Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja tumpu lahir tenaga mahir, tawar gaji ideal

HULU SELANGOR, 6 NOV: Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) bagi melahirkan tenaga mahir antara yang ditawarkan dalam Jelajah Selangor Bekerja 2021.

Seramai 20 peserta bawah 35 tahun layak mengikuti program sejajar perkembangan Revolusi Industri 4.0 setakat ini, kata eksekutif kanan Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor.

Berbaki 10 kekosongan, program selama dua bulan bermula hujung bulan ini masih dibuka sehingga siri jelajah berkenaan tamat pada 27 November, jelas Juraina Jumali.

“Program dengan kerjasama syarikat peneraju teknologi kecerdasan buatan Skymind memberi jaminan kerjaya dengan gaji lebih RM3,500 sebulan,” katanya ditemui pada Jelajah Selangor Bekerja hari ini.

Majikan syarikat Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) memberi taklimat kepada seorang peserta program Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 6 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri memperuntuk RM15 juta melalui IKTISASS bagi melengkapkan ekosistem pendidikan latihan teknikal dan vokasional sekali gus mencipta peluang kerja baharu.

Sementara itu, Proton Holdings Bhd menawarkan 200 kekosongan bagi jawatan operator pengeluaran sepanjang sesi jelajah berlangsung mulai Oktober.

Eksekutif Kanannya Shadeli Sham A Khalek berkata pihaknya turut menawarkan jawatan jurutera dengan penelitian dalam temu duga bagi mencari calon yang layak.

“Kita ingatkan peserta yang hadir supaya bersedia dengan segala dokumen selain berpakaian kemas. Syarikat turut menilai aspek itu,” katanya.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program berkenaan yang dijadual antara 23 Oktober hingga 27 November melibatkan beberapa daerah.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan www.selangorbekerja.com.my.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Program pensijilan kru halal IKTISASS jamin kerja di McDonald’s, Family Mart

SHAH ALAM, 6 DIS: Permohonan bagi pensijilan kru halal melalui Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) dibuka sehingga 15 Disember.

Tawaran penajaan oleh Kerajaan Negeri meliputi yuran latihan, penginapan, makanan dan minuman serta sijil profesional yang diiktiraf oleh industri.

Melalui iklan yang disiarkan, peserta program turut menerima elaun sara diri berjumlah RM200 sebulan.

“Peserta dijamin mendapat pekerjaan antaranya di Bangi Golf Resort, McDonald’s dan Family Mart,” menurut iklan tersebut.

Borang permohonan boleh diperolehi melalui pautan https://www.selangor.gov.my/index.php/pages/view/4032

Antara syarat kelayakan ialah:

1. Pemohon dan ibu bapa adalah warganegara
2. Pemohon atau ibu bapa lahir dan menetap di Selangor
3. Pemohon bermastautin lebih 11 tahun di Selangor dengan pengesahan oleh wakil rakyat, penghulu, pengerusi JKKK, ketua kampung, pengerusi taman perumahan dan lain-lain yang diiktiraf kerajaan
4. Pemohon mestilah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia dan lulus lima subjek teras termasuk Bahasa Melayu
5. Pemohon lulus temu duga yang diurus selia oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (jika ada)
6. Calon digalakkan berkhidmat di institusi atau industri di Selangor

Sebarang pertanyaan hubungi:

1. Madihah: 0135209295
– www.wasap.my/+60135209295/krewhalal
[email protected]

2. Nurul Syuhada: 0183718828
– www.wasap.my/+60183718828/krewhalal
[email protected]

3. Azmeer: 0355212306/2303
[email protected]

Categories
AGENSI SELANGOR

STDC perkenal modul keusahawanan, lahir teknokrat

SHAH ALAM, 4 NOV: Modul keusahawanan dan perniagaan bakal diperkenalkan kepada pelatih Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) bagi melahirkan lebih ramai teknokrat berjaya di negeri ini.

Ketua eksekutifnya Mohd Asyraf Amin berkata pihaknya akan menerapkan kursus yang sesuai sama ada secara teori atau praktikal kepada semua pelajar di pusat berkenaan.

