Categories
AGENSI SELANGOR

Program TownHall Undi 18 tarik minat belia dalam politik

SHAH ALAM, 13 NOV: Inisiatif Kerajaan Negeri mengadakan program TownHall Undi 18 merupakan langkah tepat untuk mengubah landskap politik membabitkan golongan belia seluruh negara khususnya di Selangor.

Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) berkata kajian dilakukan bersama Universiti Selangor (UNISEL) mendapati sebanyak 72.4 peratus daripada 1,226 belia di Selangor tidak berminat mengikuti perkembangan politik.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman memaklumkan kajian terhadap responden belia berusia 18 hingga 20 tahun mendapati kebanyakan mereka tidak berminat kerana tiada pendedahan tentang perkembangan politik dan bosan dengan tingkah laku orang politik.

“Kebanyakan mereka tidak tahu apa itu politik dan konteks yang diambil Khairuddin (EXCO generasi muda) merupakan sesuatu yang cukup positif mengetahui apa sebenarnya supaya boleh mengambil langkah proaktif.

“Kita boleh memberi pendedahan perkembangan politik kepada mereka dan dengan cara ini dapat menanam minat sekurang-kurangnya untuk keluar mengundi apabila diberikan peluang,”katanya ketika berucap pada program TownHall Undi 18 Wacana Pemicuan Unid 18 Selangor di Dewan Jubli Perak hari ini.

Terdahulu program yang dihadiri EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman itu dirasmikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Naib Canselor UNISEL memaklumkan kajian mendapati 63.3 peratus responden menyokong pelaksanaan undi 18 dan majoriti daripada mereka akan keluar mengundi.

Kajian berhubung minat belia berusia 18 hingga 20 tahun terhadap perkembangan politik dilakukan bermula 6 hingga 9 November.

Ia melibatkan 1,226 responden di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilakukan secara bersemuka selain melibatkan semua bangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Sekatan ceramah, kempen fizikal dibimbangi jejas demokrasi

SHAH ALAM, 11 NOV: Sekatan terhadap aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN) Melaka dibimbangi akan menjejaskan kesuburan amalan demokrasi.

Pengerusi eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) berkata kekangan yang disifatkan sebagai norma baharu dalam pilihan raya itu menyebabkan parti politik sukar menyampaikan dasar dan agenda kepada rakyat.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman juga mengakui suasana pilihan raya negeri itu agak janggal berikutan sekatan dikenakan yang tidak memungkinkan demokrasi diamalkan secara meluas sebagaimana diamalkan sebelum ini.

“Kita khuatir adakah dengan sekatan ini semangat demokrasi akan terlaksana? Semua parti politik bertanding sama ada kerajaan, pembangkang atau bebas sepatutnya diberi peluang untuk menyuarakan dasar yang hendak ditawarkan kepada rakyat.

“Kalau ruang itu disempitkan dan tidak terbuka, di mana sebenarnya amalan demokrasi yang disebut-sebut ? Ia satu perkara yang sukar difahami kerana alasannya dikhuatiri boleh membawa kepada perkembangan pernah dicetuskan PRN Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara PRN Melaka: Suatu Analisis Awal yang disiarkan secara langsung melalui Facebook IDE semalam.

Dr Mohammad Redzuan berkata keputusan PRN Melaka pada 20 November ini bakal menentukan masa depan negeri bersejarah itu untuk tempoh lima tahun.

“Sudah pasti dengan keadaan (politik) tak menentu pada masa ini sukar untuk tentukan siapa yang akan dapat manfaat daripada pendekatan sedemikian.

“…sekatan yang tak memungkinkan berkempen dan melakukan lawatan dari rumah ke rumah, (jadi) apa bentuk wahana untuk sampaikan maklumat ? yang ada ialah media arus perdana dan media sosial, tetapi sejauh mana pendekatan ini berkesan,” katanya.

Pada 8 November, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

SPR menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.

Categories
AGENSI SELANGOR

IDE sasar 500 peserta sertai Kuliah Kitab al-Muwafaqat

SHAH ALAM, 2 MAC: Institut Darul Ehsan (IDE) menyasar 500 peserta bakal mendaftar program Kuliah Kitab al-Muwafaqat sepanjang 12 siri penganjuran tahun ini.

