Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ikon Agro: Peserta guna teknologi pertanian, seiring agenda Negeri Pintar

SHAH ALAM, 8 FEB: Dato’ Menteri Besar gembira serta berpuas hati dengan penyertaan peserta Ikon Agro Selangor 2021 yang menitikberatkan teknologi dalam pertanian.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kesungguhan peserta program tersebut selaras dengan cita-cita menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar.

“Setiap tahun kita mengenal pasti siapakah petani-petani yang boleh dicalonkan dan yang amat menggembirakan pertanian pintar sudah menjadi salah satu kriteria dalam kalangan peserta.

“Penglibatan teknologi pintar dalam kalangan peserta amat jelas yang bukan sahaja meningkatkan hasil tanaman tetapi juga selaras dengan cita-cita menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Ikon Agro Selangor 2021 di Dewan Orkid Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini malam tadi.

Amirudin berkata ikon yang terpilih berperanan menjadi duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini selain membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung dalam pertanian.

“Mereka harus mendidik semula di kalangan petani-petani baru yang lain supaya teknologi pintar ini menjadi salah satu kaedah terbaik pertanian di Selangor,” katanya.

Tiga pengusaha pertanian mengungguli saingan akhir untuk dinobatkan sebagai Ikon Agro Selangor 2021.

Tiga Ikon Agro Selangor itu ialah penguasaha ternakan udang bara, Siti Nurul Aishah Zakariah; pengusaha tanaman buah naga, Sam Chia dan pengusaha cendawan, Peggy Cheng.

Mereka menerima hadiah wang tunai dan bantuan input agro bernilai RM10,000 serta trofi yang disampaikan Dato’ Menteri Besar.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Calon akhir Ikon Agro Selangor dinilai juri awam mulai hari ini

SHAH ALAM, 22 NOV: Video lapan usahawan yang disenarai pendek sebagai calon akhir Ikon Agro Selangor 2021 akan dimuat naik hari ini.

EXCO Industri Asas Tani memaklumkan video berkenaan akan dinilai dan diberi pemarkahan juri awam selama seminggu.

“Esok (hari ini) kita akan muat naik video lapan finalis pada saluran YouTube Agro Selangor untuk pemarkahan juri awam selama seminggu,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi SelangorKini.

Lapan usahawan yang disenarai pendek ialah Muhammad Fathullah Janal (penternakan), Sri Sutesh Chelladurai (tanaman)dan She Cheng Siang (tanaman).

Selain itu, Siti Nurul Aisyah Zakariah (akuakultur), Chia Boon San (agropelancongan), Cheng Poh Guat (tanaman), Hasbullah (ternakan) dan Affendi Zainuddin (tanaman).

Edisi kedua penganjuran Ikon Agro Selangor menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, bantuan kelengkapan pertanian dan sijil.

Peserta dinilai mengikut penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Undian video bantu tentukan pemenang Ikon Agro Selangor

SHAH ALAM, 7 NOV: Lapan calon Ikon Agro Selangor 2021 menjalani penggambaran video di premis masing-masing sejak 1 November sebagai salah satu proses pertandingan.

Sesi rakaman selama dua minggu berjalan lancar sebelum video ditayangkan di Facebook dan YouTube Agro Selangor untuk pengundian, kata EXCO pemodenan pertanian.

“Sebanyak 30 peratus markah undian dinilai berdasarkan jumlah tanda suka dan tontonan,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi hari ini.

Lapan usahawan agro disenarai pendek adalah Muhammad Fathullah Janal (penternakan), Sri Sutesh Chelladurai (tanaman)dan She Cheng Siang (tanaman).

Selain itu, Siti Nurul Aisyah Zakariah (akuakultur), Chia Boon San (agropelancongan), Cheng Poh Guat (tanaman), Hasbullah (ternakan) dan Affendi Zainuddin (tanaman).

Edisi kedua penganjuran menawarkan wang tunai RM10,000, bantuan kelengkapan pertanian dan sijil.

Peserta dinilai mengikut penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Ikon Agro Selangor berperanan sebagai duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini serta membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung.

Jawatankuasa pertanian negeri turut memantau Ikon Agro Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ikon Agro Selangor: Lapan usahawan disenarai pendek

SHAH ALAM, 1 NOV: Seramai lapan usahawan agro disenarai pendek sebagai calon Ikon Agro Selangor daripada 19 penyertaan sejak dibuka 19 hingga 24 Oktober lalu.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata pemilihan kesemua lapan calon itu diteliti dan disemak oleh jawatankuasa penilaian.

“Untuk makluman, kesemua lapan calon senarai pendek ini akan dihubungi oleh pihak jawatankuasa bagi penyediaan video pendek untuk proses seterusnya.

“Proses penggambaran video pendek ini akan dijalankan di lokasi dan premis perniagaan seperti yang telah diisi di google form. Tahniah kepada semua warga tani Negeri Selangor yang sentiasa menyokong inisiatif oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Lapan usahawan agro yang disenarai pendek itu adalah Muhammad Fathullah Janal (penternakan); Sri Sutesh Chelladurai (tanaman); She Cheng Siang (tanaman); Siti Nurul Aisyah Zakariah (akuakultur); Chia Boon San (agro-pelancongan); Cheng Poh Guat (tanaman); Hasbullah (ternakan) dan Affendi Zainuddin (tanaman).

