Categories
AGENSI SELANGOR

Kakitangan Invest Selangor lafaz ikrar, lancar pelan anti rasuah

SHAH ALAM, 25 MAC: Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris mengetuai 66 kakitangan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Beliau berkata selaku organisasi penggalakan pelaburan, semua kakitangan perlu mengamal serta mengekalkan tahap integriti sekali gus menjadi contoh kepada syarikat lain.

“Invest Selangor menjadi cermin kepada Kerajaan Negeri kerana syarikat ini berurusan dengan pelabur, justeru pegawai dan kakitangannya perlu menonjolkan amalan murni.

“Kita tidak mahu lafaz IBR hanya di bibir sahaja, sematkan dalam hati untuk menolak rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Melafazkan dan Menandatangani IBR yang disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Alias Salim.

Pada majlis sama, Invest Selangor turut melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2023, menjadi anak syarikat pertama Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif itu.

OACP bertujuan menangani kelemahan urus tadbir, integriti dan rasuah dalam kalangan warga Invest Selangor ke arah menjadi organisasi korporat cekap, bertanggungjawab serta amanah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPK komited perangi rasuah, kekalkan integriti

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 8 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) komited memerangi gejala rasuah sekali gus berjaya mengekalkan integriti dalam kalangan kakitangannya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohd Yasid Bidin berkata, sejak melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dua tahun lalu, tiada lagi kes membabitkan rasuah berlaku dalam kalangan kakitangannya.

“Setakat IBR dilaksanakan pada 2016 sudah tiada kes rasuah berlaku cuma hanya satu kes membabitkan tohmahan dan belum mempunyai keputusan sama ada betul atau tidak.

“Berdasarkan tempoh dua tahun, kita lihat belum ada yang dijatuhkan hukuman atau dipenjara, namun siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu tetap dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Program Semarak Kasih Penghargaan Ahli Majlis dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Dewan Hamzah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim; Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir; dan Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Pada majlis sama turut diadakan bacaan IBR membabitkan 24 Ahli Majlis MPK serta 21 PeBT sambil disaksikan Mohd Yasid, Alias Salim dan Abdul Ghani.

Sementara itu, Mohd Yasid berkata, bacaan IBR itu adalah julung kali diadakan memandangkan ia adalah yang pertama membabitkan PeBT.

“Ini adalah inisiatif MPK supaya setiap individu menandatangani IBR lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul.

“Selain itu, saya optimis anda semua dapat menjauhkan diri daripada sebarang salah laku perlakuan rasuah selama memegang jawatan ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

1,356 agensi, syarikat swasta tandatangani IBR sepanjang 2018

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Sebanyak 1,356 agensi dan syarikat swasta menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara sepanjang 2018.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat berkata, ia termasuk 55 syarikat swasta yang menandatangani IBR sebagai satu inisiatif menolak gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Tahun ini, kami (SPRM) akan giatkan lagi, menyeru agar lebih banyak lagi agensi-agensi swasta untuk menandatangani IBR, sebab kami tahu bahawa agensi swasta ini membabitkan kelompok yang besar dari segi kewangan, termasuk juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Beliau berkata demikiana selepas majlis lafaz dan menandatangani IBR oleh Persatuan Pemfaktor Malaysia (MFA) bersama SPRM, hari ini.

Beliau berkata, mengikut peruntukan baharu di bawah Seksyen 17 a Akta SPRM 2009, setiap agensi perlu mengambil inisiatif pencegahan rasuah masing-masing dalam setiap syarikat-syarikat yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Perkemas IBR, Selangor dahului inisiatif perangi rasuah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 SEPT : Kerajaan Negeri mendahului inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi gejala rasuah membabitkan pengurusan tertinggi pentadbiran negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi pengisytiharan kepentingan yang diwajibkan ke atas semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri.

“Kerajaan Selangor merupakan Kerajaan Negeri pertama yang menyambut baik usaha SPRM banteras rasuah dengan menetapkan AMMK menandatangani pengisytiharan pada mesyuarat yang diadakan setiap Rabu.

IMG_6819“Begitu juga dengan Ahli Lembaga Pengarah (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) perlu menandatangani pengisytiharan sebagai jaminan bahawa integriti itu dipertahankan.

