Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M semakin pulih, pindah wad biasa

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Anak sulung bekas perdana menteri itu berkata Dr Mahathir yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Koronari IJN, kini ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Daripada penilaian pasukan doktor pakar yang merawat Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau didapati semakin pulih,” kata Marina dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini.

Marina berkata Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya.

Sabtu lepas, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) untuk tempoh beberapa hari bermula semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan dengan rawatan intervensi pada sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas.

Menurutnya intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

“Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh itu ekoran pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) COVID-19 di hospital awam, termasuk IJN. Pada masa sama, Seri Paduka juga berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN,” menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata kesihatan Seri Paduka secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan, seterusnya baginda dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan itu.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya.

-BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perdana Menteri ziarah Dr Mahathir di IJN

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (lJN) di sini.

Ismail Sabri yang tiba pada 5.35 petang tadi dilihat melambai tangan dari kenderaan rasmi beliau ke arah pengamal media yang berkumpul di perkarangan IJN.

Perdana menteri meluangkan masa kira-kira sejam di IJN.

Beberapa pengamal media mula berkumpul di luar IJN sejak 12 tengah hari tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir dan difahamkan IJN akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam hantaran di akaun Twitternya berkata semasa menziarahi Dr Mahathir, beliau turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Saya turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di IJN tadi dan berharap keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad terus tabah,” katanya.

Sementara itu dalam catatan di Facebook beliau, Ismail Sabri meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Dr Mahathir kembali sihat.

“Saya mohon seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama berdoa kepada Allah semoga Tun Mahathir segera sembuh dan kembali sihat walafiat,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Jan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan.

Pada 8 Jan, beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir dibenar keluar IJN

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 3.45 petang ini selepas berjaya menjalani prosedur perubatan elektif.

IJN dalam kenyataan ringkas berkata Dr Mahathir akan menjalani proses pemulihan seterusnya di rumah.

“Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan kesihatannya sejak seminggu yang lepas, apabila Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara,” menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan lepas bagi menjalani prosedur perubatan elektif.

Pada 16 Dis lepas Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar dari IJN pada pukul 11.39 pagi 23 Dis.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rawatan elektif Tun M berjaya, keluar IJN beberapa hari lagi

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menjalani prosedur perubatan elektif dan kini semakin pulih, menurut Institut Jantung Negara (IJN).

IJN dalam satu kenyataan hari ini berkata prosedur yang dijalankan oleh sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya semalam, berjalan dengan lancar seperti dirancang.

“Beliau telah sedar dan bersemangat tinggi. Berdasarkan kepada perkembangan semasa klinikal, beliau dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam beberapa hari lagi,” menurut kenyataan IJN itu.

Bekas perdana menteri itu dimasukkan ke IJN pada 16 Dis tahun lepas untuk menjalani beberapa siri pemeriksaan kesihatan dan pemerhatian lanjut sebelum melalui prosedur berkenaan.

Berikutan prosedur operasi institusi itu, IJN memaklumkan pelawat tidak dibenarkan melawat Tun Dr Mahathir.

“Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ingin merakamkan ucapan terima kasih atas segala ucapan selamat, keprihatinan dan doa daripada orang ramai,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir masuk IJN, jalani pemeriksaan kesihatan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara di sini hari ini untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan pemantauan lanjut.

Menurut satu kenyataan daripada IJN, Dr Mahathir tiba di institut itu pada pukul 7 malam ini.

“Yang Amat Berbahagia Tun dijangka berada di IJN untuk beberapa hari lagi,” katanya.

Seorang daripada pegawainya ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Ya , benar sebagaimana dalam kenyataan,” kata beliau.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong jalani rawatan susulan intervensi di IJN

SHAH ALAM, 28 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keracunan makanan dan intervensi dinasihati menjalani rawatan susulan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negera berkata rawatan keracunan makanan bermula apabila Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke institut itu pada malam 21 September, sementara rawatan intervensi dilakukan susulan pengimejan MRI pada 22 September yang menunjukkan kecederaan dialami baginda ketika bersukan.

“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada 24 September. Seri Paduka Baginda kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

“Ekoran daripada rawatan intervensi ini, Seri Paduka dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan pakar perubatan IJN,” kata Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan.

Beliau menambah Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat pulang ke Istana Negara dalam masa terdekat selepas selesai menjalani rawatan susulan.

Pada 22 September, Agong dilaporkan menjalani rawatan di IJN selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan dan keadaan baginda tidak membimbangkan.

“Al-Sultan Abdullah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka tidak dalam keadaan yang membimbangkan,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan sebelum ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong jalani rawatan di IJN, rakyat diminta doakan kesihatan – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin bagaimanapun memaklumkan keadaan kesihatan Al-Sultan Abdullah adalah tidak membimbangkan dan Seri Paduka dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam waktu terdekat.

“Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja IJN semalam, selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatan.

“Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka tidak dalam keadaan yang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba di Kota Bharu, Kelantan semalam dalam rangka lawatan peribadi bergegas pulang hari ini, untuk bersama dengan Al-Sultan Abdullah.

Beliau menjelaskan, Tunku Azizah membatalkan lawatan tersebut yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga esok.

