Categories
SUKANKINI

WC2018: Dua gol Ahmed Musa ‘cairkan’ Iceland

OLEH HAFIZAN TAIB

VOLGOGRAD, 23 JUN: Nigeria menewaskan Iceland 2 – 0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D bagi menghidupkan peluang dalam saingan pada Piala Dunia 2018.

Kedua-dua gol Ahmed Musa pada minit ke-49 dan 75 mengubah nasib pasukan Afrika itu yang kalah 0 -2 kepada Croatia dalam perlawanan awal.

Penyerang Leicester City itu memecah kebuntuan dalam empat minit separuh masa kedua dengan jaringan gol selepas menyempurnakan hantaran Victor Moses.

Musa sekali lagi mencuri tumpuan dengan gol kedua selepas memperdaya pertahanan Iceland, Kari Arnason melalui sepakan deras dari luar kotak penalti.

Pada minit ke 80, Iceland berpeluang merapat jurang apabila mendapat penalti namun Gylfi Sigurdsson menyepak melepasi palang gol.

Dari dua perlawanan, Nigeria kini mengumpul tiga mata dan akan berdepan Argentina bagi penentuan ke peringkat 16 terakhir.

Iceland dengan satu mata pula akan membuat perhitungan dengan Croatia (enam) yang kini mendahului kumpulan.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

‘Saya sudah kaji penalti Messi’

MOSCOW 17 JUN: Penjaga gol Iceland Hannes Halldorsson mendedahkan, dia telah membuat kajian terperinci dan persediaan mental berhubung kejayaannya menafikan tendangan penalti bintang Barcelona Lionel Messi untuk keputusan seri 1-1 dengan Argentina hari ini.

Halldorsson yang dianggap wira apabila menepis sepakan penalti tersebut pada minit ke-63 memberitahu, dia hanya mengagak bahawa tonggak Argentina itu bakal menendang bola ke sebelah kanannya.

Pemain terbaik perlawanan itu menyifatkan keputusan 1-1 itu sebagai impian menjadi kenyataan, setelah kajian terhadap sepakan penalti daripada pemain terbaik dunia lima kali tersebut membuahkan hasil.

“Saya ada membuat sedikit kajian kerana saya tahu situasi sebegini boleh berlaku. Ia agak mustahil tetapi ternyata ia berhasil.

“Saya sudah tengok banyak sepakan penalti daripada Messi dan saya mencongak tendangannya berdasarkan beberapa sepakan penalti terakhirnya.

“Saya juga cuba membaca fikirannya dan sudah pasti dia akan memikirkan tentang saya. Saya sangat gembira kerana meraih perasaan sebegini,” kata Halldorsson selepas tamat perlawanan di Stadium Spartak.

Dalam masa sama, Halldorsson turut menganggap keputusan tersebut seakan satu kemenangan, selepas Iceland membuat kemunculan sulung di Piala Dunia, di mana negara itu sebelum ini menjadi bualan hangat setelah menyingkirkan England untuk mara ke suku akhir Euro 2016.

SUMBER: AFP

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

WC2018: Kegagalan Messi buat Argentina berkongsi satu mata

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Kegagalan Lionel Messi menyempurnakan sepakan penalti pada pertengahan babak kedua mengakibatkan Argentina terpaksa berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 menentang Iceland.

Dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Dunia 2018, Sergio Aguero meletakkan Argentina dihadapan 1-0 pada minit ke-19 selepas menyempurnakan percubaan awal Marcos Rojo.

 

Selang empat minit kemudian, Alfren Finnbogason menyamakan kedudukan 1-1 buat Iceland apabila berjaya melepaskan rembatan susulan bola yang gagal didakap kemas penjaga gol, Wilfred Caballero hasil percubaan awal Gylfi Sigurdsson.

Bersambung babak kedua, Argentina sepatutnya di hadapan pada minit ke-64 selepas pemain pertahanan Iceland, Horrdun Magnusson mengasari Maximiliano Meza dalam kotak penalti.

 

Bagaimanapun, Messi gagal meletakkan bola ke jaring lawan sebaliknya penjaga gol Iceland, Hannes Thor Halldorsson berjaya menepis sepakan penyerang Barcelona itu.

Argentina cuba melakar beberapa peluang selepas itu tetapi gagal menemui penyudah.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup