Categories
PENDAPAT RENCANA

Bijak urus pendapatan, elak kejutan kewangan

OLEH NUR ASYIKIN AMINUDDIN

*Artikel ini dibawa oleh Fomca dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Selangor

Bermula dari tahun 2011, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) merasakan bahawa literasi kewangan harus diberikan keutamaan di dalam agenda nasional. Maka bulan Oktober adalah sebagai Bulan Literasi Kewangan, di mana kami menggalakkan setiap pengguna harus menilai tahap kewangan mereka dan perlu mengetahui langkah-langkah untuk menguruskan perancangan kewangan dan meningkatkan kemampuan pengurusan kewangan mereka.

Data mengenai tingkah laku kewangan pengguna di Malaysia begitu membimbangkan. Sebanyak enam juta pekerja di kawasan bandar memperoleh gaji di bawah tangga gaji yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia yang ditakrifkan sebagai gaji minimum oleh pengguna untuk menjalani taraf hidup yang bersesuaian. Malah, simpanan mereka juga rendah. Dilaporkan bahawa 88 peratus isi rumah di Malaysia tidak mempunyai simpanan, sementara 62 peratus pengguna dilaporkan tidak mempunyai simpanan cukup.

Hutang isi rumah rakyat Malaysia juga adalah tinggi. Pada 2019, hutang isi rumah keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah sebanyak 82.7 peratus. Hutang isi rumah yang tinggi akan menyebabkan isi rumah lebih mudah terdedah kepada kejutan kewangan. Pada peringkat mikro, 47 peratus pengguna di Malaysia diklasifikasikan sebagai mempunyai hutang yang banyak, di mana pembayaran hutang mereka adalah lebih daripada 30 peratus daripada pendapatan mereka.

Belanja melebihi pendapatan

Seterusnya, satu kajian terhadap pekerja muda melaporkan bahawa sebanyak 37 peratus daripada mereka berbelanja lebih daripada apa yang mereka perolehi. Pengguna di Malaysia mempunyai pendapatan yang rendah, simpanan yang rendah dan hutang yang tinggi.

Dari segi literasi kewangan, rakyat Malaysia mempunyai skor yang agak rendah. Melalui tinjauan global mengenai literasi kewangan, rakyat Malaysia memperoleh 36 peratus, berbanding 59 peratus di negara maju. Hanya 28 peratus pengguna melaporkan bahawa mereka mempunyai keyakinan terhadap kemahiran pengurusan kewangan mereka sementara hanya 31 peratus melaporkan bahawa mereka mempunyai keyakinan dalam menangani produk kewangan. Dilaporkan juga bahawa 70 peratus rakyat Malaysia memerlukan program pendidikan kewangan.

Wabak Covid-19 ini bukan sahaja memberi kesan terhadap krisis kesihatan tetapi juga krisis ekonomi. Dua statistik yang sangat membimbangkan adalah sejumlah 52 peratus pengguna di Malaysia didapati sukar untuk memperoleh RM 1,000 dalam menghadapi sebarang kecemasan kewangan dan hanya 24 peratus pengguna di Malaysia mempunyai simpanan yang mencukupi untuk perbelanjaan lebih daripada tiga bulan sekiranya mereka kehilangan atau terjejas sumber pendapatan. Terutama bagi mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan, wabak pandemik ini akan memberi impak yang negatif yang menjejaskan kualiti hidup mereka.

Celik kendali kewangan

Secara jelasnya, pendidikan kewangan harus diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan negara. Malaysia mempunyai Strategi Nasional untuk Literasi Kewangan. Pengguna, terutama dalam kalangan pekerja muda sangat penting untuk memiliki akses yang lebih luas kepada program pendidikan kewangan untuk memperkasakan mereka dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang agak mencabar di dunia yang realiti.

Objektif utama program literasi kewangan adalah untuk memperkasakan pengguna melalui pengetahuan dan kemahiran mengenai langkah-langkah yang dapat mereka lakukan dalam perancangan dan pengurusan kewangan mereka dengan lebih baik dan memberi mereka pengetahuan dalam membeli produk dan perkhidmatan kewangan.

Untuk meningkatkan kemahiran merancang dan mengurus kewangan mereka, pengguna perlu memulakan dengan mengetahui perbelanjaan yang sebenar untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana mereka sepatutnya membelanjakan wang mereka.

