Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat pengedaran IKEA bakal dibina di Pulau Indah

OLEH SHEEDA FATHIL

PULAU INDAH, 30 JAN: Pusat Pengedaran IKEA (Malaysia) dengan kos pelaburan RM900 juta, bakal dibina di Pulau Indah, Klang, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pembinaannya yang bermula sejak November tahun lalu dijangka memulakan operasi, pada September 2020.

Katanya, kajian graviti menunjukkan Selangor adalah lokasi terbaik untuk pembinaan Pusat Pengedaran IKEA memandangkan ia berhampiran pelbagai tempat, di rantau Asia Tenggara.

“Lokasi dipilih di Pulau Indah ini juga berdekatan pelabuhan laut dalam (Westport dan Northport).

“Persekitaran perniagaan yang mesra juga menjadikan Selangor pilihan terbaik untuk pelaburan Inter IKEA Group membuat pelaburan di sini.

“Selain itu, ia akan membantu menjangkau lebih banyak pelanggan di Asia Tenggara, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan perabot rumah yang lebih cepat dan mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Pusat Pengedaran IKEA di Pulau Indah, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, pilihan strategik IKEA itu adalah tanda keyakinan syarikat terbabit terhadap pimpinan Selangor untuk menjalankan operasi peruncit global itu.

“Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor akan terus mempermudah proses pelaburan dan meningkatkan lagi persekitaran perniagaan, di negeri ini.

“Kami bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor dari seluruh dunia dan akan memulakan pelbagai inisiatif baru untuk mengukuhkan aktiviti promosi pelaburan,” katanya.

Pusat Pengedaran IKEA di Pulau Indah itu akan menggunakan teknologi tinggi untuk operasi utama dengan 80 peratus daripada kapasiti storan penuh automatik, membawa lebih daripada 12,000 produk.

Malah, difahamkan, Pusat Pengedaran IKEA itu akan menjadi yang ketiga terbesar di dunia selepas Chicago, Amerika Syarikat dan Dusseldorf, Jerman.

Categories
GLOBAL

IKEA buka cawangan pertama di India

NEW DELHI, 11 OGOS: IKEA pada Khamis membuka cawangan pertamanya di India iaitu di bandaraya Hyderabad, dan berharap dapat menakluki pasaran bagi golongan kelas pertengahan yang semakin berkembang di negara itu.

Gergasi perabot Sweden itu telah melaburkan sejumlah 10 bilion rupee (US$145.6 juta) dalam sebuah gedung yang luas di hab perniagaan utama di selatan India.

Ia menawarkan beribu-ribu produk kelengkapan rumah, dengan beratus-ratus barang berharga di bawah 200 rupee (US$2.9) dalam usaha menarik pelanggan yang prihatin dengan harga.

Fasiliti itu turut mempunyai sebuah restoran dengan 1,000 tempat duduk, yang menawarkan sajian istimewa IKEA dan masakan India.

Peruncit perabot itu menganggap makanan sebagai “titik perhubungan pertama” dengan pelanggan India dan tidak akan menyajikan daging lembu atau babi di semua cawangannya di negara tersebut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pengasas IKEA meninggal dunia

GLOBAL 29 JAN: Bilionair yang juga pengasas syarikat perabot gergasi IKEA, Ingvar Kamprad meninggal dunia akibat sakit tua ketika berusia 91 tahun di Sweden.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, pemergian Kamprad adalah sesuatu yang menyedihkan.

IKEA ditubuhkan oleh Ingvar Kamprad di Almmhult, Sweden ketika berusia 17 tahun.

IKEA adalah akronim bagi perkataan ‘Ingvar Kamprad, Elmtaryd, Agunnaryd’ yang merujuk kepada tempat tinggalnya.

“Kami akan sentiasa mengingati dedikasi dan komitmen beliau terhadap orang ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Inter IKEA, Torbjorn Loof.

Dilahirkan pada 30 Mac 1926 di selatan wilayah Smaland, Sweden, Kamprad mengasaskan syarikat itu pada usia 17 tahun.

Kejayaan awal Kamprad bermula selepas menawarkan harga rendah bagi menyaingi pesaing sedia ada.

Ketika berusia lima tahun, Kamprad mula menampakkan minat terhadap dunia perniagaan apabila menjual mancis di kawasan kejiranan dan kemudiannya mempelbagaikan barang jualan seperti hiasan pokok Krismas, pensel dan pen.

“Beliau seorang usahawan yang berjaya dan kuat bekerja. Beliau bekerja sehingga akhir hayatnya.

“Legasi perniagaan beliau akan sentiasa dikagumi selama bertahun-tahun dan visi beliau mewujudkan kehidupan harian yang lebih baik kepada kebanyakan orang akan berterusan bagi memberi inspirasi kepada semua,” jelas IKEA.

IKEA kini dikenali dan disukai ramai kerana mengetengahkan rekabentuk senibina moden di dalam bidang perkakasan, perabot dan hiasan dalaman.

