Categories
AGENDA NASIONAL

Pendekatan PdPR diubah, ibu bapa ambil tugasan anak di sekolah

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Setelah lebih setahun negara dilanda pandemik Covid-19 yang turut menyebabkan perubahan drastik terhadap kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dari bersemuka kepada PdP di Rumah (PdPR), para guru dan pelajar serta ibu bapa kini dilihat semakin dapat menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Meskipun pada awalnya pelbagai halangan dan kesukaran dilaporkan untuk melaksanakan dan mengikuti PdPR ini, namun seiring waktu berlalu halangan itu dapat diatasi kini dengan inisiatif mewujudkan pelbagai kaedah PdP dan bukan lagi bergantung sepenuhnya terhadap PdPR secara dalam talian.

Perkara ini diakui Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan  (SK) Sega, Rantau, Negeri Sembilan Intan Mardiana Roslan, 39, yang berasa lebih selesa untuk melaksanakan PdPR ketika ini berbanding ketika mula dilaksanakan secara mengejut sebelum ini.

“Kalau PdPR 1.0 (kali pertama) yang dilaksanakan pada Mac 2020, semua dilakukan secara dalam talian, ia bukan sahaja menyukarkan murid dan ibu bapa untuk mengikutinya malah turut memberi tekanan kepada guru untuk melaksanakan tugasan ditambah lagi dengan masalah ketiadaan gajet dan capaian internet.

“Namun atas pengalaman yang telah dilalui pada PdPR kali pertama,  kita ambil inisiatif untuk tambah baik kaedah PdPR kali kedua bermula pada November 2020 dengan pelbagaikan kaedah pembelajaran dan tidak lagi bergantung sepenuhnya secara dalam talian dan hasilnya dapat dilihat dalam PdPR terbaru  dilaksanakan sejak Mei 2021 berlangsung secara lebih tenang dan teratur,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Katanya, antara kaedah PdPR secara bukan dalam talian adalah penggunaan modul yang mengandungi beberapa subjek diambil sendiri oleh ibu bapa di sekolah untuk disiapkan dalam tempoh tertentu.

“Penggunaan modul ini kita beri sekali dalam seminggu tetapi tugasannya adalah untuk tempoh tiga minggu, selepas itu biasanya ibu bapa akan datang semula ke sekolah untuk menghantar tugasan anak-anak mereka dan begitulah seterusnya.

“PdPR kali ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar kerana kita sudah selaraskan ikut keperluan dan keselesaan ibu bapa, penjaga serta murid dan pihak sekolah yang mana untuk tugasan PdPR kali ni kita bagi mengikut keselesaan antara tiga pihak ini dengan pelbagaikan kaedah penyampaian termasuk menggunakan buku teks, latihan, Google Meet, YouTube, panggilan video, Telegram dan WhatsApp selain penggunaan modul,” katanya.

Turut menyatakan pendapat sama, penjawat awam Suzana Ismail, 40, yang kini lebih yakin untuk membantu ketiga-tiga anaknya berusia enam hingga 12 tahun mengikuti PdPR meskipun pada awalnya ia tidak teratur dan agak kelam-kabut.

“Selepas lebih setahun PdPR dilaksanakan, saya rasa ia sudah boleh disesuaikan dengan sistem pembelajaran anak-anak, mulanya memang agak kelam kabut tetapi kini pada saya ia lebih mudah dan teratur. Guru kelas akan memberi jadual kelas untuk seminggu dan ini membolehkan ibu bapa memantau dan memastikan anak-anak dapat ikuti setiap kelas.

“Biasanya video rakaman kelas dan kerja sekolah juga diberikan selepas tamat sesi PdPR yang akan dimasukkan dalam Google Classrom, ini membolehkan ibu bapa memantau tugasan atau kerja sekolah anak-anak yang diberikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneruskan PdPR hingga 31 Ogos depan berikutan kes Covid-19 masih menjadi ancaman di negara ini, adalah langkah tepat bagi mengelakkan wujudnya kluster berkaitan pendidikan.

Sementara itu, seorang guru di SK Kimanis, Papar, Sabah, Azizah Hasan, 40, berkata meskipun pada awal pelaksanaan sesi PdPR keadaan agak kelam kabut, dan dalam masa sama perlu membantu PdPR dua anaknya, semuanya kini semakin lancar selepas beliau dan anaknya sudah mula memahami pembelajaran dengan kaedah itu.

“Sebagai seorang ibu dan guru, mahu atau tidak perlulah menyesuaikan diri dengan PdPR walaupun pada awalnya agak terkejar-kejar, bayangkanlah pada waktu kita laksanakan PdPR dengan murid-murid, saya juga perlu bantu PdPR dua orang anak saya yang berusia lapan dan tujuh tahun.