“Kaedah ini lebih efektif dan berkesan untuk perangi rasuah di seluruh negeri,” katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah supaya pentadbiran Kerajaan Negeri di seluruh negara menandatangani lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Wan Ramli berkata, inisiatif itu diwujudkan sebagai keperluan jaminan integriti bebas rasuah membabitkan pentadbiran negeri di peringkat tertinggi.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, mekanisma pelaksanaan IBR perlu diperkemas bagi membolehkan struktur pemantauan aktiviti rasuah dapat dijalankan sehingga peringkat akar umbi.

“Isunya bukan sekadar untuk angkat tangan dan lafaz ikrar, tetapi bagaimana mekanisma pemantauan amalan rasuah tidak berlaku.

“Jadi saya telah sampaikan kepada SPRM berhubung ketetapan itu, dan mereka telah bersetuju menambah beberapa perkara lain untuk langkah pembaikan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor tertinggi tandatangani Ikrar Bebas Rasuah – SPRM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 SEPT: Selangor mencatatkan jumlah organisasi tertinggi di negara ini yang menyambut baik pelaksanaan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sejak ia mula diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), awal tahun ini.

Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah berkata, 90 organisasi yang berpusat di negeri itu sudah menandatangani lafaz IBR melibatkan penyertaan pelbagai pertubuhan dan pihak berkuasa tempatan negeri.

“Sasaran kita supaya lebih banyak lagi organisasi yang belum melaksanakan IBR ini untuk terlibat secara positif dalam program ini.

“Untuk tempoh ini, kita cuba menyelesaikan IBR dalam kalangan tiga sektor utama iaitu sektor perkhidmatan awam, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri, syarikat swasta termasuklah industri perbankan.

SPRM“Namun pelaksanaan IBR di Selangor boleh dikatakan tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah Perbadanan Wakaf Selangor di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini.

Beliau berkata, penerimaan baik organisasi negeri membabitkan pelaksanaan inisiatif itu mampu mengukuhkan peranan agensi masing-masing dalam memberikan perkhidmatan terbaik dengan amalan perkhidmatan bebas rasuah.

“Ini petanda positif, namun saya ingin nyatakan bahawa sekiranya semua jabatan dan agensi menganggap Jabatan Audit dan SPRM sebagai ‘rakan’ dalam melaksanakan tugas, pastinya budaya rasuah itu boleh dihapuskan.

“Lebih penting lagi, adalah lebih baik sekiranya IBR ini dilaksanakan sesebuah pentadbiran itu sejak awal bagi memastikan integriti itu dapat dipertahankan dan budaya salah guna kuasa dalam pelaksanaan tugas tidak lagi berlaku,” katanya.

Terdahulu, IBR dilaksanakan memberi penekanan kepada ikrar dan janji oleh kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti individu untuk memastikan prospek kerja lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

Ia dicetuskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri, Datuk Dzulkifli Ahmad.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MBPJ PBT ketiga lafaz Ikrar Bebas Rasuah

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 16 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke tiga melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, inisiatif terbabit diambil sebagai peringatan kepada warga kerja MBPJ dalam mengamalkan budaya integriti dan akauntabiliti melaksanakan tanggungjawab menjayakan sistem penyampaian kumpulan sasaran.

Katanya, MBPJ perlu sentiasa memastikan segala perbelanjaan pengurusan dan operasi serta bayaran perolehan diurus dengan betul dan teratur.

DSC_7249“Lebih penting, warga kerja perlu mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan dan menghindarkan diri daripada terbabit dalam penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.

“IBR ini memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat untuk memperkasakan agenda pengurusan integriti dalam kalangan penjawat awam supaya lebih bertanggungjawab melaksanakan tugas dan menjauhkan diri dari rasuah,” katanya di perhimpunan bulanan dan IBR MBPJ, di sini.

Mohd Azizi berkata, sifat keterbukaan dan kebertanggungjawab yang dipamerkan MBPJ dalam menandatangani IBR membuktikan usaha membanteras serta memerangi rasuah bukan tanggungjawab eksekutif semata-mata.

“Kita amat terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman serta anasir luar yang boleh merosakkan kewibawaan semasa menjalankan tugas

“Saya berharap warga kerja MBPJ melakukan perkara baik tanpa perlu dipantau sentiasa. Peliharalah integriti sebagai penjawat awam kerana tanpa integriti maka sia-sia ikrar yang dilaungkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

JMNS jabatan mufti pertama ikrar bebas rasuah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MEI: Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) menjadi jabatan mufti pertama di Malaysia yang berani menyahut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah berkata, tindakan kepimpinan dan warga JMNS menyertai program IBR jelas memperlihatkan kesungguhan berkhidmat dalam suasana kerja kondusif dan bebas rasuah.

