Categories
AGENDA JENAYAH

Pusat kecantikan tawar khidmat pembedahan plastik, botoks tanpa tauliah diserbu

DENGKIL, 21 FEB:  Kegiatan menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan dengan harga lebih murah daripada pusat kecantikan berlesen serta bertauliah terbongkar apabila lapan premis dikendalikan warga asing diserbu oleh Jabatan Imigresen hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang itu, sebanyak 21 individu ditahan terdiri daripada lima wanita warga Indonesia, 15 wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Vietnam berumur 25 hingga 40 tahun.

Beliau berkata kesemua ditahan dipercayai pekerja di premis berkenaan yang beroperasi sejak 2019 dan menawarkan perkhidmatan kecantikan dengan mengenakan caj murah antara RM350 hingga RM8,000.

“Kesemua ditahan didapati bekerja di premis menyediakan perkhidmatan termasuk rawatan kompleks memerlukan penggunaan peralatan perubatan tertentu seperti Rhinoplasty bagi rawatan mencantikkan hidung, rawatan suntikan bagi membesarkan anggota badan tertentu, rawatan pemutihan gigi, suntikan vitamin C dan botoks, selain perkhidmatan menguruskan badan.

“Rata-rata pelanggan tertarik modus operandi mereka yang mengenakan caj seperti suntikan di bahagian mata (eye filler) berharga RM350, suntikan membesarkan payu dara (RM1,900) dan suntikan botoks (RM3,500) manakala pembedahan plastik mengenakan caj RM8,000,” katanya dalam sidang media selepas menyertai operasi berkenaan di Southville City di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata pusat kecantikan berkenaan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial bagi menarik minat pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Mereka menggunakan platform Wechat, Facebook selain Instagram bagi tujuan tersebut dan rata-rata pelanggan adalah warganegara Malaysia seperti suri rumah dan pegawai eksekutif,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kesemua ditahan tidak mempunyai kemahiran profesional serta tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) yang boleh mendatangkan risiko kematian, kerosakan organ dan tubuh badan.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas sah serta tinggal lebih masa selepas tamat tempoh selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen boleh usir warga asing langgar SOP Covid-19

PUTRAJAYA, 18 NOV: Warganegara asing yang melanggar peraturan tatacara operasi piawai (SOP) langkah-langkah pencegahan Covid-19 boleh dikenakan tindakan pembatalan pas dan sebarang kemudahan imigresen yang telah diberikan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata individu yang didapati bersalah juga akan diusir pulang ke negara asal dan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini semula, seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 8 dan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63.

“Sehubungan dengan itu, Jabatan Imigresen menasihatkan supaya semua warganegara asing mematuhi arahan dan peraturan semasa agensi-agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebelakangan ini, tular dalam media sosial isu warganegara asing yang melanggar SOP pencegahan Covid-19, malahan terdapat antara mereka yang sengaja mencabar pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas mereka.

Sebelum ini, hangat isu seorang wanita warga asing yang tidak memakai pelitup muka dan naik berang selepas tidak dibenarkan memasuki sebuah premis butik mewah di pusat beli-belah Suria KLCC, bulan lepas.

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di Taman KLCC baru-baru ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen sudah sedia jika pintu sempadan dibuka semula

PUTRAJAYA, 6 OKT: Jabatan Imigresen (JIM) sudah bersedia dari segi sistem, stok buku pasport dan tenaga kerja untuk pembukaan semula sempadan negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

“Sekiranya kerajaan membuat keputusan membuka pintu sempadan negara dalam masa terdekat ini, JIM telah bersedia melaksanakan keputusan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata JIM mempunyai simpanan sebanyak 1.2 juta buku pasport yang mampu menampung permintaan sehingga Jun tahun depan.

Selain itu, katanya persediaan di pintu masuk negara telah dilaksanakan dengan semua sistem ‘autogate’ telah diaktifkan semula setelah ‘direhatkan’ kira-kira kurang dua tahun setengah.

“Dari segi tenaga kerja, pegawai dan kakitangan telah digerakkan semula untuk memulakan tugas seperti mana sebelum Covid-19,” katanya.