“Bidang kemahiran bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada pelatih yang sesuai dengan industri malah boleh menjadi usahawan apabila tamat kursus kelak.

“STDC akan berusaha menubuhkan inkubator yang dapat membimbing pelajar kerana kita percaya pelatih yang berkemahiran mempunyai potensi ke arah itu (teknokrat berjaya),” katanya ketika dihubungi.

Pada 30 Oktober, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan berjumlah RM15 juta bagi meneruskan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) tahun hadapan.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan 2021 berkata program itu bersifat holistik dan menyeluruh dengan penglibatan STDC bagi melengkapkan ekosistem pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional.

Mohd Asyraf turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kepercayaan dan peruntukan bagi meneruskan inisiatif tersebut khususnya dalam melahirkan tenaga mahir aras tinggi seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Categories
AGENSI SELANGOR

Rebut peluang sertai program IKTISASS, tempat terhad

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) mengajak belia memohon program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) sebelum 30 September ini.

Eksekutif kewangan dan akaun STDC berkata peluang penajaan ini terhad kerana ia membabitkan kemasukan pelajar baharu dan pelajar naik tahap.

“Semoga dengan adanya peruntukan IKTISASS ini membuka peluang kepada belia-belia yang layak mengubah masa depan mereka ke arah yang lebih baik. Rebutlah peluang ini kerana tempat adalah terhad,” kata Ronifitra Basiron ketika dihubungi.

Antara syarat kelayakan permohonan adalah:

1. Pemohon dan ibu bapa adalah warganegara Malaysia

2. Pemohon mestilah rakyat Selangor yang memenuhi kriteria seperti:
– Pemohon lahir dan menetap di Selangor
– Pemohon, ibu atau bapa lahir dan menetap di Selangor
– Pemohon bermastautin di Selangor 11 tahun dan ke atas

3. Pemohon mestilah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Ronifitra menjelaskan antara bidang yang ditawarkan ialah automotif, semburan cat, motosikal, penyaman udara dan elektrik.

Selain itu, pengajian sistem komputer, rekaan rambut, kulinari, pastri, tekstil dan pakaian.

Borang permohonan boleh diperolehi di laman sesawang http://www.selangor.gov.my atau http://www.inpens.edu.my.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 019-343 4111 (Zuzaily) atau 03-3281 2619 (Ahmad).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Program IKTISASS perkukuh rantaian keperluan tenaga mahir

KUALA SELANGOR, 26 OGOS: Kandungan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) terus dikembangkan supaya ia dapat mewujudkan rantaian kukuh bersama pemain industri pada masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar berkata ekosistem teknologi kini memerlukan sumber tenaga manusia mahir selaras perkembangan Revolusi Industri 4.0 malah lebih banyak institusi pengajian teknikal dan vokasional diperlukan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Penjenamaan semula (Kolej Antarabangsa) Inpens bukan hanya sekadar nama dan lambang sebaliknya ia mengisi lohong-lohong dan ruang kosong yang selama ini tidak dapat diisi kerana ekosistem teknikal dan vokasional yang boleh dikatakan bergerak secara sendirian serta tidak membina rantaian kukuh dan menyeluruh yang akhirnya menggagalkan usaha-usaha pembangunan.

“Selepas ini kita akan menambah beberapa usaha termasuk menubuhkan institusi teknikal dan vokasional yang akhirnya akan bergabung dengan rantaian institusi pengajian kita ada iaitu Universiti Selangor (Unisel) dan lain-lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa Inpens di sini semalam.

Beliau berkata perkembangan pembelajaran teknikal dan vokasional yang diamalkan negara maju seperti Jerman boleh dijadikan contoh hingga mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang kini berkhidmat bersama syarikat automotif besar seperti Mercedes dan BMW.

Menurut Amirudin Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM20 juta tahun ini bagi memantapkan program IKTISASS sebagai tanda sokongan.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan Sijil Tamat Latihan kepada 91 pelajar tajaan program IKTISASS yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada 2019.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

IKTISASS meriah, tarik perhatian generasi muda

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 25 MAC: Program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) 2018 dijayakan Kerajaan Negeri di Sunway Convention Centre di sini, berlangsung meriah dengan penyertaan ramai khususnya golongan anak muda.

