Categories
AGENDA NASIONAL

Pekilang gesa import, eksport dibenar ketika sekatan pergerakan penuh

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk membenarkan aktiviti sektor import dan eksport diteruskan – termasuk pelabuhan, penggudangan dan penghantaran barang sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Dalam kenyataan hari ini, FMM turut berharap agar industri pembuatan dengan pesanan eksport berkontrak dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus, meskipun tidak terbabit dalam sektor ekonomi perlu.

Ia turut menyarankan kerajaan memberi kebenaran kepada industri yang menjalankan penyelenggaraan loji, sambil menambah, mereka yang mempunyai relau dan tanur yang perlu beroperasi selama 24 jam seminggu dan tidak boleh dihentikan, mesti dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja 20 peratus.

“Dalam hal ini, FMM sedar kerajaan selama ini sentiasa mengekalkan keseimbangan antara melindungi nyawa dan punca pendapatan, namun, lonjakan jumlah kes pada minggu ini menyebabkan tindakan mengenakan sekatan pergerakan penuh itu dibuat.

Menurut FMM, ia turut menarik nafas lega dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat bahawa Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“FMM mengulangi bahawa kerajaan harus segera menyokong industri pada saat yang genting ini menerusi bantuan dan inisiatif kewangan yang diperlukan termasuk memperuntukkan Dana Bantuan Khas untuk membantu syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.

Selain moratorium automatik selama tiga bulan mulai 1 Jun 2021, ia turut berharap agar kerajaan mewujudkan semula Program Subsidi Upah kepada semua industri dan menangguhkan atau melanjutkan tarikh bayaran bagi semua caruman berkanun berikutan penutupan sepenuhnya operasi, melainkan mereka yang disenaraikan dalam sektor perlu.

Pihaknya turut menggesa kerajaan untuk mengecualikan caj Permintaan Maksimum Tenaga Nasional Bhd untuk Mei 2021 memandangkan industri telah mengurangkan sebanyak 60 peratus tenaga kerja sejak 25 Mei 2021 dan meneruskan rebat elektrik untuk tempoh enam bulan akan datang mulai Julai hingga Disember tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis Selangor rampas 25 tan kurma tidak patuhi syarat import

KLANG, 22 MAC: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri Selangor berjaya menggagalkan cubaan sebuah syarikat tempatan, membawa masuk 25,200 kilogram buah kurma dari Arab Saudi di Pelabuhan Klang Barat, di sini pada Sabtu lalu.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim dalam satu kenyataan hari ini berkata, rampasan itu dibuat selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai penguat kuasa Maqis kira-kira jam 11.00 pagi.

Menurutnya barang dagangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM141,229.44, ditahan kerana tidak mematuhi syarat seperti mana yang dinyatakan pada permit import Maqis, iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P Penggredan, Pembungkusan, dan Pelabelan.

Beliau berkata kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali, di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.

Katanya lagi, pihaknya mengambil serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak, yang boleh mengancam kelestarian makanan negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM naik kepada US$108.6 bilion pada 29 Jan

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$108.6 bilion pada 29 Jan, 2021, berbanding US$107.8 billion pada 15 Januari.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Bank pusat berkata komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$100.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (US$1.2 bilion), emas (US$2.4 bilion) dan aset rizab lain (US$3.2 bilion).

Aset-aset ini terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR berjumlah RM436.59 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.14 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.95 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM18.47 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM17.07 bilion).

Menurut bank pusat, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM169.96 bilion), mata wang dalam edaran (RM137.68 bilion), deposit oleh institusi kewangan RM140.61 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM8.5 bilion), deposit-deposit lain (RM11.91 bilion), kertas Bank Negara (RM10.22 bilion), peruntukan SDR (RM7.79 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.62 bilion).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pilihan sendiri elak makan daging import – menteri

KUALA NERUS, 30 DIS: Umat Islam mempunyai pilihan sendiri untuk tidak memakan daging import khususnya lembu sekiranya mempunyai keraguan status halal daging tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Sepertimana yang disebut dalam hadis, tinggalkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan. Sebab itu saya sendiri telah pergi ke dua tempat (kilang menyimpan daging beku) dua hari lepas untuk memastikan daging import yang benar-benar ikut piawaian dan garis panduan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim yang dilapor menyarankan umat Islam menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

Zulkifli berkata ia merupakan pandangan dan saranan oleh Zamri sebagai satu ikhtiar atau ‘jalan berhati-hati’ yang boleh dipilih umat Islam sekiranya mereka mempunyai keraguan terhadap status halal daging import.