Kemudian pengguna juga dapat membuat penilaian kendiri jika mereka berbelanja dengan tepat, mempunyai simpanan yang mencukupi dan melakukan pembayaran hutang tepat pada waktunya. Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan oleh pengguna untuk menilai tahap kewangan mereka.

Seterusnya, pengguna juga perlu mempunyai matlamat kewangan yang jelas, iaitu matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Aspek penting dalam matlamat kewangan jangka pendek ialah seperti kemampuan untuk mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi manakala matlamat jangka panjang adalah seperti pendidikan anak-anak dan persaraan mereka.

Dengan adanya matlamat kewangan ini, anggaran/bajet bulanan dapat dilakukan. Terdapat satu kajian menunjukkan kurang daripada 28 peratus pengguna membuat penyediaan bajet anggaran, maka pengguna perlu berusaha untuk sentiasa memantau perbelanjaan sebenar dan membandingkannya dengan bajet perbelanjaan yang telah dianggarkan.

Oleh itu, langkah-langkah yang sesuai perlu diambil untuk menjadi pengguna yang lebih berhati-hati untuk memastikan pengguna sentiasa mematuhi bajet yang telah dibuat.

Nilai semula hutang

Langkah yang ketiga adalah pengguna perlu membuat penilaian hutang; di mana hutang mereka perlu berada pada tahap yang wajar, biasanya kurang daripada 30 peratus pendapatan pengguna. Seterusnya, kesemua hutang dengan faedah yang tinggi, seperti hutang kad kredit, perlu dilunaskan secepat mungkin kerana hutang kad kredit adalah salah satu penyebab terbesar masalah kewangan akan menjadi lebih serius, pengguna perlu menguruskan hutang dengan tegas.

Pada masa kini, pengguna sangat beruntung kerana terdapat banyak laman sesawang dan aplikasi di Malaysia yang memberikan maklumat dan nasihat kewangan yang baik mengenai amalan perancangan dan pengurusan kewangan serta produk kewangan seperti pelaburan, amanah saham, insurans dan harta tanah.

Pengguna akan mendapat banyak manfaat dengan menggunakan laman sesawang dan aplikasi ini untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kewangan mereka. Pengguna dapat memperkasakan diri mereka dengan pengetahuan yang cukup lengkap sebelum besemuka dengan penjual produk kewangan, Malah dengan adanya pengetahuan yang tinggi mengenai produk kewangan, pengguna dapat membuat keputusan kewangan yang lebih tepat di dalam hidup mereka tanpa perlu menanggung beban kewangan yang tinggi.

Di dalam keadaan yang mencabar ini, pengguna perlu mengambil inisiatif untuk memperkasakan diri mereka dengan mengambil langkah-langkah yang positif dalam perancangan dan pengurusan kewangan, dan yang paling penting adalah untuk menimba pengetahuan bagi membuat keputusan yang tepat dalam berinteraksi dengan pasaran untuk produk dan perkhidmatan kewangan.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Tekanan kewangan, hutang isi rumah kian meningkat

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Segelintir isi rumah sedang mengalami peningkatan tekanan kewangan walaupun mengamalkan pendekatan lebih berhati-hati sebagaimana dipaparkan menerusi penyusutan pertumbuhan pinjaman selain sekatan pergerakan dan pertimbangan belian yang rendah, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat Jun 2020, hutang isi rumah menyederhana kepada 4.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2019.

“Ini dapat dilihat dalam penyusutan pertumbuhan pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kenderaan bermotor pada separuh pertama 2020 (masing-masing 7.2 peratus dan -0.9 peratus; 2019 : 8.5 peratus dan -0.4 peratus),” demikian menurut BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan — Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut bank pusat itu, leveraj atau hutang isi rumah meningkat paling ketara dalam kalangan mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan pada separuh pertama 2020, di tengah-tengah prospek ketidaktentuan pendapatan serta ketika penampan mudah tunai untuk peminjam berpendapatan kurang RM3,000 sudah di paras ketara.

BNM berkata, peningkatan leveraj itu kebanyakannya disebabkan oleh kenaikan pinjaman bagi tujuan pembelian rumah pada awal tahun ini dan Jun selepas pelancaran semula Kempen Pemilikan Rumah.

Selain itu, walaupun persekitaran pasaran tenaga kerja dijangka bertambah baik di masa depan, peminjam dengan pelbagai pendapatan dan/atau bekerja dengan sektor yang terjejas, diunjur terus berdepan cabaran.

