Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sedia lebih banyak insentif bantu peniaga IKS ke arah digital

PETALING JAYA, 9 FEB: Putrajaya disaran menyediakan lebih banyak insentif untuk mengerakkan usahawan terutama industri kecil dan sederhana (IKS) ke arah digital.

EXCO Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata langkah itu tidak boleh dilengahkan supaya pemain industri mampu mengadaptasi teknologi digital sekali gus berdaya saing.

“Kita perlu mempercepat penggunaan teknologi terkini termasuk revolusi 4.0 tanpa teragak-agak. Lebih banyak inisiatif di pihak IKS atau besar diperlukan daripada kerajaan.

“Banyak yang perlu direnungkan dan berusaha untuk membaiki institusi ini termasuk infrastruktur digital,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina di Hotel Sheraton malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad (kanan), Dato’ Teng Chang Khim (dua, kiri) dan Pengawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (kiri) menggaul yee sang pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Dalam pada itu, Chang Khim mengakui negara memiliki ramai pekerja mahir bagi kelangsungan ekonomi dan kelebihan tersebut tidak boleh hilang kepada pesaing.

Beliau turut memaklumkan Malaysia berada di belakang negara jiran daripada aspek aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) di sebalik kelebihan dinikmati ketika ini.

“Situasi ini adalah nyata. Perkara ini berlaku empat tahun berturut-turut,“ katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM1.5 juta rancak sektor bekalan makanan, bantu golongan terjejas

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM1.5 juta untuk merancakkan sektor bekalan makanan yang terjejas akibat Covid-19, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata insentif baucar petrol diberikan kepada nelayan, barangan pertanian (petani), makanan haiwan (pengusaha ternakan) dan bahan mentah (industri asas tani) dalam tempoh terdekat.

“Usaha ini diharap meringankan beban golongan tersebut selain memberi galakan untuk mereka terus berusaha meningkatkan hasil dan pendapatan.

“Kerajaan Negeri akan membantu golongan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan dan menyeluruh,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Pada 20 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk membantu meringankan beban golongan tersebut.

Selain baucar petrol, barangan pertanian, makanan ternakan dan bahan mentah, sejumlah RM500,000 turut disalurkan untuk program bakul makanan kepada 7,000 individu dalam sektor tersebut.

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Karnival Kerjaya Subang Jaya: Lebih 100 organisasi, IKS tawar peluang kerja

SHAH ALAM, 6 NOV: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya bakal menganjurkan karnival kerjaya membabitkan penyertaan lebih 100 syarikat kecil dan sederhana (IKS) serta organisasi.

Program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berlangsung melalui dua kaedah iaitu secara virtual dari 19 hingga 21 November dan fizikal pada 28 November di tingkat tiga, Pusat Beli-belah Da Men USJ.

Syarikat terlibat menawarkan peluang pekerjaan terkini untuk golongan pendapatan rendah (B40), pendapatan sederhana (M40), pekerja yang diberhentikan, graduan baharu dan orang kelainan upaya (OKU).

Webinar akan disiarkan secara langsung selama tiga hari mengenai jawatan kosong oleh majikan, tip kerjaya dan taklimat komprehensif Penjana Kerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, pencari kerja turut berpeluang berinteraksi dengan syarikat dan organisasi berkaitan menerusi aplikasi kotak sembang (chat box).

Lebih menarik, majikan terlibat layak menerima subsidi gaji selama enam bulan daripada kerajaan untuk setiap pekerja baharu, pembiayaan penuh Perkeso untuk menghantar kakitangan baharu menghadiri kursus dan menerima elaun latihan sebanyak RM30 sehari bagi setiap pekerja.

Bagi pekerja baharu pula, mereka akan diberikan baucar membeli-belah percuma daripada Da Men USJ, latihan kemahiran BG Capital Holdings tanpa dikenakan sebarang bayaran dan sijil kemahiran.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://forms.gle/Qhcg19G3XTyjinqt7(majikan) dan https://forms.gle/z3v1w8MeTiLSp6Ve7 (calon pekerja) sebelum 15 November 2020.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pembangunan Usahawan sedia bantu dapat sijil halal

LUMUT, 26 OKT: Kementerian Pembangunan Usahawan sedia memberi konsultansi dan bimbingan kepada usahawan terutama pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, ini adalah usaha bagi menggalakkan usahawan IKS yang menghadapi halangan daripada segi pemahaman untuk memohon sijil berkenaan yang dianggap sukar berikutan perlu melepasi syarat tertentu yang dikenakan.