Seluruh rakyat diseru untuk mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerbangan ihsan TUDM bawa dua pesakit jantung

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi, masing-masing berusia 11 hari dan dua bulan dari Kuching, Sarawak ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya, TUDM memaklumkan kedua-dua bayi bersama ibu masing-masing diterbangkan dari Pangkalan Udara Kuching dengan pesawat pengangkut A400M daripada No 22 Skuadron.

“Kedua-dua bayi itu yang masing-masing mempunyai masalah jantung Partially Obstructed Total Anomalous Pulmonary Vein Drainage dan Congenital Heart Disease of Transposition of Great Arteries sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching tiba kira-kira 6.50 pagi tadi di Pangkalan Udara Subang dan dibawa ke IJN dengan diiringi pegawai dan petugas perubatan daripada HUS,” demikian menurut kenyataan itu.

TUDM mendoakan agar kedua-dua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pembedahan alih arteri pasangan kembar siam cipta sejarah

 

KUALA LUMPUR, 10 Jun : Institut Jantung Negara (IJN) mencatatkan satu lagi sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan alih arteri yang pertama ke atas salah seorang bayi kembar siam yang berjaya dipisahkan pada Mac.

Ketua Jabatan Pusat Jantung Pediatrik dan Kongenital IJN, Dr Hasri Samion berkata Aleesha Hana dan kembarnya Aleeya Hana dilahirkan pada 19 Feb tahun ini di Sabah dengan Aleesha didiagnos menghidap Transposition of the Great Arteries (TGA) dua minggu kemudian.

TGA ialah situasi apabila aorta bersambung ke ventrikel kanan dan arteri pulmonari bersambung ke ventrikel kiri menyebabkan darah beroksigen dan darah nyahoksigen bercampur dan dengan itu, paru-paru dan tubuh badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi.

Dr Hasri berkata mengaku bahawa pembedahan itu mencabar kerana ia melibatkan pelbagai peringkat pembedahan dan pasukan pakar dari pelbagai lokasi bermula dengan pembedahan untuk memisahkan kembar itu yang dilakukan di Hospital Likas di Sabah.

“Kami tidak dapat melakukan pembedahan dengan segera kerana Aleesha masih bercantum dengan kembarnya. Pasukan Pediatrik Hospital Likas bersama-sama dengan pakar bedah pediatrik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) kemudian melakukan pembedahan sebelum mereka berjaya dipisahkan,’’ kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata ini menyebabkan kelewatan yang menimbulkan risiko kepada bayi yang akan menjalani pembedahan itu.

“Bayi itu dipindahkan ke IJN ketika berusia tiga bulan untuk pembedahan jantung sedangkan pembedahan itu boleh dilakukan ketika dia berusia satu bulan,’’ kata beliau.

Dr. Hasri berkata kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa teknologi komunikasi canggih yang membolehkan pasukan pediatrik mengenai keadaan bayi tersebut apabila dilahirkan.

Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Kardiotorasik, Dr Siva Kumar Sivalingam yang melakukan pembedahan itu berkata Allesha menjalani pelbagai prosedur kecemasan dan ia mengambil masa yang lebih lama untuk proses sembuh.

“Bayi itu juga didapati menghadapi masalah paru-paru lemah dan dijangkiti sebelum pembedahan. Selepas keadaannya stabil, dia menjalani pembedahan yang mengambil masa empat jam pada 16 Mei,” kata beliau.

Aleesha akan dipindahkan semula ke Sabah esok sementara ibunya ketika ditemui memuji IJN dan para doktor yang berjaya menyelamatkan cahaya matanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

IJN kekal hab kesihatan terbaik negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memberi jaminan Institut Jantung Negara (IJN) akan terus berfungsi sebagai institusi kesihatan terbaik, di negara ini.

Beliau berkata, semua aspek pembangunan dan operasi institusi itu diyakini akan terus menyumbang kepada perkembangan hab kesihatan di Malaysia.

“Kita mempunyai komitmen untuk memastikan kelangsungannya bukan sahaja daripada segi dana tetapi mengekalkan institusi ini sebagai hab kesihatan, di Malaysia.

“Jadi, sememangnya ia harus diambil kira untuk pastikan IJN terus konsisten dan berperanan sebagai pusat yang bukan sekadar memberikan perkhidmatan tetapi mampu menjana keuntungan secara berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sinar Harapan dan Majlis Menandatangani Program MyHeart siri ke-3, di Wad Pediatrik IJN, pagi tadi.

Majlis berkenaan menyaksikan Yayasan MyPrihatin dan IJN Foundation menandatangani memorandum penubuhan program Myheart bagi membantu pesakit jantung.

Yayasan MyPrihatin diwakili Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan.

Manakala IJN diwakili Ahli Lembaga Pengarah, Pemegang Amanah Yayasan IJN, Raja Datin Zuraida Raja Mansor.

Menerusi program ini, seramai 447 pesakit kronik jantung kanak-kanak sudah dibantu menerusi pembiayaan kos rawatan dan logistik ahli keluarga.

Sementara itu, orang awam boleh menyalurkan bantuan di bawah program itu menerusi akaun bank Maybank, 564801648485 atas nama Yayasan MyPrihatin.

Categories
NASIONAL

Tun Mahathir dirawat di IJN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 FEB: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat jangkitan paru-paru, sejak malam tadi.

Jabatan Komunikasi Korporat IJN berkata, Mahathir, 92, kini sudah berada di wad biasa.

“Mahathir dijangka dirawat untuk beberapa hari bagi membolehkan beliau menerima rawatan dan pemerhatian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.