPM Selangor yang dilatih dengan kemahiran pengendalian bot dan latihan menyelamat di air.

Beliau berkata JBPM juga menyusun cuti anggota dan pegawai iaitu jika ada keperluan cuti akan dibekukan di samping meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan-kawasan rendah yang mudah dinaiki air.

Rabu lalu, beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai termasuk di Yan, Kedah, dilanda banjir akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki gunung itu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perubahan butiran pusat nilai Covid-19 di empat daerah

SHAH ALAM, 8 JUN: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di empat daerah mengalami perubahan butiran melibatkan lokasi, waktu operasi dan nombor telefon.

Jabatan Kesihatan Daerah Selangor (JKNS) memaklumkan CAC yang terlibat ialah Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak, Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor.

“Sekiranya anda pesakit positif Covid-19 yang menjalani rawatan di rumah dan mengalami sebarang gejala, sila hubungi nombor CAC. Pasukan pemantauan di rumah akan membantu anda.

“Sekiranya gejala anda bertambah teruk, sila hubungi 999 atau ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri,” katanya menerusi Facebook.

Orang ramai boleh melayari Facebook rasmi JKNS untuk mendapat maklumat lanjut mengenai CAC.

Kemas kini butiran CAC di Klinik Kesihatan empat daerah:

Categories
AGENSI SELANGOR

Hulu Selangor catat kes tertinggi Covid-19

SHAH ALAM, 11 FEB: Daerah Hulu Selangor merekodkan angka harian Covid-19 tertinggi dengan 212 kes, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Agensi berkata lebih separuh kes di mukim Serendah (126), Sungai Tinggi (31), Ampang Pecah (18), Batang Kali (14), Kalumpang (lapan), Hulu Bernam (tujuh), Rasa (enam) dan Ulu Yam (dua).

“Daerah kedua tertinggi adalah Petaling dengan kebanyakan kes di mukim Damansara (95), mukim Petaling (66), mukim Sungai Buloh (27) dan mukim Bukit Raja (enam),” katanya menerusi Facebook.

Menurut JKNS, daerah Hulu Langat pula 185 kes diikuti Sepang (143), Kuala Selangor (125), Klang (114), Gombak (62), Kuala Langat (38) dan Sabak Bernam (enam) selain tiga kes import.

“Pertambahan kes baharu menjadikan kes keseluruhan di negeri ini 83,281 kes dengan 6,326 daripadanya kes aktif. Selain itu tiga kematian dilaporkan hari ini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat pusat pemindahan tempatkan 183 mangsa banjir Selangor

SHAH ALAM, 5 JAN: Sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan seramai 183 mangsa banjir di dua daerah negeri ini.

Penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata PPS Hulu Selangor meliputi Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah yang menempatkan 108 mangsa.

Turut dibuka dalam daerah sama ialah Balai Raya Kampung Alah Batu yang diduduki 13 mangsa dan tujuh lagi mangsa di Kampung A.

“Bagi daerah Kuala Selangor, satu PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang yang menempatkan 55 mangsa,” kata Hafisham Mohd Noor kepada SelangorKini hari ini.

Kelmarin, beberapa kampung dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Sabtu yang menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.

Kejadian tersebut menjejaskan Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Alah Batu dan Kampung Belakang Sekolah di Hulu Selangor serta Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air semua kawasan terjejas di Hulu Selangor pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 5 JAN: Bekalan air di semua lapan kawasan terjejas di Hulu Selangor susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek pulih sepenuhnya jam 6 pagi ini.

Kawasan tersebut adalah Kampung Serigala, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Bahom, Kampung Gesir Tengah, Kampung Orang Asli, Kampung Lalang, Kampung Sekolah/Kuarters Klinik dan Kampung Sungai Nilam/Kampung Seri Pagi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pengguna atas kerjasama dan kesabaran sepanjang gangguan air berlaku.

“Pengguna boleh mendapat maklumat sahih menerusi http://www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya.

Semalam, lapan kawasan di Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan susulan henti tugas LRA Sungai Selisek berikutan kenaikan air ke tahap kritikal di muka sauk selepas hujan berterusan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Jalan satu lorong dibuka di KM18.5 KL-Kuala Lipis

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Polis membuka jalan satu lorong kepada kenderaan ringan di Kilometer 18.5 Jalan Kuala Lumpur-Kuala Lipis berhampiran Sungai Gumut, Hulu Selangor susulan kejadian tanah runtuh di lokasi berkenaan tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arshad Kamaruddin berkata pembukaan lorong itu akan membolehkan kenderaan ringan dari kedua-dua arah, Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Arshad berkata pihaknya sebelum ini menutup kedua-dua arah jalan berkenaan bagi kerja pembaikan dan pembersihan yang dijangka mengambil masa dua hari untuk disiapkan pihak Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor.

“Pihak polis sebelum itu menerima maklumat kejadian tanah runtuh itu pada 12.30 tengah hari tadi daripada pusat kawalan Bilik Gerakan Hulu Selangor.

“Susulan kejadian itu, papan tanda amaran bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan ditempatkan di situ,” katanya kepada Bernama.

Arshad berkata kerja-kerja berkenaan masih diteruskan dan tiada kejadian tidak diingini berlaku ekoran kejadian itu.

-BERNAMA