Bagaimanapun katanya pihak yang berkaitan dengan isu ini termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun memberikan penjelasan yang sebaiknya bagi meredakan keresahan dan keraguan masyarakat Islam.

Timbalan Menteri (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid dalam satu program semalam berkata tiga syarikat pengeluar daging sejuk beku terbesar iaitu Allana Group, Amroon dan Al-Aali adalah antara pembekal daging yang dijamin halal dan masyarakat Islam di negara ini tidak perlu berasa was-was dengan pembelian daging daripada tiga syarikat berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata masih terlalu awal bagi pihaknya memutuskan untuk melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap Jakim.

“Ini terlalu awal untuk kami katakan apa-apa, saya lebih suka menambah kualiti dan kebaikan…kami akan melihat dengan lebih meluas lagi dari pelbagai aspek.

“Seperti yang saya katakan kita akan kerjasama dengan beberapa pihak dan kemas kini SOP (tatacara operasi piawai) Jakim dan beberapa yang terkait dengan cara import daging dan pelaksanaannya. Insya-Allah kita akan tengok dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu Tun Hanif Omar yang dilapor mencadangkan Jakim dirombak secara besar-besaran, bertujuan untuk melantik mereka yang lebih kompeten, berkebolehan dan berintegriti untuk menerajui jabatan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kajian: Pemulihan eksport Malaysia terus kukuh, import perlahan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Pemulihan eksport Malaysia terus kukuh pada November di tengah-tengah peningkatan semula kes Covid-19 di seluruh dunia, demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota semalam berkata eksport Malaysia meningkat dengan stabil sejak kejutan awal daripada pandemik pada April dan Mei, sejajar dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi di seluruh dunia dan mendapat manfaat daripada pemulihan China, rakan dagang utama negara ini.

Bagi tahun ini, firma penyelidikan itu telah menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport dan import negara masing-masing pada -2.5 dan -6.9 peratus.

“Setakat ini bagi tahun ini, eksport jatuh -2.6 peratus tahun ke tahun, melepasi unjuran awal kami iaitu -3.5 peratus tahun ke tahun bagi tahun ini.

“Sementara itu, pemulihan import agak perlahan, terus mencatat pertumbuhan negatif sejak Mei, terutama disebabkan prestasi lemah kedua-dua barang perantaraan dan barang modal yang menunjukkan bahawa kebanyakan pengeluar tempatan masih lagi kurang yakin,” katanya.

MIDF Research berkata setakat ini bagi tahun ini, import menyusut -7.0 peratus tahun ke tahun, jauh daripada unjuran awal iaitu -5.1 peratus tahun ke tahun.

“Sehubungan dengan itu kami menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport bagi 2020 kepada -2.5 peratus tahun ke tahun, lebih baik daripada yang dijangkakan pada awalnya, dan unjuran pertumbuhan import kepada -6.8 peratus tahun ke tahun, menunjukkan prestasi lebih perlahan daripada yang dijangkakan sebelumnya,” katanya.

Bagaimanapun, bagi 2021, MIDF Research mengunjurkan kedua-dua eksport dan import akan melantun semula masing-masing kepada +5.3 dan +6.0 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pemulihan perdagangan antarabangsa.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Eksport kembali pulih, lebihan dagangan RM20.9 bilion pada Jun 2020

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Prestasi eksport Malaysia mula menunjukkan tanda pemulihan daripada kesan Covid-19 dengan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM82.9 bilion pada Jun 2020.

Sementara itu, lebihan dagangan pula berjumlah RM20.9 bilion, terbesar sejak Oktober 2019.

“Ini merupakan lebihan dagangan terbesar dicatatkan sejak Oktober 2019 dengan nilai RM17.3 bilion,” kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Import bagaimanapun, merosot 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM61.98 bilion.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM144.8 bilion pada bulan berkenaan, berkembang sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun.

Beliau mengaitkan pertumbuhan itu kepada peningkatan eksport ke China (+RM4.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.1 bilion) dan Hong Kong (+RM1.4 bilion).

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM4.5 bilion), keluaran getah (+RM1.8 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.5 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM993.6 juta) dan jentera, peralatan dan kelengkapan (+RM951.4 juta).

Sementara itu, import yang lebih rendah terutamanya dari Kesatuan Eropah (-RM1.1 bilion), Singapura (-RM772.8 juta), Thailand (-RM723.1 juta) dan Republik Korea (-RM706.6 juta).

