Categories
PBT SELANGOR

PBT kenal pasti bangunan terbiar di Hulu Selangor

SHAH ALAM: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengenal pasti pemilik bangunan, premis dan rumah terbiar di daerah ini.

Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin berkata notis amaran dihantar selain tindakan lebih tegas diambil jika struktur binaan atau tanah masih gagal diuruskan dengan baik.

“Kita jalankan semakan segera sama ada terdapat bangunan milik kerajaan negeri atau pusat terbiar, kalau ada keperluan untuk ambil alih bangunan bagi dibangunkan, kita tengok sama ada boleh lakukan atau tidak.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) sering berdepan masalah melibatkan struktur binaan di atas tanah persendirian tidak diuruskan dengan baik sehingga memudaratkan penduduk setempat, terutama penyebaran penyakit,” katanya kepada SelangorKini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam, Dato’ Menteri Besar mengarahkan PBT mengambil tindakan tegas terhadap pemilik bangunan atau premis terbiar di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar berkata penguatkuasaan perlu segera diambil bagi mengelak penyebaran penyakit dan menjadi tempat kegiatan tidak berfaedah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hulu Selangor paling patuh perintah kawalan di Selangor

OLEH IRWANSHA ISMAIL

SHAH ALAM, 9 APRIL: Tiada tangkapan dibuat di Hulu Selangor sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus menunjukkan penduduknya mematuhi arahan ditetapkan, kata ketua polis daerah.

Sehubungan itu, Superintendan Arsad Kamarudin berharap keadaan itu berterusan sepanjang fasa kedua PKP yang tamat pada 14 April, lapor BH Online.

“Saya kagum dan memuji sikap penduduk daerah Hulu Selangor yang sangat patuh kepada arahan kerajaan demi menjaga kesihatan diri daripada ancaman wabak Covid-19.

“Anggota kami dibantu Angkatan Tentera Malaysia bertugas dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab di semua lokasi sekatan jalan raya, rondaan dan pos kawalan,” katanya.

Beliau berkata pengguna turut memberi kerjasama terbaik, berhemah dan sentiasa menunjuk kebenaran pergerakan yang sah sepanjang pemeriksaan kenderaan di daerah tersebut.

Sementara itu, Arsad berkata terdapat tujuh sekatan jalan raya diadakan di Hulu Selangor sejak 18 Mac lalu dengan dua jalan ditutup sepenuhnya ketika pelaksanaan PKP.

Sehingga semalam, Hulu Selangor mencatatkan 26 kes positif Covid-19 iaitu masing-masing 15 kes di Serendah, lapan di Batang Kali dan satu lagi di Ampang Pecah, Hulu Bernam dan Kalumpang.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS hargai pengorbanan 215 petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 8 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memberi penghargaan kepada 215 petugas barisan hadapan mereka dengan bantuan barangan keperluan asas, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata kumpulan itu banyak membantu melaksanakan pembersihan awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung Covid-19.

“Tanpa kalian kerja nyah cemar tidak dapat dilakukan dan peranan anda mengawal serta memantau peniaga juga orang awam di premis dihargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shukri mengingatkan mereka bersedia dan sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Sebanyak 263 tempat dilaksanakan pembersihan awam antaranya di pasar, pondok bas, taman permainan, dewan orang ramai, pejabat MDHS dan perhentian bas Kuala Kubu Bharu.

Categories
PBT SELANGOR

Tingkat waspada, MDHS anjur dialog Covid-19

SHAH ALAM, 15 MAC: Kira-kira 150 peserta membabitkan agensi kerajaan, pengusaha inap dusun, hotel, hotel bajet dan kemudahan pelancongan terlibat dalam Sesi Dialog Awam berkenaan Covid-19 anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

MDHS dalam kenyataan memaklumkan, sesi dialog diadakan pada 13 Mac bagi memastikan pengusaha mengambil langkah berjaga-jaga penularan wabak itu.

“Sebagai peniaga mereka perlu tahu kaedah tangani ketika berhadapan tetamu atau orang berisiko berkunjung ke premis bagi mengelak dijangkiti.

“Mereka didedahkan kaedah sebenar mengelak dan mengurangkan penularan Covid-19,” kata kenyataan itu.

Sesi dialog itu diadakan di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan, Kuala Kubu Bharu dan turut diselitkan pameran kesihatan berkaitan penjagaan makanan bersih, denggi dan beberapa penyakit berjangkit.

Categories
PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Hulu Selangor jadi gerbang pembangunan utara 2035

HULU SELANGOR, 3 FEB: Daerah Hulu Selangor akan dimajukan sebagai gerbang pembangunan utara negeri menjelang 2035, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai langkah diatur untuk merancakkan semula beberapa kawasan sebelum ini apabila dibangunkan secara tidak tersusun, termasuk projek perumahan yang tidak mendapat sambutan.