“Situasi ini memang mencabar tetapi kita kena rasional kerana ia bukan pilihan yang boleh kita pilih mahu atau tidak…ia tetap perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam memastikan anak-anak murid dan anak saya sendiri tidak tercicir dari pelajaran,” katanya.

Meskipun sudah mula serasi dengan PdPR ini, Azizah berkata beliau amat mengharapkan sesi persekolahan dapat dijalankan seperti biasa dengan kehadiran fizikal sekiranya situasi semasa Covid-19 sudah mula reda.

“Saya pasti apa dilakukan KPM ini adalah yang terbaik demi menjaga kesihatan anak-anak murid dan para guru daripada dijangkiti. Saya sangat berharap sekiranya sesi persekolahan dapat dijalankan pada September nanti, kesemua kakitangan termasuk para guru sudah menerima dua dos vaksin sebagai langkah mengurangkan jangkitan terhadap anak-anak murid yang tidak mendapat vaksin,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama ibu bapa, guru perlu bagi kelancaran PdPR

SHAH ALAM, 7 JULAI: Ibu bapa dan guru perlu bekerjasama untuk memahami serta menyelami tanggungjawab satu sama lain demi kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Gunaan Universiti Multimedia (Psikologi) Dr Hawa Rahmat berkata sekiranya kedua-dua pihak tidak bekerjasama, ia hanya memberi kesan buruk kepada pelajar.

“Contohnya, guru memberikan kerja rumah tetapi pelajar tidak melakukannya. Cuba ibu bapa letakkan diri di tempat guru itu dan memahami perasaan mereka dan begitu juga sebaliknya.

“Oleh itu, penting ibu bapa dan guru memahami satu sama lain. Jika terdapat sebarang masalah, mereka perlu berbincang dan bertolak ansur sekali gus dapat membantu anak-anak dalam pembelajaran.

“Ibu bapa juga perlu mengambil berat dengan cuba mempelajari aplikasi yang digunakan guru bagi memudahkan proses PdPR,” katanya pada program bual bicara PdPR:Cabaran emosi di sebalik layar secara langsung melalui Facebook Media Selangor.

Menurut Dr Hawa lagi, ibu bapa dan guru kini sedang menghadapi proses transformasi baharu iaitu proses PdPR dengan menggunakan teknologi terkini.

“Perubahan baharu pasti memberi kesan dan tekanan kepada kedua-dua pihak terutama guru kerana sebahagian daripada mereka juga bergelar ibu bapa.

“Golongan pendidik ini perlu diberikan sokongan moral supaya tidak terkapai-kapai sehingga boleh mengakibatkan mereka mengambil tindakan kurang bijak sehingga membunuh diri akibat terlampau tertekan,” katanya.

Categories
RENCANA

Guru, ibu bapa saling bantu mudahkan pelajar OKU ikuti PdPR

KUALA NERUS, 8 FEB: Mendengar penerangan guru menerusi video dalam laman YouTube dan bertegur sapa dengan rakan sekelas melalui Google Meet adalah saat paling menggembirakan bagi pelajar yang menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Namun, suasana ceria itu tidak dapat dirasai oleh pelajar OKU (orang kurang upaya) berikutan keterbatasan mereka, menyebabkan guru dan ibu bapa perlu lebih kreatif dalam memastikan PdPR dapat berjalan lancar.

Seorang ibu, Rahimah Zainal, 39, berkata kreativiti guru dan sokongan keluarga sangat penting untuk menjayakan PdPR anaknya, Danisya Amelyn Ruzaki, 17, yang mempunyai masalah pendengaran agar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Memang susah pada peringkat awal PdPR kerana anak saya bergantung sepenuhnya kepada bahasa isyarat untuk berkomunikasi. Jika pelajar lain mungkin agak mudah menjalani PdPR kerana banyak sumber rujukan video daripada guru lain di seluruh Malaysia.

“Namun, untuk pelajar berkeperluan khas, mereka memerlukan tumpuan khusus daripada guru yang mengajar dengan penggunaan bahasa isyarat. Mahu atau tidak, kami di rumah juga perlu sentiasa membantu agar anak kekal fokus untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagi Normah Harun, 46, kesungguhan guru-guru yang mengajar anaknya, Ahmad Zubaidi Helmi, 19, sangat dihargai kerana ia bukanlah satu perkara yang mudah.

“Guru sekolah sentiasa berkomunikasi dengan ibu bapa untuk bertanyakan apa platform terbaik dalam memastikan PdPR ini berjalan lancar. Pelbagai cara kami cuba termasuk menghantar nota menerusi WhatsApp, Telegram, buat Google Meet namun pada saya yang betul-betul berkesan ialah melalui panggilan video.