Pengurus kanan penyelidikannya berkata sasaran meliputi pelajar, pendidik dan ahli akademik yang berminat mengembangkan pemikiran berkaitan teori serta konsep maqasid syariah.

“Saya mengalu-alukan semua pihak untuk menyertai program ini bagi menambah ilmu dan kefahaman serta memanfaatkannya dalam kehidupan seharian,” kata Khairul Arifin Mohd Munir kepada SelangorKini.

Beliau berkata program secara dalam talian dianjurkan pada Rabu minggu pertama setiap bulan bermula Mac dari jam 8.30 hingga 10.30 malam.

Menurut Khairul Arifin, kuliah dikendalikan penasihat Syariah Telaga Biru Sdn Bhd yang juga ahli kluster pusat kajian terbabit Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil.

Program tersebut dilancarkan pada 23 Februari lalu oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan boleh didaftar melalui pautan https://peserta.ideselangor.com/.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Pengundi atas pagar penentu kemenangan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kira-kira 18 peratus pengundi atas pagar akan menjadi penentu kemenangan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Pengerusi Kluster Pendidikan Politik dan Demokrasi Institut Darul Ehsan (IDE), Amidi Abdul Manan.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dibuat institut itu, pengundi berkenaan yang merupakan golongan kali pertama dan kedua mengundi akan membuat keputusan berdasarkan keberkesanan kempen parti bertanding selain pengaruh media.

“Kelompok pengundi ini masih belum memutuskan untuk memilih mana-mana parti dan bakal membentuk keputusan sama ada akan menjadi satu pernyataan ketidakpuasan hati atau sokongan kepada kerajaan,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Selain itu, Amidi berkata penyokong tegar yang telah membuat pilihan terhadap parti masing-masing merupakan kelompok yang besar di Tanjung Piai.

“Hasil kajian mendapati sekitar 70 peratus daripada kelompok ini telah pun membuat pilihan berkaitan dengan parti. Ini menunjukkan bahawa pengundi tegar itu tidak lari, malah jumlah pengundi tegar masih lagi sama buat Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang mewakili PAKATAN pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Calon PAKATAN berdepan calon BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Peluang PAKATAN dan BN terbuka

SHAH ALAM, 1 NOV: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai disifatkan sebagai ‘medan penentuan’ kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan pihak mana lebih mampu meraih sokongan pengundi atas pagar.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata ini kerana 17 peratus pengundi didapati masih belum membuat keputusan untuk memilih calon daripada mana-mana parti yang bertanding.

Beliau berkata pendapat itu dirumuskan daripada hasil Kajian Survei Lapangan IDE yang dijalankan ke atas 1,518 responden bermula 18 hingga 20 Oktober lalu.

Katanya melalui kajian berkenaan juga 83 peratus pengundi membuat keputusan untuk memilih parti sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Oleh itu, sejumlah 17 peratus pengundi yang belum membuat keputusan (untuk memilih parti mana) adalah golongan untuk didekati kedua-dua parti bertanding bagi menentukan kemenangan mereka pada PRK berkenaan,” katanya dalam sidang media PRK P165 Tanjung Piai: Satu Analisis di sini hari ini.

Mohammad Redzuan berkata walaupun wujud anggapan bahawa jalinan kerjasama antara UMNO dan PAS mampu membuka ‘laluan’ kepada mereka memenangi PRK berkenaan, namun ia disifatkan sebagai kurang tepat.

Ini kerana katanya kajian itu menunjukkan sokongan pengundi terhadap kedua-dua parti yang bertanding agak seimbang, maka PRK berkenaan dilihat lebih terbuka.

“Kajian juga mendapati, 33 peratus pengundi mengatakan terdapat antara seorang hingga dua orang ahli keluarga yang juga pengundi tidak tinggal di kawasan parlimen berkenaan.

“Oleh itu, mana-mana parti yang mampu mencari jalan bagaimana untuk membawa pengundi yang tinggal di luar kawasan ke peti undi pada 16 Nov ini akan meraih kemenangan,” katanya.

Sementara itu mengulas calon dari kedua-dua parti yang bertanding pada PRK berkenaan, Mohammad Redzuan menyifatkan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan calon Melayu pastinya akan lebih diterima berbanding BN yang mencagarkan calon dari MCA.