Bagi peminjam terbabit, bantuan bersasar yang dilanjutkan sehingga suku pertama 2021 dilihat dapat memberi bantuan kewangan sementara.

Selain itu, langkah diperkenalkan kerajaan seperti subsidi upah dan program kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran, akan menjadikan aspek penggajian dan prospek pendapatan lebih baik yang dapat menyokong kebolehmampuan membayar hutang.

Mengikut kerangka kewangan yang dipertingkat, BNM menganggarkan peminjam isi rumah yang mungkin menghadapi kesukaran membayar hutang akibat kejutan pendapatan dan pengangguran, tidak mewakili lebih 15 peratus daripada jumlah peminjam.

Dalam kelompok peminjam terbabit, kira-kira satu peratus daripada jumlah peminjam dengan 3.0 peratus hutang isi rumah tertunggak, dijangka terus berdepan kesukaran itu selepas mengambil kira penampan kewangan dan bantuan bayaran balik bersasar yang diberi kepada mereka yang memerlukannya.

Menurut BNM, kira-kira 40 peratus daripada kemungkinan tunggakan hutang isi rumah dengan purata pinjaman kepada nilai adalah sebanyak 70 peratus, sekali gus mengehadkan pendedahan kewangan bagi peminjam terbabit serta kerugian bagi sistem perbankan.

Kualiti aset isi rumah juga dijangka susut sedikit pada separuh kedua 2022 dan sepanjang 2021 selepas berakhirnya tempoh moratorium secara automatik walaupun bank-bank berada di kedudukan baik untuk menyerap kerugian peningkatan kredit.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Lebih baik tulus mengenai keadaan hutang negara

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Lebih baik tulus mengenai keadaan hutang negara daripada menipu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, kerajaan pada hari ini sanggup berterus-terang dan menolak rasuah selain berusaha melaksanakan pembaharuan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya tindakan mendedahkan hutang negara yang mencecah RM1 trilion akan menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

“Agensi penarafan berjumpa saya, saya kata apa (yang anda) mahu. Mahu kita tipu, kita boleh tipu, kita tipu. Itukah (yang) dia mahu. Lebih baik (kita) berterus-terang,” katanya dalam temu bual eksklusif Soal Rakyat yang disiarkan di saluran televisyen TV3 malam tadi.

Rancangan bersiaran selama sejam itu dikendalikan Tan Sri Johan Jaafar dan Mustapha Kamil Mohd Janor sebagai moderator.

Daim berkata, bersikap terbuka mengenai keadaan sebenar akan membolehkan agensi penarafan ​​​​​​​melakukan analisis yang betul mengenai negara dan keputusan pelaburan.

“Dia (agensi penarafan) datang (ke) negara ini (dengan memperolehi butiran yang) semuanya tulus, kalau kita sembunyi, buat apa, esok terkejut. Jangan (berbuat demikian). Mereka faham,” katanya apabila ditanya mengenai sentimen pelabur.

Daim juga memaklumkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan ke Amerika Syarikat dan United Kingdom malah pelabur juga amat berminat untuk mendengar penjelasan beliau mengenai pembaharuan Malaysia.

“Ini yang penting. Jangan sesekali sembunyi. Ini keadaan sebenar. Kita tidak mahu tipu,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sokong usaha anak muda, hapus hutang era BN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 MEI : Masyarakat seharusnya menyambut baik usaha yang digerakkan aktivis, Nur Shazarina Bakti, dalam membantu Kerajaan Malaysia melangsaikan baki hutang negara yang ditinggalkan pentadbiran Umno Barisan Nasional.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiyah Zulkifli berkata, inisiatif itu membuktikan anak muda Malaysia pada masa kini memiliki ‘high moral consciousness’ dalam membina semula negara.

“Usaha ini wajar dipuji. Namun, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki keadaan ini.

“Justeru, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam melaksanakan reformasi dalam sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia yang telah ditinggalkan BN,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau mengulas cadangan Nur Shazarina yang mengajak masyarakat awam mengumpul dana kewangan menyelesaikan baki liabiliti RM1 trilion hutang negara.

Kata Shazarina, usaha itu pernah dijayakan bersama pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman ketika menuntut kemerdekaan tanah air.

Nur Shazarina berkata, komitmen itu wajar mendapat dokongan masyarakat bagi memulihkan imej negara di mata dunia.

