Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Ibadah korban di Selangor kekal dilaksana dengan SOP ketat

SHAH ALAM, 15 JULAI: Ibadah korban di Selangor sempena sambutan Aidiladha kekal dilaksana empat hari berturut bermula 20 Julai dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata hanya lima petugas dibenarkan terlibat dalam proses sembelihan tersebut pada satu-satu masa.

“Sebaiknya mereka yang terlibat nanti sudah menerima satu dos vaksin dan patuh SOP untuk mengurangkan jangkitan Covid-19,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata demikian selepas Program Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk penduduk Taman Sri Andalas di Restoran D’Rakit Taman Rakyat, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi mengagihkan Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk penduduk Taman Sri Andalas. 15 Julai 2021. Foto : Facebook N49 DUN Sungai Kandis.

Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata agihan daging korban pula akan diagih rumah ke rumah dan penerima tidak dibenar hadir ke masjid atau tempat sembelihan.

“Biasanya masjid akan ada senarai penerima, justeru saya nasihatkan mereka yang menerima hanya tunggu di rumah dan tidak perlu datang ke masjid,” katanya.

Hanya tiga premis di Selangor dibenar menjalankan sembelihan ibadah korban iaitu rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang atau kandang ternak berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (JPVS) dan masjid di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Categories
AGENDA NASIONAL

Masjid antara tiga premis di Selangor dibenar laksana sembelihan korban

KLANG, 12 JULAI: Hanya tiga premis di Selangor dibenarkan untuk menjalankan sembelihan bagi aktiviti ibadah korban sempena perayaan Aidiladha yang akan disambut umat Islam 20 Julai ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata premis yang dibenarkan ialah rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang atau kandang ternak yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (JPVS); dan masjid di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Mana-mana pihak atau badan bukan kerajaan (NGO) mesti menjalankan (sembelihan) di tempat ini dan perlu berdaftar serta mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Kalau melalui masjid, pihak pengurusan akan daftarkan nama itu dengan pejabat agama Islam daerah (PAID) (di bawah JAIS) manakala untuk yang dua lagi boleh terus kepada JPVS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan memorandum bantahan wakil penduduk Sri Mersing, Taman Sri Andalas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang hari ini.

Mohd Zawawi berkata berhubung status perkembangan proses vaksinasi kepada petugas ibadah korban, beliau berkata pihaknya hanya mensyaratkan sekurang-kurangnya mereka telah selesai mendapat satu dos suntikan.

Terdahulu, Mohd Zawawi berkata hasil perbincangan pihaknya bersama PKD Klang hari ini bersetuju bagi menyemak semula lokasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Taman Sri Andalas, dekat sini yang didakwa lokasi hampir dengan perumahan penduduk di kawasan itu.

Jelasnya, PKD tersebut akan segera melakukan penambahbaikan antaranya mengawal keadaan lalu lintas, menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat dan menyediakan lokasi tempat letak kereta bersesuaian untuk pesakit yang hadir ke CAC tersebut.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Hanya petugas divaksin dibenar terbabit ibadah korban

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerajaan Selangor menetapkan petugas ibadah korban perlu dalam kalangan mereka yang telah divaksin.

EXCO pertanian berkata pihak bertanggungjawab perlu menyenaraikan nama mereka belum disuntik untuk dimasukkan dalam Program Vaksin Selangor (Selvax) bagi mendapatkannya sebelum terbabit dalam kerja ibadah berkaitan.

“Kita telah minta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghubungi masjid untuk senaraikan nama petugas yang belum divaksin.

“Sekurang-kurangnya mereka sudah disuntik dos pertama. EXCO kesihatan juga dimaklumkan supaya masukkan kumpulan ini sebagai keutamaan,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sumbangan Korban di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Jelasnya, perkara itu ditekankan bagi mewujudkan suasana lebih selamat ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Pada sidang media turut dihadiri Dato’ Menteri Besar dengan diumumkan sebanyak 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing diperuntuk bagi program berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan korban berjumlah RM5.05 juta itu ditaja sembilan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Fahami, hayati erti ibadah korban

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat Selangor memahami, mendalami dan menghayati ibadah korban demi kesejahteraan negeri ini.

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ibadah pada tahun ini memberi pengertian berbeza kerana negara sedang berdepan ancaman Covid-19.

“Namun saya sangat yakin Selangor mampu bangkit dengan tangkas berdepan dengan cabaran getir ini,” katanya menerusi video dikongsi di laman sesawang amirudinshari.com .

Amirudin berkata selaku Menteri Besar, dirinya banyak mengorbankan masa bersama keluarga demi bekerja serta menjaga kepentingan rakyat.

“Sedikit melukakan hati dalam keadaan tertentu saya perlu mengorbankan kepentingan peribadi demi kepentingan awam dan masyarakat,” katanya.