“Ini kerana pengundi Melayu di Tanjung Piai membentuk 57 peratus daripada jumlah keseluruhan 57,986 pengundi. Sungguhpun begitu, saya melihat jentera Bersatu lebih bersedia berbanding ketika PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih pada Mac lalu,” katanya.

Justeru, jentera PAKATAN disaran supaya melihat aspek peratusan kaum dengan lebih teliti bagi memanfaatkan peluang untuk menarik lebih banyak pengundi Melayu memilih mereka kelak.

Mengulas tindakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang turut meletakkan calon pada PRK berkenaan, Mohammad Redzuan berpendapat ia tidak akan memberi sebarang kesan terhadap sokongan pengundi kepada PAKATAN dan BN sebaliknya menyifatkan, “PRK Tanjung Piai adalah antara PAKATAN dan BN sahaja”.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 November ini, manakala tarikh penamaan calon PRK pada esok dan pengundian awal diadakan pada 12 November.

Pada PRU14, Dr Md Farid memenangi kerusi Parlimen itu mewakili PAKATAN dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Demokrasi matang lalui proses literasi politik

SHAH ALAM, 8 OGOS: Demokrasi matang dan subur terutama dalam kalangan rakyat memerlukan pemahaman melalui pendidikan atau proses literasi politik, kata Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE), Senator Ismail Yusop.

Beliau berkata, demokrasi matang tidak boleh berlaku secara spontan atau kebetulan, sebaliknya memerlukan proses terancang.

“Elemen ini penting bagi membentuk suasana demokrasi matang dan kebebasan bersuara diberikan sebagai kesempatan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan agenda sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan tajuk Kebebasan Bersuara dan Tanggungjawab Mempertahankan Keharmonian ketika Persidangan Meja Bulat Fiqh Ta’Ayush di Bilik Seminar IDE, di sini, hari ini.

Ismail berkata, perkara itu dapat dibuktikan melalui pengumuman tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Statue Rome termasuk Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mendapat tentangan pelbagai pihak.

“Masyarakat juga perlu didedahkan cara berfikir yang menepati hasrat maksud hidup kebersamaan atau Fiqh Ta’Ayush As Silmi.

“Fiqh Ta’Ayush As Silmi pula harus dikembangkan di tengah kemajmukan masyarakat Malaysia bagi menyuburkan perpaduan dan menghentikan kebencian antara kaum yang seharusnya tidak relevan dijadikan sebagai satu polemik,” katanya.

Terdahulu, pada persidangan itu turut diselitkan sesi pembentangan daripada beberapa panel dan antara tajuk dibincangkan adalah al-Ta’Ayush : Melihat dari Sudut Sirah; Peranan Universiti dalam Mempromosi Fiqh Ta’ayush dan Mengurus Kepelbagaian Kaum dan Agama dalam Majlis Belia Malaysia.

Categories
SELANGOR

Simpan politik lucah di ‘muzium’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JULAI: Politik lucah dan kotor selayaknya disimpan dan diarkib di muzium supaya tidak boleh diakses sama sekali, tegas Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) berkata, ia adalah bukti organik bahawa rakyat Malaysia sudah melangkaui budaya politik purba yang masih cuba dicanang masa kini.

“Jika rakyat Malaysia sudah berani bangkit untuk mengubah rejim satu parti yang memerintah selama enam dekad lamanya, pasti sahaja rakyat kita turut berani membawa satu politik nilai dan bersaing secara ilmiah serta positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Silaturrahim Aidilfitri & Baca Puisi Bumbung @ Shah Alam IDE, di perkarangan Pejabat Institut Darul Ehsan, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Mohammad Redzuan berkata, IDE menekankan komitmen dalam membawa satu aspirasi politik yang bersifat transformatif dan mengubah norma masyarakat kini.

Katanya, agenda reformasi adalah satu misi yang digalas pihaknya dan dimulakan seawal bulan pertama perubahan tampuk pemerintahan negara.

“IDE sebagai sebuah badan penyelidikan terbabit secara aktif dalam pilihan raya kecil bukan sahaja untuk menjalankan survei dan analisa, tetapi sebagai pemerhati yang dilantik di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Ini adalah satu komposisi penting reformasi negara yang dilihat mampu untuk memperbaiki sistem pilihan raya secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Terdahulu, Malam Puisi Bumbung Shah Alam adalah acara bulanan IDE dengan kerjasama Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) yang diketuai Pak Dinsman.