Majlis berlangsung mulai Jumaat hingga hari ini disempurnakan perasmiannya oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Program dijayakan itu memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mendapat maklumat bagi menyambung pengajian ditawarkan menerusi kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

Kira-kira 30 gerai pameran tersedia dengan penyertaan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan wakil industri bagi kemudahan orang ramai mendapatkan maklumat diperlukan.

Antara aktiviti dijalankan ialah forum dan taklimat berkaitan kerjaya, sesi temu bual, pertandingan e-game serta pelbagai acara dengan hadiah menarik juga cabutan bertuah.

Program turut diserikan ddegan persembahan artis antaranya Amy Search, Haqiem Rosli, Atilia Haron, Wany Hasrita dan Talitha Tan.

 

Categories
SELANGOR

IKTISASS buka peluang anak muda bina kerjaya

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 25 MAC: Generasi muda disaran terus menggunakan peluang disediakan Kerajaan Negeri menerusi Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).

Penyanyi dan pelakon, Atilia Haron, berkata program dijayakan dengan peruntukan RM52 juta itu memberi banyak manfaat khususnya kepada generasi muda dalam membina kerjaya pada masa depan.

“Program ini sangat baik dan banyak membantu anak muda untuk mendapatkan informasi baru berkaitan skim latihan ditawarkan supaya dapat disertai bagi melanjutkan pelajaran.

“Saya kira generasi muda tidak patut melepaskan peluang baik ini kerana banyak kemudahan disediakan menerusi IKTISASS,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Sebagai anak Selangor, katanya, beliau amat berbangga dengan program itu dan berharap ia bakal berterusan.

Katanya, IKTISASS menyediakan landasan bagi golongan sasaran mendapatkan latihan kemahiran bersesuaian dengan perkembangan teknologi masa kini.

“Sebagai artis, saya sendiri mendalami perkembangan ini dan menggunakan kemudahan media sosial bagi membina kerjaya,” kata anak kelahiran Shah Alam itu.

Atilia adalah salah seorang selebriti yang terbabit dalam program IKTISASS 2018 berlangsung di Sunway Convention Centre di sini, dari Jumaat hingga hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

IKTISASS adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi memberi peluang kepada millennials menggarap latihan kemahiran demi menjamin kebolehpasaran dengan pendapatan tinggi dan meningkatkan rantaian nilai modal insan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IKTISASS persediaan tempuh cabaran Revolusi Industri 4.0

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 25 MAC: Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) secara rasmi dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bertempat di Pusat Konvensyen Sunway Piramid.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM52 juta untuk program ini yang mewakili 51 peratus daripada peruntukan pendidikan tinggi berjumlah RM101.73 juta.

Dalam ucaptama Mohamed Azmin berkata usaha ini membuktikan Kerajaan Negeri serius membangunkan latihan kemahiran teknikal, vokasional dan profesional bagi memenuhi aspirasi Milenials demi menjami kebolehpasaran.

“Sebagai regional smart state, Selangor bukan sahaja memerlukan satu lonjakan bakat untuk mendepani cabaran teknologi semasa, tetapi perlu sentiasa ke hadapan untuk memperbaiki tahap persaingan negara di rantau ASEAN dan seterusnya ‘move up the Global Competitiveness Rating’.

“Sebagai gedung kuasa ekonomi negara, Selangor mesti menerajui inisiatif untuk menyediakan modal insan yang diperlukan dalam menghadapi cabaran Industri 4.0 yang akan mendatangkan pelbagai ‘disruption.’

“Mulai tahun 2018, program IKTISASS dilaksanakan dan akan menjadi ‘touchstone’ dalam perkembangan kemahiran teknikal, vokasional dan profesional bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat nasional,” katanya.

Melalui program ini, Kerajaan Negeri akan membiayai sepenuhnya 2,000 anak muda Selangor dalam pelbagai kemahiran dengan rakan strategik termasuk kepakaran Strand Aerospace, INPENS, Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC), dan SST & Consultancy Academy.

