Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Selangor tawar pinjaman pengajian diploma, ijazah sarjana muda

SHAH ALAM, 31 OGOS: Yayasan Selangor menawarkan bantuan pembiayaan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah sesi September yang dibuka bermula esok.

Agensi itu memaklumkan permohonan terbuka kepada mereka yang sedang belajar atau menerima tawaran pengajian sepenuh masa peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (milik Kerajaan Selangor) diiktiraf kerajaan.

“Pembiayaan yang ditawarkan adalah dalam bentuk pinjaman pelajaran boleh ubah tanpa faedah dikhususkan hanya kepada pemohon warganegara Malaysia dan rakyat Selangor yang memenuhi syarat ditetapkan.

“Pemegang Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah berpeluang mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pelajaran sehingga 100 peratus daripada jumlah pembiayaan.

“Pengecualian itu sekiranya pemegang pinjaman menamatkan pengajian dengan cemerlang pada peringkat ijazah sarjana muda dalam tempoh yang sepatutnya, tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya menerusi kenyataan.

Tawaran dibuka bermula 1 sehingga 30 September 2021.  Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi Yayasan Selangor www.yayasanselangor.org.my.

Pada 29 April, Yayasan Selangor menjalin kerjasama dengan 18 agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksana pelbagai program pendidikan selaras wawasan negeri pintar 2025.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Audit: Prestasi Akademik UNISEL Memuaskan

SHAH ALAM 17 OKT : Prestasi akademik pelajar Universiti Selangor (Unisel) berada ditahap memuaskan kerana terdapat peningkatan bilangan pelajar yang mendapat Ijazah Kelas Pertama.

Hal itu berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara 2011.

Menurut Buku Peraturan Akademik, pelajar hanya layak dianugerahkan kelas ijazah setelah menepati syarat penganugerahan.

Semakan Audit terhadap prestasi akademik pelajar Unisel di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah mendapati prestasi akademik pelajar bagi tahun 2008 hingga 2010 adalah memuaskan.

Statistik itu menunjukkan jumlah pelajar yang memperoleh Kelas Ijazah Kepujian Kelas Pertama meningkat kepada 154 orang pada tahun 2010 daripada 75 orang bagi tahun 2009.

Selain itu, jumlah pelajar yang memperoleh Kepujian Kelas Kedua (Tinggi) pada tahun 2010 adalah seramai 2,121 orang berbanding 1,020 pada tahun 2009.

Manakala, dari segi jumlah pelajar ia meningkat sebanyak 1.5 peratus pada tahun 2011 berbanding tahun 2010.