Program berkenaan turut menampilkan beberapa penyair amatur antaranya Datuk Dr Zurinah Hassan, Yassin Salleh dan Rozan Azen Mat Rasip termasuk persembahan lagu puisi oleh Kreatif Akustika dan Kopratasa.

Mohammad Redzuan berkata, program itu digerakkan bagi membugar seni dan budaya dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

“Sejarah membuktikan bahawa seniman, budayawan dan karyawan adalah pejuang yang membawa denyut nadi suara rakyat kerana suara mereka suara keramat.

“Dengan puisi, pantun, seloka dan gurindam dihasilkan bukan semata-mata untuk bergembira tetapi penuh hikmah membawa isu perjuangan rakyat,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Penyelidik wakil rakyat perlu pendidikan kukuh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Penyelidik kepada seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) perlu mempunyai latar belakang kukuh dalam penyelidikan dan pendidikan, kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Pengarah Eksekutif Institusi Darul Ehsan (IDE) berkata, mereka berdepan tugas dan tanggungjawab mencabar dalam menyediakan kertas penyelidikan untuk wakil rakyat bagi tujuan perbahasan supaya ia bermutu dan mencapai objektif.

“Kesahihan input dan maklumat yang akan disalurkan kepada ADN adalah penting. Penyelidikan efektif merupakan kunci kepada kualiti perbahasan dan soalan yang dilontarkan dalam sidang dewan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Penyelidik Efektif Dewan Negeri Selangor (DNS), di Bilik Gerakan Negeri, di sini.

Mengulas penganjuran bengkel itu, Dr Mohammad Redzuan berkata, ia bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman untuk menjadi penyelidik yang efektif.

Katanya, IDE juga komited dalam melaksanakan program pendidikan politik, kewarganegaraan dan demokrasi rakyat.

“Keyakinan saya kepada perkembangan demokrasi melalui reformasi ini dan keterampilan ‘figure’ seperti pegawai penyelidik yang dibawa khusus untuk meratakan pengetahuan di peringkat negeri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya sidang DNS mampu mencapai standard reformasi seperti yang diimpikan.

“Semoga DNS mampu menakhoda misi reformasi DUN dan diikuti dalam gelombang perubahan sistem negara serta menyuburkan sistem demokarasi,” katanya.

Sebelum ini, IDE berjaya melaksanakan Bengkel Penyelidik Efektif di Kedah dan bakal memeterai program kerjasama dengan pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

Categories
SELANGOR

Najib liabiliti UMNO, hanya popular di media sosial

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 FEB: Imej popular bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di media sosial tidak akan diterjemahkan sebagai undi kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada 2 Mac ini.

Timbalan Presiden Institut Darul Ehsan, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hal itu kerana Najib dilihat sebagai liabiliti kepada ahli partinya sendiri.

Malah, katanya, ahli parti dan rakyat masih tidak lupa skandalnya sehingga menyebabkan BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Najib mungkin berjaya mencipta semula imej dan menjadi tokoh popular di media sosial dengan gelaran sebagai ‘Bossku’.

“Namun, ahli UMNO masih menganggap beliau sebagai punca kekalahan BN pada PRU lalu dan tidak akan menjadikan Najib sebagai jurukempen utamanya dalam PRK itu.

“Mereka lebih cenderung tunjukkan Umno ini ‘brand’ baru, imej baru. Mereka yakin dengan guna PAS daripada MCA atau MIC kerana ini manfaat untuk dapat undi,” katanya dalam sidang media Kajian PRK N24 DUN Semenyih: Apa pilihan pengundi, di sini.

Katanya, perkara sama turut berlaku ketika kempen PRK Cameron Highlands yang menyaksikan acara Najib lebih ramai dihadiri ‘mat rempit’.

“Mereka datang untuk seronok dan berhibur. Najib datang, berselfie dan muat naik (gambar) di media sosial. Beliau bukan tokoh yang dominan.

“Saya yakin UMNO tahu menggunakan Najib tidak akan memberi mereka undi,” katanya.

Categories
SELANGOR

PAKATAN dijangka kekal di Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) dijangka dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada pilihan raya kecil (PRK), 2 Mac ini.