Sebelum ini, Nur Shazarina melancarkan kempen, “Please Help Malaysia” bagi mendapatkan dana pembayaran semula hutang negara.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Dulu tiada GST pun Kerajaan Persekutuan boleh bayar hutang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 MAC: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa hutang negara akan meningkat dengan mendadak sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan ditempelak.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hutang negara meningkat disebabkan sikap kerajaan rejim kleptokrasi yang cenderung berbelanja besar.

“Dulu tiada GST boleh pula kerajaan bayar hutang. Tiada satu tahun pun kita tak boleh bayar hutang dan sebelum GST dilaksanakan pada 1 April 2015 Kerajaan juga ada hutang tetapi tiap-tiap tahun hutang dibayar, tiada masalah.

“Kalau kerajaan prihatin jangan manipulasi harga projek, tutup ketirisan, elak rasuah, bukan hendak buat projek besar dan berbelanja besar. Tak perlu GST pun.

“Untuk mengatakan kalau kita tak kenakan GST kepada rakyat Malaysia kita akan gagal bayar hutang kita, itu bukan bukan disebabkan oleh tiada GST tetapi disebabkan pengurusan ekonomi yang buruk oleh rejim kleptokrasi yang ada hari ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, GST diperkenalkan bagi mendapatkan sumber kewangan yang besar untuk kerajaan berbelanja besar dan bukannya untuk memperbaiki ekonomi.

Katanya, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pernah membangkitkan ketidaksamaan agihan pendapatan di antara golongan menengah dan rendah yang membimbangkan di Malaysia perlu diatasi dengan mengambil beberapa langkah progresif.

Katanya lagi, Bank Dunia mencadangkan supaya Malaysia melaksanakan penstrukturan semula cukai korporat dan cukai pendapatan yang lebih bersifat lebih adil apabila cukai ini hanya melibatkan golongan menengah sahaja.

“Jika susun semula cukai ini orang kaya kena cukai lebih, orang miskin tak kena cukai tetapi Najib atau rejim kleptokrasi ini memilih GST sedangkan cukai GST ini regresif bermakna beban ditanggung lebih besar dan berat oleh orang miskin, semakin miskin kamu semakin besar beban yang kamu tanggung di bawah cukai GST,” katanya lagi.

Sebelum ini, Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan bertema ‘Membina Negara Memenuhi Harapan’ menjanjikan akan menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Hutang lapuk sukarkan MSN Selangor berdiri sendiri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri berpandangan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) masih tidak mampu berdiri sendiri sebaliknya memerlukan pembiayaan dana daripada kerajaan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, MSN yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri sejak 2009-2010 kini masih menanggung hutang lapuk hampir RM20 juta.

“Ketika ini saya katakan tidak mampu. Malah, sebelum ini di zaman Barisan Nasional juga dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri.

“Dari rekod yang diperolehi agak menakutkan. Bukan sahaja ada aset malah terpaksa menampung hutang lapuk. Lebih RM20 juta ditanggung dari RM40 juta hasil daripada pembangunan kepada aset MSN yang dibuat dahulu

“Seharusnya, pembangunan yang dibuat mendatangkan hasil akhirnya kita terpaksa tanggung hutang. Ini satu beban besar yang terpaksa ditanggung MSN,” katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri Permatang, Sulaiman Razak.

Katanya, tanah yang seharusnya diberikan kepada MSN untuk membayar hutang dan dibangunkan kawasan perumahan tetapi hutang tidak dibayar dan lebih menggemparkan data berkenaan turut hilang berdasarkan maklumat yang diperoleh.

Katanya, adalah lebih baik MSN memberikan tumpuan memastikan Selangor menyediakan atlet untuk bersaing diperingkat kompetatif atau sukan berprestasi tinggi.

“Biarlah MSN tumpu kepada pembangunan sukan sebaliknya pengurusan harta diuruskan MBI atau Darul Ehsan Facilities secara profesional,” katanya.

Menyentuh soal peruntukan MSN, sejumlah RM5.6 juta diperuntukkan untuk pengurusan dengan pecahan emolumen RM4.2 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM999,000), perolehan aset (RM37,000), pemberian dan kenaan tetap (RM136,000 serta perbelanjaan (RM205,000).

Sehingga kini, MSN mempunyai 78 pegawai berbanding 40 kerana pertambahan tugas untuk menguruskan gerak kerja generasi muda dan belia, pada 2008.

