Categories
AGENDA NASIONAL

Pilihan raya Melaka: Idris Haron, Nor Azman jadi calon HARAPAN

SHAH ALAM, 6 NOV: Dua bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional yang menarik sokongan kepada kerajaan Melaka, dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Seri Idris Haron bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan manakala Datuk Nor Azman Hassan di DUN Pantai Kundor.

“Kerusi (DUN) Asahan diperuntukkan untuk PKR, jadi Idris Haron diterima sebagai ahli KEADILAN. Bagi DUN Pantai Kundor, kerusi ini milik Amanah maka beliau Nor Azman mewakili Amanah yang bertanding atas tiket KEADILAN,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media pengumuman calon HARAPAN bagi PRN Melaka secara atas talian hari ini yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Berhubung pembahagian kerusi, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bertanding 11 kerusi, Amanah (sembilan) dan DAP (lapan).

“HARAPAN menampilkan gabungan calon muda dalam PRN Melaka. Jika tengok senarai calon HARAPAN ada umur 21, 30, 36 dan 40 tahun,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, penamaan calon (8 November) manakala undi awal (16 November).

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober apabila empat ADN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.