 

SUMBER: AFP

 

 

Categories
SELANGOR

Selangor negeri bermaruah, berintegriti dan tarikan pelabur

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Pentadbiran Kerajaan Negeri tetap mempertahankan maruah negeri dan rakyatnya dengan tidak akan sesekali melutut kepada negara kuasa besar ekonomi dunia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip kebertanggungjawaban, berintergriti dan bebas rasuah sebagai daya tarikan untuk mendorong pelabur asing melabur di negeri termaju itu.

“Minggu lepas saya berada di India dan sebelum itu di Negara China bukan saya bawa duit orang Sabak Bernam dan Tanjong Karang melabur di India dan China kerana saya bukan macam sebuah kerajaan yang dekat dengan Selangor itu, bawa duit rakyat pergi membantu membangunkan infrastruktur di Amerika Syarikat (AS).

“Ini apa cerita? Rakyat masih susah. Pembangunan negara masih jauh ketinggalan tetapi ada pemimpin sanggup melutut kepada negara asing, bawa wang rakyat Malaysia melabur di AS.

“Berbeza dengan Kerajaan Selangor yang ada maruah, integriti, kita tidak melutut kepada mereka tetapi mereka yang datang ke Negeri Selangor meletakkan pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat di Selangor ini,” katanya.

IKEABeliau berkata demikian pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

Jelasnya, Selangor hari ini semakin mendapat perhatian dan keyakinan pelabur antarabangsa dengan meletakkan pelaburan berbilion ringgit dan sekaligus membolehkan rakyat Selangor memperolehi kemahiran dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Katanya, antaranya syarikat terkemuka daripada Sweden, Ikea yang bersetuju melabur RM1 bilion di Selangor walaupun Kerajaan Negeri Johor turut melobi untuk mendapatkan pelaburan terbabit.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut membidas golongan yang mengaku sebagai pejuang Melayu bagi kepentingan politik sendiri.

“Saya tidak mahu menjadi seperti setengah orang, mengaku pejuang Melayu tetapi bawa lari duit berbeg-beg ke negara asing. Melayu mana yang dia tolong? Melayu dirinya dan keluarganya tetapi Melayu di bawah masih susah, Melayu di kampung masih susah.

“Orang ini nak mendabik dada sebagai pejuang Melayu semata-mata kepentingan politik. Saya tidak mahu jadi pengkhianat kepada rakyat Selangor sama ada Melayu, Cina atau India semuanya menjadi tanggungjawab saya untuk mengangkat martabat mereka sebagai rakyat yang ada maruah dalam negeri Selangor ini,” katanya.

=EZY=

Categories
EKONOMI SELANGOR

MB: Selangor bawa masuk pelaburan, bukan bawa wang keluar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 SEPT: Selangor mengalami pembangunan dengan pertumbuhan ekonomi pesat dan menjadi tumpuan pelabur tempatan serta antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkembangan itu membuktikan Selangor mencapai kemajuan membanggakan serta menghasilkan pelaburan tinggi di negeri itu.

“Ini bezanya Selangor dengan satu kerajaan yang lain di mana di Selangor, pelabur datang ke Selangor.

“Ada sebuah kerajaan, dia bawa wang negara ke Amerika Syarikat, faham atau tidak?” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) Kampung Melayu Subang Tambahan di sini, semalam.

ekonomi-selangor-1Kenyataan dibuat itu merujuk lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Amerika Syarikat dan bertemu Presiden, Donald Trump, di mana antara perbincangan menyentuh pelaburan Malaysia bernilai hampir RM100 bilion melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad (KNB).

Dato’ Menteri Besar berkata, sepatutnya wang simpanan pekerja di dalam KWSP memberi jaminan terhadap masa depan golongan itu ketika bersara.

MOU IKEABeliau berkata, ia berbeza dengan situasi di Selangor apabila lawatannya ke Zurich, Switzerland, dua minggu lalu menarik minat syarikat IKEA untuk melabur RM1 bilion di Pulau Indah, Klang.

“IKEA membuat keputusan membina pusat pengagihan untuk Asia Pasifik dan pembangunan ini adalah ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan Jerman.

“Pelabur Amerika Syarikat juga memaklumkan akan meletakkan pelaburan besar di Selangor dan ia akan kita umunkan nanti,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Bantu Amerika lebih penting daripada Sabah, Sarawak?

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 13 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan rasa terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak bahawa Malaysia akan melabur sehingga AS$24 billion (RM100 billion) di Amerika Syarikat.

Mohamed Azmin berkata pelaburan itu kononnya untuk “mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat” tatkala ekonomi negara sedang memerlukan pelaburan lebih besar selain daripada misteri mengapa Malaysia perlu membantu ekonomi terbesar di dunia.

“Malaysia adalah negara yang ekonominya sedang berkembang dan kita sedang melakukan yang terbaik untuk menarik pelaburan dari negara-negara maju, bukannya menghantar wang kita keluar dari negara ini,” kata Mohamed Azmin dalam kenyataan media.

Beliau berkata baru-baru ini, Selangor memperoleh pelaburan RM1 bilion daripada IKEA untuk membina pusat pembekalan dan pengedaran serantau untuk Asia Pasifik di Pulau Indah.