“Ada isu yang timbul iaitu kesukaran untuk mendapatkan sijil halal tetapi kalau barangan kita memang menepati syarat daripada aspek premis, sumber makanan, proses pembuatan dan sebagainya tiada masalah.

“Sebab itu perlu dapatkan panduan, kita akan bantu dari segi konsultansi kalau ada halangan dari aspek pemahaman untuk memudahkan cara dan boleh merujuk kepada bahagian berkenaan di bawah Jakim untuk bimbingan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Koperasi dan Usahawan Parlimen Lumut 2019 di Seri Manjung, di sini, hari ini.

Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dengan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan usahawan, pertandingan dan cabutan bertuah.

Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Lumut berkata, kesediaan pihaknya membantu usahawan untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim bukan bermakna jalan pintas sebaliknya mencari kaedah terbaik isu berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya Mohd Hatta berkata, gerakan koperasi negara tidak lagi dilabelkan sebagai pertubuhan sosial semata-mata tetapi sebuah entiti perniagaan yang setanding dengan koperasi di negara maju dunia.

Menurutnya, SKM meletakkan sasaran perolehan gerakan koperasi sebanyak RM50 bilion pada tahun tahun depan dan ia dapat dicapai sekiranya gerakan koperasi kekal berdaya saing serta agresif merebut peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya mengikut statistik 2018, Perak antara lima negeri tertinggi yang menyumbang kepada perolehan keseluruhan gerakan koperasi dengan jumlah perolehan pada 2018 sebanyak RM0.67 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerajaan Negeri seru pemain IKS ikuti kursus OSH

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri menyeru lebih banyak industri kecil dan sederhana (IKS) di Selangor untuk mengikuti program Sokongan Pematuhan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) dan Penyelaras OSH bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, program itu adalah langkah yang diambil Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk meningkatkan bilangan dan kualiti pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sektor IKS.

Katanya, ia juga bagi membantu majikan sektor IKS menambah tahap KKP di tempat kerja selaras dengan Sokongan Pematuhan OSH dan Penyelaras OSH IKS diperkenalkan dalam Pelan Strategik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sektor IKS 2016-2020 (IKS 2020).

“Sehingga kini sejumlah 120 penglibatan kilang IKS sudah mengikuti program itu sejak dimulakan pada 2017.

“Angka itu kecil dan sama sekali dan tidak berpadanan dengan jumlah IKS yang wujud di Selangor justeru, Kerajaan Negeri menyeru pengusaha IKS untuk bekerjasama dengan JKKP terlibat dalam program bimbingan ini.

“Kerajaan Negeri juga tidak akan berkompromi berkenaan aspek ini memandangkan di Selangor ramai pekerja asing dan kita mahu memastikan lebih banyak pengusaha IKS mengikuti program terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Sokongan Pematuhan OSH dan Penyelaras OSH IKS peringkat Selangor 2019 di Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie, di sini, hari ini.

Khairuddin berkata, kadar kemalangan pekerjaan adalah 1,284 kes direkodkan membabitkan 25 kes kemalangan maut, 47 kes hilang upaya kekal, 1,172 kes tidak hilang upaya kekal dan 40 kes kejadian berbahaya sehingga 30 September, baru-baru ini.

Katanya, jumlah dilaporkan menurun berbanding kemalangan tahun lalu nisbah sebanyak 2.19/1,000 manakala kematian pula pada nisbah 2.96/100,000 kes.

“Walaupun kadar kemalangan menurun namun Kerajaan Negeri menyeru kepada semua untuk memastikan ia terkawal dan tidak meningkat,” katanya.

Categories
RENCANA

IKS mampu wujudkan banyak pekerjaan

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Janji kerajaan Pakatan Harapan untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun boleh dicapai dalam jangka masa panjang jika ia dapat meningkatkan perbelanjaan pembangunan selain menggalakkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS).

