Categories
PBT SELANGOR

700 kakitangan MBSA lafaz Ikrar Bebas Rasuah

SHAH ALAM, 16 NOV: Seramai 700 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah sempena sambutan Hari Integriti di Wisma MBSA di sini hari ini.

Usaha itu bagi membentuk penjawat awam yang telus tanpa menyalah guna kuasa selain mengelak terlibat jenayah rasuah, kata Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

“Saya amat menekankan kakitangan agar mengekalkan etika kerja dan integriti yang sepatutnya menjadi amalan setiap individu,” katanya merasmikan program bertemakan Integriti Sentiasa Di Hati.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor Dato’ Alias Salim.

Pada majlis sama, MBSA turut melancarkan Buku Pengurusan Risiko Rasuah dan Buku Tatacara Pengurusan Tatatertib bagi memupuk kesedaran kakitangan.

Zamani berkata buku itu salah satu langkah memperkukuh dan memperkasa pentadbiran yang baik sekali gus menutup potensi rasuah dan salah guna kuasa.

“Pelancaran buku ini menjadi titik tolak kepada MBSA mengorak langkah bagi memstikan integriti dilaksana dengan baik dan membendung salah guna kuasa dalam organisasi,” katanya.

Penguat kuasa MBSA mengikuti bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sempena sambutan Hari Integriti MBSA di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam pada 16 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Categories
AGENSI SELANGOR

244 warga Unisel lafaz ikrar bebas rasuah

SHAH ALAM, 5 APRIL: Seramai 244 petugas akademik dan pentadbiran Universiti Selangor (Unisel) menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR), Khamis lalu.

Naib Canselornya berkata program tersebut melambangkan pusat pengajian itu komited untuk menyahut seruan kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan setiap kakitangan bebas daripada gejala rasuah.

“Ia bukanlah lafaz ikrar semata-mata namun perlu dihayati dan dipraktikkan agar Unisel lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Agenda integriti dijadikan teras dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pekerja,” kata Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman menerusi kenyataan.

Pada majlis berlangsung di Dewan Canselor Unisel Bestari Jaya, beliau sendiri mengetuai lafaz ikrar dan menandatangani IBR disaksikan Pengarah SPRM Negeri Selangor, Datuk Alias Salim.

Sebahagian 244 kakitangan akademik dan pentadbiran Unisel melafaz ikrar bebas rasuah (IBR) di Unisel Bestari Jaya pada 1 April 2021. Foto Unisel
Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Ribuan organisasi lafaz Ikrar Bebas Rasuah, tekad banteras jenayah

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018, walaupun hanya secara luaran, namun kesannya amat mendalam bagi meningkatkan kesedaran membanteras rasuah dalam kalangan masyarakat dan organisasi.

Melalui IBR, ia jelas memperlihatkan sifat keterbukaan kepimpinan sesebuah organisasi sekali gus membuktikan usaha memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata, tetapi juga adalah amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh anggota masyarakat.

Perkara itu diakui Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang menyifatkan IBR sebagai pembuka pintu kepada agensi untuk melaksanakan program susulan berkaitan antirasuah.

“IBR merupakan salah satu program pendidikan antirasuah dilaksanakan SPRM yang mempunyai impak dan keberkesanan tersendiri. Pengurusan tertinggi agensi yang melaksanakan IBR akan diminta menjalankan program susulan yang dapat memberi mesej bahawa organisasi mereka komited dalam pencegahan rasuah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jelas Shamshun Baharin, setiap tahun SPRM akan mengukur dan menilai keberkesanan program pendidikan yang dilaksanakan itu secara kumulatif, termasuk IBR, semua aktiviti, inisiatif serta program pendidikan.

“Ini dapat dilihat berdasarkan Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh SPRM apabila tahap pengetahuan masyarakat mengenai rasuah meningkat setiap tahun iaitu pada 2018 (72.5 peratus), 2019 (74.3 peratus) dan 2020 (77.7 peratus),” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Selain itu, Shamshun Baharin berkata tahap kesanggupan, kesediaan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama SPRM juga meningkat setiap tahun sejak 2018.