Azmin MBKatanya ia mewujudkan nilai tambah, menjana pekerjaan dan menggandakan kesan ekonomi negara ini.

“Adalah sukar dipercayai bahawa KWSP, mengikut Najib, akan membelanjakan antara AS$3 bilion hingga AS$4 bilion ke atas pembangunan semula infrastruktur di Amerika Syarikat.

“Adakah Perdana Menteri cuba memberitahu kita bahawa membantu Amerika Syarikat membina infrastruktur adalah lebih penting daripada membantu Sabah dan Sarawak membina jalan raya dan paip air?

“Wang dalam KWSP adalah wang amanah untuk rakyat dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya,” katanya.

Azmin berkata beliau memahami pilihan Najib untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun pemimpin itu tidak boleh menggadaikan kesejahteraan ekonomi negara hanya untuk peluang bergambar.

https://selangorkini.my/2017/09/pertemuan-najib-trump-pelik-misteri-mengejutkan-kenapa/

https://selangorkini.my/2017/09/kami-mahu-membantu-anda-mengukuhkan-ekonomi-as/

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kejayaan Selangor dapat liputan media antarabangsa

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 27 OGOS: Kejayaan Selangor menarik pelaburan luar ke negeri itu seperti bersama Pasar Raya Pukal ternama dunia, IKEA, mendapat pengiktirafan dan liputan meluas media antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia berbeza dengan media di Malaysia terutama media arus perdana yang tidak menghebahkan perkara itu.

“Banyak pihak cemburu dengan kejayaan demi kejayaan dicatatkan Selangor.

BANGUNAN SUK“Saya ke Zurich, Switzerland dan kejayaan ini (persetujuan IKEA membangunkan pusat pengedaran di Selangor) mendapat laporan meluas Bangkok Post, The Edge dan media lain tetapi tidak di Utusan Malaysia,” katanya kepada media.

Mohamed Azmin berkata demikian sekembalinya beliau dan rombongan dari lawatan kerja ke Zurich, Switzerland di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Dalam lawatan itu, Kerajaan Negeri mencapai persetujuan bersama IKEA dengan syarikat itu bakal membangunkan pusat pengedaran dengan nilai pelaburan RM1 bilion di Pulau Indah, Klang, Selangor.

Pusat pengedaran dibina itu bakal menjadi yang ketiga terbesar didunia selepas Chicago, Amerika Syarikat dan Dusseldorf, Jerman.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelaburan IKEA bawa impak besar untuk Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 26 OGOS: Kejayaan Kerajaan Negeri menarik pelaburan besar bersama Pasar Raya Pukal ternama dunia, IKEA, bakal membawa impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi di Selangor.

Malah, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kesediaan syarikat itu melabur dan membangunkan pusar pengedaran di Selangor perkembangan amat baik.

“IKEA memberi dokongan kuat untuk membangunkan pusat pengedaran di Pulau Indah, Klang dengan pelaburan berteknologi tinggi bernilai RM1 bilion dan ia adalah yang ketiga terbesar di dunia.

IKEA“Ia bakal mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak muda di Selangor khusus yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi dan ini dapat menjana pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin dan rombongan mengadakan lawatan kerjanya ke Zurich, Switzerland bagi pelaksanaan perkara berkaitan bersama IKEA.

Pusat pengedaran IKEA akan dibangumkan di Pulau Indah, Klang itu akan menjadi yang ketiga terbesar di dunia selepas Chicago, Amerika Syarikat dan Dusseldorf, Jerman.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelaburan RM1 bilion IKEA tanda keyakinan terhadap Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 OGOS: IKEA bersetuju melabur RM1 bilion bagi membina pusat pengedaran produknya untuk rantau Asia Pasifik di Pulau Indah, Selangor, umum Kerajaan Negeri.

Menerusi kenyataan Pejabat Dato’ Menteri Besar, IKEA Pulau Indah dikatakan bakal menjadi pusat pengedaran produk IKEA ketiga terbesar di dunia selepas IKEA Chicago, Amerika Syarikat dan IKEA Dusseldorf, Jerman.

Katanya, pusat pengedaran dan rantaian pembekalan serantau itu bakal dihubungkan dengan 12 cawangan peruncitan IKEA, di ASEAN.

MB IKEA (1)“Ini akan memberi nilai tambah kepada Selangor selaku negeri pintar daripada aspek peluang pekerjaan dan meningkatkan pertumbuhan industri domestik.

“Pilihan strategik IKEA ini adalah tanda keyakinan IKEA terhadap pimpinan Selangor selain kedudukan strategik Selangor di Asia Tenggara bagi menjalankan operasi peruncit global itu,” katanya.

Kenyataan itu merujuk hasil lawatan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke pejabat korporat IKEA di Basel, Switzerland, hari ini.

Perjanjian ditandatangani IKEA yang diwakili oleh Pengarah IKEA Supply AG, Michael Nielsen dan Penasihat Undang-undang IKEA Supply AG, Magnus Holmquist.

Sementara itu, Kerajaan Negeri diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd, Mahmud Abbas dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Dato’ Noordin Sulaiman.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Nor Azmie Diron.