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Prof Dr Azali Mohamed berkata peluang pekerjaan dan kos sara hidup adalah antara isu kritikal yang kini membelenggui rakyat Malaysia.

“Jika kerajaan mahu mewujudkan peluang pekerjaan, ia perlu meningkatkan lagi perbelanjaan pembangunan.

“Ini boleh membantu sektor ekonomi yang merangkumi subsektor utama iaitu pengangkutan, perdagangan dan perindustrian, tenaga dan kemudahan awam serta pertanian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tunai janji

Janji PH untuk mewujudkan sejuta pekerjaan dalam tempoh lima tahun terkandung dalam manifestonya bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas.

Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran memberitahu Dewan Rakyat bahawa dalam tempoh lapan bulan selepas PH mengambil alih pentadbiran negara, peluang pekerjaan telah meningkat sebanyak 130,000.

“Sasaran satu juta (pekerjaan) tidak jadi masalah. Kita percaya pelbagai inisiatif yang dibuat oleh kerajaan baharu dapat memberi peluang kepada anak-anak kita untuk bekerja,” katanya.

Sambil menyifatkan sektor ekonomi sebagai enjin yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan di Malaysia, Azali berkata pertumbuhan subsektor utama seperti perdagangan dan perindustrian serta pengangkutan boleh menyerap masuk tenaga kerja terutama dari kalangan graduan.

Dalam Bajet 2019, sebanyak RM57 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan dengan 52 peratus atau RM29 bilion disediakan untuk sektor ekonomi seperti pertanian, pembangunan sumber galian, perdagangan dan perindustrian, pengangkutan, perhubungan, tenaga dan kemudahan awam, penyelidikan dan pembangunan, tenaga, kewangan dan alam sekitar.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan untuk meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan jajaran baharu sepanjang 640 kilometer, yang menurutnya, mampu mewujudkan 80,000 hingga 100,000 peluang pekerjaan profesional, mahir dan separuh mahir untuk rakyat Malaysia.

Projek itu sememangnya akan mempercepatkan lagi pertambahan peluang pekerjaan dan membolehkan kerajaan mencapai sasarannya.

Mengupayakan IKS

Pada masa sama, Azali menggesa kerajaan supaya memberi perhatian kepada IKS yang, selaku tunggak utama ekonomi negara, mempunyai prospek dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kerajaan perlu menyokong dan membantu IKS secara agresif kerana ia menyediakan hampir 5.7 juta atau 70 peratus tenaga kerja di Malaysia,” katanya.

Terdapat lebih 900,000 IKS di seluruh negara dengan hampir 90 peratus daripadanya terlibat dalam bidang perkhidmatan. Sektor lain merangkumi pembuatan (5.3 peratus), pembinaan (4.3 peratus), pertanian (1.1 peratus) dan (perlombongan 0.1 peratus).

“Sekiranya kerajaan dapat memberi tumpuan kepada separuh daripada jumlah IKS yang ada, itu pun dapat membantu,” katanya.

Merujuk kepada pencapaian Korea Selatan pada 1970-an dan 1980-an, beliau berkata kejayaan negara itu dalam membangunkan IKS membuka banyak peluang pekerjaan untuk rakyatnya.

“Setakat ini, negara kita belum betul-betul serius untuk mengangkat dan mengupayakan IKS,” katanya.

Beliau berkata langkah mengupayakan IKS terutamanya dalam penghasilan produk makanan boleh membantu menangani kos hidup rakyat.

Antaranya dengan membantu IKS pertanian supaya dapat menghasilkan lebih banyak produk makanan, sekali gus menjamin bekalan makanan negara selain mengurangkan harga makanan dalam pasaran.

Permintaan pasaran

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Samsuddin Bardan berkata kira-kira 100,000 peluang pekerjaan diwujudkan setahun sedangkan seramai 260,000 belia menamatkan pengajian masing-masing setiap tahun.