“Tahap kesanggupan masyarakat pada 2018 merekodkan pada kadar 82 peratus, 2019 (82.7 peratus) dan 2020 (86.3 peratus) manakala bagi tahap kesediaan masyarakat pada 2018 (81.1 peratus), 2019 (82.1 peratus) dan 2020 (85.6 peratus),” katanya.

Bagi tahap kerjasama masyarakat bersama SPRM pula, beliau berkata pada 2018 adalah sebanyak 81 peratus diikuti 81.8 peratus pada 2019 dan 84.6 peratus pada tahun lepas (2020).

Melihat kepada statistik keberkesan IBR, Shamsun Baharin berkata inisiatif SPRM itu akan terus dilaksanakan sehingga ke hari ini.

“Program IBR bersifat sukarela dan tiada paksaan maka, mana-mana organisasi yang berhasrat untuk melaksanakan IBR, mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa,” katanya menambah sehingga 31 Disember lepas, pemimpin organisasi daripada 1,608 organisasi telah menandatangani IBR.

IBR diperkenalkan SPRM sejak empat tahun lepas, sebagai inisiatif badan itu dalam memberi penekanan kepada ikrar dan janji dibuat kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu.

Ia adalah untuk memastikan setiap individu yang menandatangani IBR akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka serta menjauhkan diri daripada perlakuan rasuah selama mereka memegang sesuatu jawatan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Junjung kasih titah Sultan Selangor, tekad pastikan tiada rasuah – MB

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri tidak akan mensia-siakan pengiktirafan Juara Bebas Rasuah diterima dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya menyambut baik dan memberi perhatian serius titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam memastikan rekod pencapaian bebas rasuah itu tidak lagi tercalar.

“Kerajaan Negeri menjunjung kasih akan keprihatinan Baginda berhubung isu rasuah dalam kalangan segelintir pegawai Jabatan Penguatkuasaan agensi kerajaan di Selangor.

“Komitmen kita dalam agenda banteras gejala rasuah adalah salah satu komponen reformasi institusi yang diperjuangkan sejak dahulu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan.

Beliau berkata perkara itu ditegaskan lagi dengan komitmen Kerajaan Negeri melalui Ikrar Bebas Rasuah ditandatangani pada 19 Ogos tahun lalu.

“Justeru, tekad dan iltizam untuk membanteras gejala tidak sihat ini akan terus dimantapkan dari semasa ke semasa dan terus menghormati lunas perundangan dalam setiap tindakan diambil,” katanya.

Hari ini, Sultan Selangor menyeru kakitangan penguat kuasa di semua pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tidak terlibat dengan rasuah serta perkara yang menimbulkan tohmahan penyelewengan.

Baginda bertitah ini termasuk aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri atau pihak tertentu yang perlu dielakkan semasa bertugas.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tourism Selangor lafaz ikrar bebas rasuah

SHAH ALAM, 11 JULAI: Tourism Selangor kelmarin melafazkan ikrar bebas rasuah di Auditorium Perpustakaan Raja Tun Uda bagi membendung jenayah tersebut dalam kalangan warga kerjanya.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata sesi itu memberi kesedaran kepada kakitangan untuk menolak amalan yang tidak sepatutnya berlaku dalam sesebuah organisasi.

“Saya berusaha menjadikan Tourism Selangor sebagai entiti yang diamanahkan untuk mempromosi pelancongan negeri supaya bebas gejala rasuah dan perlakuan tidak berintegriti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sesi lafaz ikrar juga membuktikan komitmen badan pelancongan negeri itu menekankan elemen ketelusan untuk menjaga nama baik Kerajaan Selangor.

Majlis yang disusuli dengan pemeteraian aku janji disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Alias Salim dan Ketua Kluster Tadbir Urus Pemerbadanan Menteri Besar Anas Sulaiman.