“Berdasarkan kajian, banyak kawasan dibangunkan tetapi ditinggalkan. Isu ini berlaku di Bandar Bukit Beruntung, Bandar Bukit Sentosa, Bandar Sungai Buaya dan Lembah Beringin.

“Ia membabitkan 2,336 unit kediaman, 1,105 unit industri dan 787 unit komersial,” katanya pada Majlis Pelancaran Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035 di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan pelan pembangunan di Hulu Selangor mengambil kira penggunaan tanah secara lestari serta mesra alam.

“Saya yakin pelan digariskan menghidupkan kembali Bandar Bukit Beruntung dan kawasan lain. Saya boleh katakan Bukit Beruntung kembali beruntung,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Automotif, perkhidmatan dan eko pelancongan bangunkan Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 3 FEB: Kerajaan Negeri akan membangunkan tiga kluster di daerah ini yang akan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk setempat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, fokus utama pembangunan di Hulu Selangor adalah mewujudkan kluster industri automotif, industri perkhidmatan dan
eko pelancongan menjelang 2035.

“Saya percaya dan mengharapkan kewujudan pemain industri seperti Perodua, UMW Aerospace, Tan Chong Motor Holdings dan pelbagai lagi di Hulu Selangor.

“Menerusi pelbagai inisiatif infrastruktur, saya yakin daerah ini akan lebih dinamik serta menjadi destinasi pilihan, pusat operasi dan pusat pengeluaran berskala besar,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035 di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengekalkan kawasan hijau yang meliputi 50 peratus keluasan daerah, sekali gus menjadi destinasi pelancongan.

Categories
SELANGOR

Industri berteknologi tinggi di Hulu Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 16 MEI: Daerah Hulu Selangor akan dibangunkan dengan menumpukan kepada usaha mempromosikan industri baru berteknologi tinggi dalam dan luar negara, di Serendah High Value Manufacturing Park.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Musa Ranli berkata, data Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi projek membabitkan keluasan pembangunan keseluruhan 571 hektar itu dianggarkan USD 4 hingga 8 billion.

“Sasaran tempoh pembangunan adalah dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun dan usaha pembangunan turut akan dilakukan di sebelah utara daerah ini terutama di Hulu Bernam seperti dicadangkan pihak Kompleks Tanjung Malim (KL Kepong) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Selain itu, keutamaan juga diberi untuk memulihkan semula projek Lembah Beringin dengan mempergiatkan promosi perancangan pembangunan bagi menarik pemilik tanah membangunkan tanah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembahkan ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Majlis Bebuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Fakir Miskin dan Saudara Baru di Masjid Bandar Utama, Batang Kali di sini, semalam.

Musa berkata, perancangan itu memerlukan tempoh masa yang panjang dan kerjasama padu Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor (PLANMalaysia@Selangor) dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).

Katanya, Batang Kali pula akan terus diperkasakan sebagai Pusat Pertumbuhan Utama bagi Daerah Hulu Selangor selepas Bandar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.

“Selain itu, Batang Kali turut berpotensi sebagai Hab Transit dengan mengambilkira aktiviti transit pengangkutan awam yang terdapat di Stesen KTM Batang Kali,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hulu Selangor bakal terima projek pembangunan RM69.2 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 16 MEI: Hulu Selangor terus menikmati pembangunan pesat dengan pelbagai projek kemudahan awam dan infrastruktur bagi keselesaan masyarakat, di daerah terbabit.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Musa Ranli berkata, daerah itu akan menerima projek bernilai RM69.2 juta membabitkan projek fizikal di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai RM40 juta dan kemudahan infrastruktur bernilai RM29.2 juta di bawah Projek Jalan, pada tahun ini.

“Sukacita patik maklumkan, pada tahun ini terdapat beberapa projek fizikal di bawah pemantauan JKR Hulu Selangor iaitu membina dan menyiapkan masjid di Rasa, Hulu Selangor yang boleh memuatkan 1,500 jemaah, dengan kos projek RM11.8 juta.

“Kedua, membina dan menyiapkan Pusat Pembangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Serendah, Hulu Selangor dengan kos projek RM16.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembahkan ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Majlis Bebuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Fakir Miskin dan Saudara Baru di Masjid Bandar Utama, Batang Kali di sini, semalam.

Selain itu, tiga projek lain adalah membina dan menyiapkan Pejabat Veterinar di Kuala Kubu Bharu, dengan kos projek RM1.5 juta; menaik taraf Perpustakaan Awam Kuala Kubu Bharu (RM3.2 juta) dan membina serta menyiapkan Kuarters Integrasi Klinik Kesihatan Felda Soeharto, Hulu Bernam (RM7 juta).

Manakala bagi memastikan kemudahan infrastruktur pula, projek menggantikan Jambatan Sungai Kerling yang menelan kos RM6.4 juta dan projek menggantikan Jambatan Sungai Batang Kali dengan kos RM22.8 juta.