“IBR kali ini agak unik dan berbeza berbanding IBR korporat kerana ia memberi penekanan kepada ikrar serta janji pimpinan JMNS dan warganya dalam kapasiti individu untuk menjungjung tanggungjawab serta akauntabiliti bagi menjauhi serta menghindari diri daripada terlibat dengan sebarang godaan rasuah dan salahguna kuasa.

MUFTI SPRM“Aspirasi dan kesedaran ini harus dipuji serta menjadi ikutan dan contoh kepada agensi kerajaan lain,” katanya dalam program IBR di Bilik Seminar Sakinah, Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini, pagi tadi.

Dalam majlis itu, seramai 53 warga JMNS hadir berikrar akan menyediakan perkhidmatan yang telus serta bebas rasuah.

Ramli juga menyatakan sifat keterbukaan dan kebertanggungjawaban dipamerkan JMNS membuktikan bahawa usaha membanteras rasuah bukanlah tanggungjawab eksludif SPRM semata-mata.

“Inisiatif JMNS ini membuktikan tanggungjawab itu perlu dikongsi bersama oleh seluruh masyarakat khususnya kalangan agensi kerajaan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jabatan Mufti Selangor tekad bebas rasuah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MEI: Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) berikrar menyemarakkan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam serta bebas rasuah melalui pelaksanaan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, pihaknya komited melahirkan penjawat awam berdedikasi, berkualiti serta tahan ujian dalam mendepani cabaran masa hadapan.

“Sebagai penjawat awam, bukan hanya rasuah sahaja dilihat sebagai kesalahan dalam berintegriti, tetapi ia meliputi seluruh aspek kehidupan individu.

MUFTI SPRM 1“Kita tidak boleh menyalahguna kuasa untuk kepentingan sendiri mahupun keluarga. Kita harus bersifat telus dalam memikul tanggungjawab diamanahkan terutama sebagai penjawat awam dalam agensi agama,” katanya dalam program IBR di Bilik Seminar Sakinah, Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini, pagi tadi.

Mengambil contoh isu terbaru apabila dua orang bekas pegawai masjid di Melaka yang direman empat hari baru-baru ini bagi membantu siasatan berhubung urusan jual beli tanah wakaf masjid, Tamyes akui salahguna kuasa dan integriti boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

MUFTI SPRM 2“Situasi ini memberi gambaran kepada kita bahawa isu rasuah boleh berlaku dimana sahaja hatta lebih memilukan jika ianya berlaku pada pihak yang ada hubungkait dengan urusan agama atau institusi agama.

“Dengan IBR, saya menyeru kakitangan JMNS mempertingkatkan kualiti kerja serta integriti tinggi dalam melaksanakan tuntutan amanah yang dipikul,” katanya.

Categories
SELANGOR

PTD Sepang tekad bebas rasuah

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 4 MEI: Pejabat Daerah dan Tanah Sepang berikrar menyediakan perkhidmatan telus dan bebas rasuah menerusi program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dilaksanakannya.

Pegawai Daerah Sepang, Roslinah Md Jani, berkata pihaknya komited menyahut seruan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzuklkifli Ahmad, demi kebaikan jabatan itu serta orang ramai.

“Dengan IBR, kita mengharapkan tahun ini dapat mengurangkan serta menghindari rasuah di Selangor khususnya di Pejabat Daerah dan Tanah Sepang sendiri,” katanya selepas program IBR Pejabat Daerah dan Tanah Sepang di sini, hari ini.

PC (12 of 21)Walaupun mengakui sukar, namun Roslinah berkata, dengan kerjasama semua pihak berkaitan ia mampu dijayakan supaya memenuhi keperluan dan kepentingan orang ramai di daerah berkenaan.

“Pelaksanaannya memang sukar tetapi IBR adalah program penekanan kepada individu itu sendiri.

“Ia aspek kekuatan semangat dan iman masing-masing untuk menolak daripaada terjebak rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kebanyakan pegawai dan kakitangan di jabatan itu sering bertugas tanpa mengira waktu serta berdepan pelbagai pihak berkepentingan yang memerlukan perkhidmatan mereka.

“Kita tidak mengambil tindakan drastik tetapi penekanan dengan memberi kesedaran dan semangat (kepada pegawai dan kakitangan) dalam menjalankan tugas dengan betul,” katanya.