Categories
AGENDA NASIONAL

99 peratus kes Covid-19 dalam kategori satu dan dua, katil mencukupi

SHAH ALAM, 7 FEB: Lebih 99 peratus kes Covid-19 antara 30 Januari hingga 5 Februari tergolong dalam kategori satu dan dua sekali gus penggunaan katil di premis kesihatan mencukupi.

“Buat masa ini, kadar penggunaan katil Covid-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau menjelaskan penggunaan katil pada masa ini hanya 33 peratus daripada 9,776 yang disediakan sekalipun berlaku peningkatan empat peratus berbanding minggu sebelumnya.

Berikut perincian mengenai penggunaan katil bagi merawat pesakit Covid-19:

  •  Kadar penggunaan katil ICU pula adalah 14 peratus atau 116 daripada 850 katil yang disediakan
  •  KKM siap sedia sembilan hospital untuk pesakit Covid-19 sepenuhnya dan 111 hospital hibrid
  •  43 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti 10,810 buah katil
  •  Hanya 335 (0.8 peratus) pesakit adalah kategori tiga hingga lima

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 meningkat paras 3,000

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Jangkitan harian COVID-19 dalam negara kembali meningkat ke paras 3,000 apabila 3,683 kes baharu dicatatkan hari ini berbanding 2,897 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 2,750,516.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 56 adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

“Kes harian itu melibatkan 3,444 kes tempatan dan 339 kes import. Sebanyak 288 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 162 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata bagi kes sembuh pula, sebanyak 4,322 kes dicatatkan menjadikan kumulatif pesakit pulih ialah 2,677,406.

Dr Noor Hisham juga berkata terdapat enam kluster baharu dikesan menjadikan jumlah yang masih aktif ialah 227 manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.93 setakat semalam.

Beliau berkata tiada kes COVID-19 baharu dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah keseluruhan kekal sebanyak 434 kes dan tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan hari ini dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, sebanyak 110 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir iaitu Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) (81 kes), penyakit kulit (16) dan Gastroenteritis Akut (AGE) (13).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kadar penggunaan katil ICU di Terengganu membimbangkan

KUALA TERENGGANU, 12 NOV: Kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di Terengganu berada pada tahap membimbangkan apabila telah mencapai 84 peratus setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata kadar penggunaan katil ICU itu disumbangkan oleh peningkatan jumlah pesakit Covid-19 kategori lima sejak dua minggu lepas.

“Apabila ada kebenaran rentas negeri dan masuknya Terengganu ke Fasa Empat (Pelan Pemulihan Negara) memang kita jangkakan ada peningkatan kes ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wad ICU Hybrid di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini.

Wad ICU Hybrid berkapasiti 10 katil itu yang akan mula digunakan minggu hadapan, menjadikan jumlah keseluruhan katil ICU bagi pesakit Covid-19 di Terengganu kini sebanyak 43 buah.

Dalam pada itu Dr Kasemani berkata setakat ini pihaknya menganggarkan sebanyak 324,000 individu termasuk kira-kira 30,000 petugas barisan hadapan di Terengganu akan menerima dos penggalak Covid-19.

Selain petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan KKM, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan pesakit komorbid juga telah mula diberikan tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan dos berkenaan.

“Mereka yang menerima janji temu melalui MySejahtera ini akan mendapat suntikan penggalak di klinik swasta yang telah berdaftar dengan kita (KKM),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengunjung Langkawi diingat patuh SOP, elak jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus Covid-19 di pulau percutian itu.

“Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya.

Pada 9 Sept lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit Covid-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan Covid-19 sebanyak 142 katil.

Dr Noor Hisham berkata melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit Covid-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

“Bagi ICU, sebanyak lapankatil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes Covid-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata jabatan lain HSM, antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes Covid-19 yang mungkin akan bertambah.

“Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

“Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes Covid-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

98.4 peratus jangkitan Covid-19 libat kes tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 9 SEPT:  Hanya 1.6 peratus atau 302 kes daripada 19,307 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas adalah daripada kategori tiga iaitu dengan radang paru-paru, empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bakinya iaitu 19,005 kes atau 98.4 peratus adalah daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua (bergejala ringan).

“Daripada jumlah kes baharu juga, enam adalah kes import melibatkan dua warganegara dan empat rakyat asing manakala 19,301 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,125 warganegara dan 2,176 rakyat asing.

“Setakat 12 tengah hari juga, sebanyak 24,855 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 1,657,486 kes iaitu 86.3 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata jumlah kes aktif di seluruh negara setakat ini ialah 242,802 kes dengan 1,310 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 737 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Khairy berkata 323 kematian turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 19,486 individu terkorban akibat pandemik itu.