Selain itu, keutamaan juga diberikan kepada usaha memulihkan semula projek Lembah Beringin dengan mempergiatkan promosi perancangan pembangunan untuk menarik pemilik tanah membangunkan tanah masing-masing.

Categories
SELANGOR

Hulu Selangor: Dua projek siap, tujuh lagi sedang berjalan

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 29 MEI: Pembangunan di Daerah Hulu Selangor semakin giat dijalankan dengan sembilan projek yang dilaksanakan pada tahun ini.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, dua daripada sembilan projek itu sudah disiapkan membabitkan projek menggantikan Jambatan Sungai Selangor, di FT001, Hulu Selangor dan membina dan menyiapkan Kompleks Pertanian di Kalumpang, Hulu Selangor.

“Manakala projek fizikal yang sedang dijalankan di bawah projek pembangunan adalah membina dan menyiapkan Pejabat Veterinar di Kuala Kubu Bharu, projek Pusat Pembangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Serendah dan projek masjid di Rasa, Hulu Selangor” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Fakir, Miskin dan Saudara Kita serta Perasmian Masjid di Masjid Ar-Rahmah di Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini, malam tadi.

Mohd Fauzi berkata, bagi memastikan kemudahan infrastruktur pula, empat projek bernilai RM40.1 juta di bawah projek jalan pula dalam pemantauan rapi pihaknya.

Projek terbabit adalah projek menggantikan Jambatan Sungai Kerling membabitkan kos sebanyak RM6.4 juta, projek menggantikan Jambatan di Sungai Kumbang (RM5 juta), projek menggantikan Jambatan Sungai Chiling (RM4.7 juta) dan projek menggantikan Jambatan Sungai Batang Kali (RM24 juta).

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri tanggung hampir RM300,000 tanggungjawab Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 25 OGOS: Sejumlah RM296,000 dibelanja Kerajaan Negeri bagi membina semula jambatan di Kampung Baru Gurney, di sini, walaupun ia tanggungjawab Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, jambatan asal dibiayai Kerajaan Persekutuan namun tiada tindakan lanjut walaupun keperluan jambatan baru disuarakan, sejak 2012.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun bersetuju mengeluarkan peruntukan selepas mengambil kira keperluan mendesak lebih 1,000 penduduk di kampung berkenaan.

HULU SELANGOR EAN (2)“Seharusnya Kerajaan Persekutuan beri peruntukan, malangnya tiada bantuan walaupun ia adalah tanggungjawab mereka. Kita kesal dengan sikap sebegitu, namun tidak mengapa kerana Kerajaan Negeri sentiasa bersedia demi kemudahan penduduk,” katanya selepas menyertai lawatan kerja ke tapak jambatan dengan disertai Jurutera Daerah Hulu Selangor (JPS), Halim Masri.

Halim berkata, kerja pembinaan mula dibuat pada 21 Julai lalu dan dijangka siap pada 14 September ini.

Katanya, ia bagaimanapun hanya boleh dilalui kenderaan kecil seperti motosikal, basikal serta pejalan kaki.

“Itu permintaan penduduk di sini untuk membina jambatan konkrit untuk laluan berkapasiti kecil bagi memudahkan penduduk terutama pelajar ke sekolah.

“Ia tidak sesuai untuk laluan kereta, maka kita penuhi permintaan penduduk seperti diminta Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

Daerah vintaj yang kaya warisan

OLEH AFEEQA AFEERA

HULU Selangor bukanlah lokasi asing bagi kebanyakan masyarakat, namun harus diakui popularitinya belum setanding daerah lain di negeri ini.

Ramai menganggap ia adalah daerah ‘old school’ memandangkan seni bina dan reka bentuk bangunannya masih mengekalkan ciri lama tidak seperti di Petaling, jauh sekali Kuala Lumpur.

Hakikatnya ramai tidak menyedari di sebalik ‘lapuk’ Hulu Selangor itu, ia sebenarnya salah satu destinasi yang bukan sahaja kaya warisan, malah dilimpahi kawasan pelancongan menarik khususnya buat pencinta ketenangan dan keindahan alam sekitar.

344A9064Menyedari kepentingan mempromosi pelancongan di daerah itu dan Selangor amnya ke peringkat antarabangsa, Kerajaan Negeri bersama Tourism Selangor sekali lagi menganjurkan program Eat, Travel, Write pada 21 April lalu.

Pemilihan daerah itu dilakukan ekoran potensinya sebagai kawasan tumpuan eko pelancongan negeri di samping meraikan Tahun Melawat Hulu Selangor 2017.

Menelusuri daerah Bunga Matahari

Penerokaan di Hulu Selangor dimulakan dengan melawat Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Kuala Kubu Bharu bagi melihat sendiri penternakan tapir, buaya dan landak.