Berdasarkan kajian Institut Darul Ehsan (IDE), sebanyak 46 peratus diperolehi PAKATAN, manakala 37 peratus diperolehi Barisan Nasional, 12 peratus lain-lain dan 5 peratus bebas.

Timbalan Pengerusinya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, peratusan dimiliki PAKATAN itu merosot empat peratus berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Penentuan kali ini bergantung kepada pengundi yang mahu menyokong calon selain PAKATAN dan bebas, mereka akan menentukan siapakah parti yang akan memenangi PRK kali ini.

“PAKATAN dilihat mendahului parti lain menjelang proses penamaan calon pada Sabtu ini,” katanya dalam sidang media di Auditorium IDE di sini, hari ini.

Katanya, kajian itu membabitkan 60 orang enumerator terdiri daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Lembah Klang.

“Kajian dilakukan secara bersemuka membabitkan kaum Melayu, India, Cina dan lain-lain.

“Pemilihan responden dipilih secara rawak (random sampling) dengan soalan kaji selidik berstruktur menggunakan inovasi apps IDE e-survei dan tablet,” katanya.

Kajian lapangan itu dilakukan di seluruh kawasan DUN meliputi 23 daerah mengundi dan terdiri daripada 53,257 orang pengundi berdaftar, selama tiga hari pada 31 Januari hingga 1 Februari lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IDE perlu terus salur maklumat didik minda masyarakat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 JAN: Institut Darul Ehsan (IDE) perlu terus menyalurkan maklumat bagi mendidik minda masyarakat, sekali gus membina komuniti berilmu, bermoral tinggi dan komited dengan prinsip kebanaran serta keadilan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana beliau melihat institusi yang ditubuhkan Kerajaan Negeri sejak 2015 banyak membuat kajian berkaitan hal politik semasa negara.

“Artikel yang diterbitkan mereka ini menjadi kayu ukur kepada banyak pihak bertanding dalam pilihan raya lalu dan yang akan datang.

“Justeru, saya mahu IDE terus salurkan maklumat berkesan dalam kalangan minda masyarakat, selari ke arah Malaysia Baru lebih berdaya saing dan bersedia dengan arus perubahan semasa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi pertemuan bersama kakitangan IDE di Ibu Pejabat IDE, petang semalam.

Dalam pertemuan itu, Amirudin turut menyertai mesyuarat bersama Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil; Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan ahli lembaga pengarah IDE.

Amirudin berkata, mesyuarat hampir tiga jam itu membincangkan semula peranan IDE dalam membuat kajian berkenaan pengukuhan agama dan ketatanegaraan.

“Untuk makluman, IDE juga membuat kajian berkenaan maqasid syariah dan kajian itu dilihat begitu maju sehingga membolehkan mereka menghasilkan istilah maqasid syariah dalam Bahasa Melayu, dan ia adalah pertama seumpamanya di dunia.

“Saya berharap supaya IDE meneruskan kajian lain, sekali gus menjadi pusat penyelidikan, pendidikan dan pencerahan masyarakat yang progresif,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan sulung Amirudin dinanti – IDE

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 NOV: Pengumuman Belanjawan Selangor 2019 oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pasti dinanti ramai pihak ekoran ia adalah belanjawan sulungnya selepas dilantik, pada Jun lalu.

Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir berkata, harapan tinggi diletakkan khususnya generasi muda kerana pemimpin negeri itu dilihat mewakili sentimen anak muda.

Katanya, Selangor di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) sejak 2008 mengangkat tema ekonomi berpaksikan kepentingan rakyat.

“Berdasarkan kajian IDE, rakyat Selangor berdebar-debar dan sememangnya menanti pembentangan Belanjawan Selangor 2019, pada petang esok,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, Khairul Arifin berkata, Selangor juga jelas mendapat ‘ranking’ tertinggi dari segi persepsi rakyat, berbanding negeri mengikut ‘Survei Malaysia 2018’.

“Rakyat luar Selangor memandang tinggi keupayaan Kerajaan Negeri memacu ekonomi negeri bukan sahaja memperkayakan pelbagai golongan masyarakat, tetapi turut mampu menjana ekonomi rakyat kebanyakan.

“Keprihatinan tertinggi adalah berkaitan ekonomi terutama berkaitan harga barang dan kos sara hidup khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.