Khairul Dzaimee hari ini turut memantau pelaksanaan projek rintis permohonan pembaharuan pasport Malaysia antarabangsa (PMA) secara dalam talian di Ibu Pejabat Imigresen di sini, yang menyediakan kemudahan kaunter layan diri serta pegawai untuk membantu pemohon menggunakan sistem tersebut bermula 1 Okt lalu.

Menurutnya, permohonan pasport secara dalam talian telah meningkat tahun ini dengan jumlah 69,371 setakat September lepas, berbanding 52,016 yang dikeluarkan JIM pada 2020.

Beliau berkata peningkatan permohonan pasport dilihat bermula pertengahan tahun ini ekoran beberapa kelonggaran dalam kategori permohonan ‘MyTravelPass’ dan jumlah dijangka terus meningkat sekiranya kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan dalam masa terdekat.

Pada 3 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rakyat Malaysia dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon ‘MyTravelPass’ selepas program vaksinasi negara melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai kadar 90 peratus.

Khairul Dzaimee berkata kaunter khas seperti dalam projek perintis secara dalam talian itu akan diperluaskan ke pejabat Imigresen di seluruh negara untuk membolehkan orang ramai memanfaatkan sistem itu dalam urusan pembaharuan pasport.

Sementara itu seorang seorang pemohon pasport yang ditemui hari ini Amira Syahirah Mohd Zulkefli berkata proses dalam talian untuk urusan pembaharuan pasport itu amat mudah, dan masa yang terlibat sehingga mengambil pasport tidak sampai 30 minit.

“Pengalaman membuat permohonan pembaharuan ini amat menyenangkan bagi saya. Saya datang dan terus isi maklumat secara dalam talian di kaunter khas yang disediakan dan tidak sampai 30 minit, pasport saya siap.

“Saya kini menunggu pengumuman kerajaan berhubung pembukaan semula pintu sempadan negara kerana perlu ke Belgium untuk melatih kuda,” kata jurulatih muda berumur 27 tahun itu.

Seorang lagi pemohon yang memperbaharui pasportnya Azhar Marzuki pula berpendapat urusan melalui sistem dalam talian perlu dikembangkan kepada agensi yang lain, kerana ia bukan sahaja mudah malah memberi kesenangan kepada mereka yang bekerja.

“Sistem dalam talian yang diwujudkan JIM ini amat bagus dan mudah kerana kita hanya perlu mengisi segala maklumat melalui telefon pintar atau komputer riba di mana-mana sahaja.

“Lepas itu kita hanya memilih tarikh dan waktu yang sesuai untuk mengambil pasport dan ia memakan masa tidak sampai 30 minit. Ia memudahkan orang yang bekerja yang tidak mengambil cuti sehari untuk urusan pembaharuan pasport,” katanya yang perlu ke luar negara atas urusan perniagaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga asing sembunyi dalam kotak ikan elak dicekup imigresen

SERDANG, 26 JUN: Cubaan sekumpulan warga asing menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak daripada dicekup Jabatan Imigresen (JIM) termasuk bersembunyi di dalam kotak ikan dan longkang, tidak berhasil setelah mereka ditahan dalam operasi yang dilakukan di Pasar Borong Selangor, awal pagi tadi.

Dalam serbuan bermula pukul 1 pagi itu, seramai 72 warga asing membabitkan 39 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Bangladesh (19) , Myanmar (sembilan), Indonesia (tiga) dan masing-masing seorang warga India dan Nepal berjaya ditahan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata kesemua warga asing berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu ditahan kerana disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati, ada antara warga asing yang ditahan itu merupakan pemegang kad UNHCR, namun kad yang dikemukakan meragukan.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti kesahihan kad tersebut serta pemeriksaan sama ada mereka ini mempunyai dokumen serta permit kerja berdasarkan sektor mengikut permohonan mereka.

“Kesemua mereka akan dibawa ke Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menyertai pemantauan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Op Patuh di Pasar Borong Selangor yang berakhir 4 pagi tadi.

Beliau berkata Op Patuh yang berkuat kuasa hari ini akan diteruskan bagi membanteras ketidakpatuhan SOP secara bersepadu dengan menumpukan aspek penyalahgunaan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan atau agensi yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, dalam operasi yang turut disertai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata sebanyak 42,552 premis di seluruh negara diperiksa dalam tempoh 1 Jun hingga semalam.