Katanya, Kerajaan Negeri sangat komited dalam memastikan jumlah tenaga mahir dipertingkatkan agar mencapai sasaran 50 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi memastikan Selangor kekal gah sebagai negeri perindustrian berpendapatan tinggi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menggalakkan sistem perantisan aras tinggi atau high level apprenticeship di kalangan pihak industri terlibat.

“Melalui sistem ini, pihak industri akan turut serta secara aktif dalam melatih bakal pekerja dengan konsep pelaksanaan place-and-train, yang ternyata memanfaatkan semua pihak yang terlibat.

“Dengan menaik taraf rantaian nilai atau value chain, serta menggunakan pelbagai aplikasi selaras dengan Industri 4.0, sektor perkilangan di Selangor akan mampu dipertingkatkan setaraf dengan negara-negara maju seperti di Eropah dan Jepun,” katanya.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut meluangkan masa melawat beberapa gerai pameran sempena pelancaran IKTISASS 2018.

Antara yang mengambil bahagian adalah Strand Aerospace, INPENS, Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC), dan SST & Consultancy Academy.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Amy Search dulu pernah jadi juru kimpal, saran anak muda sertai IKTISASS

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 25 MAC: Lagenda rock tanah air, Amy Search memberi sokongan penuh Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisass Smart Selangor (IKTISASS) 2018.

Beliau berkata, pelaksanaan itu dilihat penting untuk kemajuan sesebuah negara.

“Pada masa kini, program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) melangkaui arus semasa, golongan belia berpeluang meningkatkan kemahiran melalui IKTISAS ini.

“Secara tidak langsung IKTISASS mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada SelangorKini selepas membuat persembahan di IKTISASS di Sunway Convention Center, di sini.

Mengulas lanjut, Amy berkata peluang itu harus diambil anak muda disamping melihat ia sebagai salah satu kerjaya.

“Saya juga pernah menceburi bidang pengimpal sebelum bergelar artis namun ketika itu tidak secanggih masa kini.

“Oleh itu, golongan belia harus datang sendiri ke IKTISASS melihat kemajuan yang dibawa Kerajaan Negeri melakui pusat-pusat pengajian yang lebih selesa, peralatan yang lebih canggih dan berteknologi tinggi,” katanya.

Selain Amy, selebriti tempatan lain yang bakal memeriahkan program antaranya Haqiem Rusly dan Wany Hasrita pada Ahad ini.

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

IKTISASS wadah ‘millenials’ berkemahiran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang diasaskan Kerajaan Negeri merupakan wadah kepada pembangunan ‘millenials’ berkemahiran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, program terbabit bakal melahirkan generasi berkemahiran, berkarektor sekaligus melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional.

“Ramai anak muda atau golongan belia ketika ini tidak mengetahui kursus kemahiran yang ditawarkan juga peluang yang disediakan. Jadi, dengan adanya IKTISASS ia akan dapat membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk belajar bidang yang diinginkan.

“IKTISASS juga merupakan program yang terbaik kerana ia turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak industri,” katanya kepada Selangorkini.

Pada masa sama, katanya, INPENS turut membuka gerai pameran di Majlis Pelancaran IKTISASS di Sunway Convention Centre pada 24 – 25 Mac ini.

Ahmad Zabri berkata pihaknya menyasarkan lebih 5,000 pengunjung ke booth pameran INPENS.

“INPENS menawarkan bidang utama atau bidang-bidang kemahiran berimpak industri 4.0 antaranya Automotif, Elektrik dan Penyamanan Udara.

“Tidak ketinggalan INPENS juga menawarkan banyak lagi pilihan bidang kemahiran sebagai usaha memangkin kejayaan misi Smart Selangor yang giat dijalankan antaranya elektronik, sistem komputer, motosikal, dandanan rambut, kulinari, pastri, kecantikan dan pembuat pakaian,” katanya.

Terdahulu, INPENS mencatat rekod baru apabila seramai 650 pelajar baharu mendaftar di kolej itu bagi pengambilan pelajar 2018.