Beliau berkata bidang pemasaran dan penjualan mempunyai banyak kekosongan jawatan namun, kebanyakan graduan tidak berminat menyertai bidang tersebut kerana ia tidak menawarkan gaji tinggi selain gaji dibayar mengikut jualan yang dibuat.

Menurutnya tawaran pekerjaan berdasarkan kontrak jangka pendek antara tiga hingga enam bulan juga terdapat dalam pasaran tetapi tidak menarik minat mereka yang sedang mencari pekerjaan kerana bimbang tiada jaminan pekerjaan dan kerjaya.

“Mereka yang sedang mencari pekerjaan sepatutnya merebut peluang yang ditawarkan itu dalam usaha meraih pengalaman selain mendapatkan pekerjaan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Permintaan pasaran bagi tenaga kerja dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, teknologi maklumat dan komunikasi, kejuruteraan elektronik dan telekomunikasi, reka bentuk grafik, analisis multimedia dan sistem sepatutnya dipadankan dengan program pembangunan modal insan yang bersesuaian.

“Bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja, pembangunan modal insan perlu digerakkan melalui transformasi pendidikan”, jelas Samsuddin.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan supaya meneruskan pembaharuan pendidikan dengan memberi penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan lebih ramai modal insan yang mempunyai pelbagai kemahiran.

Menurutnya peralihan negara daripada ekonomi berasaskan pengetahuan kepada ekonomi inovatif memerlukan modal insan yang mempunyai kemahiran kognitif.

“Pendidikan dan latihan sememangnya penting dalam melahirkan tenaga kerja yang mempunyai pelbagai peringkat kemahiran agar mereka dapat berfungsi dengan produktif.

“Industri juga harus saling bekerjasama dengan institusi pendidikan bagi memastikan program latihan sentiasa dikemas kini dalam usaha memenuhi kemahiran semasa dan masa hadapan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI SELANGOR

Fokus tarik pelaburan dalam negara, pengusaha IKS diperkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 17 MEI: Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim akan memfokuskan penarikan pelaburan dalam negara dengan lebih khusus penggal ini.

Katanya, pihaknya turut merancang membawa dan membantu pengusaha IKS untuk mara ke pasaran luar negara.

Sehubungan itu, pihaknya akan mewujudkan unit khas bagi mencapai tujuan itu sekali gus, menarik pelabur dalam negara ke Selangor.

“Kita akan merancang strategi baru bagi menambah baik pelaburan ini.

“Pengusaha IKS berjaya dalam arena antrabangsa akan memberi lebih peluang kepada Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Chang Khim berkata, dengan adanya unit baru itu nanti, agensi penggalak pelaburan negeri, Invest Selangor pula akan lebih memfokuskan kepada pelaburan asing.

Sebelum ini, Chang Khim turut memegang portfolio pengangkutan, selain pelaburan, perdagangan dan industri IKS.

Menyifatkan pengguguran portfolio pengangkutan itu, beliau berkata ia lebih baik kerana pihaknya akan dapat menumpukan sepenuhnya kepada pelaburan khususnya bagi menjana ekonomi yang rancak.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menyasar pelaburan keseluruhan RM12 bilion pada tahun ini, terutamanya daripada sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Daripada jumlah itu, pelaburan bernilai RM7 bilion dijangka datang daripada sektor perkilangan merangkumi pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik, manakala RM5 bilion pula daripada sektor perkhidmatan.

Selangor turut muncul pada kedudukan tertinggi, di Malaysia menerusi jumlah perkilangan diluluskan iaitu 202 projek berbanding negeri lain, tahun lalu sekaligus mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Jepun adalah penyumbang pelaburan tertinggi dengan 13 projek dan nilai RM533,596,629 diikuti Singapura sebanyak 18 projek dengan nilai RM439,958,335 dan China lima projek dengan nilai RM282,179,556.