 

Categories
NASIONAL

PTPTN, gaji rendah faktor belia terjebak hutang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 OKT: Kadar upah rendah dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membiayai pengajian antara faktor mendorong generasi muda, di negara ini terjebak dengan hutang.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan itu turut mendorong perkembangan budaya berhutang dalam kalangan generasi muda.

“Sekarang ini nak beli apa sahaja generasi muda terpaksa berhutang apabila gaji yang diterima tidak selaras dengan kenaikan harga barangan atau kos sara hidup.

“Keadaan ini menjelaskan apa diumumkan BNM tahun lalu kenapa paras hutang isi rumah negara setinggi 89.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu antara yang tertinggi di Asia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, selain pinjaman PTPTN, hutang kad kredit turut merupakan antara yang tertinggi, di negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak amalan berbelanja melebihi kemampuan turut memberi kesan terhadap peningkatan hutang dalam kalangan sesetengah generasi muda.

“Pertumbuhan ekonomi semasa negara yang tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun ini turut menyebabkan banyak syarikat terpaska menghentikan operasinya, sekali gus memberi kesan besar kepada golongan pekerja yang berhutang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Gagal bayar hutang 1MDB, kerajaan bakal berdepan masalah kewangan

SHAH ALAM, 3 OGOS – Kerajaan perlu menyediakan kewangan yang lebih berhemah ekoran 1Malaysian Development Berhad (1MDB) gagal membayar hutang kerana situasu itu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ramon Navaratnam berkata, pertana kali badan kerajaan gagal mengikut jadual pembayaran apabila 1MDB melepasi tarikh akhirnya untuk membayar hutang AS$600 juta (RM2.6 bilion) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Saya terkejut. Ini bukan cara kita. Kita sentiasa menepati tarikh pembayaran hutang,” katanya yang pernah berkhidmat selama 27 tahun dalam perbendaharaan Malaysia, lapor Malaysia Insight.

Ramon yang juga bekas Pengerusi Transparency International Malaysia serta Ketua Pusat Pengajian Dasar dan Awam Institut Strategi Kepimpinan Asia berkata, beliau lupa bila negara pernah meminta penangguhan atau rundingan untuk bayaran lebih rendah selain tidak melanggar tarikh akhir untuk membayar hutang.

1MDB02“Kita sentiasa sentiasa berhemah daripada segi kewangan dan tepat. Ini pastinya bukan cara kita.

“Amat menyedihkan untuk berada dalam situasi ini. Perbelanjaan dana awam yang berhemah dan tadbir urus baik adalah penting kerana jika tidak masalah seperti ini akan timbul dan berulang,” katanya.

Pemilik IPIC, Mubadala dalam satu kenyataan hari ini memberi tempoh lima hari kepada 1MDB untuk membayar tunggakan bayaran semalam dan ‘berdepan tindakan lanjut’ jika gagal melunaskannya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan, kegagalan 1MDB membuat pembayaran kerana ‘masalah teknikal’ bukan kerana tiada wang.

Pada 1 Ogos lalu, 1MDB memaklumkan IPIC pembayaran yang perlu dibuat pada 31 Julai akan dibayar bulan ini kerana menunggu dana yang seharusnya diterima bulan lalu.

Pembayaran kepada IPIC itu dibuat menggunakan pelan rasionalisasi 1MDB.

Sehubungan itu, Ramon berkata, tidak mungkin kerajaan akan meminta penangguhan atau terlepas lagi untuk membuat bayaran kerana ia menunjukkan kerajaan berdepan masalah kewangan.

“Secara teknikalnya, ia boleh diterima tapi tidak diingini. Bermakna tidak ukur baju di badan sendiri,” katanya.

Pakar ekonomi, Yeah Kim Leng pula berkata, pembayaran hutang perlu diselesaikan secepat mungkin kerana reputasi negara bakal terjejas.

“Jika tidak diselesaikan, ia akan meninggalkan kesan dalam sejarah pembayaran hutang kita,” katanya.

Malah, Kim Leng yang juga profesor ekonomi di Universiti Sunway berkatab, jika bayaran seterusnya masih gagal dibuat 1MDB, maka vpenarafan kredit negara akan menurun.

“Kesannya terhadap negara agak teruk. Tambahan pula, 1MDB rapat dengan kerajaan yang menyediakan sokongan kepadanya, maka reputasi kerajaan juga dipertaruhkan,” katanya.