Ia mengatasi catatan terdahulu bagi INPENS dengan angka tertinggi direkodkan bagi pengambilan sebelumnya adalah berjumlah 500 pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Perkembangan itu membuktikan kalangan pelajar menyedari TVET adalah bidang yang menjadi keutamaan di banyak industri.

=EZY=

Categories
EKONOMI SELANGOR

IKTISASS: Ke arah menghadapi cabaran hadapi Revolusi 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) melaksanakan penjenamaan semula Youth Enhancement Strategy Selangor (YES) kepada Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) ke arah merealisasikan Smart Factory 4.0.

Pengurusnya, Izham Zakaria berkata, ia dilaksanakan bagi memberi laluan kepada teknologi ‘smart factory’ di Selangor bagi mendepani cabaran Revolusi 4.0.

Katanya, pelaksanaan IKTISASS menumpukan kepada kepada ‘high level’ Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sejajar dengan visi memberdayakan lulusan TVET ke tahap lebih tinggi.

“Smart Factory ini akan mendapat kerjasama pakar dari Switzerland melalui kursus jangka panjang dan pendek yang ditawarkan.

“Seperti kita tahu belia di negara ini sudah tidak berminat bekerja di kilang, jadi dengan inisiatif ini kita akan mewujudkan satu pekerjaan yang lebih menarik bagi industri perkilangan dengan penggunaan ‘smart apps, smart technology’ untuk digunakan pakai bagi menggantikan pekerja buruh.

“Disamping itu kita juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata, IKTISASS memberi peluang kepada anak muda lepasan SPM yang tidak menyambungkan pelajaran dan pelajar lepasan diploma dan ijazah yang masih menganggur.

SHRDC merupakan sebuah pusat latihan melahirkan tenaga yang diperlukan mengikut kapasiti industri disamping membantu belia mendapat pekerjaan yang sudah sedia menanti.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM7 juta daripada Kerajaan Negeri bagi menjayakan program IKTISASS.

Katanya, peruntukan terbabit bagi menampung enam kursus termasuk tiga kursus baru yang diperkenalkan.

“Berbanding tahun lalu, peruntukan itu ditambah merangkumi keseluruhan termasuk program belia lepasan SPM, Internship for high Impact Talent (I-HIT) dan Smart Technical Workforce.

“Ia juga bagi melancarkan lagi program baharu antaranya Selangor Smart SMEs (Perusaha Kecil dan Sederhana), Malaysia Essential Skills Training Initiative (MESTI Digital) dan Skim Perintis Meister Selangor,” katanya.

=EZY=

Categories
EKONOMI SELANGOR

Penjenamaan semula YES kepada IKTISASS ke arah Smart Factory 4.0

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 FEB: Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) melakukan penjenamaan semula Youth Enhancement Strategy Selangor (YES) kepada Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) ke arah Smart Factory 4.0.

Pengurus Industri SHRDC, Izham Zakaria berkata, program YES telah bermula sejak 2015 namun pihaknya melakukan penjenamaan semula kerana hasrat ingin membawa masuk teknologi ‘smart factory’ di Selangor.

“Pelaksanaan IKTISASS menumpukan kepada kepada ‘high level’TVET, sejajar dengan visi memberdayakan lulusan TVET ke tahap lebih tinggi.

“Smart Factory ini akan mendapat kerjasama pakar dari Switzerland melalui kursus jangka panjang dan pendek yang ditawarkan,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata, IKTISASS memberi peluang kepada anak muda lepasan SPM yang tidak menyambungkan pelajaran dan pelajar lepasan diploma dan ijazah yang masih menganggur.

“Seperti kita tahu belia di negara ini sudah tidak berminat bekerja di kilang, jadi dengan inisiatif Smart Factory Selangor ini kita akan mewujudkan satu pekerjaan yang lebih menarik bagi industri perkilangan dengan penggunaan ‘smart apps, smart technology’ akan digunakan pakai bagi menggantikan pekerja buruh.

“Disamping itu kita juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.

SHRDC merupakan sebuah pusat latihan melahirkan tenaga yang diperlukan mengikut kapasiti industri disamping membantu belia mendapat pekerjaan yang sudah sedia menanti.

=EZY=