Dalam tempoh itu, pihaknya telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM2.03 juta kerana pelbagai kesalahan melanggar SOP PKP.

“Pemantauan sentiasa diteruskan bagi memastikan pematuhan peniaga terutamanya mereka yang di bawah sektor yang dikawal selia KPDNHEP berada pada tahap tertinggi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Imigresen tahan 33 pendatang tanpa izin kerja di kedai runcit

PUTRAJAYA, 17 JUN: Jabatan Imigresen menyerbu 16 kedai runcit yang disyaki dikendalikan warga asing di sekitar Bukit Sentosa, Rawang dan Dengkil di Selangor dalam operasi pada Isnin (14 Jun) dan Selasa lalu, serta menahan 33 pendatang tanpa izin di premis terbabit.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India dan tiga lelaki serta dua wanita warga Indonesia.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua pendatang tanpa izin terbabit disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan pas atau permit dan juga tidak memiliki pas yang sah untuk bekerja di premis tersebut.

“Semasa serbuan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan membuat provokasi. Walau bagaimanapun, kesemua warga asing ini berjaya ditahan dan situasi dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai operasi berkenaan.

Pemeriksaan di semua premis terlibat mendapati kesemua premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan yang dimiliki dan didaftarkan atas nama warganegara Malaysia namun disyaki disewakan kepada warganegara asing, katanya.

Kesemua pendatang tanpa izin yang ditahan telah dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih, katanya.

Khairul Dzaimee berkata antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan pendatang tanpa izin terbabit adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata seramai enam warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Imigresen tahan 21 pendatang tanpa izin di kilang jahit pukal

SHAH ALAM, 17 MAC: Seramai 21 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada 19 lelaki warga Bangladesh dan dua wanita Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Negeri Selangor dalam operasi di dua premis perniagaan dijadikan kilang jahit pukal di sini semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata mereka yang ditahan dalam operasi empat jam yang bermula 2 petang itu, berusia antara 20 hingga 45 tahun dan dipercayai telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Negeri Selangor bagi siasatan lanjut dan seterusnya akan ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kesalahan yang dikesan semasa pemeriksaan adalah tinggal tanpa pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas yang telah diberikan.

Beliau berkata semasa serbuan dilakukan kesemua mereka sedang bekerja menjahit pakaian di premis itu yang tidak memaparkan sebarang papan tanda perniagaan dan pasukan operasi juga terpaksa memecahkan pintu jeriji besi kerana tidak mendapat kerjasama penghuni bagi melakukan pemeriksaan.

Mohamad Shukri berkata kehadiran anggota penguat kuasa yang memakai kelengkapan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) juga telah mengejutkan mereka.

Mereka juga memberikan pelbagai helah agar tidak ditahan termasuk hanya datang berjumpa rakan, majikan lama tidak mendapat kontrak kerja dan diberikan kelonggaran untuk bekerja di sektor yang berlainan, katanya.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan juga didapati seorang pendatang perempuan warganegara Indonesia berusia awal 30-an sedang hamil enam bulan dan mendakwa suaminya juga seorang warganegara Indonesia mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang bekerja sebagai buruh binaan,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati mereka menerima upah dari RM45 hingga RM50 sehari.

“Pihak Jabatan Imigresen juga akan turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan majikan atau pelindung kepada pendatang ini, dan sekiranya terbukti, akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa termasuk didakwa di mahkamah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Imigresen tahan tujuh ahli sindiket palsu dokumen

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tujuh lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemalsuan dokumen imigresen dalam serbuan Op Sticker.

Kesemua anggota sindiket berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan Ahad lepas hasil beberapa siri operasi dijalankan secara bersepadu antara JIM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan menjual pelekat keselamatan imigresen tulen dengan mendapat bekalan yang diseludup individu yang bekerja dengan sebuah syarikat percetakan yang menjadi pembekal kepada JIM.

Beliau berkata setiap keping pelekat dibeli antara RM700 hingga RM800 oleh anggota sindiket sebelum dijual dengan anggaran keuntungan mereka mencecah RM80,000 sebulan.