Beliau berkata, satu kemungkinan daripada situasi itu adalah Kerajaan Pusat akan membayar hutang 1MDB terlebih dahulu jikabsyarikat pelaburan terbabit gagal mendapatkan wang dalam tempoh diberikan.

“Ia mungkin membuatkan kerajaan membayarnya terlebih dahulu, dan menjadikan ia hutang negara,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

LKAN 2016: Selangor negeri kedua tunggakan bayaran balik terendah selepas P.Pinang

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 1 OGOS: Laporan Ketua Audit Negara 2016 (LKAN) yang dikeluarkan pada 31 Julai menunjukkan jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Selangor adalah kedua terendah di negara ini selepas Pulau Pinang berbanding 12 negeri lain.

Menurut laporan itu, Selangor hanya mempunyai tunggakan bayaran balik sebanyak RM14.67 juta, berbanding RM27.09 juta pada akhir 2015.

Pulau Pinang dilaporkan tidak mempunyai sebarang hutang tertunggak pada akhir tahun lalu, berbanding RM1.49 juta yang ditanggung pada akhir 2015.

Laporan LKAN itu juga menunjukkan tunggakan bayaran balik ditanggung Pahang meningkat dan merupakan jumlah tertinggi iaitu RM1,087.93 juta berbanding RM929.85 juta pada akhir 2015.

HUTANG LKAN

Ia diikuti Kedah yang mempunyai jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman tertinggi, iaitu RM1,028.85 juta berbanding RM1,027.69 juta pada akhir 2015.

Manakala Terengganu di tempat ketiga  tunggakan bayaran balik pinjaman tertinggi berjumlah 502.36 juta berbanding RM465.43 juta pada akhir 2015.

Sementara ditempat keempat adalah Melaka dengan  tunggakan bayaran balik pinjaman tertinggi berjumlah RM405.03 juta berbanding RM337.84 juta pada akhir 2015.

 Tunggakan bayaran balik pinjaman semua kerajaan negeri secara keseluruhannya meningkat daripada RM3.985 bilion pada akhir 2015 kepada RM4.225 bilion pada akhir tahun lalu.

Peningkatan itu melibatkan peningkatan tunggakan Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu.

Manakala, tunggakan bayaran balik pinjaman bagi Johor, Perak, Sarawak dan Selangor berkurangan.

Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mengemukakan 353 syor bagi membantu Kerajaan Persekutuan, badan berkanun persekutuan dan kerajaan negeri memperbaiki kelemahan dilaporkan.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Hutang luar negara RM848.2 bilion, hutang Kerajaan Persekutuan RM655.7 bilion

KUALA LUMPUR 22 OKT: Hutang luar Malaysia berjumlah RM848.2 bilion atau 68.8 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2016 berbanding RM833.7 bilion pada akhir 2015.

Manakala hutang Kerajaan Persekutuan berada pada paras RM655.7 bilion atau 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2016.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/2017, hutang dalam negeri kekal sebagai bahagian terbesar daripada jumlah hutang iaitu sebanyak 95.9 peratus manakala selebihnya daripada pinjaman luar pesisir.

Pada akhir Jun 2016, hutang dalam negeri Kerajaan Persekutuan berjumlah RM628.8 bilion, sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII), menurut laporan itu yang dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2017.

MGS, sebagai instrumen terbesar terbitan Kerajaan Persekutuan, mencatat RM365.9 bilion atau 55.8 peratus daripada jumlah hutang manakala MGII sebanyak RM230 bilion.

“Peratusan MGII kepada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat kepada 35.1 peratus berbanding 21.8 peratus pada 2010, mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa,” demikian menurut Laporan Ekonomi itu.

Sebahagian besar MGS dan MGII dipegang oleh institusi kewangan iaitu sebanyak 27.1 peratus, diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (23.1 peratus) dan syarikat insurans (4.9 peratus).

Sebagai langkah pengurusan aliran tunai yang lebih baik, Bil Perbendaharaan Malaysia dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia diterbitkan secara berkala dengan tempoh matang 12 bulan dan ke bawah.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/2017, pinjaman luar persisir berjumlah RM26.9 bilion, terdiri daripada pinjaman pasaran dan pinjaman projek.

Daripada jumlah ini, pinjaman pasaran merangkumi 75.3 peratus dan bakinya pinjaman projek. Pinjaman projek diperoleh menerusi sumber dua hala dan pelbagai hala terdahulu, bagi membiayai program khusus dan projek infrastruktur seperti perumahan, pembetungan dan empangan.