Penurunan import dicatat bagi keluaran petroleum (-RM2.4 bilion), kelengkapan pengangkutan (-RM1.7 bilion) dan petroleum mentah (-RM1.1 bilion).

Mohd Uzir menambah import barangan perantaraan, turun 10.8 peratus atau RM4.1 bilion kepada RM34.1 bilion manakala import barangan penggunaan dan barangan modal masing-masing mencatat kenaikan 9.0 peratus kepada RM6.1 bilion dan 2.8 peratus kepada RM7.3 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Perangkaan: Indeks nilai seunit eksport, import susut pada Mei

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia masing-masing susut 3.7 peratus dan 1.4 peratus bagi bulan ke bulan kepada 109.9 mata dan 113.1 mata pada Mei, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penyusutan indeks nilai seunit eksport itu disebabkan oleh penurunan indeks minyak galian (-20.5 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (-6.2 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-0.4 peratus).

Namun indeks volum eksport meningkat 0.4 peratus kepada 107.2 mata yang disebabkan oleh kenaikan indeks pelbagai barang keluaran perkilangan (+23.8 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+13.7 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+13.1 peratus).

Bagi data pelarasan musim, indeks volum eksport mencatat peningkatan kecil 0.2 peratus kepada 106.4 mata.

Secara keseluruhannya, kedua-dua indeks nilai seunit eksport dan indeks volum import masing-masing susut 4.7 peratus dan 21.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagi indeks nilai seunit import, Mohd Uzir berkata penyusutan itu akibat kejatuhan indeks minyak galian (-12.5 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (-5.5 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-0.4 peratus).

Selain itu, indeks volum import turut mencatat penyusutan 22.6 peratus kepada 105.0 mata berikutan penurunan indeks minyak galian (-29.5 peratus , alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-27.7 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-23.5 peratus).

Bagi data pelarasan musim, indeks volum import pada Mei 2020 susut 28.1 peratus kepada 101.2 mata.

Mohd Uzir berkata terma perdagangan Malaysia turut susut 2.3 peratus kepada 97.1 mata berbanding April 2020.

Bagi asas tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia mencatat pertumbuhan kecil sebanyak 0.2 peratus daripada 96.9 mata.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Perdagangan Malaysia di landasan pemulihan, cabaran kekal

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Pembukaan semula hampir semua aktiviti ekonomi sejak Jun merupakan pendahuluan bagi pemulihan perdagangan Malaysia walaupun peningkatannya mungkin dihadkan oleh permintaan luaran yang lemah dalam keadaan ekonomi maju yang masih bergelut menangani penularan pandemik Covid-19, kata seorang ahli ekonomi.

Momentum perdagangan kekal lemah pada Mei di tengah-tengah pembukaan semula berperingkat aktiviti ekonomi ketika negara beralih kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir selama sebulan.

Malaysia ketika ini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos, 2020, yang membenarkan pembukaan semula hampir kesemua aktiviti ekonomi.

“Ini akan menjadi pelopor bagi perdagangan untuk pulih, walaupun secara perlahan-lahan, kerana Covid-19 masih kekal menjadi sumber cabaran utama kepada rakan dagangan utama kita,” kata Ahli Ekonomi Public Investment Bank Bhd Dr Rosnani Rasul dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Beliau berkata Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada pemulihan perdagangan global yang dipacu antara lainnya oleh daya tarikan ringgit.

Ketika ini ringgit didagangkan pada paras 4.2820-4.3000 berbanding dolar AS.

Penguncupan Eksport Malaysia

Eksport Malaysia pada Mei turun sebanyak 25.5 peratus tahun ke tahun, penguncupan lebih besar berbanding – 23.8 peratus pada April berikutan penurunan dalam semua sektor yang diterajui perlombongan sebanyak 49.1 peratus tahun ke tahun yang terjejas berikutan pengurangan pengeluaran terbaharu oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Ini diburukkan lagi dengan penutupan beberapa pelabuhan di rantau ASEAN berikutan langkah-langkah membendung penularan Covid-19 oleh negara masing-masing dan permintaan terhadap barangan Malaysia juga terjejas oleh aktiviti ekonomi yang perlahan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), zon Eropah dan Jepun.

Bagaimanapun, lebihan perdagangan melantun semula pada bulan itu kepada RM10.4 bilion, peningkatan 14.7 peratus tahun ke tahun berikutan penurunan besar import berbanding eksport, pemulihan berbanding defisit kecil sebanyak RM3.4 bilion pada April.