Edisi kedua penganjuran itu menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, bantuan kelengkapan pertanian dan sijil kepada ikon terpilih.

Penilaian juri berdasarkan penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Ikon Agro Selangor berperanan sebagai duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini serta membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung.

Jawatankuasa pertanian negeri turut memantau Ikon Agro Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Duit, alatan tani RM10,000 menanti Ikon Agro Selangor 2021

SHAH ALAM, 20 OKT: Wang tunai, insentif input dan alatan pertanian berjumlah RM10,000 menanti pemenang Ikon Agro Selangor 2021 melalui acara bermula semalam.

Program mempertaruhkan lima kategori iaitu pertanian, penternakan, akuakultur, industri asas tani dan agro pelancongan, kata EXCO pemodenan dan asas tani.

“Calon yang menepati kriteria akan dipilih menjadi Ikon Agro Selangor dan memenangi hadiah wang tunai serta bantuan input agro bernilai RM10,000 seorang,” kata Ir Izham Hashim di Facebook.

Beliau berkata permohonan boleh dibuat menerusi pautan https://forms.gle/UNrXbzDAyZmPbmKu5.

Sementara itu, menerusi perkongsian infografik, program dibuka selama dua minggu sehingga 24 Oktober dengan senarai pendek calon Ikon Agro Selangor diumum pada 28 Oktober.

Calon awal diumum pada 8 November sementaa video senarai pendek pula ditayangkan di Facebook dan YouTube Agro Selangor pada 9 hingga 14 November.

Ikon Agro Selangor berperanan membimbing agropreneur yang baharu berkecimpung dalam pertanian serta menjadi duta kecil bidang itu bagi negeri ini.

Penilaian juri berdasarkan penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan pencarian ikon Agro Selangor dibuka hari ini

TANJONG KARANG, 19 OKT: Permohonan pencarian ikon Agro Selangor dibuka bermula hari ini hingga 24 Oktober, kata EXCO pemodenan dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata peserta memenuhi kriteria akan dipilih dalam saringan awal untuk menjalani proses penilaian sebelum ikon tersebut diumumkan pada 15 November .

Pemilihan ikon edisi kedua itu terbahagi kepada lima kategori iaitu tanaman, penternakan, akuakultur, industri asas tani dan agro pelancongan.

“Peserta perlu mengisi borang pencalonan lengkap di Google Form dan memberikan butiran mengapa pencalonan itu wajar dipertimbangkan. Permohonan daripada pihak ketiga juga dibenarkan.

“Urusetia akan membuat rakaman video bagi setiap peserta terpilih dan dipaparkan di Facebook, Youtube serta Instagram Agro Selangor. 50 peratus undian melalui saluran rasmi Facebook manakala selebihnya jawatankuasa pertanian Selangor,” katanya.

Ir Izham berkata demikian pada program penyerahan bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 kepada kebun komuniti di Dewan Terbuka Taman Sri Setia di sini semalam.

Jelas beliau, setiap ikon akan menerima bantuan kelengkapan pertanian dan wang tunai berjumlah RM10,000 termasuk sijil.

“Ikon terpilih akan menjadi duta kecil untuk sektor pertanian Selangor selain membimbing agropreneur yang baharu berkecimpung dalam pertanian.

“Mereka juga akan dipantau dan diaudit jawatankuasa pertanian Selangor selama dua tahun,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Senarai 10 Ikon Agro Selangor diumum Isnin

SHAH ALAM, 12 SEPT: Senarai 10 individu yang terpilih sebagai Ikon Agro Selangor bakal diumum pada Isnin, kata EXCO pemodenan pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata senarai peserta terbaik tersebut dipilih daripada 34 penyertaan melibatkan kategori penternakan, tanaman, industri asas tani dan akuakultur.

“Seramai 20 peserta disenarai pendek untuk menjalani proses penilaian berdasarkan penggunaan kaedah pertanian moden, pendapatan syarikat yang stabil, kelestarian alam sekitar, impak positif kepada ekonomi setempat dan kepedulian kepada masyarakat.

“Penilaian dibuat oleh wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri, jabatan dan agensi pertanian yang mewakili 70 peratus markah manakala 30 peratus berdasarkan jumlah tanda suka dan perkongsian video peserta di Facebook dan Youtube,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Setiap ikon menerima hadiah kelengkapan pertanian dan wang tunai RM10,000 selain berperanan sebagai pembimbing golongan muda bagi melahirkan ramai petani moden.

Semua 10 Ikon Agro Selangor dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian negeri selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sambutan luar jangka, pencarian Ikon Agro Selangor dilanjut

SHAH ALAM, 2 SEPT: Tarikh tutup pencarian Ikon Agro Selangor yang sepatutnya berakhir semalam dilanjutkan sehingga Isnin depan selepas menerima sambutan menggalakkan.

EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim berkata lebih 30 penyertaan diterima sejak permohonan dibuka pada 15 Julai lalu melibatkan kategori penternakan, tanaman dan industri asas tani serta akuakultur.