“Sebanyak 27 kluster baharu pula dikesan dalam tempoh 24 jam, dengan keseluruhan jumlah kluster yang telah tamat ialah 3,572 dan jumlah kluster aktif sebanyak 1,4450 kluster,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Peratus guna katil pesakit Covid-19 di Selangor turun sehingga 57 peratus

SHAH ALAM, 9 SEPTEMBER: Peratus penggunaan katil hospital di Selangor bagi merawat pesakit Covid-19 terus menunjukkan penurunan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kapasiti dan peratus menurun itu adalah impak dari program vaksinasi yang diadakan secara meluas di Lembah Klang.

“Kapasiti dan peratus penggunaan katil hospital di Selangor terus mencatatkan penurunan sehingga mencecah 57 peratus. Ini adalah impak utama hasil kadar vaksinasi yang tinggi di Lembah Klang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau juga turut berkongsi data penggunaan katil dari Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan hanya 57 peratus dari 4,019 katil bukan unit rawatan rapi (ICU) digunakan.

Manakala wad ICU bagi merawat pesakit kritikal kadar penggunaan katil adalah 94 peratus dari 317 katil.

Pada 2 September lalu, berdasarkan data dikongsi Kementerian Kesihatan di Facebook, sebanyak 66 peratus daripada 4,247 katil di wad bukan ICU diguna.

Penggunaan 350 katil di ICU tiga hospital itu pula pada kadar 99 peratus bagi merawat pesakit kategori kritikal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil ICU hospital bukan rawat Covid-19 turun kepada 77 peratus

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit wabak di hospital yang bukan merawat kes Covid-19 dan hibrid di Selangor menurun kepada 77 peratus sehingga kini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan situasi berkenaan berbeza dengan sebelum ini apabila semua hospital itu mencatatkan 130 peratus penggunaan katil ICU.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman bagaimanapun berkata kadar penggunaan katil ICU di empat hospital khusus merawat Covid-19 iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Selayang dan Hospital Serdang masih tinggi sekitar 94 hingga 100 peratus.

“Keadaan pesakit sangat kritikal dan komorbiditi pesakit yang kompleks menyebabkan mereka memerlukan rawatan serta pemerhatian lebih lama di ICU.

“Selain itu, kadar penggunaan katil di wad untuk hospital khusus merawat pesakit wabak dan hibrid Covid-19 menurun kepada 55 peratus berbanding 150 peratus sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 4,723 pesakit Covid-19 daripada pelbagai kategori sedang dirawat di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) setakat hari ini.

Menurutnya, jumlah itu menurun berbanding 6,613 pesakit pada Ogos dan 7,080 pada Julai.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lengkap dos vaksin bantu lima negeri kurangkan kes ICU

PUTRAJAYA, 13 OGOS: Suntikan dos lengkap vaksin Covid-19 yang meningkat dalam kalangan populasi dewasa di lima negeri berjaya membantu menurunkan kes kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima ke hospital di negeri terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata suntikan dos lengkap itu juga telah mengurangkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi ketiga-tiga kategori di semua negeri terlibat iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kita mendapati apabila liputan dos lengkap vaksin Covid-19 dalam kalangan populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Labuan mencapai 63.4 peratus, Sarawak (55.7 peratus), Negeri Sembilan (40.1 peratus), Kuala Lumpur (78.3 peratus) dan Putrajaya (69.3 peratus), terdapat penurunan bagi kemasukan kes kategori tiga hingga lima ke hospital dan ICU.

“Negeri-Negeri lain pula belum menunjukkan trend penurunan kerana peratusan liputan dos lengkap masih kurang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata trend penurunan itu turut dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh selepas kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

“Selepas pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, kita dapati pada minggu ke-30, kes kemasukan kategori empat dan lima ke hospital semakin menurun dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Selain itu, kita lihat kes kemasukan individu berusia antara 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga ada penurunan. Ini menunjukkan kesan vaksinasi berjaya menurunkan kes ke hospital dan penggunaan katil-katil di ICU,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata simptom keparahan dialami mereka yang dijangkiti juga rendah apabila hanya tiga kes daripada petugas kesihatan yang dijangkiti virus itu berada dalam kategori lima iaitu dua daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi masih dirawat di ICU serta diberi bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan bahawa daripada sejumlah 21,468 jangkitan baharu Covid-19 yang dilapor hari ini, hanya 2,703 kes atau 12.6 peratus telah lengkap divaksinasi.