Manakala, Belanda pula tiga projek dengan nilai RM162,401,080 dan Jerman tiga projek dengan nilai RM147,173,824.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor perkilangan itu, RM878,464,035 disumbangkan melalui sektor makanan, diikuti sektor perkilangan dengan jumlah RM833,100,549 dan sektor kimia RM803,898,755.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Gali potensi perniagaan, jana ekonomi negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 MEI: Peniaga di seluruh Selangor khususnya usahawan mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS) disaran melihat potensi lain bagi memperkukuhkan produk, sekali gus menyemarakkan ekonomi negeri.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Usahawan, Amirudin Shari berkata, selain melihat bantuan modal dan program latihan, peniaga boleh mencari nilai tambah baru dalam usaha mengekalkan jenama.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita berusaha meningkatkan serta memperkuatkan usahawan mikro supaya mampu maju ke tapak seterusnya.

“Sudah tentu, Selangor sebagai negeri yang mesra perniagaan dan usahawan sentiasa mencari idea baru serta merangka pelan atau dasar terutama sekali mereka yang mula berkecimpung dalam bidang ini.

“Bagaimanapun, peniaga boleh mencari peluang lain bagi mengekalkan jenama mereka secara berterusan,” katanya ketika Majlis Penyampaian Sijil Program Reka Bentuk Pembungkusan Produk Usahawan (4P) di SUK, di sini.

CP2A0271-1280x853Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memfokuskan pengeluaran produk merentasi sempadan khususnya di negeri jiran.

“Tahun ini, kita tidak lagi hanya mempamerkan karnival atau promosi di negeri sahaja tetapi kita mahu produk mereka dibawa keluar.

“Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) dan beberapa individu pakar dalam perniagaan,” katanya.

Beliau memaklumkan setakat Mei ini, seramai 36,000 peniaga dibantu menerusi program HIJRAH dengan peruntukkan RM209 juta.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin lawat premis produk IKS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEKINCHAN, 22 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli melihat pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seiring perkembangan produk berkenaan yang giat dibangunkan di negeri itu.

Ia dizahirkan secara konsisten melalui tinjauan baginda ke Wisma Masri, Pusat Operasi Pengeluaran Bahulu Masri bersama Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin, hari ini.

Diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan delegasi pimpinan Kerajaan Negeri, baginda turut berkenan mencemar duli melawat kawasan pengeluaran bahulu seterusnya ke gerai pameran produk IKS negeri di perkarangan wisma itu.

Terdahulu, baginda tiba di Sekinchan awal pagi ini sempena lawatan rasmi ke daerah itu membabitkan beberapa lawatan ke premis perindustrian sebelumnya.

SULTAN SEKINCHAN (7)Pada masa sama, baginda turut berkenan menghadiri Majlis Santapan dan Jamuan Rakyat sebagai mengakhiri lawatan rasmi ke Sekinchan.

Sebelum ini, perkembangan produk IKS terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan dasar penjenamaan ‘Made In Selangor’.

Konsep dibawa melalui aktiviti pengkomersialan bagi memberi nafas baru perindustrian IKS untuk diolah supaya menjadi hab pengumpulan produk menarik dan terkini.

Inisiatif itu dilaksanakan bersama HIJRAH Selangor untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bagi terus menyokong usahawan mikro berniaga, sekali gus dapat menjalin jaringan perniagaan sesama usahawan.

Laporan Khas Sungai Besar : IKS – Pintu ekonomi Selangor


Sungai Besar antara lokasi yang menjadi tumpuan pertumbuhan Industri Kecil & Sederhana. Ikuti laporan khas bersama salah satu perusahaan IKS di Sungai Besar, Ina Murni Enterprise.

Categories
NASIONAL

Kejatuhan ringgit jejas IKS, apa tindakan Kerajaan Persekutuan?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 OKT: Kesan kejatuhan nilai ringgit sebanyak 16 hingga 20 peratus sejak beberapa bulan lalu memberi impak besar kepada kebanyakan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang bergantung kepada bahan import untuk menghasilkan produk.

Bekas Pengarah Bank Negara, Dr Rosli Yaakob, berkata bahkan terdapat laporan beberapa syarikat IKS terpaksa menghentikan operasi ekoran tidak lagi mampu menanggung pertambahan kos akibat pertukaran wang asing yang tinggi.

BAJET 2016Bagaimanapun jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat masih tidak berbuat apa-apa termasuk menjelaskan pelan bagi mengatasi isu kejatuhan nilai ringgit dalam pembentangan Belanjawan 2016.