Hutang luar Malaysia berjumlah RM848.2 bilion atau 68.8 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2016 berbanding RM833.7 bilion pada akhir 2015.

Sebahagian besar hutang ini terdiri daripada deposit dan pegangan bukan pemastautin ke atas sekuriti hutang berdominasi ringgit sebanyak RM309.6 bilion atau 25.1 peratus daripada KDNK, diikuti hutang sektor swasta sebanyak RM166.7 bilion atau 13.5 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, pinjaman luar pesisir oleh sektor awam sebanyak 9.9 peratus daripada KDNK dengan hutang Kerajaan Persekutuan hanya berjumlah 2.0 peratus.

Pinjaman luar pesisir meningkat 0.7 peratus kepada RM466.7 bilion pada akhir Jun 2016, terutama disebabkan oleh terbitan kertas hutang mata wang asing termasuk terbitan Sukuk Global Wakalah berjumlah AS$1.5 bilion pada April 2016.

Hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM24.6 bilion disebabkan kesan penilaian serta terbitan pra-pembiayaan bagi penebusan sukuk global US$1.2 bilion yang matang pada Julai 2016 dan kekal rendah pada 5.3 peratus daripada jumlah pinjaman luar pesisir.

Pegangan pelabur asing dalam MGS dan MGII meliputi 34 peratus daripada jumlah kedua-dua instrumen berbanding 31.2 peratus pada akhir 2015.
Sehingga akhir 2015, hutang sektor awam Malaysia berjumlah RM870 bilion atau 75.2 peratus daripada KDNK.

Hutang Kerajaan Persekutuan sebagai komponen terbesar, berjumlah RM630.5 bilion atau 72.5 peratus daripada jumlah hutang sektor awam.

Categories
NASIONAL

Hutang RM700 bilion: Pusat patut ambil iktibar Sepanyol

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Pusat disaran mengambil iktibar situasi ekonomi Sepanyol yang kini menanggung hutang melebihi USD1 trilion iaitu mencecah 100 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.

Mantan Pengarah Bank Negara, Dr Rosli Yaakob berkata sedangkan tiga tahun lalu Kerajaan Sepanyol hanya menanggung hutang antara 70 hingga 80 peratus berbanding KDNK mereka tetapi melonjak kepada hampir mencecah 100 peratus hari ini walaupun memperkenalkan dasar menaikan pelbagai cukai kepada rakyat Sepanyol.

spain-euro.gi.top“Sepanyol gagal mengawal perbelanjaan mereka hingga menyebabkan Sepanyol hari ini terpaksa menanggung hutang lebih USD1 trilion atau hampir mencecah 100 peratus dibandingkan dengan KDNK,” kata Dr Yaakob dihubungi Selangorkini.

Jelas Dr Rosli, Kerajaan Pusat sepatutnya menjadikan Kerajaan Selangor sebagai model yang mengamalkan perbelanjaan berhemah, menyekat ketirisan dan membendung amalan rasuah dengan bersungguh-sungguh.

pencapaian6“Kerajaan Pusat tidak langsung mahu menjadikan Kerajaan Selangor sebagai contoh. Mereka masih lagi mengamalkan memberikan projek kepada kroni secara rundingan terus. Langsung tidak ada langkah berjimat-cermat,” kata beliau lagi.

Dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara, sejak 2009, Kerajaan Selangor setiap tahun mendapat pujian ekoran kejayaan mengurus sumber kekayaan negeri terkaya itu dengan cekap dan berhemah sehingga membolehkan Kerajaan Negeri itu mengumpul rezab daripada RM400 juta pada 2008 kepada RM3.2 bilion ketika ini.

Dr Rosli YaakopTambah Dr Rosli, kegagalan Sepanyol mengawal hutang merupakan bukti kukuh bahawa perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan memberi kesan positif kepada ekonomi dan hutang negara sebaliknya kerajaan perlu mengkikis tabiat yang cenderung kepada pembaziran, ketirisan dan rasuah terlebih dahulu.

Kata beliau lagi, jumlah hutang negara yang mencecah RM700.1 bilion  pada suku tahun pertama tahun ini seperti diumumkan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz itu juga membuktikan kerajaan pusat tidak melaksanakan langsung janji mahu mengawal perbelanjaan sekaligus mengurangkan hutang negara.

EZY