Katanya kes aktif pula ialah 241,187 manakala seramai 1,075 pesakit kini dirawat di ICU dengan 537 orang memerlukan bantuan pernafasan. Kes sembuh yang dilaporkan hari ini ialah 17,025.

Sejumlah 277 kematian dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kematian negara kini 11,968 orang, katanya sambil menambah terdapat 41 kluster baharu direkodkan, menjadikan kluster aktif kini berjumlah 1,293.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (RT) di Malaysia kini 1.05 dengan Perlis mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sabah dan Kelantan (masing-masing 1.20) serta Sarawak dan Pulau Pinang (1.17).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Katil makin terhad walaupun hanya 2.1 peratus kes kategori tiga hingga lima

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kapasiti katil di wad dan unit rawatan rapi (ICU) kini semakin terhad meskipun hanya 2.1 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga, empat dan lima.

Ketua pengarah kesihatan berkata pesakit kategori berkenaan masih perlu dirawat di ICU dan wad selain menyeru orang awam agar terlindung daripada jangkitan Covid-19.

“Tempoh masa yang lama diperlukan bagi kes kategori tiga hingga lima di wad dan ICU, hal ini mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad kian hari menjadi semakin penuh dan sesak.

“Ini secara tidak langsung akan terus membebankan sistem kesihatan terutamanya di ICU, hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan bagi kes kategori lima, mereka perlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 21 hari diikuti kategori empat (14 hari) manakala kategori tiga memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama pesakit berisiko tinggi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jumlah dirawat tinggi, penggunaan katil ICU lebih 90 peratus

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kes Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) masih tinggi apabila jumlah penggunaan katil melebihi 90 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata data menunjukkan tiada penurunan ketara sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 hingga 12 Jun) hingga kini.

Menurutnya, jumlah purata kes baharu selama tujuh hari (30 Jun hingga 6 Julai) adalah sebanyak 6,539 kes dan masih tinggi berbanding nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari.

Pada masa sama, petugas barisan hadapan (perubatan dan kesihatan) juga mengalami keletihan fizikal serta mental (burnout) kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes untuk tempoh berlarutan.

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara terus mengekalkan rekod 7,000 kes hari ini dengan 7,097 dan Selangor mencatat angka lebih 3,000 iaitu 3,119 kes.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes yang memerlukan rawatan di ICU sebanyak 948 kes manakala bantuan pernafasan (441) dan 91 kematian.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Varian baharu punca kes Covid-19 di ICU tidak turun

SHAH ALAM, 16 JUN: Kemunculan varian baharu antara punca kes Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) tidak menurun di sebalik pengurangan kes dalam tempoh dua minggu mulai 1 Jun.

Ketua pengarah kesihatan berkata varian tersebut mengakibatkan kes gejala serius, iaitu kategori empat dan lima, dengan kesihatan merosot pada kadar lebih cepat.

“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit memerlukan rawatan kritikal ditempatkan di ICU,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata penggunaan katil melebihi kapasiti turut didorong tempoh pemulihan panjang antara 14 ke 26 hari bagi pesakit ICU yang menghadapi komplikasi jangkitan serius.

Sehubungan itu, beberapa langkah diambil bagi mengatasi masalah tersebut antaranya:

1. Menambah kapasiti 11,598 katil di hospital dan 31,861 di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 awam

2. Menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19

3. Bekerjasama dengan hospital pengajar antaranya Pusat Perubatan di Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Hospital Kanak- kanak Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menggunakan fasiliti mereka bagi merawat pesakit Covid-19

4. Bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan. Setakat ini enam Hospital Medan ATM telah dibina di hospital-hospital KKM

5. Bekerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 yang melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggunaan katil ICU Covid-19 cecah 104 peratus dalam dua minggu

SHAH ALAM, 8 JUN: Kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) naik sehingga 104 peratus setakat 6 Jun, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan menyebut kenaikan sebanyak lapan peratus dalam tempoh dua minggu mulai 24 Mei amat membimbangkan.

“Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya.

Beliau berkata penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan ICU pula turun 10 peratus kepada 89 peratus dalam tempoh sama, termasuk di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 yang mencecah 54 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan hospital berdepan peningkatan kes bergejala serius (kategori empat dan lima) yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau menjelaskan pesakit dalam kategori itu memerlukan tempoh pemulihan antara 14 hingga 26 hari berikutan komplikasi serius daripada jangkitan virus.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semua pihak bahawa penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius.

“Bahaya penularan Covid-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) pada tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekalipun,” tegas Dr Noor Hisham.