“Kerajaan dianggarkan kerugian RM1,800 bagi setiap keping pelekat yang dijual dan digunakan Pendatang Tanpa Izin disebabkan tidak dapat mengutip hasil levi, bayaran pas dan bayaran proses ,” katanya sambil menambah bahawa kerugian hampir RM2.16 juta setiap tahun ditanggung kerajaan akibat kegiatan sindiket ini.

Katanya, kegiatan sindiket ini jelas boleh menggugat keselamatan negara dan menyebabkan ketirisan kutipan hasil kerajaan, justeru pihaknya tidak akan berkompromi.

Dalam perkembangan lain, SPRM berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menangani isu rasuah, penyelewengan dan integriti dalam JPJ.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan, Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Azam Baki dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim telah mengadakan pertemuan ke arah itu, hari ini dan pihaknya menyambut baik komitmen Zailani dalam meningkatkan integriti jabatan berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemegang kad pelarian, etnik Rohingya tidak terlibat program hantar pulang

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Program penghantaran pulang warga Myanmar ke negara asal mereka pada 23 Feb ini tidak melibatkan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) atau etnik Rohingya.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata program penghantaran pulang warga Myanmar itu adalah sebahagian daripada proses biasa pengusiran rakyat asing di depot imigresen menggunakan kapal tentera laut negara itu.

Beliau berkata warga Myanmar yang terlibat dalam program itu terdiri daripada mereka yang ditahan di depot imigresen kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, antaranya tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan.

Katanya Imigresen Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada Kedutaan Myanmar di Malaysia yang memberi kerjasama dan mengatur penghantaran pulang rakyat mereka.

“Dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, sejak Januari hingga Disember tahun lepas, imigresen mengusir sejumlah 37,038 rakyat asing.

“Mereka terdiri daripada 17,002 warga Indonesia, Bangladesh (5,450 orang), Myanmar (3,322), Thailand (2,358), Pakistan (1,493) dan selebihnya lain-lain warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata terdapat perbezaan agak besar dari segi pengusiran pulang pendatang tanpa izin pada 2020 dan 2019.

“Pada 2019 sejumlah 59,114 warga asing daripada pelbagai warganegara diusir pulang ke negara asal mereka… ini disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing di samping turut mengurangkan jumlah penerbangan dan pengangkutan laut. Perkara ini telah memberikan kesan kepada proses pengusiran warga asing dari depot imigresen ke negara asal tahanan berkenaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Imigresen: Penjenayah warga asing diisytihar ‘persona non grata’

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Warga asing yang didapati terlibat dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytiharkan sebagai ‘persona non grata,’ kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata warga asing terbabit akan disenaraikan sebagai persona non grata selepas mereka menjalani hukuman dan diusir dari negara ini.

“Selepas mereka menjalani hukuman penjara akibat kesalahan jenayah, mereka akan diusir dan disenaraikan sebagai imigran larangan daripada memasuki Malaysia.

“Itulah keputusannya untuk semua warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen (1959) tanpa mengira jenis pas yang dimiliki,” katanya kepada Bernama.

Persona non grata adalah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di sesebuah negara.

Turut senada dengan Khairul Dzaimee ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang berkata langkah mengisytiharkan penjenayah warga asing sebagai persona non grata merupakan antara cara berkesan bagi mengekang kegiatan jenayah terutama Sindiket Macau Scam.

“Sindiket Macau Scam di negara ini semakin berleluasa dengan ramai mangsa tertipu melibatkan kerugian jutaan ringgit yang dilakukan warga China.

“Baru-Baru ini, saya ada berbincang dengan beliau (Khairul Dzaimee) berhubung perkara ini dan kuasa untuk mengisytiharkan persona non grata terletak kepada Imigresen untuk melaksanakannya,” katanya ketika kunjungan hormat Bernama ke pejabat beliau di Bukit Aman di sini baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata warga China paling takut disenarai hitam dan dilarang memasuki Malaysia kerana mereka bukan sahaja tidak boleh melakukan kegiatan jenayah malah bakal berdepan hukuman berat di negara asal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

20 pegawai imigresen positif Covid-19

PUTRAJAYA, 1 DIS: Hampir 3,500 pegawai imigresen menjalani ujian saringan Covid-19 sehingga 25 November lepas, dengan 3,000 daripadanya dikuarantin dan 20 orang lagi dirawat kerana didapati positif wabak itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sebagai sebahagian daripada pasukan barisan hadapan, petugas Jabatan Imigresen (JIM) berhadapan risiko terdedah kepada virus itu kerana berada paling hampir dengan warga asing dan pendatang tanpa izin yang belum dipastikan tahap kesihatan mereka.