“Tiada langkah khusus atau spesifik membaiki nilai pertukaran asing bagi ringgit. Memang kosong. Tiada usaha mematahkan tekanan terhadap ringgit sehingga menyebabkan terus jatuh.

“Kita tahu salah satu sebab kejatuhan ringgit akibat krisis 1MDB tetapi dalam belanjawan tak disebut langsung isu 1MDB, apatah lagi langkah kerajaan menangani hutang 1MDB ini. Tidak ada. Bagi saya ini pelik,” kata Dr Rosli kepada Selangor Kini hari ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil langkah supaya institusi kukuh tunai seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Sime Darby membawa pulang pelaburan masing-masing dari luar negara.

Dr Rosli YaakopKata Dr Rosli lagi, selain memberi kesan terhadap syarikat IKS, kejatuhan ringgit turut menyebabkan pengguna membayar harga lebih mahal untuk makanan.

“Import bahan makanan tinggi, lebih kurang RM10 bilion setahun. Bila ringgit jatuh, kos import jadi tinggi dan menyebabkan harga makanan mahal yang menjejaskan pengguna,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Maklumat palsu jejas jualan biskut raya IKS

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 JUN: Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bumiputera kecewa apabila jualan biskut raya keluaran syarikat masing-masing terjejas ekoran penyebaran maklumat palsu pihak tidak bertanggungjawab.

Pengurus E-In Cookies, Mohd Hasrul Rosli, berkata kemerosotan jualannya dipercayai ekoran dakwaan kononnya biskut raya yang dipasarkan di Pasaraya Giant diimport dari China sebelum ditukar kepada label syarikat tempatan.

“Biskut keluaran syarikat kami dihasilkan sendiri dan mendapat sijil pengesahan halal oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) tetapi difitnah pihak tak bertanggungjawab yang memangsakan IKS seperti kami.

biskut raya“Kesannya dapat dirasai apabila dimaklumkan oleh jurupromosi kami dan Giant bahawa jualan mula merosot.

“Setiap hari ada sahaja panggilan telefon bertanyakan status biskut kami. Selepas diyakinkan, baru mereka beli tetapi pada masa sama saya fikir berapa ramai yang percaya bulat-bulat, tidak selidik atau bertanya kepada kami sendiri,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini.

Katanya, E-In yang beroperasi di Klang turut memasarkan produk mereka di Pasaraya Hero dan Grocer.

Lembaga Pengarah Noraini’s Cookies World Wide Sdn Bhd, Hezlee Ezha Norsham pula menggesa orang ramai tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu yang disebarkan secara meluas di aplikasi whatsapp.

noraini cookies“Fitnah ini memberi tekanan kepada kami dan rakan pengeluar lain yang memasarkan produk di Giant. Saya harap orang ramai kaji dahulu, jangan terus percaya khabar angin tak berasas ini.

“Selain di Giant, biskut raya keluaran syarikat kami turut dipasarkan di pasaraya besar Tesco dan Aeon Big. Tetapi isu ini timbul di Giant dan saya serahkan kepada pihak pengurusan pasaraya itu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Seperti E-In Cookies, Hezlee memberitahu, beliau turut menerima panggilan telefon daripada orang ramai yang meminta pengesahan status halal JAKIM yang tertera di bekas produk syarikatnya.

Sementara itu, Selangor Kini mendapati di facebook milik Izara Cookies terdapat beberapa maklumat menarik dikongsikan pengendali akaun syarikat terbabit.

izara cookiesAntaranya gambar lawatan pegawai Pusat Promosi dan Teknologi Mardi Serdang dan Kota Bharu di kilang itu yang beroperasi di Taman Sri Serdang.

“Alhamdulilah – Lawatan dari Pusat Promosi dan Teknologi Mardi Serdang – Hajah Wan Zainun, Encik Abu Bakar. Mardi Kota Bharu – Haji Fauzi. Terima Kasih di atas sokongan pihak Mardi ,” tulis pengendali akaun terbabit.

Pengendalinya turut memuat naik beberapa gambar produk terbabit di beberapa rak jualan di sebuah pasaraya dipercayai Giant.

-NFN-