Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dana jawatankuasa perubahan iklim manfaat untuk aktiviti kajian

SHAH ALAM, 28 FEB: Dana tambahan disalurkan Kerajaan Selangor kepada jawatankuasa khas perubahan iklim bakal digunakan untuk menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan.

Hee Loy Sian yang dipertanggungjawab memegang portfolio baharu itu berkata pihaknya akan menjalin kerjasama dengan saintis dan pakar dari universiti untuk membuat kajian menyeluruh berhubung perubahan iklim.

Beliau menjelaskan kajian itu termasuk faktor Selangor dilanda hujan lebat luar biasa pada akhir Disember tahun lepas meskipun moratorium pembalakan sudah berkuat kuasa sejak 2010 untuk tempoh 25 tahun.

“Sekarang tiada pembalakan, jadi mengapa perubahan iklim kita (Selangor) luar biasa? Kemungkinan disebabkan pertambahan kenderaan berat dan pembebasan karbon dari kilang serta bangunan.

“Jadi, kajian-kajian seperti ini akan dibuat kerana dengan penjenamaan (portfolio), kita ada pertambahan peruntukan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Selangor Journal baru-baru ini.

Sementara itu, Loy Sian mengakui perubahan iklim bukan isu mudah untuk ditangani selain memerlukan perancangan jangka panjang sehingga hingga 30 tahun.

“Memang perlukan masa kerana ia merupakan perbincangan polisi jangka panjang. Kita kena kaji kenaikan paras laut setiap tahun dan (kajian) ini sangat penting.

“Biasanya kadar taburan hujan lebih kurang 70 hingga 90 milimeter(mm), tetapi kali ini (Disember 2021) mencecah sehingga 200mm. Keadaan ini agak aneh kerana tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya lagi.

Dua minggu lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan tambahan portfolio baharu perubahan iklim yang diketuai Loy Sian.

Penambahbaikan portfolio itu menjadikan jawatan disandangnya kini adalah EXCO pelancongan, alam sekitar, perubahan iklim, teknologi hijau dan hal ehwal orang asli.

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Panas terik: Tujuh kawasan di Semenanjung catat gelombang haba tahap kuning

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu memaklumkan, lokasi itu ialah Chuping, Perlis; Kota Setar, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Sepang, Selangor; Alor Gajah, Melaka serta Tangkak dan Batu Pahat di Johor.

Sementara itu, tiada gelombang haba dikesan di Sabah dan Sarawak dan semua kawasan di dua negeri itu merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah apabila mencatat suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Dalam pada itu, setakat 12 tengah hari ini bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kebanyakan kawasan di Semenanjung adalah paras sederhana dengan daerah Rompin, Pahang mencatat bacaan tertinggi iaitu 92, manakala rata-rata lokasi di Sabah dan Sarawak pula IPU pada paras baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung terutama di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun, jabatan itu tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10 kawasan di Semenanjung rekod gelombang haba tahap kuning

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Sebanyak 10 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam, demikian menurut data status gelombang haba Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Semakan status gelombang haba di portal rasmi MetMalaysia hari ini mendapati, kawasan terbabit melibatkan empat daerah di Perak iaitu Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Hilir Perak, manakala tiga di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Status gelombang haba yang sama turut dikesan di Tampin, Negeri Sembilan serta Tangkak dan Kluang di Johor.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Bagi status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, seluruh kawasan di Sabah dan Sarawak merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Sebelum ini, Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia, terutamanya di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

– BERNAMA