Categories
AGENSI SELANGOR

200 kakitangan Mais lafaz Ikrar Bebas Rasuah

SHAH ALAM, 16 FEB: Seramai 200 pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah pada perhimpunan warga kerja organisasi itu di Dewan Auditorium Sirim, di sini semalam.

Lafaz ikrar dipimpin Ketua Audit Mais Zaharuddin Salim diikuti pengurusan tertinggi dan pegawai.

“Usaha ini membuktikan Mais komited menyahut seruan kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memastikan kakitangannya sentiasa menjaga integriti, jujur, amanah serta bebas rasuah,” kata Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan.

Beliau turut mengingatkan semua pegawai supaya mengutamakan penghasilan program kerjasama antara agensi agama Islam dan anak syarikat Mais, selain mendukung pelaksanaan pelan berkenaan.

Turut diadakan dalam majlis itu, Taklimat Pelan Strategik Mais 2020-2024 dan Taklimat Sistem Kehadiran Biometrik Timekeeper, pengumuman kenaikan pangkat serta penyampaian tajaan Mais bagi kakitangan terpilih untuk menyempurnakan ibadah haji.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor ikrar bebas rasuah

SHAH ALAM, 10 FEB: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah pada 4 Februari lalu bagi menjadi organisasi berintegriti tinggi, kata ketua komunikasi korporatnya.

Abdul Halem Mat Som berkata komitmen dizahirkan menerusi dasar kerja berpasukan, keikhlasan, profesionalisme dan perkhidmatan terbaik.

“Polisi tiada hadiah dan pemberi maklumat, pengisytiharan konflik kepentingan, perjanjian integriti perolehan dan garis panduan bukan pakatan adalah langkah awal dipraktikkan,” katanya dalam kenyataan.

Lafaz di hadapan Pengarah Bahagian Pendidikan Komuniti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Razim Mohd Noor di ibu pejabat Air Selangor turut disertai pengurusan kanan Air Selangor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata pihaknya bertanggungjawab mematuhi ikrar untuk mengelak daripada menerima atau memberi sebarang jenis rasuah.

Beliau berkata siri jelajah antirasuah dalam kalangan warga kerja juga akan diadakan selama tiga bulan bermula Februari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Selangor tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

SHAH ALAM, 19 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengetuai barisan penjawat awam Kerajaan Negeri melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen membenteras gejala itu.

Majlis Lafaz dan Menandatangani IBR Bersama Dato’ Menteri Besar itu berlangsung di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor.

Amirudin menandatangani IBR sambil disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.

Turut menandatangani IBR, EXCO Kerajaan Negeri yang dimulakan dengan Dato’ Teng Chang Khim, Ir Izham Hashim, Datuk Abdul Rashid Asari, Ng Sze Han, Hee Loy Sian dan Dr Siti Mariah Mahmud.

IBR adalah satu janji dan komitmen yang dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya atas kapsiti individu untuk sesekali tidak terbabit dalam kesalahan rasuah atau salah guna kuasa.

Inisiatif SPRM itu juga bagi mewujudkan kefahaman dalam meningkatkan komitmen menolak rasuah secara total, terutama dalam kalangan pemimpin politik dan penjawat awam.

Sementara itu, Latheefa dalam ucapnnya berkata, jumlah kes rasuah membabitkan penjawat awam juga membimbangkan apabila 46.3 peratus daripada 4,860 individu ditahan SPRM dari 2014 sehingga Jun 2019.

Katanya, kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan.

“Lebih merisaukan apabila 53.4 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah adalah golongan muda berusia bawah 40 tahun.

“Melalui satu kajian dilaksanakan SPRM juga mendapati 22.1 peratus daripada responden penjawat awam berkata mereka sanggup menerima rasuah jika mempunyai kuasa atau kedudukan dalam jawatan.

“Ini sesuatu yang mesti diperbetulkan supaya kesalahan rasuah dalam kalangan penjawat awam dapat dihapuskan,” katanya.