Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan #Selangor 2022 bantu perancangan kewangan keluarga

SHAH ALAM, 1 DIS: Inisiatif yang ditawarkan Kerajaan Selangor menerusi Belanjawan #Selangor2022 diakui memberi banyak faedah kepada mereka yang berkeluarga.

Pekerja swasta, Fadhilul Izmel Ishak, 33 berkata sebagai bapa dia sememangnya merancang kelahiran anak di negeri ini kerana pelbagai manfaat akan diperoleh.

Pekerja swasta, Fadhilul Izmel Ishak, 33 bersama anaknya yang dilahirkan di Selangor, Irfan Fadhilul Izmel

“Dari anak baru lahir iaitu menerusi Iltizam Anak Selangor, kemudian program tuisyen rakyat hingga anak memasuki ke institusi pengajian tinggi (IPT) turut dibantu.

“Secara tidak langsung inisiatif ini membantu perancangan kewangan keluarga lebih efektif,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, juruteknik, Najmi Zulfadhli Muda, 34, berharap Iltizam Anak Selangor yang bakal bermula tahun hadapan itu turut mengambil kira bayi yang dilahirkan pada tahun ini.

“Saya harap dapat inisiatif ini kerana sebelum ini anak sulung terlepas Skim Tabung Warisan Anak Selangor.

Juruteknik, Najmi Zulfadhli Muda, 34 bersama anaknya yang dilahirkan di Selangor,Nur Illiyyin Najmi Zulfadhli

“Inisiatif ini membantu meringankan beban rakyat kerana bantuan menerusi pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) ini boleh digunakan untuk masa hadapan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM3 juta melaksanakan skim Iltizam Anak Selangor yang menyasarkan penyertaan 30,000 kanak-kanak negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim berkenaan membabitkan pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi anak yang baru lahir dan mereka akan diberikan RM100 setahun untuk tempoh lima tahun.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Skim pendidikan anak Selangor langkah prihatin Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 27 NOV: Pelaksanaan skim Iltizam Anak Selangor menerusi Belanjawan #Selangor2022 menujukkan penambahbaikan khususnya buat ibu bapa mempunyai anak-anak yang baru dilahirkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata langkah tersebut menunjukan keperihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak ini mempunyai simpanan mereka sendiri.

“Belanjawan ini ada penambahan baik buat anak-anak baru lahir, sebelum ini ada tetapi diberhentikan dan kini diwujudkan semula.

“Walaupun diberi skim simpanan untuk lima tahun tetapi ia cukup besar maknanya buat mereka,” kata Halimey Abu Bakar selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 semalam.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan belanjawan negeri semalam berkata Kerajaan Negeri akan memperkenalkan skim baharu Iltizam Anak Selangor yang akan disertai dengan pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi anak-anak yang baru lahir.

“Seramai 30,000 anak-anak memohon akan diberikan RM100 setahun untuk tempoh lima tahun dengan peruntukan sebanyak RM3 juta pada 2022,” katanya.