“Saya lihat anak lebih mudah faham penerangan yang diberi oleh guru melalui panggilan video kerana ia lebih sesuai untuk interaksi dua hala antara guru dengan pelajar. Cuma kaedah ini memerlukan komitmen tinggi daripada guru yang terlibat kerana jumlah maksimum pelajar hanya empat orang untuk satu sesi,” katanya yang berharap sesi persekolahan secara bersemuka dapat dilaksanakan tidak lama lagi sebaik sahaja pandemik Covid-19 reda.

Sementara itu, guru yang mengajar kelas berkeperluan khas, Wan Nur Adli Tengah @ Wan Ngah, 35, berkata semua cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menabur ilmu kepada pelajar istimewa.

Beliau yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Nerus menyifatkan PdPR adalah kenangan paling manis yang tidak akan dilupakan sepanjang sembilan tahun bergelar guru kerana perlu mengajar tanpa bersemuka.

“Guru yang mengajar golongan berkeperluan khas ini, usahanya perlu berganda kerana mereka sering hilang fokus ketika sesi pengajaran di dalam kelas, apatah lagi belajar dalam talian. Dunia mereka kena mengadap saya kerana komunikasi utama mereka ialah melalui bahasa isyarat.

“Alhamdulillah hari demi hari, ada peningkatan dalam kalangan pelajar iaitu mereka sudah boleh menguasai medium teknologi PdPR ini sekurang-kurangnya satu iaitu aplikasi WhatsApp.

“Menjadi kesukaran juga kepada saya kerana tidak semua pelajar ini boleh menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira). Alah bisa tegal biasa, walaupun agak sukar, saya berharap mereka dapat meneruskan PdPR dengan bantuan keluarga di rumah,” katanya yang turut menghasilkan video pendek pembelajaran melalui Tik Tok untuk menarik minat pelajar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Covid-19: Muafakat jamin tiada isu sembunyi maklumat pelajar MRSM

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Badan PerMuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) menggesa ibu bapa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak mengeluarkan kenyataan kurang tepat mengenai situasi di pusat pengajian itu susulan jangkitan kes Covid-19 kerana boleh menimbulkan panik dan persepsi yang pelbagai.

Muafakat dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM dan tertinggi Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memastikan keselamatan pelajar diberi keutamaan dan memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa tiada isu menyembunyi maklumat seperti didakwa.

Kenyataan itu menyebut pihaknya berharap mereka dapat menggunakan saluran persatuan itu sama ada di peringkat kebangsaan mahupun maktab untuk menyalurkan maklumat atau isu yang perlu ditangani bersama.

“Muafakat sentiasa terbuka untuk menerima sebarang aduan untuk diketengahkan kepada pihak Pengurusan Tertinggi Mara jika wujud ruang perlu diperbaiki demi kebajikan dan kesejahteraan pelajar.

“Pada masa sama, kami berharap Mara mengetatkan pemantauan dan penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) keselamatan agar tiada kejadian yang sama berlaku di MRSM lain,” menurut kenyataan itu.

Muafakat Kebangsaan adalah badan rasmi mewakili ibu bapa pelajar di semua Kolej Mara (KM), Kolej Professional Mara (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Selain daripada Muafakat Kebangsaan, setiap MRSM juga mempunyai organisasi Muafakat di peringkat maktab masing-masing.

Badan itu mewakili lebih 80,000 ibu bapa yang anak-anak mereka ketika ini sedang belajar di MRSM.

Sebelum ini, beberapa kejadian jangkitan Covid-19 dikesan di Kolej Mara Kuala Nerang, MRSM Tun Ghazali Shafie Kuala Lipis, MRSM Sungai Besar dan terkini di MRSM Bentong.

“Berdasarkan kepada pemantauan kami, sememangnya MRSM dengan sokongan kuat daripada pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menitikberatkan isu keselamatan dan kebajikan pelajar.

“Kami juga bersama memantau proses pelaksanaan SOP keselamatan dari awal lagi sejak pelajar Tingkatan 5 diberikan kebenaran untuk kembali ke asrama bagi tujuan pembelajaran secara bersemuka,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular mesej menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa pelajar MRSM Sungai Besar, Selangor tidak mendapat bekalan makanan secukupnya, pelajar bergejala tinggal di asrama sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan serta wujud masalah membabitkan SOP keselamatan, sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya.

Mara dalam satu kenyataan pada 1 Februari lalu membuat laporan polis menafikan dakwaan tersebut dan pihaknya sentiasa memastikan pelajar MRSM mengikuti SOP Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Basikal lajak: Ibu bapa boleh didenda sehingga RM5,000, penjara

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak jagaan mereka berusia 18 tahun ke bawah terlibat dalam aktiviti basikal lajak sehingga mengundang bahaya, boleh didenda antara RM1,000 sehingga RM5,000 atau dipenjara tidak lebih setahun.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu merupakan antara yang terkandung di bawah pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam.