Cabaran Ekonomi ASEAN

Malaysia (eksport Mei: -25.5 peratus) dan Vietnam (eksport Mei: -15.5 peratus) merupakan hanya dua negara di rantau ini yang mengumumkan angka perdagangan pada Mei, dengan China, Thailand, Singapura dan Indonesia masih lagi belum berbuat demikian.

Rosnani berkata rantau ASEAN juga mungkin berdepan cabaran berkaitan perdagangan dalam suku kedua (April-Jun) berikutan permintaan luaran yang lemah terutamanya dari ekonomi maju ekoran penutupan ataupun pengasingan disebabkan Covid-19.

“Pemulihan perdagangan ASEAN mungkin perlahan apabila China kembali semula dilanda kes baharu Covid-19 (di Beijing dan Hubei), yang menyebabkan pihak berkuasanya bersiap sedia kemungkinan melaksanakan semula kawalan pergerakan.”

Kerajaan China memutuskan untuk tidak menetapkan sasaran tahunan keluaran dalam negara kasar tahun ini, yang pertamanya sejak 2002, yang menandakan ketidakpastian besar disebabkan Covid-19 yang kekal menjadi isu global.

Pemulihan global yang tidak pasti juga telah menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan global 2020 dengan menurunkannya kepada -4.9 peratus daripada -3.0 peratus sebelumnya, satu daripada penurunan besarnya dalam tempoh hanya beberapa bulan di tengah-tengah pemulihan yang lebih perlahan daripada dijangkakan pada awalnya.

Penurunan mendadak itu adalah disebabkan prestasi perlahan di ekonomi maju seperti AS (-8.0 peratus) Zon Eropah (-10.2 peratus) dan Jepun (-5.8 peratus) walaupun IMF kekal yakin dengan prospek 2021 (+5.4 peratus).

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Prestasi eksport Malaysia mampu meningkat – Ambank

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Prestasi eksport Malaysia mampu meningkat di masa depan didorong oleh pemulihan sederhana sektor semikonduktor pada masa sama, demikian menurut AmBank Research.

Dalam nota penyelidikan hari ini ia berkata pandangan optimis itu sebahagiannya menyusuli keputusan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak industri menyambung semula operasi dengan ada di antaranya mencecah kapasiti penuh sejak 4 Mei lepas.

Ini jelas dipaparkan menerusi peningkatan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia pada Mei lepas yang menjadi petunjuk awal bahawa kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 berkemungkinan mulai reda.

PMI IHS Markit Malaysia meningkat kepada 45.6 pada Mei 2020 berbanding paras terendah pada 31.1 menerusi tinjauan pada April 2020.

Syarikat-syarikat di negara lain juga bertindak meningkatkan operasi perniagaan di tengah-tengah penularan pandemik tersebut.

Lebihan dagangan Malaysia meningkat semula pada Mei kepada RM10.4 bilion iaitu kenaikan sebanyak 14.7 peratus bagi tahun ke tahun, didorong oleh penyusutan ketara import berbanding eksport dan merupakan peningkatan besar berbanding defisit sebanyak RM3.4 bilion pada April.

Malah, lebihan dagangan pada Mei itu adalah angka bulanan tertinggi dicatatkan sejak Mei 2008 dan kali keempat bagi Malaysia merekodkan lebihan melebihi RM10 bilion tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 32 kes baharu di Singapura, semuanya 345, 124 pesakit pulih

SINGAPURA, 20 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan kes tempatan baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di republik ini, menjadikan jumlahnya 345 kes.

Dalam kenyataan di sini, MOH berkata satu daripada kes import itu melibatkan lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura.

Lelaki itu disahkan dijangkiti virus itu pada Rabu dan kini ditempatkan di wad isolasi di Hospital Besar Changi.

Baki kes import merupakan residen yang kembali ke republik ini dan pemegang pas jangka panjang mempunyai sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara dan Asean, katanya.

Pada hari ini, MOH berkata tujuh lagi kes jangkiti Covid-19  discaj daripada hospital, dan sehubungan itu, secara keseluruhannya sebanyak 124 telah pulih sepenuhnya.

Daripada 221 kes disahkan dan masih berada di hospital, kementerian itu berkata kebanyakan mereka berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih manakala 15 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah semalam, MOH telah mengenal pasti 6,574 kontak rapat yang dikuarantin.

Diumumkan pada Rabu, mulai 20 Mac, jam 2359, semua pelawat yang memasuki Singapura daripada semua negara diberikan Notis Duduk Rumah selama 14 hari.

-BERNAMA