Namun, katanya JIM tetap komited melaksanakan dasar kemasukan warga asing yang diputuskan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), menyaksikan sebanyak 1,332 kes positif import sehingga 30 Nov lepas.

“Bukan sahaja sebagai benteng pertama pintu masuk negara menghadapi pelawat asing yang berisiko membawa virus Covid-19 tetapi turut terlibat secara langsung dalam tugasan-tugasan berkaitan kawalan dan pencegahan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Imigresen 2020, hari ini.

Beliau berkata penglibatan JIM dapat dilihat di kawasan tumpuan warga asing, pusat rawatan dan kuarantin warga asing seperti di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dan operasi penguatkuasaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Khairul Dzaimee berkata sejak Januari hingga 30 November lepas, JIM melaksanakan sebanyak 6,379 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan 93,475 individu serta penahanan 34,920 pendatang tanpa izin dan 376 majikan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen antara agensi beri kerjasama bongkar rasuah

PUTRAJAYA, 18 NOV: Jabatan Imigresen Malaysia (imigresen) antara agensi penguatkuasaan yang berani memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membongkar dan mendedahkan kegiatan rasuah serta salah guna kuasa, demikian menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Azam berkata bukan mudah untuk mendapat kerjasama berhubung siasatan dan risikan bagi sesuatu kes rasuah, bagaimanapun imigresen yang diketuai Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud memberikan kerjasama baik kepada SPRM dalam merungkai kegiatan sindiket penyalahgunaan pengesahan cap keluar masuk sempadan meskipun ia melibatkan anggota jabatan itu.

Dilaporkan sindiket menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara lumpuh apabila SPRM menahan 46 orang termasuk 27 pegawai imigresen dalam operasi besar-besaran pada Isnin.

‘Sting Operation’ yang dinamakan Op Selat itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan di pintu masuk dan keluar negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru, Johor.

“Saya amat hargai kerjasama siasatan yang diberikan oleh beliau (Khairul Dzaimee) dalam membongkar sindiket ini. Risikan dan siasatan bersama dijalankan sejak beberapa bulan lepas walaupun ia melibatkan beberapa pegawai imigresen,” kata Azam ketika dihubungi Bernama.

Khairul Dzaimee dalam satu kenyataan semalam berhubung penahanan pegawai imigresen berkata Jabatan Imigresen akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan dengan penuh profesional.

Menurutnya, penahanan pegawai jabatan itu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pemalsuan cap itu adalah hasil kerjasama Jabatan Imigresen dan SPRM khususnya dalam perkongsian maklumat yang diperoleh daripada aduan orang ramai.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah akta dan peraturan imigresen bagi tujuan kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan itu.

Memuji iltizam Khairul Dzaimee, Azam berkata kerjasama dengan pihak imigresen itu bukan kali pertama dan akan ada lagi kes berbentuk sindiket jenayah yang bakal dibongkarkan.

“Kerjasama risikan dan siasatan dengan mana-mana agensi kerajaan amat diperlukan bagi membolehkan kegiatan rasuah serta salah guna kuasa di negara ini dibanteras,” katanya, sambil menambah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah antara rakan strategik SPRM dalam melaksanakan beberapa risikan dan siasatan bersama sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kemasukan pelajar asing ditangguhkan sehingga 31 Disember

PUTRAJAYA, 4 OKT: Semua kemasukan pelajar asing baharu dan sedia ada termasuk yang sudah mendapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen, ditangguhkan hingga 31 Disember ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata penangguhan itu selaras dengan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menangguhkan pendaftaran dan pengajian secara fizikal dan bersemuka pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi kemasukan Oktober 2020.

“Jabatan ini juga difahamkan bahawa KPT telah berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan mengenai penjadualan semula penerbangan pelajar-pelajar antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lepas, KPT dilaporkan meminta semua IPT menangguh pendaftaran baharu serta pengajian secara fizikal dan bersemuka pelajar masing-masing susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

-BERNAMA