“Tujuan kita tidak mahu menghukum. Kalau kita benarkan kenderaan ini (basikal lajak) yang tiada brek, bayangkan kemalangan akan berlaku bila-bila masa.

“Jadi itu yang kita nak buat pindaan, dahulu RM300 orang tidak takut. Sekarang kita ketatkan dan hukuman lebih berat. Jika di bawah 18 tahun, maka ibu bapa dan penjaga boleh dihukum,” katanya pada sidang media selepas taklimat rang undang-undang itu kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini.

Dalam pada itu, Wee berkata individu yang tertidur ketika memandu sehingga berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian juga akan berdepan hukuman yang lebih berat.

Beliau berkata pemandu terbabit tertakluk kepada pindaan Seksyen 41 akta berkenaan iaitu penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 sehingga RM50,000 bagi kesalahan kali pertama.

Katanya, pemandu yang tertidur boleh dikategorikan dalam pemanduan secara melulu atau merbahaya.

“Ada ayat ‘memandu secara melulu’ bermaksud memandu dengan cuai… anda juga bertanggungjawab, anda boleh didakwa… jika ia (memandu) menyebabkan kematian, terdapat hukuman menanti anda, jadi kami memang serius. Anda tidak boleh mengawal kenderaan bermaksud anda memandu dengan cuai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Permulaan sesi sekolah Tahun 1 – 4 lancar, SOP dipatuhi

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Murid Tahun 1 hingga Tahun 4 mula menyambung sesi persekolahan mereka yang tertangguh kira-kira empat bulan akibat penularan wabak Covid-19 hari ini dan rata-rata ibu bapa dilihat menitikberatkan aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketika sibuk menguruskan anak-anak ke sekolah.

Tinjauan Bernama mendapati ibu bapa memang gembira kerana anak-anak mereka dapat meneruskan pembelajaran di sekolah, namun pada masa sama masih ada perasaan bimbang dan khuatir mengenai keselamatan anak-anak mereka daripada ancaman Covid-19.

Perdip Singh, 42, yang menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak awal pagi tadi berkata segala persiapan sekolah diatur seminggu awal dan dilakukan dengan teliti bermula dari rumah hingga ke pintu sekolah.

“Isnin baru-baru ini, sekolah ini ada kongsikan link video menerangkan SOP persekitaran sekolah dan kelas pelajar serta laluan yang sudah ditanda, saya dan anak menonton video berkenaan. Untuk itu, saya sentiasa nasihat anak supaya patuh SOP di mana sahaja dia berada.

“Sebelum bergerak dari rumah hari ini, saya pastikan dia dalam keadaan sihat dan bersedia untuk meneruskan fokus belajar di sekolah. Saya bekalkan pelitup separuh muka dan cecair pembasmi kuman serta tentunya memberi bekal makanan dari rumah,” katanya.

Sependapat dengan Perdip, Nur Hidayah Abdul Majid, 38, yang mempunyai anak yang bersekolah di sekolah sama berkata dia akan meneruskan rutinnya menghantar dan mengambil anaknya dari sekolah, demi keselamatan anaknya itu.

“Sebelum ini, saya memang menghantar dan mengambil anak di sekolah. Rutin ini akan saya teruskan tetapi ditambah dengan ‘extra cautious’ iaitu saya akan tiba lebih awal di sekolah untuk pastikan anak patuh SOP dan benar-benar selamat. Covid-19 ini bukan suatu perkara yang boleh kita main-main,” katanya.

Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim yang melawat Sekolah Kebangsaan Putrajaya 9 (1) pada pukul 7.30 pagi berpuas hati dengan pengendalian tatacara kehadiran dan proses pembelajaran di sekolah berkenaan dalam suasana kebiasaan baharu.

Guru Besar sekolah berkenaan, Norzah Mohd Kassim yang mengiringi lawatan Dr Habibah berkata pihak sekolah telah mengambil inisiatif dengan menyediakan kod bar untuk setiap murid bagi tujuan mencatatkan kehadiran dan suhu badan mereka.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Izmi Ismail berkata sebanyak 357,166 pelajar Tahun Satu hingga Empat kembali memulakan sesi pembelajaran di sekolah masing-masing hari ini melibatkan 17,429 kelas di 662 buah sekolah kebangsaan.

-BERNAMA

Haram ibu bapa ‘sapu’ duit raya anak beli spoiler kereta!


Tazkirah khas Ustaz Azhar Idrus bersama penjawat awam Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam.(Sesi soal jawab). Program anjuran MBI Selangor.