Oleh Nazli Ibrahim
MEMBIMBANGKAN, juga menyeramkan.
Itulah gambaran perasaan penduduk Kampung Ijok setiap kali melalui Jalan Pusara. Namun, perasaan itu terhapus apabila jalan sekitar Kampung Ijok kini sudah diterangi lampu berkuasa solar.
Malah, lampu seumpama itu dipercayai pertama kali dipasang di kawasan pendalaman di negeri ini, mungkin juga di negara ini.
Lampu Diod Pemancar Cahaya (LED) itu jauh lebih efisyen dan menjimatkan kerana tidak melibatkan kos pemasangan yang tinggi ekoran tidak melibatkan kerja penanaman kabel.
Ia juga lebih menjimatkan dari segi kos operasi dan penyelengaraan ekoran penggunaan kuasa semula jadi berbanding penggunaan kuasa elektrik yang melibatkan caj dari pembekal elektrik.
Teknologi LED memberi kecerahan lebih tinggi dengan penggunaan tenaga sekurang-kurangnya 50 peratus lebih rendah berbanding lampu jalan konvensional.
Selain tidak menggunakan sumber mencemarkan, teknologi LED juga tidak memerlukan masa pemanasan sekaligus membenarkan penggunaan pengesan gerakan untuk kecekapan tambahan.
Seperti lampu jalan berkuasa elektrik, lampu LED juga mempunyai pemasa automatik sekaligus membolehkannya menyala dan padam secara automatik.
Bergantung kepada model, ia mampu kekal menyala lebih semalaman tanpa cahaya matahari selama beberapa hari. Ini berikutan bateri lampu menyimpan elektrik dari panel suria pada siang hari dan membekal tenaga untuk penyalaan pada malam hari.
Lampu LED solar dilengkapi panel solar, breket panel solar dan bateri asid plumbum yang tidak memerlukan penyelengaraan manakala tiangnya pula diperbuat dari bahan tahan lasak.
Pada masa ini, Ecolite Technologies Sdn Bhd sudah memasang lampu berkenaan di 20 lokasi strategik atas dasar tanggungjawab korporat dengan Kampung Ijok dan Kampung Halmwood sebagai pilihan.
Ecolites Technologies ialah salah sebuah cawangan RuiGuang Electronic Co Ltd berpangkalan di China yang memiliki kepakaran dalam bidang lampu jalan LED berkuasa solar sejak 2003.
Penggunaan lampu LED itu semakin meluas di China, malah kian berkembang pesat di seluruh dunia.
Tinjauan Selangor Kini di Kampung Ijok mendapati penggunaan lampu LED memberi kesan pencahayaan lebih baik berbanding okasi yang menggunakan lampu jalan konvesional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad pada program perasmian penggunaan lampu itu baru-baru ini berharap faktor kecerahan cahaya membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya dan kes ragut.
“Dahulu, susah nampak orang berjalan pada waktu malam tetapi sekarang ada yang berjogging sebab sudah terang. Suasana malam tampak lebih ceria berbanding sebelumnya.
“Dahulu gelap, bimbang ada peragut dan jalannya pula berliku. Ini berbahaya,” katanya ketika menyampaikan taklimat yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sebelum ini, banyak kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan terbabas ke gaung dan belukar berhampiran akibat suasana jalan yang gelap.
Tidak hairanlah, penduduk di beberapa kampung lain turut menyatakan harapan mereka supaya lampu jalan solar itu dipasang kampung mereka pula.
Lebih-lebih lagi, Abdul Khalid sendiri menunjukkan minat dan sedia mengkaji keperluan untuk memperluas penggunaan lampu LED itu di kampung lain.
– FZL