Ironinya, ia mungkin kelihatan biasa di mata masyarakat, namun pengunjung berpeluang mendekati hidupan liar di situ secara lebih dekat serta didedahkan berkenaan rutin penjagaan seharian.

Menariknya, kebanyakan hidupan liar dipelihara kesan daripada kecederaan dialami ketika berada di dalam hutan dan diberikan rawatan serta penjagaan rapi sepanjang hayat mereka.

344A8989Rasanya tidak lengkap jika ke Kuala Kubu Bharu tetapi tidak singgah di Bukit Fraser yang terkenal dengan konsep ekopelancongan di samping keseimbangan warisan bandar taman.

Udara nyaman menemani sepanjang perjalanan mendaki Bukit Fraser memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana.

Di situ, antara kawasan penginapan terkenal adalah Rumah Rehat Seri Berkat bercirikan Inggeris yang dibina sekitar 1926 oleh Pertubuhan British Red Cross, ditujukan kepada bekas anggota tentera pada 1914.

Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada Tanah Melayu atas kemurahan hati dan kerjasama diberikan sewaktu zaman pemerintahan mereka di luar negara ketika zaman peperangan.

Maka, tidak hairanlah Bukit Fraser menerima jolokan ‘Little Scotland’ di samping suhu sejuk dan berkabus ketika waktu petang sehingga subuh yang membolehkan pengunjung menghirup udara segar.

Riadah dan rekreasi

Ruginya jika menjelajah ke Hulu Selangor tetapi tidak singgah di tempat riadah yang kian menggapai populariti iaitu Sungai Chilling Kelah Sanctuary.

Biarpun laluannya agak ekstrem, namun keletihan akan terhapus sendiri sebaik sahaja melihat kejernihan sungai dan air terjun semulajadi yang dimiliki di kawasan itu.

Sesuai dengan nama ‘chilling’ atau santai, ia sinonim untuk aktiviti riadah dan berkhemah buat mereka yang gemarkan ‘nature’.

Selain itu, pengunjung juga boleh melihat ratusan ikan kelah yang diternak di dalam sungai serta memberi makanan secara bebas kepada mereka.

344A9330Uniknya di situ, sebelum pengunjung dibenarkan mendaki ke puncak, renjer akan memeriksa kandungan beg dan mengira jumlah bekas makanan yang dibawa ke atas.

Tindakan sama akan dilakukan sebaik sahaja pengunjung turun semula ke bawah bagi memastikan jumlah bekas makanan yang dibawa tadi masih sama bilangannya.

Ia bagi memastikan pengunjung tidak membuang sampah sesuka hati ketika berada di puncak kerana kegagalan berbuat demikian akan dikenakan penaliti atau denda.

Selain Sungai Chilling, pengunjung juga boleh menikmati aktiviti paragliding di Taman Millenium Kuala Kubu Bharu yang turut dilengkapi mini stadium serta kelengkapan riadah kelas pertama.

Landskapnya yang indah nyata memukau pandangan buat sesiapa berpeluang mencuba sukan lasak itu yang dikatakan ‘ubat’ bagi si penggayat.

Kaya makanan

Bagi melengkapkan lawatan ke Hulu Selangor, pengunjung harus mencuba aneka juadah enak di daerah itu, antaranya Tart Bangkahulu yang berasal dari Indonesia.

Tart mungkin biasa dijadikan juadah ketika hari raya, namun Bangkahulu tampil sedikit berbeza daripada segi bentuk dan acuannya.

Kuih tradisional itu dikatakan antara yang popular di Kuala Kubu Bharu dan belum pernah dihasilkan di mana-mana daerah lain selain Hulu Selangor.

344A8745Menu wajib cuba buat sesiapa yang berkunjung ke Hulu Selangor adalah masakan Asam Pedas Udang Galah yang pasti membuatkan anda terliur.

Di sebalik kesegaran udang galah yang dihidangkan, sekali lagi hanya Hulu Selangor yang menawarkan juadah seperti itu.

Pepatah ada mengatakan, tak kenal maka tak cinta. Jika tidak ke Hulu Selangor, bagaimana mahu selami keunikannya yang mungkin tiada di tempat lain.

Apa yang pasti, persepsi daerah ketinggalan zaman akan terhakis dari minda sebaik sahaja kaki menjelajah ke pelusuk Hulu Selangor.

Jika mahu diceritakan satu persatu, tidak habis rasanya. Luangkanlah sedikit masa berkunjung ke sana untuk merasai sendiri keindahan Hulu Selangor.

Kerjasama Kementerian Pelancongan tingkat pelancongan Selangor dialu-alukan

Selangor mengalu-alukan kunjungan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz meninjau beberapa lokasi sekitar Hulu Selangor yang berpotensi untuk dibangunkan