Categories
SELANGOR

Angkat ilmuan sebagai contoh ikutan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Golongan ilmuwan seharusnya diangkat menjadi ‘role model’ kepada anak-anak muda dan pelajar di Selangor, bukannya artis atau selebriti.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, para ilmuwan merupakan contoh terbaik diikuti dengan ketinggian ilmu dan akhlaknya.

cendekiawan-ilmuwan-islamNamun, katanya, masyarakat hari ini sebaliknya didedahkan secara berlebihan dunia selebriti sementara para ilmuwan kurang mendapat tempat termasuk di media massa.

“Sebab itu Kerajaan Negeri melancarkan Jejak Ilmuwan sejak 2008 bagi memberdayakan golongan bijak pandai di samping menjejaki bakal ilmuwan seperti dalam dewan hari ini.

“Hasrat Selangor kita tidak mahu anak-anak kita setakat baca dan hafal, tetapi mampu mengaplikasikan ilmu bermanfaat dalam kehidupan.

“Kita mahu para ilmuwan ini dijadikan ikutan untuk lahirkan generasi terbaik, bukan selebriti,” katanya di hadapan kira-kira 200 pelajar tahfiz.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Bengkel Pendidikan STEM (Sains, Technology, Engineering & Mathematics) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pagi tadi.

Pada masa sama, Halimah juga menyatakan sokongan penuh kepada usaha Kementerian Pelajaran Malaysia mengutamakan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

“Untuk itu, kita perlukan rancangan khusus agar para pelajar dapat diberi pendedahan kepada semua mata pelajaran ini.

“Tetapi harus ingat, kalau kita nanti berjaya bergelar jurutera, doktor, pereka cipta, ahli sains atau apa sahaja, haruslah kita laksanakan dengan amanah,” pesannya.

Bengkel anjuran Kelab Tunas Ilmuwan Selangor ini merupakan sebahagian daripada projek promosi STEM kepada masyarakat oleh International Islamic Academic of Life Sciences dan Biotechology (IAB), Universiti Selangor (UNISEL).

Pada kali ini, peserta bengkel merupakan pelajar daripada Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar, Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor dan Sekolah Menengah Islam Al-Farabi Kampung Delek Kiri.
EZY