Categories
SELANGOR

Hutan simpan kekal meningkat 3,000 hektar

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 SEPT: Keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Selangor mencatatkan penambahan lebih 3,000 hektar sejak lima tahun lalu dan ia bercanggah dengan laporan sebuah akhbar harian baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Dr Mohd Puat Dahalan berkata, laporan dibuat akhbar itu kurang tepat kerana ia mengambil kira keluasan hutan paya laut di Selangor secara keseluruhan.

paya_bakau_hutan_wikipedia“Keluasan hutan paya laut seperti dinyatakan akhbar itu iaitu seluas 22,530 hektar adalah jumlah keseluruhan hutan paya laut di Selangor terdiri daripada HSK dan juga Hutan Tanah Kerajaan.

“Berdasarkan rekod JPNS, keluasan HSK sebenarnya bertambah daripada 15,090 hektar kepada 18,998 hektar sejak 2009.

“Ini termasuk kawasan Hutan Simpan Pulau Ketam yang diwartakan sebagai HSK pada 6 Mei 2009 melalui Gazet Nomber 1790 iaitu seluas 2,365 hektar yang pada asalnya adalah tanah kerajaan,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Puat berkata, kawasan hutan paya laut yang diawartakan sebagai HSK turut merangkumi hutan paya laut di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Di samping itu, katanya, sejak 2010 sehingga kini, tiada sebarang pewartaan keluar kawasan HSK di hutan paya laut dilakukan.

“Semua pembangunan tanah membabitkan hutan paya laut adalah tanah kerajaan dan tanah beri milik sahaja.

“Lokasi pemnempatan bagi penduduk di Pulau Ketam adalah di dalam kawasan tanah kerajaan dan ianya terletak di bawah pentadbiran Pejabat Tanah/Daerah Klang,” katanya.

Pulau Ketam adalah satu-satunya daripada enam pulau dilaporkan bakal lenyap yang diduduki iaitu kira-kira 5,000 penduduk. Lima pulau yang lain ialah Pulau Klang, Pulau Tengah, Pulau Selat Kering, Pulau Che Mat Zin dan Pulau Pintu Gedong yang semuanya terletak di pesisiran pantai Klang.

Merujuk kepada keadaan hakisan dibangkitkan, Mohd Puat berkata, ianya adalah proses semula jadi di kawasan pesisir pantai yang berombak.

“Proses ini adalah berkait rapat dengan kaedah ‘cut’ dan ‘fill’ secara semula jadi yang berterusan. Tambakan kelopak serta pasir laut menghasilkan daratan baru yang lebih dikenali sebagai ‘mudflats’.

“Terdapat beberapa daratan baru telah terjadi seperti bersebelahan Hutan Simpan Pulau Ketam, Hutan Simpan Pulau Tengah dan Hutan Simpan Pulau Che Mat Zin,” katanya.

EZY