“Jawatankuasa pertandingan melanjutkan tarikh tutup sehingga 7 September selepas menerima permintaan peserta yang memerlukan sedikit masa untuk menyiapkan rakaman video pendek dan beberapa perkara lain bagi melengkapkan syarat penyertaan.

“Kita mahu memastikan ikon agro yang dipilih benar-benar berkualiti dan bilangan penyertaan dijangka terus meningkat sepanjang minggu ini secara tidak langsung menjadikan persaingan merebut ikon agro lebih sengit,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Izham berkata 20 peserta disenarai pendek untuk menjalani proses penilaian selama seminggu sebelum kelompok 10 terbaik diumumkan pada tarikh yang dimaklumkan kelak.

“Setiap ikon menerima hadiah kelengkapan pertanian dan wang tunai RM10,000 selain berperanan sebagai pembimbing golongan muda sekali gus melahirkan lebih ramai petani moden,” katanya.

Pemilihan ikon dibahagi kepada lima kategori iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agro pelancongan sebagai usaha menjadikan Selangor pusat bekalan makanan.

Semua 10 Ikon Agro Selangor dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian negeri selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Categories
EXCO SELANGOR

Keputusan pencarian Ikon Agro Selangor diumum 1 September

AMPANG, 14 OGOS: Keputusan pencarian 10 individu untuk dinobat sebagai Ikon Agro Selangor akan diumumkan pada 1 September, kata EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pihaknya kini dalam proses membuat penilaian terhadap kira-kira 30 individu yang menghantar permohonan setakat 17 Julai lalu.

“Kita sudah hantar pasukan untuk buat video pendek dan daripada video tersebut, seramai 20 peserta disenarai pendek yang akan dimuat naik menerusi saluran YouTube Agro Selangor.

“Konsep penjurian adalah 30 peratus daripada undian rakyat (pelayar YouTube) manakala 70 peratus lagi diadili jawatankuasa tetap dan mereka (juri) diberi tempoh seminggu untuk menilai,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kit Pertanian dan Set Agrobandar di Kebun Komuniti Flat Merpati, Pandan Indah hari ini.

Ir Izham yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan itu berkata sambutan pertandingan amat menggalakkan selain kagum dengan hasil agro peserta.

Pemilihan ikon terbahagi kepada lima kategori iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agro pelancongan sebagai usaha menjadikan Selangor pusat bekalan makanan.

Semua 10 Ikon Agro Selangor dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian negeri selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Setiap ikon menerima hadiah kelengkapan pertanian dan wang tunai RM10,000 selain berperanan sebagai pembimbing golongan muda bagi melahirkan lebih ramai petani moden.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ikon Agro Selangor dapat sambutan, 23 permohonan diterima

SHAH ALAM, 29 Julai: Pencarian 10 individu yang bakal dinobatkan sebagai Ikon Agro Selangor menerima sambutan menggalakkan, kata EXCO pemodenan pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata 23 permohonan diterima setakat semalam dengan kategori penternakan, tanaman dan industri asas tani menerima penyertaan tertinggi masing-masing tujuh calon manakala dua bagi akuakultur.

“Kita jangkakan bilangan peserta akan melebihi 30 individu sebaik sahaja tarikh permohonan yang bermula pada 15 Julai berakhir Jumaat ini.

“Selepas itu 20 peserta disenarai pendek untuk menjalani proses penilaian selama sebulan sebelum kelompok 10 terbaik bakal diumumkan pada 1 September,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Izham berkata setiap ikon menerima hadiah kelengkapan pertanian dan wang tunai RM10,000 selain berperanan sebagai pembimbing golongan muda sekali gus melahirkan lebih ramai petani moden.

Pemilihan ikon dibahagi kepada lima kategori iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agro pelancongan sebagai usaha menjadikan Selangor pusat bekalan makanan.

Semua 10 Ikon Agro Selangor dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian negeri selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Categories
EXCO SELANGOR

Pencarian Ikon Agro Selangor mula dibuka esok

SHAH ALAM, 14 Julai: Permohonan pencarian 10 Ikon Agro Selangor dibuka bermula esok hingga 28 Julai ini, kata EXCO pemodenan pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata 20 peserta awal dipilih untuk menjalani proses penilaian selama sebulan sebelum kelompok 10 terbaik diumumkan pada 1 September.

“Syarat penyertaan adalah berasal dari Selangor, berumur 18 tahun ke atas, mempunyai syarikat berdaftar atas nama sendiri dan penyata kewangan lengkap selama tiga tahun.

“Pemilihan ikon dibahagi kepada lima kategori iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agro pelancongan. Program ini bertujuan menyokong usaha menjadikan Selangor sebagai pusat bekalan makanan,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Annex
Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham berkata setiap ikon akan menerima hadiah kelengkapan pertanian dan wang tunai RM10,000.

“Mereka bertindak selaku duta kecil serta pembimbing golongan muda yang ingin menceburi bidang pertanian sekali gus melahirkan lebih ramai petani moden.

“Ikon agro akan dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang,” katanya.