Perasaan sama dikongsi isteri Datin Seri Masdiana Muhamad apabila diri dan anak-anaknya melakukan banyak pengorban sejak Amirudin dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar.

“Amirudin kadang kala meluahkan pengorbanan dilakukannya, beliau berkorban masa tidak sama seperti ayah lain, kadang-kadang dia mohon maaf sebab tidak dapat luangkan banyak masa dengan saya dan anak-anak,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ibadah korban lancar dalam suasana norma baharu

SHAH ALAM, 31 JULAI: Aktiviti ibadah korban sempena Aidiladha dalam suasana norma baharu tetap berjalan lancar meskipun mengambil sedikit masa untuk selesai.

Imam Surau Sijangkang Jaya, Salimun Tuginan berkata sebelum ini proses penyembelihan serta melapah haiwan korban dibuat dalam tempoh singkat berikutan pembabitan ramai individu.

“Kali ini kita ada tatacara operasi piawai (SOP) dan terhad 20 orang untuk seekor haiwan. Jadi tenaga kerja kurang namun tetap lancar.

“Proses ibadah ini sama sahaja cuma tahun ini ada kelainan kena jaga jarak. Ini penting untuk elak penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pagi tadi, Salimun menyempurnakan proses menyembelih empat ekor lembu sumbangan Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Botanic di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan SOP sambutan Aidiladha mengehadkan jumlah haiwan tidak lebih 10 ekor di tempat penyembelihan dan kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut nisbah 20 orang untuk setiap haiwan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SOP ketat, ibadah korban tetap dilaksanakan – MB

SHAH ALAM, 29 JULAI: Umat Islam di negara ini masih berpeluang melaksanakan ibadah korban walaupun berdepan tatacara operasi piawai (SOP) ketat ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, kata Dato’ Menteri Besar.

“Alhamdulillah ibadah korban tetap dapat dijalankan tahun ini di bumi Malaysia. Dapatlah kita menyantuni mereka kurang bernasib baik dan berkongsi kegembiraan bersama di hari kebesaran umat Muhammad ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan Aidiladha hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengajak umat Islam bersama-sama ‘berkorban’ menahan lapar dan dahaga dengan menjalani ibadah puasa esok sempena Hari Arafah sebagai simbolik rasa kerinduan pada tanah suci, Mekah dan Madinah.

“Akhir sekali, saya mengucapkan selamat Aidiladha buat semua warga Selangor. Izinkan saya menzahirkan sekali lagi rasa terima kasih yang tak terhingga kepada petugas barisan hadapan atas pengorbanan mereka semenjak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan sehingga kini,” katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan SOP Aidiladha diperketatkan iaitu haiwan korban tidak boleh melebihi 10 ekor manakala bilangan kehadiran terhad kepada 20 orang untuk setiap ekor haiwan.

Pada masa sama, jamuan di rumah sempena hari raya korban terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa dan individu yang masih dalam proses kuarantin pula dilarang keluar rumah mahupun menunaikan solat sunat Aidiladha.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibadah korban dibenarkan, tertakluk jabatan agama negeri

SHAH ALAM, 24 JUN: Ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha hujung Julai ini dibenarkan dan tertakluk kepada jabatan agama negeri masing-masing, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Yaakob berkata bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur aktiviti itu boleh diadakan di masjid, surau atau kawasan dibenarkan pihak berkuasa agama.

“Selain itu, sebanyak 28 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) termasuk 31 rumah sembelihan ruminan swasta yang dilesenkan JPV turut dibenarkan untuk penyembelihan.

“Kita mengesyorkan aktiviti sembelihan dibuat di pusat sembelihan bagi memudahkan kawalan daripada segi penjarakan sosial,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) lengkap serta bersesuaian bagi ibadat tersebut dan negeri lain boleh menggunakan garis panduan itu sebagai rujukan jika kebenaran sama diberikan.

“Penganjur perlu melaporkan aktiviti ibadah korban kepada pejabat kesihatan daerah terdekat selain memastikan jemaah sihat dan tidak bergejala serta tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun hadir.

“Kapasiti kehadiran petugas tidak boleh melebihi 30 orang bagi menguruskan seekor lembu dan bilangan korban perlu bersesuaian dengan keupayaan jumlah petugas dilantik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor titah ibadah korban hanya di masjid

SHAH ALAM, 18 JUN: Ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha hanya boleh dilakukan di masjid yang dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu sahaja meliputi mukim zon hijau.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perkara tersebut diputuskan selepas berbincang dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Shahzihan Ahmad.

“Ibadah korban tidak boleh dilakukan di surau dan orang ramai digalakkan untuk melakukan korban di kawasan masjid yang dibenarkan,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Antara masjid yang dibenar melakukan ibadah korban ialah:

a) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam

b) 38 masjid yang sebelum ini dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu berjemaah

c) Masjid di seluruh negeri dalam mukim zon hijau (tertakluk kepada kedudukan semasa mukim)